10 Khasiat Bunga Cengkih Yang Anda Perlu Tahu

khasiat bunga cengkih

Apakah khasiat bunga Cengkih? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat bunga cengkih, komponen sihat di dalamnya berserta kandungan nutrisi bahan ini.

Pengenalan

Bunga cengkih ialah putik bunga daripada pokok cengkih yang juga dikenali sebagai Syzygium aromaticum. Cengkih boleh didapati dalam serbuk mahupun biji. Di mana, ianya berasal daripada negara Indonesia. Namun, di Malaysia juga ianya kini telah mula ditanam dan dikomersial.

Cengkih kebiasaannya digunakan sebagai bahan perasa untuk membakar, di tambah sebagai perisa ke dalam minuman panas, mahupun digunakan di dalam biskut dan kek. Kebanyakan masakan orang berketurunan India menggunakan cengkih sebagai bahan wajib dalam masakan mereka.

Cengkih sangat terkenal sebagai rasa yang manis dan rempah yang beraroma, namun begitu cengkih juga telah digunakan di dalam perubatan tradisional. Adakah anda tahu kandungan nutrisi cengkih yang memberikan khasiat kepada manusia?

Kandungan Nutrisi

Satu sudu teh atau bersamaan dengan 5 biji bunga cengkih mengandungi:

  • Kalori: 1kcal
  • Karbohidrat: 0.1g
  • Manganese: 55% daripada Nilai Harian (Daily Value)
  • Vitamin K: 3mg
  • Kalsium: 2mg
  • Karotena: 1μg

Kandungan Berkhasiat Dalam Bunga Cengkih

Kandungan berkhasiat bagi cengkih ialah Eugenol sebagai antioksidan. Selain itu, terdapat juga kandungan Nigericin yang penting dalam pengawalan gula dalam darah. Manganese penting dalam pembuatan tulang dan ketumpatan tulang, serta kandungan oleanolic acid (OA) sebagai komponen yang bertanggungjawab di dalam antikanser.

10 Khasiat Bunga Cengkih Pada Kesihatan

1. Kaya dengan antioksidan

Bunga cengkih mengandungi vitamin dan mineral yang penting untuk kesihatan tubuh badan, malah cengkih juga kaya dengan antioksidan. Di mana, antioksidan dapat mengurangkan tekanan oksidatif. Tekanan oksidatif ini berpunca daripada radikal bebas seperti proses metabolik tubuh badan (penjanaan tenaga), asap rokok, melakukan senaman, pencemaran udara, penggunaan dadah dan racun perosak serta terdedah terlalu lama kepada cahaya matahari.

Antioksidan akan mengurangkan tekanan oksidatif dengan menstabilkan radikal bebas tersebut. Setelah menjadi stabil, radikal bebas dapat menghalang pembentukan penyakit-penyakit kronik. Di dalam bunga cengkih, terdapat antioksidan semulajadi iaitu eugenol, di mana terdapat kajian  mengatakan tindakan eugenol sebagai antioksidan untuk menghentikan kerosakan radikal bebas adalah 5 kali ganda berkesan berbanding vitamin E yang merupakan antioksidan penting. Dengan menggunakan bunga cengkih di dalam diet bersama dengan makanan yang tinggi antioksidan mampu meningkatkan kesihatan anda.

2. Membantu mencegah penyakit kanser

Kajian mendapati bunga cengkih dapat membantu melawan penyakit kanser. Didalam satu kajian tabung uji mendapati ekstrak bunga cengkih dapat menghentikan pertumbuhan ketumbuhan dan mampu merangsang kematian sel kanser. Didalam kajian lain, minyak cengkih yang pekat dan banyak mampu menyebabkan sel mati sebanyak 80% terhadap sel kanser esofagus.

Eugenol dan oleanolic acid yang ditemui di dalam cengkih mempunyai ciri-ciri antikanser. Namun begitu, kajian yang dilakukan adalah kajian tabung uji dan bukan merupakan kajian ke atas manusia. Ianya menggunakan ekstrak cengkih, minyak cengkih dan eugenol yang sangat pekat dan jumlah yang banyak.

3. Dapat mencegah keracunan makanan

Cengkih didapati mempunyai ciri-ciri antimikroorganisma, dimana ianya mampu menghentikan pembiakan mikroorganisma seperti bakteria. Kajian tabung uji menunjukkan minyak cengkih mampu membunuh bakteria yang seperti E.Coli. iaitu sejenis bakteria yang bertanggungjawab menyebabkan keracunan makanan.  

4. Membantu kesihatan mulut

Selain itu, cengkih juga mampu menjaga kesihatan gusi. Dalam kajian menyatakan ekstrak cengkih mampu membunuh bakteria yang menyebabkan penyakit gusi. Hal ini juga disokong oleh kajian lain yang menyatakan cucian mulut yang mengandungi cengkih, minyak pokok teh dan selasih mampu memberikan perubahan positif kepada kesihatan gusi selepas 21 hari penggunaannya.

Ianya termasuk juga pengawalan plak dan bakteria di dalam mulut.  Dengan gabungan memberus gigi secara kerap dan mengamalkan kebersihan mulut yang betul, kesan aktibakteria daripada cengkih mampu memberikan kebaikan kepada kesihatan mulut.

5. Boleh membantu mengawal gula di dalam darah

Pengambilan cengkih juga mampu menjaga paras gula dalam darah agar dalam keadaan terkawal. Kajian mendapati cengkih dan komponen nigericin yang terdapat di dalam cengkih mampu meningkatkan penggambilan gula dari darah kepada sel. Ianya juga dapat meningkatkan rembesan insulin dan membaiki fungsi sel untuk membuat insulin.

Insulin ialah sejenis hormon yang bertanggungjawab di dalam membawa gula daripada darah kepada sel. Fungsi insulin yang baik akan membantu mengawal kenaikan paras gula.  Namun begitu, dengan gabungan diet yang seimbang, pengambilan cengkih mampu mengawal paras gula di dalam darah.

Artikel Berkaitan: Simptom Kencing Manis dan Rawatan

6. Boleh menggalakkan kesihatan tulang.

Kurang jisim tulang merupakan satu keadaan yang memberikan kesan kepada individu yang semakin berusia terutamanya warga emas. Kekurangan jisim tulang ini akan menyebabkan kepada osteoporosis dan akan meningkatkan risiko tulang retak dan patah.

Cengkih di dapati mampu memelihara jisim tulang di dalam kajian haiwan dengan meningkatkan ketumpatan dan kekuatan tulang. Manganese yang terdapat di dalam cengkih adalah mineral yang terlibat dalam pembuatan tulang dan ianya amat penting dalam kesihatan tulang.

7. Boleh membantu meredakan ulser di perut

Kesakitan ulser perut dapat dikurangkan dengan mengambil cengkih. Ulser perut ialah kesakitan atau luka yang terjadi pada dinding perut, duodenum dan esofagus. Ianya terjadi apabila lapisan perlindungan di perut semakin menipis disebabkan stress, jangkitan dan genetik.

Di dalam kajian, pengambilan minyak pati cengkih mampu meningkatkan pengeluaran cecair gastrik.  Di mana, cecair gastrik ini bertindak sebagai penghalang dan membantu mencegah hakisan dinding perut daripada asid pencernaan di dalam perut. 

8. Digunakan sebagai ubat penahan sakit

Cengkih telah digunakan sebagai ubat penahan sakit sejak abad ke-13 lagi. Ianya digunakan di dalam sakit gigi, mahupun sakit pada bahagian sendi. Kompnen yang terlibat sebagai penahan sakit ini ialah eugenol, yang menyebabkan rangsangan kalsium dan klorida di dalam sistem saraf yang mampu memberikan kesan analgesik. Namun begitu, dos yang digunakan ialah tinggi untuk dijadikan ubat penahan sakit iaitu 50, 70 dan 100mg/kg berat badan.

9. Membantu melegakan penyakit pernafasan

Perubatan tradisional menggunakan cengkih sebagai bantuan pernafasan. Cengih sering digunakan di dalam the di Asia untuk membantu dan merawat batuk. Selain itu, terdapat juga aroma terapi yang menggunakan cengkih yang dipanaskan sebagai satu cara merawat masalah pernafasan seperti batuk, asma, bronchitis dan resdung.

Tambahan lagi, menjadi kebiasaan bagi orang Asia mengunyah cengkih untuk mengubati sakit tekak dan keradangan pada saluran pernafasan. Dengan campuran bersama madu, ianya mampu meredakan kesesakan nafas.

10. Mempunyai sifat antithrombotik

 Cengkih mempunyai sifat anti-trombotik. Dimana, ianya mampu membuat pembekuan darah menjadi lambat kerana mempunyai eugenol. Pengambilan cengkih mempunyai kesan positif pada individu yang mempunyai masalah pendarahan seperti yang mempunyai masalah darah membeku dengan cepat. Namun, bagi yang mempunyai masalah darah ini perlu mendapatkan nasihat doktor terlebih dahulu sebelum mengambil cengkih.

Kesimpulan

Pengambilan cengkih dalam masakan tidak mempunyai kesan ketara kepada tubuh badan. Namun, pati minyak dikira selamat penggunaannya jika diambil dalam kuantiti yang rendah dari 1500mg/kg berat badan. Sekiranya diambil dalam kuantiti yang lebih akan memberikan kesan kepada hati. Manakala, WHO menyarankan kuantiti sehari yang boleh diterima ialah 2.5mg/kg berat badan manusia. Pengambilan cengkih dalam sederhana tidak memudaratkan.

Diharapkan artikel khasiat bunga cengkih ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat kepada para pembaca.

Rujukan:

  1. Lobo, V., Patil, A., Phatak, A., & Chandra, N. (2010). Free radicals, antioxidants and functional foods: Impact on human health. Pharmacognosy reviews4(8), 118–126.
  2. Cortés-Rojas, D. F., de Souza, C. R., & Oliveira, W. P. (2014). Clove (Syzygium aromaticum): a precious spice. Asian Pacific journal of tropical biomedicine4(2), 90–96.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

five × two =

Open

Close