Khasiat Tomato Yang Anda Perlu Tahu

khasiat tomato

Tomato terkenal kerana kelebihannya untuk kecantikan kulit. Namun tahukah anda tomato atau nama saintifiknya Solanum lycopersicum mempunyai banyak lagi kelebihan dan khasiat yang bagus terhadap tubuh kita?

Artikel ini akan berkongsi fakta menarik berkaitan tomato yang mungkin anda tidak tahu sebelum ini.

  1. 95% daripada buah tomato adalah air dan serat tidak  larut.
  2. Sesetengah jenis buah tomato boleh dimakan begitu sahaja namun kebiasaannya dimasak dan dihidangkan seperti sayur yang melengkapi menu hidangan.
  3. Selain berwarna merah, tomato juga mempunyai variasi warna seperti kuning, oren, hijau serta ungu dan mempunyai rasa yang berbeza bergantung kepada saiz, keranuman serta  warna tomato tersebut.
  4. Tomato adalah sumber utama antioksida yang berguna untuk melawan radikal bebas yang terhasil daripada diet, senaman, asap rokok, pancaran matahari, pencemaran udara, dan keradangan dalam tubuh.
  5. Malah tomato turut mengandungi likopena iaitu sejenis karotenoid yang memberikan warna merah kepada tomato dan dikaitkan dengan pelbagai khasiat terhadap kesihatan termasuklah mengurangkan risiko penyakit jantung dan kanser.  
  6. Tambahan pula, ia juga kaya dengan sumber vitamin C, kalium, folat dan vitamin K.

Kandungan Nutrisi

Hampir 95% daripada tomato adalah air dan hanya 5% sahaja terdiri daripada karbohidrat dan serat.

NutrientUnitTomato mentah (100g)
TenagaKcal18
Karbohidratg3.9
Proteing0.9
Lemakg0.2
Air%95
Gulag2.6
Seratg1.2

Karbohidrat

Karbohidrat adalah sumber tenaga utama untuk tubuh badan. Tomato mentah mempunyai 4% karbohidrat iaitu bersamaan dengan kurang daripada 5 g karbohidrat bagi tomato bersaiz sederhana.  Terdapat dua jenis karbohidrat utama iaitu karbohidrat ringkas (gula, madu, kek etc) dan karbohidrat kompleks (kanji,ubi-ubian, bijirin etc).

Apabila karbohidrat dipecahkan menjadi molekul kecil dan dihadamkan dalam tubuh, ia akan menghasilkan glukosa untuk sumber tenaga segera atau disimpan sebagai glikogen. Glukosa adalah gula ringkas yang diresap ke salur darah dan mudah mempengaruhi aras gula dalam darah. Daripada 4% karbohidrat tersebut, 70% adalah glukosa dan fruktosa.

Serat

Selain itu, tomato juga merupakan sumber serat terbaik yang membekalkan 1.5g serat untuk tomato bersaiz sederhana. Serat merupakan salah satu komponen karbohidrat yang tidak dapat dihadam oleh enzim tubuh badan manusia.

Seperti kita ketahui serat adalah penting bagi melancarkan sistem perkumuhan dan memberi rasa ‘kenyang’ kerana serat melambatkan pergerakan makanan dalam sistem pencernaan kita. Secara asasnya, hampir 87% dalam tomato adalah serat tidak larut (hemiselulosa, selulosa dan lignin).

Vitamins dan Mineral

Vitamin adalah kompaun organik yang mempunyai fungsi dalam pengaturan sistem tubuh. Manakala mineral adalah elemen bukan organik yang terhasil daripada mendakan bumi seperti air, tanah dan tumbuhan. Vitamin dan mineral seringkali didapati dalam diet harian kerana tubuh badan kita tidak dapat menghasilkannya sendiri dan ia diperlukan dalam kuantiti yang kecil sahaja.

  • Vitamin C : Turut dikenali sebagai asid askorbik adalah vitamin larut air yang diperlukan dalam penghasilan kolagen, bertindak sebagai antioksida dan membantu penyerapan zat besi. Untuk setiap 100g tomato segar mengandungi 25.8g vitamin C. Berdasarkan Saranan Keperluan Nutrien Malaysia (Recommended Nutrient Intake Malaysia 2017), saranan keperluan vitamin C untuk dewasa adalah 70mg sehari.
  • Kalium (potassium) : Potassium adalah mineral yang diperlukan untuk kesihatan tulang, mengawal tekanan darah dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular. Setiap 100g tomato mengandungi 129mg potassium.
  • Vitamin K1 : Berfungsi membantu proses pembekuan darah dan mengurangkan risiko pendarahan yang tidak terkawal, memberi sokongan terdapat pengawalan dan pembaikan tulang yang kuat, meningkatkan kepadatan tulang dan mengurangkan risiko osteoporosis.
  • Vitamin B9 (folat) : Folat diperlukan dalam penghasilan sel baru terutamanya sel darah merah. Ia juga penting untuk pembentukan sel tisu normal terutamanya kepada ibu mengandung untuk mengelakkan risiko kecacatan tiub neural bayi.

Sebatian tumbuhan utama

Menarik lagi, selain komposisi makronutrien dan micronutrien, terdapat juga beberapa sebatian tumbuhan utama seperti likopena, beta-karotena, naringenin dan asid klorogenik yang memberi manfaat terhadap tubuh manusia.

  • Likopena: Sejenis karotenoid yang bertindak sebagai antioksida dan memberikan warna merah terhadap tomato. Menurut kajian, likopena paling banyak ditemui pada kulit tomato yang ranum dan semakin merah tomato itu, semakin banyak jumlah likopena dalam tomato tersebut yang  memberi khasiat kepada tubuh badan kita.
  • Beta-karotena: Merupakan antioksida yang memberikan warna kuning atau oren terhadap makanan. Beta-karotena juga akan ditukarkan menjadi vitamin A dalam tubuh.
  • Naringenin: Sejenis flavonoid yang ditemui pada kulit tomato. Menurut sebuah kajian, naringenin membantu mengurangkan keradangan dan bertindak melindungi tubuh daripada pelbagai penyakit.
  • Asid klorogenik: Molekul antioksida terbaik dan mampu memerangi radikal bebas yang memberi dampak negatif terhadap tubuh. Asid klorogenik membantu individu yang mempunyai tekanan darah tinggi dengan merendahkan bacaan tekanan  darah ke tahap optimum.

Apabila tomato menjadi ranum, klorofil (pigmen berwarna hijau) akan berkurangan manakala karotenoid (merah) seperti likopena semakin bertambah. Klorofil dan karotenoid  inilah yang bertanggungjawab memberikan variasi warna terhadap tomato.

Khasiat Tomato Terhadap Kesihatan

Menurut kajian, pengambilan tomato atau produk berasaskan tomato telah terbukti memberikan kesan yang bagus dalam meningkatkan kesihatan kulit malah dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit kardiovaskular serta kanser. Pengambilan likopena yang mencukupi dalam diet harian khususnya dalam makanan berasaskan tomato yang dapat membantu mengurangkan bacaan kolesterol jahat. Di samping itu, kajian terhadap produk berasaskan tomato turut mendapati tomato mampu melawan keradangan dan merendahkan tekanan oksidatif . Malahan bertindak sebagai pelindung lapisan dalam salur darah serta merendahkan risiko pembekuan darah.

Selain itu, makanan mengandungi kandungan antioksida yang tinggi amat penting untuk mengurangkan risiko kanser. Kajian mendapati tomato kaya dengan antioksida likopena serta karotenoid dan dapat melindungi diri daripada risiko kanser prostat, paru-paru, perut malahan pengambilan karotenoid yang tinggi di kalangan wanita dapat mengelakkan risiko barah payudara.

Akhir sekali, tomato turut terkenal kerana kelebihannya dalam mendapatkan kulit yang sihat serta membantu melindungi kulit daripada pancaran terik matahari. Likopena atau pigmen merah pada kulit tomato dan sebatian tumbuhan yang telah dinyatakan di atas berupaya memperbanyakkan penghasilan kolagen seterusnya meningkatkan keanjalan kulit malah melambatkan proses penuaan.

Kesimpulan

Terdapat banyak khasiat tomato terhadap kesihatan kerana ia mempunyai kandungan air yang tinggi, makronutrien, serat, vitamin dan mineral serta sebatian tumbuhan seperti likopena. Setiap satu komponen dalam tomato ini dapat memberi manfaat terhadap kesihatan jantung, tulang, anti-kanser serta untuk kecantikkan kulit.

Jom masukkan buah tomato dalam diet harian kita kerana khasiatnya yang memang tidak dapat dinafikan lagi. Bagi yang tidak pernah makan tomato pula, mungkin boleh mula dengan memilih makanan berasaskan tomato seperti sos, puri tomato, jus buah tomato, sup atau sebarang produk yang mengandungi tomato. Selamat mencuba dan semoga bermanfaat!

Artikel Berkaitan: Cara Tanam Tomato yang betul

Khasiat Tumbuh-tumbuhan yang lain

Bayam BrazilSawiDaun Kari
CendawanSaladKunyit Hitam
SaderiAvocadoUlam Raja

Rujukan

  1. Ghadage, S., Mane, K., Agrawal, R., & Pawar, V. (2019). Tomato lycopene: potential health benefits. The Pharma Innovation Journal, 8(6), 1245-1248.
  2. Gropper, S. A. S. (2009). Advanced nutrition and human metabolism: Fifth edition. Australia ; United States : Wadsworth/Cengage Learning, [2009] ©2009.
  3. Jamshidi-Kia, F., Id, J., Wibowo, P., Id, M., Mostafa, E., Id, R., . . . Salehi, M. (2020). Battle between plants as antioxidants with free radicals in human body. Overview, 191-199.
  4. National Coordinating Comittee on Food and Nutrition : Recommended Nutrient Intakes for Malaysia. (2017). Putrajaya: Ministry of Health Malaysia.
  5. Stahl, W., Heinrich, U., Aust, O., Tronnier, H., & Sies, H. (2006). Lycopene-rich products and dietary photoprotection. Photochem Photobiol Sci, 5(2), 238-242. doi:10.1039/b505312a
  6. Story, E. N., Kopec, R. E., Schwartz, S. J., & Harris, G. K. (2010). An update on the health effects of tomato lycopene. Annu Rev Food Sci Technol, 1, 189-210. doi:10.1146/annurev.food.102308.124120

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × two =

Open

Close