4 Khasiat Cendawan yang anda perlu tahu

khasiat cendawan

Apakah khasiat cendawan pada kesihatan manusia? Artikel ini akan membincangkan perkara ini.

Apa itu Cendawan?

Cendawan ialah sejenis tumbuhan diklasifikasikan di bawah keluarga Fungi yang umumnya hidup di atas (epigeous) atau di bawah tanah (hypogeous), juga di atas sesuatu kehidupan seperti pokok. Kebanyakan cendawan menyerupai bentuk payung dengan struktur bertopi (cap), berbatang dan mempunyai insang di bawah topi (lamella) yang mengeluarkan spora untuk proses pembiakan.

Cendawan sangatlah tidak asing dalam dunia masakan. Ia dikenali sebagai daging dalam kumpulan tumbuhan dek kerana rasa ‘umami’ atau rasa kedagingan yang dihasilkan menaikkan rasa dan aroma, serta dapat menjadi pengganti daging dalam masakan. Walau bagaimanapun, tidak semua cendawan selamat dimakan. Terdapat juga jenis-jenis cendawan yang bahaya dimakan kerana kandungan racun di dalamnya.

Menurut kajian, ciri-ciri cendawan yang selamat dimakan boleh dikenalpasti melalui ketiadaan bahan beracun di dalamnya atau bahan yang boleh memberi kesan buruk kepada manusia, mempunyai aroma dan rasa yang enak, juga tekstur badannya yang lembut. Gambar di bawah menunjukkan jenis-jenis cendawan yang selamat dan sering dimakan.

cendawan telinga kera
Cendawan Telinga Kera
cendawan butang
Cendawan Butang
cendawan shiitake
Cendawan Shiitake

Cendawan Jerami
cendawan jarum mas
Cendawan Jarum Mas
cendawan tiram
Cendawan Tiram
cendawan kukur
Cendawan Kukur
cendawan bunga kubis
Cendawan Bunga Kubis
cendawan perut lembu
Cendawan Perut Lembu

Selain daripada tekstur, rasa dan aroma enak yang dihasilkan, kandungi nutrisi yang padat dalam cendawan ini juga menyebabkan ianya menjadi tarikan dalam bidang penyelidikan kerana kemampuannya dalam memberi kebaikan kesihatan kepada manusia dan mempunyai khasiat yang banyak

Kandungan Nutrisi Cendawan dan khasiat cendawan terhadap Kesihatan

Cendawan mengandungi tinggi protein, serat, vitamin dan mineral serta rendah lemak. Lebih menarik tentang cendawan ialah kandungannya yang tinggi ‘komponen bioaktif’ (bioactive components) dan antioksida menyebabkan cendawan berpotensi untuk menjadikan seseorang itu lebih sihat. Banyak kajian sedang dijalankan untuk meneliti keberkesanan komposisi nutrisi cendawan terhadap kesihatan manusia.

1. Cendawan sebagai Antikanser

Lebih separuh daripada kulit cendawan mengandungi beta-glukan, salah satu komponen karbohidrat cendawan. Beta-glukan di dalam cendawan mempunyai fungsi yang sedikit berbeza dibandingkan dengan beta-glukan yang terdapat di dalam barli dan oat. Kandungan beta-glukan di dalam cendawan didapati mampu bertindak sebagai anti-kanser juga menggalakkan proses pemulihan selepas mendapatkan rawatan kemo- dan radioterapi.

Selain beta-glukan, cendawan juga mengandungi antioksida yang tinggi seperti vitamin E, peptida bioaktif dan juga ‘bahan fenolik’ (phenolic compounds). Antioksida berfungsi untuk melawan atau meneutralkan radikal bebas yang dihasilkan oleh badan manusia sendiri melalui proses penghasilan tenaga dan juga melalui pengambilan makanan yang berkarsinogen.

Menurut kajian yang dijalankan terhadap empat jenis cendawan didapati bahawa komponen-komponen yang terdapat di dalam cendawan-cendawan ini amat berpotensi dalam mencegah juga membantu dalam merawat beberapa jenis kanser seperti leukemia, kanser kolon, kanser hati, kanser perut, kanser payudara, kanser tulang dan kanser jantung dengan merencatkan pertumbuhan kanser dan meransang sistem imunisasi badan. Tetapi hasil kajian ini hanya terbatas pada haiwan dan kajian terhadap manusia masih dijalankan. Walau bagaimanapun, cendawan dilihat sebagai makanan atau sumber yang berpotensi untuk merawat kanser pada masa hadapan.

2. Cendawan dan Kesihatan Imunisasi Badan

Selain berpotensi sebagai antikanser, b-glukan juga mampu meningkatkan sistem imunisasi badan. Lektin, salah satu komponen protein cendawan dikatakan mampu bertindak sebagai perangsang sistem imun, antiviral, antibakteria dan juga anti-kulat.

3. Cendawan dan Kesihatan Jantung

Kajian telah membuktikan bahawa makanan rendah natrium dan tinggi kalium-magnesium-kalsium melalui implementasi ‘Diet Approach to Stop Hypertension (DASH)’ mampu mengawal tekanan darah. Jika dibandingkan dengan cendawan, ianya mempunyai kuantiti natrium yang rendah dan tinggi kalium-magnesium-kalsium seiring dengan kajian DASH diet yang dihasilkan yang mampu memberi kesan positif dalam mengawal tekanan darah.

Selain itu, kandungan komponen bioaktif seperti peptide-oligopeptida, hexapeptida, tripeptida, pentapeptida, serat-chitin dan juga ‘asid ganoderik’ (ganoderic acids) yang terdapat dalam cendawan terbukti berfungsi sebagai anti-darah tinggi melalui beberapa kajian yang telah dijalankan terhadap haiwan. Walau bagaimanapun, kajian terhadap manusia masih dijalankan untuk membuktikan keberkesanan komponen ini.

Kesihatan jantung tidak terbatas melalui penjagaan tekanan darah sahaja. Umum tahu, masalah tinggi kolesterol juga mendorong kepada penyakit jantung. Bukan sahaja cendawan mempunyai komponen nutrisi yang mampu mengawal tekanan darah, cendawan juga mempunyai kandungan nutrisi yang membantu mengawal tahap kolesterol dalam badan.

Secara amnya, lemak yang terdapat dalam cendawan kebanyakkannya terdiri daripada lemak poli-tidak tepu, atau lebih mudah difahami sebagai lemak baik. Lemak poli-tidak tepu terbukti mampu menurunkan kadar kolesterol dalam badan dengan menyekat penghasilan lemak dalam badan. Kandungan ergosterol dalam cendawan juga berpotensi menurunkan kadar kolesterol dalam badan dengan menghalang penyerapan kolesterol ke dalam badan, mengelakkan penghasilan kolesterol oleh hati serta menggalakkan penyingkiran kolesterol ke sistem pembuangan.

4. Cendawan sebagai Anti-Diabetik dan Anti-Obesiti

Obesiti dan kencing manis sangat berkait rapat dan berdasarkan tinjauan National Health Morbidity Survey (NHMS) 2019, 50.1% daripada orang dewasa mempunyai berat badan berlebihan atau obes. Tren statistik berlebihan berat badan, obesiti dan obesiti abdomen, masing- masing didapati meningkat daripada 29.4%, 15.1% dan 45.4% pada 2011 kepada 30%, 17.1% dan 58.6% pada 2015. Perkara ini dapat dikaitkan dengan kurangnya pengambilan serat seperti tinjauan NHMS 2019 merekodkan 94.9% daripada orang dewasa tidak mengambil jumlah buah-buhan dan sayur-sayuran yang disyorkan iaitu 5 hidangan setiap hari.

Bagi mereka yang bermasalah dari segi penerimaan rasa sayur yang kebanyakannya pahit, cendawan boleh menjadi sumber alternatif untuk memenuhi keperluan serat sehari-hari. Menurut kajian pada 2013, pengambilan cendawan boleh memenuhi lebih kurang 25% daripada keperluan serat sehari. Sumber serat dalam cendawan diperoleh daripada beta-glukan, mannins, trehalose dan juga chitins.

Bagaimana serat membantu dalam mencegah obesiti? Serat membantu dalam menyekat penyerapan lemak ke dalam badan seterusnya mengurangkan pengumpulan lemak dalam badan dan mengelakkan berlakunya obesiti. Selain menyekat penyerapan lemak ke dalam badan, kebanyakkan serat di dalam cendawan adalah sumber makanan bagi bakteria baik di usus atau juga dikenali sebagai prebiotik. Bakteria baik menggunakan prebiotik dan menghasilkan bahan yang dikenali sebagai ‘short-chain fatty acids (SCFA)’. SCFA ini membantu melambatkan pengosongan makanan dalam sistem penghadaman menyebabkan rasa kenyang lebih lama dan mengelakkan makan berlebihan yang mendorong kepada punca terjadinya obesiti. Serat ini juga membantu dalam mengalakkan pertumbuhan bakteria baik dalam sistem penghadaman.

Menarik lagi tentang cendawan ini bukan sahaja komposisi seratnya, tetapi terdapat beberapa bahan bioaktif seperti triterpenes yang berfungsi untuk mengawal atur metabolisma glukosa dalam badan dengan mengurangkan penghasilan molekul yang menyebebabkan keradangan dan kerosakan pada hati seterusnya merangsang kepekaan hati dan otot terhadap insulin. Mekanisma ini sedikit sebanyak membantu mengurangkan risiko penyakit kencing manis yang disebabkan oleh ketidakpekaan sel badan terhadap insulin.

Bahan bioaktif lain yang terdapat dalam cendawan juga dikenali sebagai peransang imunisasi. Bahan-bahan ini membantu melindungi sel-beta di pancreas (sel yang menghasilkan insulin dalam badan) daripada molekul molekul yang menyebabkan keradangan. Sel-beta sangat terdedah dengan keradangan dan mempunyai kapasiti antioksida yang rendah. Keradangan yang berterusan boleh menyebabkan risiko kencing manis. Justeru, pengambilan cendawan yang kaya dengan bioaktif yang berfungsi sebagai antioksida ini dapat mengurangkan risiko tersebut.

Kesimpulan

Melalui artikel ini, cendawan dilihat sebagai makanan yang boleh dikira mempunya pelbagai khasiat kerana komponennya yang berpotensi untuk diimplentasikan dalam perubatan moden. Meskipun masih banyak lagi kajian yang sedang dijalankan untuk membuktikan keberkesanan cendawan terhadap kesihatan manusia dan juga kuantiti yang diperlukan untuk memastikan keberkesanan manfaat daripada cendawan, mempraktikkan pengambilan cendawan sebagai sumber alternatif serat adalah sesuatu yang amat baik bagi mengurangkan risiko penyakit seperti obesiti, kencing manis, darah tinggi dan kanser kelak.

Diharapkan artikel khasiat cendawan ini bermanfaat bagi para pembaca.

Artikel Berkaitan: Cara Tanam Cendawan yang mudah

Khasiat Tumbuh-tumbuhan yang lain

Bayam BrazilTomatoDaun Kari
Sawi SaladKunyit Hitam
SaderiAvocadoUlam Raja

 Rujukan

  1. Artem B. et al. (2018). Medicinal mushrooms as an attractive new source of natural compounds for future cancer therapy. Oncotarget. 9(49): 29259-29274.
  2. Kakon A.J., Choundhury M.B.K. & Shusnita S. (2012). Mushroom is an Ideal Food Supplement. J. Dhaka National Med. Coll. Hos. 18(01): 58-62.
  3. Maria E.V., Talia H. & Octavia P. (2014). Edible Mushrooms: Improving Human Health and Promoting Quality Life. International Journal of Microbiology.
  4. Peter C.K.C. (2013). Mini-review on edible mushrooms as source of dietary fiber: Preparation and health benefits. Food Science and Human Wellness.
  5. Samsudin N.I.P. & Abdullah N. (2019). Edible mushrooms from Malaysia; a literature review on their nutritional and medicinal properties. International Food Research Journal. 26(1): 11-31.
  6. Sushil K.D. et al. (2019). Role of edible mushroom as a potent therapeutics for the diabetes and obesity. Biotech. 9:450.
  7. Wen-Sen H. et al. (2019). Cholesterol-reducing effect of ergosterol is modulated via inhibition of cholesterol absorption and promotion of cholesterol excretion. Journal of Functional Foods. 57:488-496.
  8. Yahaya N.F.M., Rahman M.A. & Abdullah N. (2014). Therapeutic potential of mushrooms in preventing and ameliorating hypertension. Trends in Food Science & Technology. 39: 104-115.

1 thought on “4 Khasiat Cendawan yang anda perlu tahu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eighteen − 3 =

Open

Close