Skip to content

Kencing Manis: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah itu penyakit kencing manis, punca-punca dan rawatannya?

Artikel ini akan menghuraikan dengan lengkap masalah kencing manis ini berserta huraian lengkap berkenaan perkara ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Jenis Kencing Manis
  3. Simptom dan Tanda
  4. Punca Kencing Manis
  5. Ujian Pengesanan dan Pemantauan
  6. Rawatan
  7. Komplikasi
  8. Tips Pencegahan

Pengenalan


Kencing manis atau istilah perubatannya, ‘diabetes mellitus’ adalah satu penyakit metabolik yang menyebabkan kandungan gula di dalam darah menjadi tinggi. Kandungan gula di dalam darah dikawal oleh sejenis hormon bernama insulin.

Apabila kandungan gula menjadi tinggi contohnya selepas makan, badan kita akan merembeskan insulin bagi ditukarkan kepada tenaga ataupun disimpan di dalam sel sel badan. Dalam pesakit diabetes, badan pesakit gagal menghasilkan insulin dengan secukupnya ataupun insulin dihasilkan tidak efektif menyebabkan kandungan gula di dalam darah tidak mampu dikawal.

Jenis-jenis Penyakit Kencing Manis


Terdapat beberapa jenis masalah kencing manis. Di sini kami hanya menerangkan 3 jenis yang selalu berlaku di dalam masyarakat.

1. Diabetes type 1

Ini adasalah sejenis penyakit ‘autoimun’ dan sering terjadi bersama beberapa jenis penyakit ‘autoimun’ yang lain. ‘Autoimun’ memberi maksud sistem imun badan kita menyerang sel badan kita sendiri. Terdapat faktor genetik yang mempunyai peranan dalam diabetes type 1. Dalam diabetes type 1, sistem imun badan menyerang dan merosakkan pankreas. Organ inilah yang menjadi tempat di mana insulin dihasilkan.

2. Diabetes type 2

Dalam jenis ini, badan kita menjadi seolah olah tidak memberi respon terhadap insulin jadi insulin tidak dapat menjalankan tugasnya. Dalam sesetengah kes, rembesan insulin juga berkurangan menyebabkan kandungan gula semakin tinggi.

Kebiasaannya, diabetes type 2 terjadi dalam kalangan mereka yang obes atau berat berlebihan. Terdapat juga faktor genetik dan persekitaran cara hidup yang memainkan peranan. Gaya hidup yang tidak sihat dan sejarah keluarga yang mempunyai diabetes turut menjadi punca risiko.

3. Gestational diabetes

Diabetes jenis ini berlaku kepada ibu ibu hamil. Ia terjadi disebabkan terhasilnya hormon dari uri yang menjadikan badan kurang memberi respon terhadap insulin. Kebiasaannya, wanita hamil yang mempunyai diabetes adalah obes atau mempunyai berat berlebihan.

Simptom Kencing Manis


Kebanyakan pesakit kencing manis pada awalnya tidak mempunyai sebarang simptom. Tetapi jika kandungan gula terlalu tinggi, barulah pesakit akan mempunyai simptom seperti:

  1. Kerap lapar dan dahaga
  2. Susut berat badan
  3. Kerap kencing
  4. Lesu yang teramat
  5. Luka yang lambat sembuh
  6. Mata kabur
  7. Kebas tangan atau kaki

Punca Kencing Manis


Terdapat beberapa keadaan yang akan meningkatkan risiko anda untuk mendapat diabetes;

  1. Sejarah keluarga dekat yang mempunyai penyakit diabetes seperti ibubapa dan adik beradik
  2. Sejarah penyakit jantung
  3. Tekanan darah tinggi atau tahap kolesterol tinggi
  4. Gaya hidup tidak aktif
  5. Obesiti
  6. Sejarah kencing manis ketika mengandung

Ujian Pengesanan dan Pemantauan


Terdapat beberapa ujian yang boleh digunakan untuk mengesahkan seseorang itu mempunyai kencing manis ataupun tidak. Setelah seseorang itu disahkan mempunyai kencing manis, dia perlulah dipantau keadaannya supaya tidak mendapat apa-apa komplikasi daripada penyakit ini.

1. Bacaan gula dalam darah

Terdapat 2 jenis bacaan gula dalam darah iaitu bacaan gula selepas berpuasa dan bacaan secara rawak. Kedua bacaan ini mempunyai nilai penentu yang berbeza dan maksud yang berbeza. Jika anda mempunyai tanda tanda diabetes, hanya satu bacaan gula yang tinggi diperlukan untuk mengesahkan anda mempunyai kencing manis.

Namun begitu, jika anda tiada simptom, perlu 2 bacaan gula yang tinggi. Doktor akan mengambil darah anda dan membaca tahap bacaan gula dan membandingkannya dengan tahap bacaan yang diterima mengikut jenis jenis bacaan tadi. Sekiranya berlebihan dari tahap yang ditetapkan, doktor mungkin akan meminta anda untuk minum air gula dan bacaan seterusnya akan dibaca selepas 2 jam.

Apabila anda sudah disahkan menghidap kencing manis, doktor akan memantau bacaan gula di dalam darah anda. Bacaan inilah yang akan menentukan jika anda adalah pesakit yang patuh dengan arahan dojtor atau sebaliknya. Anda perlu merekod semua bacaan ini setiap hari dan menunjukkannya kepada doktor setiap kali temujanji.

2. Ujian HbA1c

HbA1c adalah sejenis protein molekul gula yang ada pada sel darah merah kita. Ujian ini adalah lebih tepat berbanding bacaan gula dalam darah tadi kerana ia menunjukkan kadar kandungan gula dalam darah bagi tempoh 3 bulan. Ia digunakan oleh doktor bagi memantau kawalan gula pesakit.

3. Ujian darah bagi melihat fungsi hati, buah pinggang dan kandungan kolesterol

Ujian-ujian ini diperlukan oleh doktor sebagai sebahagian daripada proses pengesanan dan rawatan diabetes. Bacaan tahap kolesterol diperlukan bagi memantau keadaan pesakit kerana kebanyakan pesakit diabetes juga mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi. Bacaan-bacaan penting yang lain seperti fungsi buah pinggang diperlukan untuk pemantauan penyakit diabetes kerana diantara komplikasi diabetes adalah kerosakan buah pinggang.

4. Ujian air kencing

Ujian air kencing penting untuk melihat samada terdapat protein di dalam air kencing. Kehadiran protein menunjukkan terdapat kerosakan pada buah pinggang disebabkan penyakit kencing manis yang pesakit hadapi.

Rawatan Kencing Manis


Terdapat beberapa jenis kaedah yang digunakan untuk  merawat diabetes bergantung kepada tahap gula di dalam darah dan keadaan pesakit.

1. Ubat anti-diabetik

Terdapat pelbagai jenis ubat yang digunakan bagi merawat diabetes. Setiap ubat ini mempunyai cara tersendiri bagi membantu badan mengawal kandungan gula dalam darah.

Jenis ubatCaraNama preskripsi ubat
BiguanidesMengurangkan penghasilan gula dari hatiMetformin
SulphonylureasMeningkatkan penghasilan insulinGliclazide
DPP-4 inhibitorMeningkatkan penghasilan insulinSitagliptin
Alpha glucosidase inhibitorMengurangkan penyerapan gulaAcarbose
thiazolidinedionesMeningkatkan sensitivity sel terhadap insulinRosiglitazone
GLP-1 antagonistMeningkatkan penghasilan insulinExenatide
SGLT-2 inhibitorMengurangkan penyerapan gulaDapagliflozin

Doktor akan memberi anda kombinasi ubat ubat di atas bergantung kepada bacaan gula dan keadaan anda dari masa ke semasa. Perlu diingatkan bahawa sesetengah ubat ubat di atas turut memberi kesan kepada fungsi hati. Oleh itu, doktor juga akan memeriksa fungsi hati secara berkala bagi memantau kesan sampingan ubat.

2. Suntikan Insulin

Memandangkan punca diabetes adalah kuantiti insulin yang kurang atau tidak berkesan, oleh itu insulin digunakan untuk merawat penyakit ini. Insulin ini ada dalam bentuk pen atau pam. Insulin mempunyai beberapa jenis iaitu jenis yang bertindak cepat dan sederhana cepat, dan juga jenis yang bertindak lama dan sederhana lama.

Doktor akan menentukan jenis insulin yang sesuai berdasarkan tahap bacaan gula anda. Dos insulin juga akan ditentukan secara spesifik bergantung kepada bacaan gula anda dan mungkin akan berubah ubah bergantung kepada keperluan.

Sebagai pesakit, terdapat beberapa panduan tentang cara mencucuk insulin bagi memastikan keberkesanannya dan mengelakkan terjadinya kesan sampingan. Antaranya ialah;

  • Mematuhi dos insulin yang ditetapkan oleh doktor
  • Menggunakan jarum yang tajam dan menukar jarum yang sudah tumpul
  • Menggunakan teknik yang betul dari segi lokasi, cara cucuk jarum yang akan diajar oleh doktor
  • Menukar lokasi cucuk insulin secara berkala bagi mengelakkan kesan sampingan

3. Diet seimbang

Selain daripada ubatan yang diberikan oleh doktor, anda juga akan dinasihatkan untuk mengawal diet anda bersesuaian dengan masalah kencing manis anda. Doktor akan merujuk anda kepada pakar permakanan yang akan merangka diet anda. Secara umumnya, diet anda perlu mengandungi kandungan karbohidrat yang ditetapkan, lebih sayur, buahan dan fiber serta anda dinasihatkan untuk mengurangkan pengambilan garam serta gula.

4. Aktiviti fizikal

Anda juga akan diminta untuk mengamalkan gaya hidup lebih aktif sebagai salah satu langkah mencegah komplikasi diabetes. Anda disarankan untuk bersukan atau menjalankan aktiviti riadah selama minimum 150 minit seminggu.

5. Pengurangan berat badan

Jika pesakit diabetes itu obes atau mempunyai berat badan berlebihan, mereka akan dinasihatkan untuk menurunkan sebahagian berat badan ke tahap optima. Ini bertujuan untuk mencegah komplikasi dan juga membantu meningkatkan sensitiviti sel badan terhadap insulin.

Komplikasi


Diabetes akan menyebabkan banyak komplikasi ke seluruh organ dalam badan. Semua komplikasi ini merupakan pembunuh sebenar dalam penyakit kencing manis.

1. Diabetic ketoacidosis

Ini adalah satu keadaan di mana bacaan gula terlalu tinggi dan darah menjadi lebih berasid. Perkara ini akan menyebabkan kesan sampingan yang lain seperti muntah-muntah dan sakit perut. Keadaan ini boleh terjadi disebabkan beberapa punca seperti jangkitan kuman, dehidrasi, angin ahmar ataupun sakit jantung.

2. Hypoglisemia

Ini adalah keadaan dimana kandungan gula dalam darah terlalu rendah. Walaupun gula berlebihan bahaya, gula yang kurang dalam badan juga mempunyai bahaya yang sama.

Kebiasaannya perkara ini berlaku dalam kalangan pesakit yang sudah berumur, mempunyai kemahiran kognitif yang sudah terjejas seperti nyanyuk, kurang pengambilan makanan, terlebih dos ubatan ataupun melakukan aktiviti fizikal secara berlebihan.

Tanda-tanda hipoglisemia adalah seperti

  • Lapar
  • Pening
  • Berpeluh-peluh
  • Berdebar-debar
  • Lemah badan

3. Serangan sakit jantung, sakit angin ahmar

Hal ini terjadi apabila terdapat kerosakan pada salur darah yang besar seperti salur darah otak dan jantung. Kerosakan ini terhasil daripada kesan gula berlebihan yang merosakkan struktur salur darah. Oleh sebab itu, pesakit diabetes mempunyai risiko yang sangat tinggi untuk mengalami masalah jantung.

4. Kerosakan buah pinggang, kerosakan mata dan kerosakan saraf

Reaksi yang terhasil sebagai respon kepada gula berlebihan dalam badan juga menyebabkan terjadinya kerosakan pada salur darah yang kecil seperti salur darah mata, buah pinggang dan sistem saraf. Oleh itu, pesakit diabetes perlu membuat saringan mata dan buah pinggang. Mereka akan dirujuk kepada pakar mata dan pakar buah pinggang jika mengalami komplikasi terhadap organ tersebut.

5. Jangkitan kuman

Apabila kandungan gula dalam darah terlalu tinggi, ini menyebabkan sistem imun badan menjadi tidak berfungsi. Oleh sebab itu, pesakit diabetes akan kerap mengalami jangkitan kuman terutama jangkitan kulit dan di bahagian sulit kerana sistem imun badan tidak dapat melawan jangkitan dengan normal. Luka pesakit diabetes juga sukar sembuh kerana sebab yang sama.

Tips untuk Mencegah Kencing Manis


Terdapat beberapa langkah yang boleh diambil bagi mencegah diabetes. Antaranya adalah:

1. Gaya Hidup Sihat

Mengamalkan gaya hidup aktif dengan kerap bersenam dan melakukan aktiviti riadah seperti berbasikal dan berjalan. Sentiasa amalkan senaman ringkas seperti turun naik tangga bagi mengekalkan stamina dan juga dapat menurunkan berat badan dan mengurangkan risiko diabetes.

2. Mengamalkan Permakanan Sihat

Mengubah diet tidak sihat kepada diet yang kaya dengan serat, sayur sayuran dan karbohidrat sihat. Kurangkan pengambilan makanan terproses seperti makanan segera. Disarankan juga mengamalkan diet ‘suku suku separuh’ iaitu suku nasi, suku lauk dan separuh sayuran.

Jika anda merupakan seorang pesakit diabetes, anda juga perlu mencegah daripada berlakunya komplikasi yang teruk seperti yang disebutkan di atas. Amalkan;

  1. Patuhi segala temujanji doktor dan pakar. Cuba untuk hadir ke setiap temujanji bagi bertemu doktor supaya dapat berbincang tentang penyakit anda. Doktor juga dapat memantau keadaan anda dengan mudah dan dapat merujuk anda ke pusat pusat berkaitan sebelum komplikasi terjadi.
  2. Patuhi arahan makan ubat dan cucuk insulin. Setiap ubat dan dos perlu dipatuhi arahan yang diberikan untuk mengelakkan terjadinya kesan sampingan terutamanya ubat anti diabetic. Patuhi juga arahan mencucuk insulin dengan betul bagi memastikan keberkesanannya.
  3. Patuhi nasihat doktor, ahli dietetic mengenai diet yang perlu anda amalkan dan diet yang perlu dijauhi. Anda juga perlu berdisiplin dalam mengamalkan gaya hidup sihat termasuk kerap bersenam dan beriadah.

Rujukan:

  1. Management of Type 2 Diabetes Mellitus (5th Edition). Academy of Medicine of Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

5 × 4 =