Skip to content

6 Khasiat Minyak Ikan Menurut Dietitian

Anda mesti pernah mendengar tentang khasiat minyak ikan, bukan? Berdasarkan kajian, minyak ikan sering dikaitkan dengan pengurangan risiko penyakit jantung, mengawal paras kolestrol, mengatasi kemurungan dan banyak lagi. Oleh itu, terdapat banyak suplemen minyak ikan yang terdapat di pasaran yang menjanjikan kesihatan lebih baik. Tetapi, adakah kita perlukannya? Mari saya kongsi.

Apa Itu Minyak Ikan?

Minyak ikan adalah minyak dari ikan berlemak seperti salmon, makerel, tuna, tenggiri, kod dan sardin yang kaya dengan omega-3. Ada tiga jenis utama lemak asid omega-3 yang disebut sebagai ALA, DHA, dan EPA. Ikan berlemak menyediakan DHA dan EPA. Manakala, ALA boleh diperolehi daripada tumbuhan seperti biji rami, biji labu dan kacang walnut. Badan manusia tidak boleh menghasilkan omega-3 jadi ia hanya datang dari diet pemakanan.

Berapakah Keperluan Omega-3?

Menurut Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), saranan pengambilan ikan yang kaya dengan omega-3 adalah 1-2 hidangan seminggu sebagai perlindungan dari penyakit jantung koronari dan strok iskemia. Bagaimanapun, pengambilan jumlah ikan laut dalam harus dihadkan bagi wanita hamil atau yang merancang untuk hamil serta kanak-kanak kerana golongan ini paling mudah terdedah kepada kesan potensi toksin dalam ikan laut dalam.

Adakah Pengambilan Suplemen Minyak Ikan Suatu Keperluan?

Seperti yang kita lihat, terdapat banyak produk suplemen omega-3 di pasaran terutamanya dalam bentuk suplemen minyak ikan. Suplemen bukannya satu keperluan jika saranan telah dicapai melalui diet harian. Saranan keperluan omega-3 sudah boleh diperolehi melalui pengambilan 1 hidangan ikan sehari diikuti dengan pengambilan ikan berlemak 1-2 hidangan seminggu.

Pengambilan suplemen ini hanyalah disarankan kepada individu yang mengalami kekurangan pengambilan kumpulan asid lemak penting (omega-3) daripada diet harian. Selain itu, pastikan suplemen yang diambil masih dalam keadaan yang baik iaitu tidak tengik dan belum mencapai tarikh luput bagi mengelakkan keburukan kepada kesihatan seperti sakit perut, cirit-birit dan sebagainya.

khasiat minyak ikan

Khasiat Minyak Ikan dan Kepentingannya

1. Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung.

Banyak kajian telah membuktikan omega-3 mampu mengurangkan risiko sakit jantung, insiden serangan jantung dan kematian akibat serangan jantung. Hal ini kerana, omega-3 dalam minyak ikan membantu untuk meningkatkan kolestrol baik, mengurangkan trigliserida (lemak di dalam darah) dan seterusnya mengelakkan penyumbatan atau pembentukan plak pada salur darah ke jantung yang menyebabkan serangan jantung.

2. Menurunkan Tekanan Darah.

Minyak ikan boleh membantu menurunkan tekanan darah anda. Jika anda mengalami tekanan darah tinggi, ini boleh menjadi manfaat tambahan kepada anda. Walaubagaimanapun, pengurangan tekanan darah dilihat adalah minimal dan tidak seharusnya digunakan sebagai ubat untuk menurunkan tekanan darah ya.

3. Mengatasi Kemurungan.

Beberapa kajian di dalam kalangan dewasa mencadangkan kebaikan omega-3 di dalam rawatan mengatasi masalah kemurungan. Golongan depresi sering dikaitkan dengan tahap EPA & DHA (omega-3) yang rendah. Omega-3 sebenarnya dapat membantu dalam menimbulkan kesan antidepresan, termasuk tindakan anti-radang yang secara tidak langsung membantu dalam mengatasi masalah kemurungan.

4. Membantu Perkembangan Otak Bayi Dalam Kandungan Dan Kanak-Kanak.

Omega-3 sangat penting untuk tumbesaran otak bayi dalam kandungan dan kanak-kanak. Hal ini kerana, ianya merupakan sebahagian komponen penting bagi pembentukan otak manusia. Antara manfaat pengambilan omega-3 yang cukup untuk bayi dalam kandungan dan kanak-kanak adalah:

  • Otak yang lebih cerdas
  • Kemahiran berkomunikasi and bersosial yang lebih baik
  • Mengurangkan masalah tingkah laku
  • Penurunan risiko masalah perkembangan

5. Mengekalkan Kesihatan Mata.

DHA (omega-3) adalah komponen utama dalam pembentukan retina mata. Kekurangan DHA akan menyebabkan masalah penglihatan. Selain itu, omega-3 yang cukup mampu mengurangkan risiko penyakit AMD iaitu masalah mata yang menyebabkan buta penglihatan yang sering terjadi di dalam kalangan warga emas.

6. Mencegah Penyakit Kanser.

Pengambilan omega-3 dikaitkan dengan pengurangan risiko untuk mendapat kanser usus. Golongan yang mengambil omega-3 lebih banyak mempunyai risiko terkena kanser usus hingga 55% lebih rendah. Selain itu, pengambilan omega-3 dikaitkan juga dengan pengurangan risiko kanser prostat pada lelaki dan kanser payudara pada wanita. Bagaimanapun, kajian yang lebih terperinci diperlukan.

Diharapkan artikel khasiat minyak ikan ini dapat memberikan sedikit sebanyak gambaran kepada anda berkenaan keperluan minyak ini serta khasiatnya.

Khasiat Makanan yang lain

Khasiat Habbatus SaudaKhasiat Manjakani
Khasiat Buah ZaitunKhasiat Air Lemon
Khasiat MengkuduKhasiat Brokoli
Khasiat YogurtKhasiat Jintan Manis
Khasiat MaduKhasiat Kulit Kayu Manis
Khasiat KopiKhasiat Tempe
Khasiat Daun PandanKhasiat Bunga Cengkih
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Ikan Bilis
Khasiat Ikan KeliKhasiat Belut

Rujukan:

  1. Panduan Diet Malaysia 2010. Kementerian Kesihatan Malaysia
  2. American Heart Association (AHA). 2002. Circulation. Scientific Statements: Fish consumption, fish oil, omega-3 fatty acids and cardiovascular diseases.
  3. Burhani, M. D. & Rasenick, M. M. 2017. Fish Oil and Depression: The Skinny on Fats. Journal of integrative neuroscience 16(s1): S115-S124.
  4. Chaddha, A. & Eagle, K. A. 2015. Omega-3 Fatty Acids and Heart Health. 132(22): e350-e352.
  5. Judge, M. P., Harel, O. & Lammi-Keefe, C. J. 2007. Maternal Consumption of a Docosahexaenoic Acid-Containing Functional Food During Pregnancy: Benefit for Infant Performance on Problem-Solving but Not on Recognition Memory Tasks at Age 9 Mo. Am J Clin Nutr 85(6): 1572-1577.
  6. Merle, B. M., Benlian, P., Puche, N., Bassols, A., Delcourt, C. & Souied, E. H. 2014. Circulating Omega-3 Fatty Acids and Neovascular Age-Related Macular Degeneration. Invest Ophthalmol Vis Sci 55(3): 2010-2019.
  7. Terry, P. D., Terry, J. B. & Rohan, T. E. 2004. Long-Chain (N-3) Fatty Acid Intake and Risk of Cancers of the Breast and the Prostate: Recent Epidemiological Studies, Biological Mechanisms, and Directions for Future Research. J Nutr 134(12 Suppl): 3412s-3420s.
  8. Theodoratou, E., Mcneill, G., Cetnarskyj, R., Farrington, S. M., Tenesa, A., Barnetson, R., Porteous, M., Dunlop, M. & Campbell, H. 2007. Dietary Fatty Acids and Colorectal Cancer: A Case-Control Study. Am J Epidemiol 166(2): 181-195.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 + 8 =