Skip to content

Apakah itu Cendawan Mekah, Mud-mud atau Kombucha dan Khasiat-nya?

Sejujurnya ketika pertama kali mendengar tentang cendawan mekah, otak ini ligat berfikir cendawan jenis apakah itu? Mengapa dinamakan cedawan Mekah? Adakah ia berasal dari kota Mekah tersebut? Semua persoalan ini mendorong penulis untuk mencari dan menjelaskan  persoalan di sebalik apa itu Cendawan Mekah, Mud-mud atau juga dikenali sebagai Kombucha.

Apa itu Cendawan Mekah, Mud-mud atau Kombucha?

Persepsi pertama sekali yang perlu ditukar adalah, ianya bukan sejenis cendawan. Ya, walaupun namanya cendawan mekah, ia sebenarnya adalah satu minuman masam yang terhasil daripada penapaian teh hijau/hitam bersama gula dan air oleh simbion bakteria asid asetik dan juga yis. Hasil penapaian cecair masam ini berwarna perang dan akan menghasilkan satu lapisan tebal di permukaannya. Lapisan Kombucha tersebut adalah selulosa mikrobial yang terhasil daripada aktiviti bakteria penghasil asid asetik dan pelbagai asid organik (asid glukonik,tartarik, asid malik, laktik dan sedikit asid sitrik)

Menurut kajian, minuman Kombucha ini dikatakan adalah minuman tapaian tradisi yang diamalkan di Manchuria (200 B.C) dan turut diamalkan oleh rakyat Jepun, Rusia dan Timur Eropah. Kombucha mendapat perhatian kerana mempunyai ciri probiotik malah  daun teh hijau/hitam yang digunakan mengandungi polifenol, flavonoid dan saponin yang tinggi; kompaun-kompaun ini memberi fungsi antioksida. Kajian juga menunjukkan kombucha kaya dengan vitamin B dan C serta jumlah polifenols semakin meningkat sepanjang proses penapaian.  Di dalam keadaan aerobik, yis dalam konsortium simbion bakteria akan menukarkan gula dan teh  dalam Kombucha kepada alkohol dalam tempoh 7 ke 10 hari fermentasi. Kandungan alkohol dalam kombucha mampu mencapai amaun 0.7% hingga 1.3%, namun tiada metanol dikesan.

Lapisan selulosa mikrobial yang terhasil daripada aktiviti bakteria

Terdapat pelbagai genus dan spesis yis dalam kultur Kombucha seperti yis Zygosaccharomyces, Candida, Kloekckera/Hanseniaspora, Torulaspora, Pichia, Brettanomyces/Dekkera, Saccharomyces, Lanchancea, Saccharomycoides, Schizosaccharomyces and Kluveromyces. Pengkaji mendapati yis ini memberi kesan fermentasi yang tinggi dan kuat, mempercepatkan kadar fermentasi, toleransi yang tinggi terhadap etanol dan daya ketahanan tinggi terhadap stress osmotik dan etanol.

Namun untuk pengetahuan anda, komposisi kimia dan kepekatan metabolit dalam kombucha tidak dapat dipastikan secara tepat kerana tindak balas yis bersama bakteria ini  bergantung pada sumber inokulum, kepekatan gula dan teh, tempoh penapaian dan suhu yang digunakan. Sebarang perubahan pada keadaan fermentasi akan memberi kesan kepada produk akhir Kombucha. Manakala bakteria yang terlibat didominasi oleh bakteria aerobik seperti Acetobacter xylinoides, Bacterium gluconicum, Acetobacter aceti, Acetobacter pasteurianus, dan Gluconobacter oxydans yang dapat menggunakan alkohol yang terhasil daripada penapaian sebagai substrat untuk menghasilkan asid asetik. Bakteria penghasil asid asetik ini memerlukan jumlah oksigen yang banyak untuk membiak dan beraktiviti.

Khasiat cendawan mekah?

Kebelakangan ini Cendawan Mekah atau Kombucha ini menarik perhatian masyarakat kita kerana dakwaan khasiatnya yang dikatakan mampu menjadi penawar kepada penyakit.

Hal ini kerana kombucha kaya dengan asid organik, vitamins dan polifenols dari daun teh dan keadaannya yang rendah pH menghalang pembiakan bakteria daripada berlaku. Kajian terhadap model in vitro (sel) dan model haiwan menunjukkan potensi dan kebaikan Kombucha kepada fungsi hati dan gastrousus, sebagai anti-mikrobial, peransang imun, penyahtoksikan, antioksida, agen anti tumor yang menghalang perkembangan dan pembiakan kanser, penyakit kardiovaskuar, diabetes dan penyakit neurodegeneratif. Sehingga kini, aktiviti biologikal Kombucha ini telah dikaji terhadap tikus, arnab, itik, anjing, khinzir, lembu dan dalam sel darah periferal limfosit manusia.

Namun, terdapat beberapa kesan sampingan pengambilan kombucha yang dilaporkan oleh individu-individu seperti berasa loya dan pening, alergi, penyakit kegagalan hati dan jaundis, masalah buah pinggang dan metabolik dan laktik asidosis. Bagi sesetengah pesakit seperti pesakit diabetes, darah tinggi dan jantung, pengambilan kombucha mungkin memberi kesan reaktif pada ubatan yang diambil setiap hari dan menganggu keberkesanan ubat tersebut malah mampu menganggu metabolism dalam hati.

Individu Yang Tidak Boleh Minum Kombucha

Terdapat beberapa jenis individu yang tidak boleh mengambil minuman ini. Ini disebabkan terdapat kulat yang berada di dalam minuman tersebut dan boleh menyebabkan mereka yang mengalami imun sistem yang lemah mendapat jangkitan organisma tersebut. Beberapa individu tersebut adalah:

  • Ibu mengandung
  • Pesakit yang mengalami imunosupresi seperti pesakit kanser atau pesakit autoimun
  • Pesakit yang sedang mengambil steroid
  • Pesakit yang sedang mengambil kemoterapi
  • Pesakit buah pinggang
  • Pesakit hati
  • Pesakit yang mempunyai masalah pulmonari

Kesimpulan

Bukti yang jelas mengenai manfaat Cendawan Mekah atau Kombucha terhadap kesihatan masih kurang dan kajian langsung secara klinikal terhadap keberkesananannya kepada subjek manusia masih tidak kukuh dan hanya dikaji pada model haiwan. Kebanyakan minuman Kombucha ini dihasilkan sendiri di rumah, jadi langkah keselamatan perlu dititiberatkan kerana sepanjang proses pembuatan Kombucha ini berpotensi dikontaminasi oleh mikroorganisma patogenik.

Berpada-pada dalam pengambilan kombucha kerana dakwaan kombucha sebagai penawar kepada pelbagai penyakit masih belum terbukti kukuh sebaliknya mungkin memberi kesan sampingan yang buruk kepada kesihatan manusia. Jika anda mempunyai sebarang penyakit kronik, sebaiknya berjumpalah dengan doktor dan minta pandangan sebelum mengambil sebarang suplemen yang tidak perlu.

Khasiat Tumbuh-tumbuhan yang lain

Khasiat SeraiKhasiat Ubi Keledek
Khasiat Ubi KayuKhasiat Lobak
Khasiat Kacang BendiKhasiat Bawang Putih
Khasiat SaladKhasiat Sawi
Khasiat Daun KariKhasiat Cendawan
Khasiat TomatoKhasiat Bayam Brazil
Khasiat SaderiKhasiat Avocado
Khasiat Ulam RajaKhasiat Brokoli
Khasiat PegagaKhasiat Peria
Khasiat BayamKhasiat Bayam Brazil
Khasiat Timun JepunKhasiat Timun
Khasiat Kangkung Khasiat Halia
Khasiat TerungKhasiat Latok
Khasiat SengkuangKhasiat Jering
Khasiat PetaiKhasiat Kacang Botol
Khasiat Bunga TelangKhasiat Mengkudu
Khasiat Kacang PanjangKhasiat Ubi Jaga
Khasiat KetumbarKhasiat Tongkat Ali
Khasiat TemulawakKhasiat Kacip Fatimah
Khasiat Lidah BuayaKhasiat Serai

Lihat Khasiat Makanan Yang Lain Di sini

Rujukan:

  1. Gaggìa, F., Baffoni, L., Galiano, M., Nielsen, D. S., Jakobsen, R. R., Castro-Mejía, J. L., . . . Di Gioia, D. (2018). Kombucha Beverage from Green, Black and Rooibos Teas: A Comparative Study Looking at Microbiology, Chemistry and Antioxidant Activity. Nutrients, 11(1), 1. doi:10.3390/nu11010001
  2. Jayabalan, R., Malbaša, R. V., Lončar, E. S., Vitas, J. S., & Sathishkumar, M. (2014). A review on kombucha tea—microbiology, composition, fermentation, beneficial effects, toxicity, and tea fungus. Comprehensive Reviews in Food Science and Food Safety, 13(4), 538-550.
  3. Kapp, J. M., & Sumner, W. (2019). Kombucha: a systematic review of the empirical evidence of human health benefit. Annals of Epidemiology, 30, 66-70.
  4. Leal, J. M., Suárez, L. V., Jayabalan, R., Oros, J. H., & Escalante-Aburto, A. (2018). A review on health benefits of kombucha nutritional compounds and metabolites. CyTA-Journal of Food, 16(1), 390-399.
  5. Villarreal-Soto, S. A., Beaufort, S., Bouajila, J., Souchard, J.-P., & Taillandier, P. (2018). Understanding Kombucha Tea Fermentation: A Review. Journal of Food Science, 83(3), 580-588. doi:10.1111/1750-3841.14068
  6. Watawana, M. I., Jayawardena, N., Choo, C., & Waisundara, V. Y. (2016). RETRACTED: Application of the Kombucha ‘tea fungus’ for the enhancement of antioxidant and starch hydrolase inhibitory properties of ten herbal teas. In: Elsevier.
  7. Watawana, M. I., Jayawardena, N., & Waisundara, V. Y. (2015). Enhancement of the Functional Properties of Coffee Through Fermentation by “Tea Fungus”(K ombucha). Journal of Food Processing and Preservation, 39(6), 2596-2603.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twelve − 6 =