10 Khasiat Jintan Manis Yang Anda Perlu Tahu

khasiat jintan manis

Jintan manis adalah sejenis herba atau bahan yang sering digunakan dalam masakan. Artikel ini akan membincangkan mengenai khasiat jintan manis, kandungan nutrisi dan juga komponen sihat di dalamnya.

Pengenalan

Jintan manis atau nama saintifiknya Foeniculum vulgare adalah sejenis tumbuhan yang tergolong di dalam keluarga parsli iaitu sejenis herba dan rempah.  Ia berasal dari kawasan Eropah Selatan tetapi telah pun tersebar di seluruh pelosok dunia seperti di Pakistan, India, Itali, Russia dan Amerika Syarikat.

Pokok jintan manis mempunyai daun hijau yang berbulu dan memiliki bunga berwarna kuning. Biji jintan pula dituai apabila ia berubah menjadi coklat terang. Biji jintan manis berbentuk bujur, melengkung dan mempunyai jalur-jalur halus di permukaannya.

Sejak dulu lagi, setiap bahagian jintan manis seperti batang, daun dan bijinya telah digunakan untuk pelbagai tujuan. Biji jintan manis seringkali dijadikan sebagai rempah dalam masakan seperti sup dan kari yang boleh memberi rasa dan aromanya yang tersendiri di dalam masakan.

Selain itu, biji atau daun jintan manis juga boleh dijadikan teh yang boleh meningkatkan aroma teh. Pada zaman sekarang, ekstrak daripada jintan manis juga telah banyak dikomersialkan untuk dijadikan sebagai bahan aromaterapi bagi meredakan tekanan atau untuk memberi bau wangi.

Kandungan nutrisi

Tidak dinafikan, jintan manis juga mempunyai pelbagai nutrisi yang baik. Jadual di bawah menunjukkan kandungan nutrisi yang ada di dalam biji jintan manis.

NutrienJumlah (setiap satu sudu makan (6g) biji jintan manis)
Kalori (kcal)19.8
Karbohidrat (g) *Serat (g) *Gula (g)3.0 2.3 0
Protein (g)0.9
Jumlah lemak (g)
*Lemak tepu (g)
*Lemak tak tepu mono (g)
*Lemak tak tepu poli (g)
*Jumlah asid lemak omega-3  (mg)
*Jumlah asid lemak omega-6 (mg)
*Kolesterol (mg)
0.9
0.0
0.6
0.1
~
197.2
0.0
Vitamin A (IU)7.8
Vitamin C (mg)0.2
Vitamin D (IU)~
Vitamin B1 (mg)0.0
Vitamin B2 (mg)0.0
Vitamin B3(mg)0.3
Vitamin B5 (mg)~
Vitamin B6 (mg)0.0
Vitamin B9 (mcg)~
Vitamin B12 (mcg)0.0
Kalsium (mg)68.8
Zat besi (mg)1.1
Magnesium (mg)22.1
Fosforus (mg)28.0
Kalium (mg)97.4
Natrium (mg)5.1
Zink (mg)0.2

Dapat dilihat bahawa majoriti  kandungan nutrien yang ada dalam biji jintan manis adalah terdiri daripada karbohidrat dan serat. Ia juga mengandungi protein dan rendah dengan lemak. Selain itu, jintan manis juga mengandungi pelbagai jenis mineral seperti kalsium, fosforus, zat besi, magnesium dan potassium.

Kandungan mineral ini penting bagi menjamin kesihatan yang baik dengan membantu mencegah masalah kesihatan yang disebabkan oleh kekurangan mineral ini di dalam badan.

Kandungan Berkhasiat Dalam Jintan Manis

Jadi, apakah yang membuatkan jintan manis ini bagus dan berkhasiat? Jintan manis mengandungi pelbagai komponen yang menjadikan ia berkhasiat kepada sesiapa yang mengamalkannya. Antaranya, biji jintan manis mengandungi serat yang merupakan satu komponen karbohidrat yang tidak dapat dicerna dan diserap oleh tubuh badan kita.

Walaupun ia tidak dapat dicerna oleh tubuh badan kita, ia mampu untuk memberi manfaat kesihatan seperti mengawal penyakit kardiovaskular, diabetes, darah tinggi  dan obesiti. Selain itu, jintan manis juga juga merupakan sumber antioksidan yang bagus.

Antara sumber antioksidan yang ada pada jintan manis termasuklah polifenol, flavonoid, quercetin, rosmarinic acid, cinnamic acid dan banyak lagi. Komponen antioksidan ini penting kerana ia dapat membantu badan melawan radikal bebas sekaligus melindungi sel-sel badan daripada terdedah kepada radikal bebas yang boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit contohnya seperti kanser dan penyakit kardiovaskular.

Di samping itu, jintan manis juga mengandungi pati minyak (essential oils) seperti limonene, anisic aldehyde, myrcene, pinene, fenchone, chavicol, anethole, dan cineole. Komponen-komponen ini memainkan peranan penting melalui pelbagai mekanisma bagi merawat dan mencegah pelbagai jenis penyakit.

10 Khasiat Jintan Manis kepada Kesihatan

Memandangkan jintan manis mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa kebaikan jintan manis kepada kesihatan:

1. Untuk masalah kembung perut

Antara manfaat kesihatan jintan manis adalah ia bagus untuk masalah kembung perut. Jintan manis mempunyai aktiviti antispasmodik yang boleh membantu mengurangkan masalah kekejangan usus dan kembung perut.

Kandungan pati minyak yang ada di dalam jintan manis juga berupaya mengurangkan masalah ulser atau keradangan pada perut yang boleh menyebabkan kesakitan pada bahagian perut.

2. Aktiviti antioksidan

Di samping itu, jintan manis juga mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi. Hal ini kerana ia mempunyai pelbagai jenis antioksidan seperti flavonoid, quercetin, cinnamic acid, rosmarinic acid dan  gallic acid. Hal ini telah dibuktikan dengan pelbagai kajian yang telah menunjukkan bahawa ekstrak biji jintan manis mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi.

Oleh itu, ini boleh membantu badan melawan radikal bebas seterusnya mencegah oksidatif stres di dalam badan yang boleh membawa pelbagai jenis penyakit.

3. Sebagai antiradang

Keradangan adalah sejenis tindakbalas badan terhadap kecederaan, jangkitan kuman atau benda asing di mana keradangan yang berpanjangan di dalam badan boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit seperti penyakit jantung.

Jintan manis berpotensi sebagai antiradang yang boleh membantu mencegah keradangan kerana kandungan antioksidannya seperti vitamin C, polifenol dan quertecin yang sememangnya mempunyai aktiviti antiradang.

4. Mengurangkan kesakitan sengugut

Selain itu, jintan manis juga bagus untuk wanita yang mengalami masalah senggugut ketika haid. Masalah senggugut biasanya membuatkan seorang wanita mengalami kesakitan pada bawah abdomen dan juga mungkin mempunyai simptom seperti sakit kepala, pening dan loya.

Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa minyak atau ekstrak daripada jintan manis efektif bagi mengurangkan sakit yang disebabkan senggugut berbanding tidak menggunakan apa-apa ubat. Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa jintan manis juga berpotensi mengurangkan sakit senggugut sama seperti ubat tahan sakit.

Oleh itu, ini menunjukkan bahawa jintan manis sesuai digunakan sebagai terapi herba bagi mengurangkan kesakitan yang disebabkan masalah senggugut.

5. Sebagai ‘milk booster’

Di samping itu, biji jintan manis juga berkhasiat bagi wanita yang menyusukan anak sebagai ‘milk booster’ yang boleh membantu meningkatkan jumlah susu ibu. Hal ini kerana biji jintan manis didapati boleh meningkatkan cecair di dalam tisu payudara  sekaligus boleh meningkatkan aliran susu pada ibu yang menyusukan anak.

Hal ini kerana jintan manis mempunyai komponen galactogogues yang boleh meningkatkan perembesan susu dalam ibu yang menyusukan anak. Oleh itu, ini dapat membantu para ibu untuk menyediakan susu yang cukup untuk bayinya agar dapat membesar dengan sihat.

6. Melegakan simptom menopaus

Menopaus adalah satu keadaan yang terjadi pada wanita pada umur 50 ke 60 tahun di mana mereka mengalami keadaan putus haid atau tidak mendapat haid untuk setahun atau lebih. Menopaus ini boleh membuatkan seseorang mempunyai gejala seperti kering dan gatal faraj, kesukaran untuk tidur dan mempunyai sensasi panas pada bahagian muka, leher dan dada yang boleh menyebabkan peluh yang berlebihan atau kulit menjadi kemerahan.

Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa jintan manis mempunyai kesan terapeutik yang boleh membantu melegakan simptom atau gejala monopaus ini.

7. Meningkatkan memori

Di samping itu, jintan manis juga berupaya meningkatkan memori atau ingatan seseorang. Kajian ke atas tikus yang mengalami masalah penurunan memori (memory deficit) telah mendapati bahawa rawatan menggunakan ekstrak biji jintan manis kering berupaya meningkatkan ingatan tikus tersebut.

Oleh itu, ini menunjukkan bahawa biji jintan manis berpotensi untuk meningkatkan memori terutamanya bagi individu yang mempunyai gangguan ingatan seperti penyakit Alzheimer.

8. Menurunkan risiko penyakit kardiovaskular

Selain itu, jintan manis juga boleh membantu mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit tekanan darah tinggi, strok atau serangan sakit jantung. Hal ini kerana jintan manis yang mempunyai aktiviti kardiovaskular yang boleh membantu mengawal tekanan darah.

Kajian yang menggunakan ekstrak daun jintan manis telah mendapati bahawa ekstrak itu boleh menurunkan tekanan darah sekaligus boleh membantu mencegah penyakit kardiovaskular. Selain itu, ciri-ciri daun dan biji jintan manis yang antiradang, tinggi dengan antioksidan dan tinggi dengan serat juga boleh membantu menurunkan risiko penyakit kardiovaskular.

Artikel Berkaitan: Simptom Sakit Jantung dan Rawatan

9. Aktiviti antimikrobial

Di samping itu, jintan manis juga mempunyai aktiviti antimikrobial seperti antibakteria dan antikulat. Terdapat kajian yang telah mendapati bahawa ekstrak jintan manis mempunyai aktiviti antibakteria yang boleh menghalang pertumbuhan bakteria Helicobacter pylori yang biasanya ditemui di dalam perut yang boleh meyebabkan ulser atau kanser perut.

10. Mencegah kanser

Akhir sekali, salah satu khasiat jintan manis juga adalah ia berpotensi untuk mencegah kanser. Kandungan anethole di dalam biji jintan manis mempunyai aktiviti antikanser yang boleh membantu mencegah kanser.

Kajian tabung uji telah mendapati bahawa anethole boleh menghalang pertumbuhan sel dan menggalakkan apoptosis (kematian sel terprogram) di dalam sel kanser payu dara.

Terdapat juga kajian ke atas tikus yang menunjukkan bahawa ekstrak biji jintan manis mempunyai aktiviti antikanser terhadap sel kanser payudara dan kanser hati. Oleh itu, ini jelas menunjukkan bahawa jintan manis juga berpotensi untuk mencegah kanser.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dapat dilihat jintan manis samada daunnya atau bijinya mempunyai pelbagai khasiat untuk kesihatan. Jintan manis mempunyai aktiviti antioksidan, antimikrobial, antikanser dan antiradang yang boleh membantu mencegah pelbagai jenis penyakit.

Ia juga bagus untuk mengurangkan kesakitan senggugut, sebagai ‘milk booster’ bagi ibu yang menyusukan anak dan berpotensi melegakan simptom monopaus. Jintan manis juga boleh membantu meningkatkan memori, menurunkan risiko penyakit kardiovaskular dan mencegah kanser.

Walaupun memakan jintan manis adalah selamat, makanan tambahan seperti suplimen atau pati minyak berasaskan jintan manis adalah perlulah mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan dan pakar pemakanan terutamanya bagi ibu mengandung kerana ia mungkin memberi kesan kepada kandungan atau bagi individu yang sedang dalam rawatan.

Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai khasiat jintan manis.

Rujukan:

  1. Javed, R., Hanif, M. A., Ayub, M. A., & Rehman, R. (2020). Fennel. In Medicinal Plants of South Asia (p. 256). Elsevier Ltd.
  2. Koppula, S., & Kumar, H. (2013). Foeniculum vulgare Mill (Umbelliferae) attenuates stress and improves memory in wister rats. Tropical Journal of Pharmaceutical Research, 12(4), 553–558.
  3. Lee, H. W., Ang, L., Kim, E., & Lee, M. S. (2021). Fennel (Foeniculum vulgare Miller) for the management of menopausal women’s health: A systematic review and meta-analysis. Complementary Therapies in Clinical Practice, 43(February), 1–9.
  4. Lee, H. W., Ang, L., Lee, M. S., Alimoradi, Z., & Kim, E. (2020). Fennel for reducing pain in primary dysmenorrhea: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Nutrients, 12(11), 1–13.
  5. Mohamad, R. H., El-Bastawesy, A. M., Abdel-Monem, M. G., Noor, A. M., Al-Mehdar, H. A. R., Sharawy, S. M., & El-Merzabani, M. M. (2011). Antioxidant and anticarcinogenic effects of methanolic extract and volatile oil of fennel seeds (Foeniculum vulgare). Journal of Medicinal Food, 14(9), 986–1001.
  6. SelfNutritionData. (2018). Spices, fennel seed Nutrition Facts & Calories.
  7. Tafrishi, R., Shekari, S., Ajam, M., Barati, E., Haghjoyan, S. M., Rokni, A., Heydari, O., Ashrafinia, F., Dabagh Fekri, S., Ghazanfarpour, M., & Abbasi, M. (2020). The Effect of Dates and Fennel on Breastfeeding Adequacy of Mothers: A Review. Review Article, 8(9), 11891–11899.
  8. Verma, D., Punar, S., & Maheshwari, R. K. (2015). Fennel: A spice for overall health welfare. Advance Research in Agriculture and Veterinary Science, 2(July), 1–7.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + 14 =

Open

Close