Tekanan Darah Tinggi: Punca, Simptom dan Rawatan

tekanan darah tinggi

Apakah bacaan tekanan darah tinggi dan apakah simptom dan punca nya?

Artikel ini akan membincangkan masalah tekanan darah tinggi secara lengkap berserta rawatannya.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Simptom
  3. Bacaan Tekanan Darah
  4. Jenis Darah Tinggi
  5. Ujian Darah Tinggi
  6. Rawatan
  7. Cara Mencegah
  8. Komplikasi

Pengenalan


Penyakit darah tinggi merupakan penyakit yang kerap dihidapi oleh rakyat Malaysia. Penyakit darah tinggi merupakan antara pembunuh senyap dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia terjadi apabila tekanan darah tinggi melebih daripada had biasa.

Dalam bahasa mudahnya, apa sahaja faktor yang membawa perubahan pada jumlah darah, rintangan dalam system peredaran darah seperti salur darah yang sempit, kadar degupan jantung, semuanya akan menyebabkan peningkatan dalam bacaan tekanan darah.

Simptom dan Tanda Tekanan Darah Tinggi


Kebanyakan mereka yang mengalami penyakit ini tidak mempunyai sebarang simptom pada mulanya hinggalah mereka mengalami tekanan yang terlalu tinggi, barulah pesakit akan mempunyai simptom.

Simptom-simptom tersebut adalah:

  • Sakit kepala
  • Mata Kabur
  • Muntah
  • Sakit leher

Bacaan tekanan darah


Terdapat 2 jenis bacaan tekanan darah iaitu;

Sebagai contoh, tekanan darah yang normal ialah 120/80 mmHg.

  • Sistolik: ini adalah bacaan atas iaitu 120. Tekanan ini melambangkan tekanan di dalam salur darah ketika jantung mengepam darah.
  • Diastolic: ini adalah bacaan bawah iaitu 80. Ia melambangkan tekanan dalam salur darah ketika jantung relaks.

Terdapat beberapa kategori tekanan darah tinggi.

  • Normal: iaitu tekanan darah kurang daripada 120/80 mmHg.
  • Tinggi: iaitu tekanan darah 120-129 mmHg sistolik dan kurang daripada 80 mmHg diastolic. Pada tahap ini, doktor akan menyarankan anda untuk menjalani gaya hidup sihat bagi mengawal bacaan.
  • Tahap 1 tekanan darah tinggi: bacaan sistolik 130-139 mmHg dan bacaan diastolic 80-89 mmHg.
  • Tahap 2 tekanan darah tinggi: bacaan sistolik 140 mmHg atau lebih tinggi dan bacaan diastolic 90 mmHg atau lebih tinggi
  • Krisis tekanan darah tinggi: bacaan sistolik melebihi 180 mmHg dan bacaan diastolic 120 mmHg. Ini dianggap sebagai kes kecemasan yang memerlukan pemerhatian khusus. Pesakit akan mengadu sakit dada, sukar bernafas,sakit kepala dan kabur penglihatan.

Jenis-jenis tekanan darah Tinggi


Terdapat 2 jenis penyakit tekanan darah tinggi;

1. Primary hypertension

Ini adalah jenis tekanan darah tinggi yang kerap dihidapi oleh pesakit. Ia terjadi tanpa sebab yang diketahui. Namun terdapat beberapa perkara yang mungkin menyumbang kepada terjadinya penyakit darah tinggi jenis ini.

  • Genetic: Sesetengah orang secara genetiknya lebih terdedah kepada penyakit darah tinggi. Ia mungkin diwarisi daripada ibubapa ataupun terjadinya mutasi genetic.
  • Perubahan umur: Seringkali, semakin usia kita meningkat, badan kita mula berubah seperti buah pinggang kita mula menurun dari segi fungsinya menyebabkan ia tidak dapat lagi menapis sodium dan air yang akhirnya menyebabkan peningkatan tekanan darah.
  • Persekitaran dan gaya hidup: Gaya hidup yang tidak sihat seperti kurangnya aktiviti fizikal dan diet yang banyak mengandungi makanan tidak berkhasiat menjadikan peningkatan berat badan. Berat badan yang obes ataupun berlebihan meningkatkan risiko kepada masalah ini.

2. Secondary hypertension

Tekanan darah tinggi dalam jenis ini terjadi disebabkan beberapa factor lain. Ianya lebih serius dan mempunyai banyak komplikasi.

  • Penyakit buah pinggang
  • Obstructive sleep apnea
  • Penyakit jantung kongenital
  • Masalah thyroid
  • Kesan sampingan ubatan
  • Penggunaan bahan terlarang seperti dadah
  • Penggunaan alcohol yang berlebihan
  • Masalah kelenjar adrenal
  • Tumor endokrin

Ujian Tekanan Darah Tinggi


Terdapat beberapa ujian yang perlu dilakukan jika seseorang itu mengalami masalah ini. Ia penting untuk mengesan sama ada pesakit mengalami sebarang komplikasi atau pun tidak.

1. Bacaan tekanan darah

Doktor akan mengambil bacaan tekanan darah anda menggunakan mesin tekanan darah di klinik. Kebiasaannya, bacaan yang tinggi untuk kali pertama tidak bererti anda menghidap penyakit darah tinggi. Doktor akan mengambil bacaan kedua ataupun ketiga dalam masa beberapa hari atau minggu.

Bacaan yang pertama kali sudah tinggi mungkin tidak tepat kerana terdapat pelbagai factor yang mempengaruhinya seperti anda stress kerana perlu berjumpa doktor. Jika bacaan tekanan darah anda adalah tinggi secara konsisten, doktor akan melakukan beberapa lagi ujian lanjutan bagi tujuan pengesanan.

2. Ujian darah untuk tahap kolesterol

Tahap kolesterol merupakan antara penanda penting bagi penyakit tekanan darah tinggi. Apabila tahap kolesterol tinggi, ia secara tidak langsung akan  menyebabkan tekanan darah menjadi tinggi kerana kolesterol deposit pada salur darah menyebabkan jantung terpaksa mengepam lebih kuat.

3. Ujian air kencing dan fungsi buah pinggang

Selain untuk mengetahui jika tekanan darah tinggi berpunca daripada buah pinggang itu sendiri, doktor juga dapat mengenal pasti sekiranya sudah terdapat komplikasi kerosakan buah pinggang yang terjadi disebabkan tekanan darah tinggi yang sudah lama tetapi tidak disedari oleh pesakit. Ujian air kencing pula bertujuan untuk melihat sekiranya terdapat protein dalam air kencing yang menandakan kerosakan buah pinggang.

4. Ujian elektrokardiogram (EKG)

Ujian EKG adalah ujian yang biasa terdapat di klinik. Ujian ini bertujuan untuk melihat aktiviti elektrikal pada jantung, yang bersamaan dengan kadar dan rentak degupan jantung. Kebiasaannya, jika terdapat gangguan pada rentak degupan jantung, ini juga boleh menyebabkan tekanan darah tinggi. Doktor juga akan menjalankan ujian EKG bagi memantau keadaan jantung pesakit ini bagi mengenal pasti komplikasi awal.

5. Ujian-ujian darah berkaitan seperti hormon adrenal dan endokrin

Ujian ujian ini penting bagi melihat parameter dalam darah bagi mengenal pasti sekiranya terdapat gangguan dalam tahap bacaan tersebut. Ini adalah untuk mengesan factor factor dalam secondary hypertension.

Rawatan penyakit darah tinggi


Jika bacaan tekanan tinggi berpunca daripada kesan sampingan ubatan, doktor akan menukar ubat tersebut. Jika ia disebabkan sesetengah bahan terlarang ataupun pengambilan alcohol, doktor akan menasihati anda untuk menjauhinya. Namun begitu, jika tekanan darah masih tinggi, doktor akan memberikan anda ubat ubatan.

Seringkali, kombinasi ubat ubatan ini diperlukan bagi mengawal tekanan darah secara efektif.

Kelas ubatNama ubatCaraKesan sampingan
Beta- blockersPropanolol, abetololMengurangkan kadar dan kuasa degupan jantungLesu, loya, cirit birit, naik berat badan
DiureticFurosemide, spironolactoneMeningkatkan kadar  pembuangan air dan garam berlebihan dalam badanPening, sakit kepala, dahaga, kejang otot
ACE-inhibitorCaptopril, EnalaprilMembantu meningkatkan diameter salur darahBatuk, kulit gatal, sakit kepala
Angiotensin II receptor blockerLosartanMembantu meningkatkan diameter salur darahCirit birit, sakit perut, kejang otot
Calcium channel blockerAmlodipine, Verapamil, diltiazemMembantu mengawal deguapan jantung dan meluaskan diameter salur darahSembelit, pening, berdebar debar
Alpha 2 agonistClonidine, methyldopaMengawal diameter salur darahKering mulut, tekanan darah rendah

Cara Mencegah Darah Tinggi


1. Menjalani gaya hidup sihat.

Amalkan gaya hidup yang lebih aktif, luangkan masa untuk bersenam dan beriadah setiap hari bagi membantu jantung sihat. Ia juga dapat mengurangkan berat badan, membantu system pengedaran darah dan mengurangkan stress. Luangkan sekurang kurangnya 30 minit sehari bagi tujuan bersukan.

2. Memakan diet yang seimbang

Diet yang seimbang dan berkhasiat seharusnya mengandungi kesemua elemen dalam pyramid makanan mengikut tahap yang dibenarkan. Lebihkan sayuran, buahan, serat dan kurangkan pengambilan karbohidrat dan lemak. Amalkan diet suku suku separuh. Makan mengikut kalori yang diperlukan oleh badan. Ini semua dapat mengurangkan kandungan lemak dan kolesterol dalam darah, mengurangkan berat badan dan membantu system pengedaran darah bekerja dengan lebih baik.

3. Berhenti merokok dan mengambil minuman keras.

Sekiranya anda merokok, cuba berhenti. Kurangkan pengambilan minuman keras yang berlebihan. Bahan bahan kimia yang terdapat dalam rokok dan arak boleh menyebabkan kerosakan pada salur darah dan memaksa jantung bekerja lebih kuat  maka terjadilah masalah ini.

4. Kawal stress anda.

Jika anda sering tertekan dengan kerja ataupun urusan yang lain, cuba amalkan beberapa perkara yang dapat membantu anda bertenang. Amalkan meditasi, dapatkan tidur yang cukup, bersenam, yoga atau taichi. Semua ini dapat membantu anda mengawal stress anda seterusnya mengawal tekanan darah.

Komplikasi


1. Kerosakan pada salur darah.

Salur darah yang sihat adalah fleksibel dan mampu menahan kekuatan dan kelajuan aliran darah. Semakin tinggi tekanan darah dalam salur darah, dinding salur darah menjadi tidak elastic dan lemah. Kandungan kolesterol yang tinggi juga menyebabkan kolesterol melekat pada dinding salur darah menjadikannya sempit dan menyukarkan pengedaran darah. Ini akan menyebabkan salur darah tersumbat dan menyebabkan terjadinya keadaan seperti angin ahmar dan serangan jantung.

2. Kerosakan pada jantung.

Tekanan darah tinggi menyebabkan jantung perlu bekerja lebih kuat dari biasa. Ini boleh menyebabkan jantung menjadi bengkak. Jantung yang bengkak mempunyai risiko:

  • Serangan jantung
  • Kegagalan jantung
  • Rentak jantung terganggu
  • Kematian mengejut

3. Kerosakan pada organ lain seperti otak dan buah pinggang.

Otak kita memerlukan system perederan darah yang berfungsi dengan elok bagi membekalkan darah. Apabila tisu tisu otak kurang bekalan darah, tisu tersebut boleh mati dan pesakit akan mendapat serangan angin ahmar. Bekalan darah boleh berkurang disebabkan salur darah yang sempit dan jantung yang tidak mengepam dengan baik. Masalah ini juga akan merosakkan salur darah pada buah pinggang menyebabkannya tidak dapat berfungsi dengan baik.

Rujukan:

  1. Clinical Practice Guideline for Management of Hypertension

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.