10 Khasiat Kacip Fatimah Yang Anda Perlu Tahu

khasiat kacip fatimah

Kacip fatimah adalah sejenis tumbuhan yang bagus untuk kesihatan. Artikel ini akan membincangkan mengenai komponen-komponen penting di dalam kacip fatimah dan khasiat-nya kepada kesihatan.

Pengenalan

Kacip fatimah adalah sejenis tumbuhan herba yang sangat popular dan secara tradisionalnya sering dijadikan jamu untuk kesihatan para wanita terutamanya setelah bersalin. Selain dikenali sebagai kacip fatimah, ia juga dikenali dengan nama selusuh fatimah, tadah matahari, mata pelanduk rimba atau rumput fatimah.

Kacip fatimah atau nama saintifiknya Labisia Pumila adalah sejenis tumbuhan herba renek dengan daun yang sedikit lurus dan berwarna hijau tua. Batang pokok kacip fatimah juga tumbuh tegak, berwarna perang dan mempunyai bekas daun yang dipanggil sebagai parut yang mampu mengeluarkan akar. Ia boleh ditemui di kawasan hutan hujan tropikal di Malaysia dan Indonesia.

Selain telah digunakan secara tradisional untuk kesihatan wanita, ia juga telah digunakan oleh beberapa etnik di Sarawak untuk meningkatkan stamina mereka. Pada masa sekarang, kacip fatimah telah pun diproses ke dalam pelbagai jenis bentuk produk termasuklah dalam bentuk kapsul, ekstrak dan minuman.

Kandungan nutrisi

Tidak dinafikan, kacip fatimah juga mempunyai pelbagai nutrisi yang baik. Jadual di bawah menunjukkan kandungan nutrisi yang ada di dalam kacip fatimah.

NutrienJumlah (setiap 100g kacip fatimah)
Kalori (kcal)139.38
Karbohidrat (g)23.16
*Jumlah serat (g)31.3
Protein (g)5.5
Jumlah lemak (g)2.75
Kalsium (mg)265.8
Zat besi (mg)42.61
Zink (mg)1.07

Dapat dilihat bahawa kacip fatimah mempunyai pelbagai nutrien termasuklah karbohidrat, protein dan serat. Ia juga tinggi dengan kalsium yang bagus untuk tulang.

Kandungan berkhasiat dalam kacip fatimah

Jadi, apakah yang membuatkan kacip fatimah ini bagus? Kacip fatimah mengandungi pelbagai komponen yang menjadikan ia berkhasiat kepada sesiapa yang mengamalkannya. Antaranya, kacip fatimah mengandungi pelbagai jenis fenol termasuklah flavonoids seperti quercetin, myricetin, kaempferol dan catechin.

Ia juga mengandungi beberapa bahan seperti asid askorbik, tocopherols, β-carotene dan carotenoids. Komponen-komponen ini tinggi dengan aktiviti antioksidan dan penting dalam membantu badan untuk melawan radikal bebas.

Selain itu, kacip fatimah juga mengandungi saponin yang mempunyai aktiviti antiradang, antioksidan dan antimikrobial yang boleh membantu mencegah pelbagai jenis penyakit. Di samping itu, kacip fatimah juga mengandungi fitoestrogen, sejenis estrogen di dalam tumbuhan yang boleh menyeimbangkan hormon di dalam badan.

10 Khasiat kacip fatimah kepada kesihatan

Memandangkan kacip fatimah mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa manfaat kacip fatimah kepada kesihatan:

1. Aktiviti antioksidan

Antara manfaat kacip fatimah adalah ia mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi. Oleh itu, kacip fatimah boleh membantu badan melawan radikal bebas seterusnya mencegah oksidatif stres yang boleh menyebabkan pelbagai penyakit.

Hal ini kerana kacip fatimah mempunyai pelbagai jenis antioksidan seperti fenolik, saponin dan flavonoid. Terdapat juga kajian yang telah menunjukkan bahawa akar, daun dan batang kacip fatimah mengandungi komponen saponin dalam pelbagai bentuk termasuklah triterpernoid, Ardisicrenoside B dan ardisiacrispin A,3-O yang juga berfungsi sebagai antibakteria dan antikanser.

2. Sebagai antiradang

Selain itu, kacip fatimah juga boleh berfungsi sebagai antiradang. Kajian ke atas wanita telah mendapati bahawa kacip fatimah boleh menurunkan penanda keradangan (inflammation markers) yang menunjukkan keupayaan kacip fatimah dalam mengurangkan keradangan.

Keradangan adalah sejenis tindakbalas badan terhadap kecederaan, jangkitan kuman atau benda asing di mana keradangan yang berpanjangan di dalam badan boleh menyebabkan penyakit seperti sakit jantung, osteporosis dan banyak lagi.

Kacip fatimah boleh berfungsi sebagai antiradang kerana ia mengandungi antioksidan seperti flavonoid, fenolik dan saponin yang mempunyai aktiviti antiradang seterusnya boleh mencegah keradangan dan penyakit yang berkaitan.

3. Aktiviti antimikrobial

Kacip fatimah juga mempunyai aktiviti antimikrobial yang boleh menghalang pertumbuhan mikroorganisma yang boleh membawa kepada jangkitan.

Kajian telah mendapati bahawa akar, batang, dan daun kacip fatimah mempunyai aktiviti antimikrobial terhadap pelbagai jenis bakteria gram positif dan gram negatif seperti Micrococcus luteus, Bacillus subtilis, Staphylococcus aureus, Enterobacter aerogenes, Klebsiella pneumonia K36, Escherichia coli E256, dan Pseudomonas aeruginosa PI96.

Hal ini kerana kandungan saponin, asid galik dan pelbagai lagi jenis antioksidan di dalam kacip fatimah yang berperanan sebagai antimikrobial.

4. Bagus untuk kulit

Selain itu, kacip fatimah juga bagus untuk kesihatan kulit. Satu kajian tabung uji telah mendapati bahawa ekstrak kacip fatimah boleh meningkatkan pertumbuhan sel fibroblas kulit setelah didedahkan kepada radiasi ultraviolet (UV) atau radikal bebas yang boleh menyebabkan kemusnahan sel kulit.

Ekstrak kacip fatimah juga didapati boleh mengembalikan semula pro-kologen kulit yang musnah disebabkan oleh radiasi UV. Hal ini kerana kacip fatimah mengandungi bioflavonoid dan asid fenolik yang bagus untuk kesihatan kulit. Oleh itu, jelaslah bahawa kacip fatimah bagus untuk kesihatan kulit sekaligus dapat mencegah daripada pelbagai penyakit kulit.

5. Aktiviti antipenuaan

Di samping itu, kacip fatimah juga mempunyai aktiviti antipenuaan yang boleh melambatkan proses penuaan supaya kekal awet muda. Hal ini kerana kandungan asid fenolik yang terdapat di dalam kacip fatimah yang berperanan penting sebagai komponen antipenuaan.

Kandungan sebatian seperti quercetin di dalam kacip fatimah juga berfungsi dalam meremajakan kulit dengan memberi kesan pemutihan pada kulit.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak kacip fatimah boleh meningkatkan penghasilan kolagen yang memainkan peranan penting dalam melambatkan proses penuaan kulit dan supaya kekal awet muda.

Artikel Berkaitan: Makanan untuk Awet Muda

6. Untuk kesihatan faraj wanita

Selain itu, kacip fatimah juga bagus untuk kesihatan wanita. Secara tradisionalnya, kacip fatimah telah digunakan untuk kesihatan wanita bagi menguatkan, ’mengetatkan’ dan menyembuhkan faraj wanita terutamanya setelah bersalin. Hal ini kerana kacip fatimah mengandungi estrogen semulajadi atau fitoestrogen yang boleh membantu menyembuhkan faraj.

7. Miningkatkan libido (syahwat)

Sama seperti tongkat ali, kacip fatimah juga boleh membantu meningkatkan libido. Terdapat kajian yang telah mendapati bahawa kacip fatimah mempunyai ciri-ciri aphrodisiac yang sama seperti di dalam tongkat ali yang boleh meningkatkan libido.

8. Mengimbangi hormon

Di samping itu, kacip fatimah juga boleh membantu untuk mengimbangi hormon dalam kalangan wanita. Kebiasaannya, perubahan drastik pada keseimbangan hormon boleh berlaku apabila menjelang menopaus kerana berlakunya penurunan hormon estrogen dan peningkatan hormon FSH (follicle stimulating hormone) dan hormon LH (luteinizing hormone) yang menyebabkan menopaus.

Terdapat kajian yang telah mendapati bahawa kacip fatimah bersama tongkat ali berupaya untuk menyeimbangkan semula hormon yang berlaku ketika menopaus seterusnya mengurangkan simptom menopaus seperti perubahan mood dan sensasi panas pada bahagian muka, leher dan dada yang boleh menyebabkan peluh yang berlebihan atau kulit menjadi kemerahan.

9. Bagus untuk wanita menopaus

Di samping itu, kacip fatimah juga bagus untuk wanita menopaus. Terdapat kajian yang dijalankan terhadap wanita yang menopaus telah mendapati bahawa ekstrak kacip fatimah boleh membantu menurunkan paras kolesterol dan mencegah masalah osteoporosis (tulang rapuh) dalam kalangan wanita berkenaan.

Di samping itu, kacip fatimah juga boleh membantu mengurangkan simptom menopaus seperti sensasi panas, kering dan gatal faraj serta kesukaran untuk tidur.

10. Mencegah kanser

Kacip fatimah juga berpotensi untuk mencegah kanser. Kajian terhadap tikus telah mendapati bahawa ekstrak kacip fatimah mempunyai aktiviti antikanser yang boleh membantu menurunkan insiden tumor, beban tumor dan menghalang tumor kulit.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa kacip fatimah mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Kacip fatimah mempunyai aktiviti antioksidan, antimikrobial dan antiradang yang boleh membantu mencegah pelbagai jenis penyakit. Ia juga bagus untuk kesihatan kulit, mencegah masalah penuaan, mencegah kanser dan juga bagus untuk kesihatan wanita.

Namun begitu, kebanyakan kajian yang dijalankan adalah pada peringkat tabung uji atau haiwan dan kajian ke atas manusia masih lagi terhad. Olehitu, kajian terperinci pada manusia masih perlu dijalankan bagi memastikan keberkesanannya dan kadar yang diperlukan bagi memberikan kesan yang optimum.

Pemakanan kacip fatimah sebagai supplemen tambahan perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan dan pakar pemakanan memandangkan kacip fatimah juga sering ditambah dengan herba atau bahan lain yang mungkin boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan badan.

Oleh itu, pengguna haruslah bijak sebelum membuat keputusan dengan bertanyakan pendapat pada yang pakar. Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai khasiat kacip fatimah.

Khasiat Makanan yang lain

TempeKopiMadu
Air LemonYogurtBrokoli
YogurtJintan ManisMadu
BijanKopiTempe
Daun PandanKetumbarIkan Haruan
Bunga KantanKacip FatimahLidah Buaya

Rujukan

  1. Abdullah, N., Chermahini, S. H., Suan, C. L., & Sarmidi, M. R. (2013). Labisia pumila: A review on its traditional, phytochemical and biological uses. World Applied Sciences Journal, 27(10), 1297–1306.
  2. Annie, G., Dale, W., Azreena, A., & Malkanthi, E. (2014). Safety and efficacy of a Labisia pumila var alata water extract on sexual well being and lipid profile of pre- and postmenopausal women: A randomized double-blind pilot study. African Journal of Biotechnology, 13(6), 768–777.
  3. Chinnappan, S. M., George, A., Evans, M., & Anthony, J. (2020). Efficacy of Labisia pumila and Eurycoma longifolia standardised extracts on hot flushes, quality of life, hormone and lipid profile of peri-menopausal and menopausal women: a randomised, placebo-controlled study. Food and Nutrition Research, 64(3665), 1–15.
  4. Chua, L. S., Lee, S. Y., Abdullah, N., & Sarmidi, M. R. (2012). Review on Labisia pumila (Kacip Fatimah): Bioactive phytochemicals and skin collagen synthesis promoting herb. Fitoterapia, 83(8), 1322–1335.
  5. Ibrahim, M. H., Jaafar, H. Z. E., Karimi, E., & Ghasemzadeh, A. (2012). Primary, secondary metabolites, photosynthetic capacity and antioxidant activity of the Malaysian Herb Kacip Fatimah (Labisia pumila Benth) exposed to potassium fertilization under greenhouse conditions. International Journal of Molecular Sciences, 13(11), 15321–15342.
  6. Iwansyah, A. C., & Mohd Yusoff, M. (2012). Physicochemical, Minerals and Antioxidant Properties of Labisia pumila var. alata of Selected Geographic Origin. AGRIVITA Journal of Agricultural Science, 34(1), 94–104.
  7. Yulianti, I., & Darmayanti, A. T. (2019). The benefits of Labisa Pumila for women: A literature review. Asia Pacific Environmental and Occupational Health Journal, 5(3), 1–5.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + 7 =

Open

Close