10 Khasiat Tongkat Ali Yang Anda Perlu Tahu

khasiat tongkat ali

Apakah khasiat tongkat ali? Artikel ini akan membincangkan khasiat tongkat ali, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya

Pengenalan

Di Malaysia, Tongkat Ali terkenal sebagai tumbuhan herba ajaib terutama bagi merawat atau mengatasi masalah kesuburan lelaki. Tongkat Ali atau nama saintifiknya Eurycoma Longifolia (EL) mempunyai pelbagai fungsi dari pelbagai bahagian tumbuhan termasuk daun, batang dan juga akar.

Tumbuhan kecil Tongkat Ali biasanya dijumpai di di hutan tropika, hutan berpasir ke kawasan pergunungan sekitar 1 kilometer atau 1000 meter. Tongkat Ali telah dipercayai mempunyai fungsi yang pelbagai kepada kesihatan manusia termasuklah sebagai anti-bakteria, anti-malaria, mencegah pereputan tulang dan sebagainya. 

Kandungan Nutrisi

Kalori – 84 kalori

Karbohidrat – 15 gram

Protein – 5 g

Lemak – 2 g

*Merujuk kepada Ali Cafe 5 in 1 -Tongkat Ali (20 g)

Kandungan Berkhasiat Dalam Tongkat Ali

Tongkat Ali mengandungi anti-oksidan yang tinggi yang mampu mencegah pelbagai jenis kanser. Selain itu, Tongkat Ali juga mengandungi alkaloid. Alkaloid dikatakan terdiri daripada quinine, iaitu sejenis komponen yang bersifat anti-malaria.

Tongkat Ali juga mengandungi kandungan mineral yang tinggi seperti kalsium, magnesium dan potassium di mana komponen-komponen ini terlibat dalam mencegah jangkitan bakteria dan meningkatkan metabolisma badan.

Khasiat Tongkat Ali Pada Kesihatan

1. Meningkatkan Kesuburan Lelaki

Satu kajian telah dijalankan selama 30 hari dengan penglibatan 76 orang lelaki yang lebih tua dan mempunyai kadar testostron yang rendah. Peserta-peserta kajian ini diberikan 200 mg ekstrak Tongkat Ali setiap hari untuk melihat sebarang perubahan pada tahap hormon.

Keputusannya tahap hormon mereka meningkat secara signifikan dalam kalangan 90% peserta kajian.

2.   Mengelakkan dari Tulang Reput (osteoporosis)

Osteoporosis merupakan satu keadaan di mana tulang kepadatan tulang berkurangan dan menjadi rapuh. Keadaan ini menyebabkan tulang menjadi rapuh dan mudah patah. Keadaan ini kerap dialami oleh golongan warga emas  terutama wanita selepas menopous, apabila badan tidak dapat lagi menggantikan tisu-tisu tulang yang lama dengan tisu baru yang lebih sihat.

Tongkat Ali atau Eurycoma longifolia (EL) telah menunjukkan kesan yang berbeza apabila pada dos 25µg/mL, sel-sel lebih aktif membesar atau membahagi berbanding sel-sel yang tidak dirawat.

3. Mengurangkan Stres dan Tekanan

Stres dan tekanan sering dialami oleh golongan dewasa oleh sebab pelbagai tanggungjawab dan tugasan harian. Oleh itu pelbagai cara telah ditemui untuk mengurangkan tekanan, termasuklah berikhtiar dengan minuman ekstrak Tongkat Ali.

Seramai 63 peserta (32 lelaki dan 31 perempuan) telah menjalani analisis hormon stres sebelum dan selepas uji kaji. Hasil kajian mendapati, peningkatan yang signifikan telah ditemui dengan Tekanan (-11%), Kemarahan (-12%) dan Kekeliruan (-15%).

Setelah peserta-peserta kajian mengambil minuman ekstrak Tongkat Ali ini juga mendapati, status hormon testosteron juga meningkat, dan berkurang hormon stress, cortisol.

4. Boleh Meningkatkan Saiz dan Kekuatan Otot

Tongkat Ali sering dikaitkan dengan kemampuannya yang mampu meransang penghasilan hormon testosteron. Hormon testosteron yang tinggi  dikaitkan dengan fizikal yang tegap dan maskulin.

Oleh itu, pengambilan ekstrak minuman Tongkat Ali yang konsisten mampu membantu meningkatkan jisim otot dan mengurangkan penghasilan lemak dalam badan.

5. Mempunyai kesan Anti-Malaria

Malaria adalah penyakit berjangkit yang tersebar melalui jangkitan nyamuk. Di Malaysia, prevalens penyakit malaria amat rendah tetapi di peringkat global telah mencatatkan hampir setengah juta kematian akibat penyakit Malaria pada tahun 2018.

Tongkat Ali dipercayai mempunyai sebatian eurycomnone dan asid 7-methoxy-beta-carboline-1-propionic yang mempunyai kesan anti-malaria.

6. Mencegah Jangkitan Bakteria

Daun Tongkat Ali telah terbukti mampu mencegah dari jangkitan bakteria seperti Salmonella Typhi, Escherichia Coli (E.Coli), Staphylococcus aureus dan Serratia marscesens.  Bakteria -bakteria ini mampu menyebabkan jangkitan pada kulit, paru-paru dan darah.

7. Meningkatkan Prestasi Seks Lelaki

Golongan dewasa lelaki sering dikaitkan dengan ‘mati pucuk’ atau kualiti hidup terganggu. Satu minuman tambahan mengandungi ekstrak Tongkat Ali atau ‘Physta’ telah diberikan kepada peserta kajian yang berusia 40-45 tahun. Setelah 12 minggu, peserta kajian melaporkan peningkatan pada prestasi seks, dan juga kualiti hidup mereka.

8. Membaiki/menambah baik metabolisma badan

Kadar metabolisma badan yang baik akan mempercepatkan proses pembakaran lemak dan pembebasan tenaga dalam badan. Tongkat Ali dipercayai mampu mempercepatkan fungsi hormon Thyroxine yang berfungsi meransang pengambilan oksigen lalu mempercepatkan proses pembebasan tenaga dari badan.

9. Melambatkan Kenaikan Paras Gula dalam Darah

Bagi pesakit kencing manis, kenaikan paras gula mendadak merupakan ‘red flag’ yang patut diawasi sepanjang masa. Jika tiada pengawalan pada paras gula, pelbagai komplikasi yang lebih buruk mungkin berlaku kepada tubuh badan.

Kajian telah dilakukan ke atas pelbagai tumbuhan herba dan mendapati Tongkat Ali antara 13 tumbuhan yang menunjukkan kemampuan dalam meningkatkan pengambilan glukos atau gula dalam darah di sel lemak 3T3-L1 selepas suntikan insulin dilakukan.

Artikel Berkaitan: Punca Kencing Manis dan Rawatan

10. Boleh Melawan Kanser

Satu kajian telah dijalankan ke atas pelbagai bahagian Tongkat Ali meliputi daun, batang dan akar. Hasil dapatan menunjukkan 16 dari bahagian tersebut menunjukkan kesan anti-kanser dan mampu menghalang perebakan sel-sel kanser dalam badan.

Antara kanser yang dikesan mampu dihalang adalah kanser payudara dan kanser paru-paru. Secara ringkasnya, Tongkat ali boleh dianggap sebagai terapi tambahan untuk rawatan pelbagai jenis kanser pada manusia.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, pelbagai khasiat Tongkat Ali telah dibuktikan oleh pengkaji-pengkaji saintifik. Khasiat dan fungsi Tongkat Ali bukan sahaja pada akarnya, tetapi juga daun dan batangnya. Namun harus diingatkan tentang dos dan saranan pengambilan seperti yang disyorkan oleh pakar kesihatan.

Rujukan

  1. Thu HE et al. Eurycoma longifolia, a potential phytomedicine for the treatment of cancer: Evidence of p53-mediated apoptosis in cancerous cells. Curr Drug Targets. 2017 Jul 18.
  2. Thu HE et al. Eurycoma longifolia as a potential alternative to testosterone for the treatment of osteoporosis: Exploring time-mannered proliferative, differentiative and morphogenic modulation in osteoblasts. J Ethnopharmacol. 2017 Jan 4;195:143-158.
  3. Udani, J. K., George, A. A., Musthapa, M., Pakdaman, M. N., & Abas, A. (2014). Effects of a Proprietary Freeze-Dried Water Extract of Eurycoma longifolia (Physta) and Polygonum minus on Sexual Performance and Well-Being in Men: A Randomized, Double-Blind, PlaceboControlled Study. Evidence-based complementary and alternative medicine : eCAM, 2014, 179529.
  4. Kardono, L. B., Angerhofer, C. K., Tsauri, S., Padmawinata, K., Pezzuto, J. M., & Kinghorn, A. D. (1991). Cytotoxic and antimalarial constituents of the roots of Eurycoma longifolia. Journal of natural products, 54(5), 1360–1367.
  5. Talbott, S. M., Talbott, J. A., George, A., & Pugh, M. (2013). Effect of Tongkat Ali on stress hormones and psychological mood state in moderately stressed subjects. Journal of the International Society of Sports Nutrition, 10(1), 28.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

8 − 3 =

Open

Close