Skip to content

10 Khasiat Ikan Bilis Menurut Kajian

Apakah khasiat ikan bilis pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat ikan bilis, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya.

Pengenalan

Ikan bilis. Itulah antara pelengkap hidangan yang popular dalam kalangan masyarakat Malaysia iaitu nasi lemak. Kerangupan ikan bilis serta rasa yang sedikit masin seolah-olah mampu membangkit dan membuka selera sesiapa sahaja.

Ikan bilis berasal daripada keluarga Engraulidae yang ditemukan di kawasan perairan cetek dan muara-muara laut sekitar negara-negara beriklim tropikal dan sederhana.

Namun begitu, habitat mereka juga boleh ditemukan di sekitar laut dalam seperti lautan Atlantik, India dan Pasifik. Disebabkan kepelbagaian habitat yang didiami oleh ikan bilis, maka ianya wujud dalam pelbagai jenis spesis.

Kandungan Nutrisi

Kandungan nutrisi bati 100g ikan bilis adalah:

  • Karbohidrat: 0.7g
  • Protein: 16.6g
  • Lemak: 1.1g
  • Kalsium: 134mg
  • Zat besi: 0.6mg
  • Kalium: 130mg
  • Fosforus: 162mg
  • Natrium: 573mg

Kandungan Berkhasiat di dalam Ikan Bilis

Sumber Protein yang Tinggi Kalsium

Ramai pasti menyangka bahawa kalsium hanya boleh diperolehi daripada susu ataupun produk tenusu semata-mata. Namun, apakah alternatif lain yang boleh diambil jika seseorang individu alah kepada susu dan juga produk tenusu?

Berdasarkan Recommended Nutrient Intake for Malaysia, 2017, ikan bilis adalah merupakan salah satu sumber protein haiwan yang mempunyai kandungan kalsium yang tinggi (100g ikan bilis mengandungi 500mg kalsium).

Memandangkan ikan bilis biasanya dijadikan sebagai hidangan penambah (condiment) seperti sambal dan sebagainya, jumlah pengambilan dalam satu hidangan pastinya adalah sedikit sahaja. Tetapi, ianya tetap boleh dijadikan sebagai salah satu kaedah untuk individu meningkatkan pengambilan kalsium di dalam diet seharian.

Seperti yang kita sedia maklum, kalsium adalah komponen nutrien yang sangat penting terhadap fungsi biologi tubuh. Antara kepentingan kalsium adalah mengekalkan dan menyokong tahap kesihatan tulang, terlibat di dalam proses pengecutan otot dan juga sistem saraf.  

10 Khasiat Ikan Bilis kepada Kesihatan

1. Penambah Rasa Semulajadi

Pasti ramai mengetahui bahawa ikan bilis yang telah dikeringkan mempunyai rasa yang sedikit masin. Oleh sebab itu, ikan bilis boleh dijadikan sebagai salah satu alternatif menggantikan garam atau bahan perasa lain seperti MSG di dalam masakan harian.

Saranan pengambilan garam di dalam diet harian adalah sebanyak 5g iaitu bersamaan dengan 1 paras sudu teh (tidak membumbung). Pengambilan garam yang berlebihan mampu meningkatkan kadar tekanan darah yang seterusnya akan meningkatkan risiko penyakit jantung dan juga strok.

Meskipun ikan bilis boleh dijadikan sebagai penambah rasa semulajadi, namun pengambilannya tetaplah harus dikawal.

2. Kaya Sumber Omega 3

Kebanyakan ikan yang menghuni lautan dalam kaya dengan sumber omega-3 termasuklah ikan-ikan kecil seperti ikan bilis dan ini menjadikan salah satu sebagai khasiat nya. Biasanya, kita melihat ikan bilis yang siap diproses dalam bentuk yang telah dikeringkan, walaubagaimanapun, di sesetengah negara barat ikan bilis juga turut dijadikan sebagai minyak ikan [1].

Omega-3 adalah merupakan sejenis lemak poli-tak tepu (PUFA) yang disarankan untuk diambil sebagai ganti kepada lemak tepu yang terdapat di dalam makanan. Kajian menunjukkan bahawa omega-3 mampu menurunkan kolesterol dan juga lemak trigliserida yang terdapat di dalam darah.

Artikel Berkaitan: Khasiat Omega 3

3. Pilihan Lain bagi Sumber Protein

Protein merupakan salah satu makronutrien yang sangat penting diperlukan oleh tubuh. Ianya merupakan nutrisi yang melengkapkan pelbagai jenis komponen biologi di dalam tubuh seperti terutama sekali sel, tisu dan juga otot.

Tambahan pula, protein juga penting terhadap struktur hormon, enzim, protein pengangkut dan juga immunoprotein. Memandangkan ikan bilis tidak begitu biasa diambil sebagai protein utama, ianya boleh dijadikan sebagai pelengkap hidangan yang dapat membantu individu bagi mencapai pengambilan protein yang cukup di dalam makanan harian.

4. Tinggi Kandungan Selenium

Selenium merupakan mikro-mineral yang mula mendapat perhatian para pengkaji terhadap fungsinya. Kajian mendapati bahawa selenium banyak terlibat di dalam aktiviti antioksidan, immuniti, metabolisma hormon tiroid dan pertumbuhan tulang serta otot [2].

5. Mengurangkan Risiko Penyakit Kardiovaskular

Penyakit jantung merupakan salah satu daripada pembunuh nombor 1 di negara kita. Terdapat pelbagai faktor risiko yang mengundang kepada penyakit ini termasuklah tabiat pemakanan dan gaya hidup yang tidak sihat.

Berdasarkan kepada Medical Nutrition Therapy for Hyperlipidemia, 2005, individu yang menghidap penyakit jantung (coronary heart disease) disarankan untuk mengambil 2 atau lebih hidangan ikan seminggu.

Ikan yang dimaksudkan adalah ikan yang datang daripada laut dalam seperti salmon, ikan kod, sardin dan juga kembung. Ini adalah kerana, ikan daripada laut dalam sememangnya kaya dengan omega-3. Tidak ketinggalan juga ikan bilis yang turut mengandungi omega-3 yang tinggi, namun, hanya terhad kepada ikan bilis yang segar (tidak dikeringkan) [3].

Artikel Berkaitan:

  1. Punca Sakit Jantung dan Rawatan
  2. Simptom Angin Ahmar dan Rawatan

6. Kesihatan Kulit

Ikan bilis segar mengandungi vitamin A (retinol) yang tinggi. Kajian mendapati bahawa vitamin A khususnya retinol mampu memperlahankan proses penuaan secara efektif [4]. Di samping itu juga, kandungan omega-3 di dalam ikan bilis juga mampu melindungi kulit daripada pancaran UV matahari [5].

7. Menyokong Kesihatan Mata

Selain daripada vitamin A, omega-3 juga telah dikenalpasti sebagai salah satu nutrien yang penting untuk kesihatan mata. Kajian mendapati bahawa omega-3 memainkan fungsi dalam memberi perlindungan terhadap saraf. Ini dapat dikaitkan dengan ciri antioksidan yang terdapat pada omega-3 [6].

8. Kaya dengan Zat Besi

Ikan bilis yang telah dikeringkan seperti yang dijual di pasar mengandungi zat besi yang tinggi. Zat besi sangat penting terutama sekali dalam pembentuka sel darah merah. Kekurangan zat besi di dalam tubuh akan meningkatkan risiko individu untuk menghidapi masalah anemia.

9. Anti Keradangan

Kajian mendapati bahawa omega-3 (EPA dan DHA) turut sama terlibat dalam mengurangkan risiko keradangan. Ini disebabkan oleh fungsi omega-3 yang mampu merencatkan aktiviti agen pro-inflammatory [7].

10. Membaiki Kerosakan Tisu

Protein merupakan nutrisi penting yang terlibat dalam proses pembentukan sel, tisu dan juga otot. Diet yang tinggi protein sememangnya diperlukan bagi mengoptimumkan rawatan akibat daripada kecederaan tisu mahupun otot.

Kesimpulan

Ikan bilis merupakan salah satu daripada sumber protein yang menyediakan pelbagai jenis kebaikan. Namun begitu, pengambilan yang sederhana dan pelbagai di dalam diet harian adalah lebih disarankan. Bagi individu yang menghidap penyakit kronik, anda dinasihatkan untuk mendapatkan saranan daripada doktor terlebih dahulu.

Khasiat Makanan yang lain

Khasiat Habbatus SaudaKhasiat Manjakani
Khasiat Buah ZaitunKhasiat Air Lemon
Khasiat MengkuduKhasiat Brokoli
Khasiat YogurtKhasiat Jintan Manis
Khasiat MaduKhasiat Kulit Kayu Manis
Khasiat KopiKhasiat Tempe
Khasiat Daun PandanKhasiat Bunga Cengkih
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Ikan Bilis
Khasiat Ikan KeliKhasiat Belut

Rujukan

  1. R. Ciriminna et al., “Omega-3 Extraction from Anchovy Fillet Leftovers with Limonene: Chemical, Economic,  and Technical Aspects.,” ACS omega, vol. 4, no. 13, pp. 15359–15363, Sep. 2019
  2. Z. Arsad, N. Baine, and M. Johor, Recommended Nutrient Intakes for Malaysia. 2010.
  3. S. K. Raatz, J. T. Silverstein, L. Jahns, and M. J. Picklo, “Issues of fish consumption for cardiovascular disease risk reduction,” Nutrients, vol. 5, no. 4, pp. 1081–1097, 2013,
  4. M. Zasada and E. Budzisz, “Retinoids: Active molecules influencing skin structure formation in cosmetic and dermatological treatments,” Postep. Dermatologii i Alergol., vol. 36, no. 4, pp. 392–397, 2019,
  5. T.-H. Huang, P.-W. Wang, S.-C. Yang, W.-L. Chou, and J.-Y. Fang, “Cosmetic and Therapeutic Applications of Fish Oil’s Fatty Acids on the Skin.,” Mar. Drugs, vol. 16, no. 8, Jul. 2018
  6. E. J. Johnson, “Nutrients for the aging eye,” pp. 741–748, 2013.
  7. P. C. Calder, “Omega-3 fatty acids and inflammatory processes: from molecules to man.,” Biochem. Soc. Trans., vol. 45, no. 5, pp. 1105–1115, Oct. 2017,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × one =