Obesiti, Tekanan Darah Tinggi & Ubat Diuretik Punca Gout?

punca gout

Gout adalah penyakit yang seringkali dikaitkan dengan orang dewasa. Sehingga kini, masalah gout terus meningkat terutamanya di kalangan kaum lelaki. Punca utama gout adalah disebabkan paras asid urik yang tinggi (hyperuricaemia) yang menyebabkan pengumpulan Kristal monosodium urate di sekitar sendi, keradangan pada bahagian sendi secara akut dan kerosakan yang berterusan pada bahagian sendi.

Tophi adalah pengumpulan kristal monosodium urate, lipid protein dan mukopolisakarida akan terbentuk pada ruang sendi. Sendi metatarsal yang terdapat pada bahagian ibu jari kaki adalah tempat yang sering terkena gout. Bahagian-bahagian lain yang sering terkena gout adalah:

  1. Sendi pada telapak kaki
  2. Buku lali
  3. Lutut
  4. Jari tangan
  5. Pergelangan tangan
  6. Siku

Penyakit gout seringkali dikatkan dengan punca pemakanan seperti makanan yang kaya dengan purine, minuman yang tinggi dengan gula dan fruktosa serta pengambilan alkohol. Namun begitu terdapat juga faktor-faktor lain yang boleh menyumbang kepada gout.

Risiko BMI, Tekanan Darah Tinggi & Ubat Diuretik Terhadap Gout

1. Body Mass Index (BMI)

Indeks Jisim Tubuh atau Body Mass Index (BMI) dan tekanan darah tinggi adalah faktor –faktor yang boleh menyumbang kepada penyakit gout berdasarkan kajian-kajian epidemiologi. Obesiti menyebabkan kerintangan insulin yang juga mempengaruhi pengurangan perkumuhan asid urik oleh buah pinggang seterusnya meningkatkan paras asid urik. Bagi mereka yang mempunyai BMI lebih daripada 30 kg/m2 pada usia seawal 21 tahun akan lebih cenderung untuk mempunyai risiko penyakit gout pada masa yang akan datang. Cuba anda periksa BMI anda sekarang!

2. Tekanan Darah Tinggi

Tekanan darah tinggi juga boleh menyebabkan gout dengan mengurangkan perkumuhan asid urik apabila berlaku kerosakan saluran darah pada buah pinggang dan luka pada saluran darah tersebut atau dikenali sebagai glumerulosclerosis. Mereka yang mempunyai masalah tekanan darah tinggi adalah dua kali ganda lebih berpotensi untuk mendapat gout.

3. Ubat Diuretik

Ubat diuretik adalah ubat untuk meningkatkan penghasilan air kencing dan membantu pembuangan natrium dan klorida melalui air kencing. Ubat ini dikaitkan dengan gout apabila ubat tersebut meningkatkan paras asid urik di dalam badan dengan meningkatkan penyerapan asid urik dan mengurangkan pekumuhan asid urik oleh buah pinggang. Walaubagaimanapun, penggunaan ubat diuretik sahaja tidak meningkatkan risiko gout tetapi bergantung kepada kehadiran penyakit-penyakit lain seperti tekanan darah tinggi, masalah jantung dan masalah buah pinggang.

Ujian Pemeriksaan

Gout boleh dikesan berdasarkan keradangan yang terdapat pada sendiseperti bengkak dan berwarna kemerah-merahan. Antara diagnosis untuk mengesan gout:

  1. Kehadiran kristal asid urik pada bendalir sendi
  2. Kehadiran tophi
  3. Bengkak yang tidak sekata pada sendi
  4. Keradangan sendi
  5. Asid urik yang tinggi
  6. Sendi bengkak dan berwarna merah

Rawatan dan Pencegahan

Untuk melegakan simptom akibat gout, rawatan hendaklah diberikan dalam masa 24 jam daripada bermulanya simptom. Berikut adalah rawatan untuk gout:

  1. Ubat tahan sakit jenis NSAIDs
  2. Ubat gout – Colchicine
  3. Ubat untuk mengurangkan Asid urik dalam darah – Allopurinol
  4. Febuxostat – Juga berfungsi untuk mengurangkan asid urik dalam darah
  5. Ubat untuk mengurangkan radang sendi – Corticosteroids

Rawatan yang diberikan adalah untuk mengurangkan paras asid urik dan untuk mengelakkan berlakunya simptom gout kepada pesakit yang pernah mengalami masalah gout, keradangan pada sendi sebanyak dua kali dalam masa setahun, tophi dan bagi mereka yang pernah mempunyai masalah batu karang.

Pengawalan Pemakanan

1. Mengawal Berat Badan

Masalah berat badan adalah faktor risiko kepada gout terutamanya bagi kaum lelaki. Mereka digalakkan untuk mengurangkan berat badan kepada berat yang lebih ideal.

2. Mengawal pengambilan gula Fruktosa

Pengambilan sirap jagung yang tinggi dengan fruktosa perlulah dielakkan kerana fruktosa akan meningkatkan paras asid urik hasil daripada katabolisme adenosine triphosphate.

3. Mengawal pengambilan makanan tinggi purine

Pesakit gout juga perlu mengehadkan pengambilan sumber protein yang kaya dengan purine (organ, daging merah, daging kambing, hidupan laut yang bercengkerang) bagi mengurangkan kekerapan simptom gout. Minuman beralkohol juga perlu dielakkan. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa sayur-sayuran yang kaya dengan purine (asparagus, bayam, bunga kobis) tidak meningkatkan risiko gout. Pesakit juga digalakkan untuk mengambil sayuran dan produk tenusu yang rendah lemak untuk mengurangkan keradangan akibat gout.

Diharapkan pembaca mengetahui punca gout dan juga cara pencegahannya agar dapat mengelakkan diri daripada mengalami penyakit ini.

Kesimpulan

Mengamalkan diet gout dapat mengurangkan serangan gout dan mengurangkan kalori untuk mendapatkan berat badan yang sihat bagi mereka yang mengalami masalah gout.

Rujukan

  1. BARRY L. HAINER, MD; ERIC MATHESON, MD; and R. TRAVIS WILKES, MD, Medical University of South Carolina, Charleston, South Carolina, Am Fam Physician. 2014 Dec 15;90(12):831-836.
  2. Evans, P.L., Prior, J.A., Belcher, J. et al. Obesity, hypertension and diuretic use as risk factors for incident gout: a systematic review and meta-analysis of cohort studies. Arthritis Res Ther 20, 136 (2018).
  3. Roddy, E., & Choi, H. K. (2014). Epidemiology of Gout. Rheumatic Disease Clinics of North America, 40(2), 155–175. 
  4. Gout diet

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.