Skip to content

10 Khasiat Buah Zaitun Yang Anda Perlu Tahu

Apakah Khasiat Buah Zaitun Kepada Kesihatan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat buah zaitun, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalam buah ini.

Pengenalan

“Demi buah tiin dan zaitun. Dan Gunung Tursina”. Serta negeri (Makkah) yang aman ini”. (Surah at Tiin ayat 1 hingga ayat 3). Berdasarkan ayat ini, Alllah S.W.T. bersumpah dengan buah tin dan buah zaitun. Tahukah anda apakah itu buah zaitun? Sebelum itu, mari kita kenali dulu pokok zaitun. Pokok zaitun atau nama saintifiknya, Olea europea L. merupakan sebahagian daripada keluarga Oleaceae. Pokok zaitun tumbuh secara liar di Asia Kecil yang merangkumi negara Turki, Syria dan Lubnan. Menarik tentang pokok zaitun ialah pokok ini adalah antara pokok yang tertua di dunia iaitu telah diusahakan untuk mendapatkan hasilnya sejak 6000 tahun dahulu.

Pokok zaitun juga tumbuh di kawasan Laut Mediterranean yang beriklim Mediterranean yang sangat sesuai untuk tumbesaran pokok ini. Kawasan ini mempunyai musim sejuk yang berhujan lebat manakala musim panasnya tiada hujan dan panas.

Berdasarkan sejarah, bangsa Arab Islam telah menguasai penanaman zaitun di Andalus (Sepanyol). Pokok zaitun ini juga telah ditanam di Amerika setelah penemuan benua tersebut pada 1492. Setelah itu, pokok zaitun turut ditanam di Mexico, Peru, Argentina, Chile dan Wilayah California.

Pokok zaitun ini menghasilkan buah zaitun yang terdiri daripada pelbagai warna dan rasa. Bunga-bunga putih yang kecil dan berkelopak empat akan terhasil pada bulan Mei dan berbuah dalam bulan Mei hingga Jun. Buah zaitun berbentuk bujur dan mempunyai isi serta satu biji didalamnya.

Biji buah zaitun bersaiz antara 1 hingga 2.5 sentimeter. Buah zaitun mempunyai saiz yang lebih besar sekiranya ditanam dan dijaga pertumbuhannya berbanding dengan pokok zaitun yang tumbuh secara liar. Buahnya dipetik semasa masih hijau atau dibiarkan sehingga berwarna keunguan bagi buah zaitun hitam.

Kandungan Nutrisi

Artikel kali ini akan mengupas tentang kandungan nutrisi dan khasiat buah zaitun terhadap kesihatan. Berdasarkan kajian, buah zaitun mengandungi kalori sebanyak 115 hingga 145 kCal untuk setiap 100g buah zaitun atau 59 kCal untuk setiap 10 biji buah zaitun. Buah zaitun mengandungi makronutrient dan juga mikronutrient yang penting untuk badan. Dibawah ini menunjukkan kandungan makronutrient dalam setiap 100g buah zaitun.

  • Kalori: 115-145kcal
  • Karbohidrat: 6.3g
  • Protein: 0.8g
  • Lemak: 10.7g
  • Serat: 3.2g
  • Air: 80% daripada berat buah zaitun

Buah zaitun dikenali sebagai buah yang rendah karbohidrat. Ini kerana kandungan karbohidrat hanya 4% hingga 6% daripada jumlah kesuluruhan kalori. Menariknya, 52% hingga 86% karbohidrat dalam buah zaitun ini terdiri daripada serat.

Namun demikian, buah zaitun bukanlah sumber serat yang terbaik kerana 10 biji buah zaitun hanya membekalkan kira-kira 1.5g serat. Buah zaitun mengandungi lemak dalam 11% hingga 15% dan komponen utama lemak dalam buah zaitun adalah asid oleik yang merupakan asid lemak mono-tidak tepu.

Asid oleik ini memberikan kebaikan kepada kesihatan seperti mengurangkan keradangan dan mengurangkan risiko penyakit berkaitan jantung. Asid oleik turut membantu dalam melawan kanser.

Buah zaitun turut mengandungai vitamin dan mineral. Namun demikian, tiada lagi kajian dijalankan untuk mengkaji kuantiti vitamin dan mineral dalam buah zaitun. Buah zaitun mengandungi vitamin E yang tinggi dan menjadikan buah zaitun sebagai sumber antioksidan yang baik.

Selain itu, buah zaitun mengandungi zat besi. Zat besi adalah mineral penting diperlukan untuk membawa oksigen dalam sel darah merah. Buah zaitun turut mengandungi kalsium yang penting untuk pertumbuhan dan kekuatan tulang, otot dan juga sistem saraf. Seterusnya, buah zaitun turut mengandungi kuprum, mineral penting dalam mengurangkan risiko penyakit jantung.

Kandungan Berkhasiat Dalam Buah Zaitun

Buah zaitun diperkaya dengan sebatian tumbuhan dimana kebanyakkannya adalah antioksidan. Sebagai contoh, oleuropein, hydroxytyrosol, tyrosol, oleanolic acid dan quercetin. Oleuropein dan metabolit hydroxytyrosol, mempunyai kesan antioksidan, anti keradangan dan juga kesan dalam melawan penyakit.

Oleuropein berupaya dalam mengurangkan tekanan darah. Kajian terhadap haiwan dijalankan menunjukkan bahawa apabila haiwan tersebut disuntik dengan oleuropein yang masuk terus ke dalam saluran darah, oleuropein akan mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik.

Tidak hairanlah bahawa buah zaitun digunakan dalam perubatan tradisional dalam mengurangkan tekanan darah tinggi. Kajin menunjukkan oleuropein melindungi hipotalamus, bahagian penting pada otak, daripada tekanan oksidatif.

Oleuropein meningkatkan fungsi mitokondria melalui pengaktifan laluan Nrf2. Selain daripada mengurangkan tekanan darah tinggi, oleuropein mempunyai kesan perlindungan terhadap jantung, kesan anti keradangan, antioksidan, anti kanser dan kesan perlindungan terhadap sistem saraf.

Quercetin adalah pigmen yang memberikan warna kepada buah-buahan dan sayur-sayuran. Quercetin adalah antioksidan yang membantu dalam melawan radikal bebas iaitu molekul yang mengandungi elektron tidak berpasangan.

Ini kerana elektron secara normal akan berpasangan tetapi radikal bebas akan mengelilingi tubuh badan, menarik elektron jauh daripada molekul yang lain. Ini akan merosakkan sel dalam badan. Quercetin akan melawan radikal bebas dengan menggabungkan elektron yang tidak berpasangan supaya radikal bebas ini tidak aktif.

Quercetin mengurangkan risiko penyakit kanser dengan melawan radikal bebas dan menghalang pertumbuhan sel kanser. Quercetin turut membantu dalam mengurangkan tekanan darah, mengurangkan paras kolesterol dan mengembangkan semula saluran darah yang sempit.

Selain itu, quercetin meningkatkan kesihatan otak dengan mengurangkan keradangan dan melindungi sel otak daripada toksin. Antioksidan yang tinggi mengurangkan risiko penyakit Alzheimer dan penyakit degeneratif otak yang lain.

10 Khasiat Buah Zaitun

1. Menghasilkan Kesan Antioksidan

Salah satu khasiat buah zaitun adalah ia merupakan sumber antioksidan yang bagus, berupaya untuk menghalang berlakunya keradangan kronik dan mengurangkan pertumbuhan mikroorganisma jahat. Antioksidan adalah bahan yang menghalang kerosakan pada sel disebabkan oleh radikal bebas dan menghasilkan molekul yang tidak stabil sebagai salah satu tindak balas terhadap persekitaran dan tekanan daripada sumber lain.

Antioksidan dalam buah zaitun berpotensi dalam mengurangkan risiko penyakit kronik seperti sakit jantung dan kanser. Satu kajian menunjukkan bahawa amalan pengambilan buah zaitun meningkatkan paras glutation.

Glutation adalah salah satu sumber antioksidan terbaik untuk badan yang berupaya dalam untuk menghalang kerosokan pada componen sel yang disebabkan oleh spesies oksigen reaktif seperti radikal bebas, peroksida dan oksigen agen disini.

2. Mempunyai Kesan Anti Keradangan

Keradangan adalah tindak balas yang dihasilkan apabila berlakunya kecedaraan pada tisu dalam badan. Namun demikian, keradangan yang teruk menyebabkan tercetusnya penyakit-penyakit kronik. Salah satu petunjuk untuk keradangan adalah prtein C-reaktif dalam darah.

Satu ulasan kajian berdasarkan 30 kajian berkaitan dengan kesan pengambilan buah zaitun terhadap keradangan. Merujuk kepada ulasan kajian menunjukkan bahawan buah zaitun mengurangkan paras protein C-reaktif.

Kajian lain menunjukkan bahawa pengambilan buah zaitun dalam dua hingga tiga biji mengurangkan paras protein C-reaktif para pesakit yang menghidap sakit jantung.

3. Mengelakkan Daripada Penyakit Obesiti

Penyakit obesiti yang sering dikaitkan dengan rintangan insulin akan menyebabkan darah tinggi, paras gula dan lemak meningkat. Pengambilan makanan yang tinggi dengan polifenol seperti buah zaitun memberikan kesan anti obesogenik.

Pengambilan buah zaitun yang sederhana tidak akan meningkatkan berat badan dan digunakan sebagai snek cadangan untuk golongan yang ingin menurunkan berat badan.

Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa polifenol dalam buah zaitun menghalang proses pencernaan karbohidrat dan lipid dalam perut. Ini menghalang daripada penyerapan makronutrient ke dalam usus.

4. Mengawal Penyakit Kencing Manis

Buah zaitun juga diamalkan untuk mengawal penyakit kencing manis berdasarkan beberapa kajian saintifik. Satu kajian yang dijalankan oleh Universiti Sapienza di Rom menerangkan khasiat yang diperoleh melalui pemakanan tradisional Mediterranean untuk pesakit kencing manis.

Dalam kajian tersebut, menu makan tengah terdiri daripada buah-buahan, sayur-sayuran, gandum dan ikan. Untuk hari pertama, selepas makan tengah hari, para peserta kajian diberikan minyak zaitun untuk dimakan selepas makan tengah hari. Manakala, hari kedua, para peserta diberikan minyak jagung.

Keputusan daripada kajian tersebut menunjukkan bahawa kenaikan gula semasa hari pertama lebih rendah daripada hari kedua.

Artikel Berkaitan: Simptom Kencing Manis dan Rawatan

5. Mengawal Paras Kolesterol Dalam Badan

 Selain daripada mengawal penyakit kencing manis, buah zaitun turut mampu mengawal paras kolesterol dalam badan. Kajian dilakukan untuk mengetahui kesan pengambilan buah zaitun terhadap paras kolesterol. Kajian yang mengambil masa selama 12 minggu dan kajian ini tidak dibantu oleh sebarang ubat mengawal kolesterol.

Keputusan kajian menunjukkan bahawa buah zaitun berupaya untuk mengurangkan paras kolesterol sebanyak 5% hingga 25% kerana kandungan hydroxytyrosol. Buah zaitun menurunkan paras kolesterol lebih banyak berbanding dengan sterol tumbuhan, serat larut atau ekstrak bawang putih.

Namun demikian, pesakit yang menghidap penyakit kolesterol tinggi tidak digalakkan untuk mengambil buah zaitun sahaja tanpa ubat yang dibekalkan oleh doktor. Ubat untuk mengawal kolesterol perlu diambil dan buah zaitun hanya dijadikan sebagai makanan tambahan.

Artikel Berkaitan: Punca Kolesterol Tinggi dan Rawatan

6. Mengawal Tekanan Darah Tinggi

Satu kajian yang dijalankan terhadap sekumpulan sukarelawan yang menghidap penyakit tekanan darah tinggi di Itali menunjukkan bahawa pengambilan buah zaitun mengurangkan paras tekanan darah yang tinggi dan mengurangkan kebergantungan terhadap ubat.

Kandungan polifenol membantu dalam mengurangkan tekanan darah sistolik dan juga diastolik. Secara mekanisme, polifenol memberikan kesan anti keradangan, kesan antioksidan dan meningkatkan penghasilan nitrik oksida.

Artikel Berkaitan: Simpom Darah Tinggi dan Rawatan

7. Melindungi Daripada Penyakit Jantung

Buah zaitun yang merupakan komponen penting dalam diet Mediterranean. Buah zaitun yang masak ranum mengandungi komponen bioaktif dan antioksidan seperti polifenol, fitosterol dan vitamin E. Kajian menunjukkan bahawa pengambilan buah zaitun mengurangkan risiko penyakit jantung dalam populasi masyarakat Sepanyol dan Itali.

Berdasarkan kajian dijalankan di Sepanyol menunjukkan bahawa pengambilan buah zaitun mengurangkan risiko dan kematian disebabkan oleh penyakit jantung. Manakala kajian dijalankan di Itali turut membuktikan bahawa pengambilan buah zaitun mengurangkan kadar kematian disebabkan oleh serangan jantung akut dan strok.

Artikel Berkaitan: Simptom Sakit Jantung dan Rawatan

8. Melindungi Daripada Penyakit Kanser

Terdapat bukti saintifik menunjukkan bahawa terdapat kaitan antara pengambilan buah zaitun dan kesan anti kanser. Kanser payudara dan kanser berkaitan dengan sistem penghadaman adalah kanser yang boleh dicegah melalui pengambilan buah zaitun dalam pemakanan.

Kanser payudara adalah kanser kedua tertinggi yang dialami oleh golongan wanita. Sehingga tahun 2018, lebih daripada 2 juta kes kanser payudara telah didiagnos seluruh dunia. Kanser payudara merupakan antara lima kanser utama yang menyebabkan kematian.

Namun demikian, kadar kes kanser payudara di negara-negara Mediterranean lebih rendah daripada negara-negara yang lain seperti negara di Eropah, United Kingdom dan Amerika Syarikat. Berdasarkan kajian, masyarakat di negara Mediterranean mengamalkan buah zaitun dalam diet seharian.

Satu kajian dijalankan untuk mengkaji kesan buah zaitun dalam mengurangkan risiko kanser payudara. Dalam kajian tersebut, terdapat dua kumpulan iaitu Kumpulan A, kumpulan yang mengamalkan buah zaitun sebagai makanan tambahan dan Kumpulan B, kumpulan yang tidak mengambil buah zaitun. Keputusan daripada kajian tersebut menunjukkan bahawa risiko untuk mendapat penyakit kanser payudara dalam kumpulan A ialah 68% lebih rendah berbanding kumpulan B.

9. Meningkatkan Kekuatan Tulang

Osteoporosis adalah penyakit dimana jisim tulang berkurangan dan tulang menjadi rapuh. Ini akan meningkatkan risiko tulang patah. Kadar osteoporosis di negara-negara Mediterranean lebih rendah jika dibandingkan dengan negara-negara Eropah.

Ini menjadi tanda soal bahawa adakah pengambilan buah zaitun yang menjadi amalan tradisional di negara-negara Mediterranean yang menyumbang kepada kekuatan tulang. Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa sebatian tumbuhan yang terkandung dalam buah zaitun membantu dalam meningkatkan kekuatan tulang dan mengurangkan risiko tulang patah. Namun demikian, kajian terhadap manusia masih belum dijalankan.

10. Meningkatkan Kesihatan Mulut

Selain daripada penyakit metabolik, buah zaitun turut membantu dalam meningkatkan kesihatan mulut. Kajian yang dijalankan dalam kalangan atlet di Sepanyol menunjukkan bahawa pengambilan buah zaitun meningkatkan tahap kesihatan mulut.

Kandungan lipid dalam buah zaitun memberikan kesan hidrofobia pada bahagian lelangit mulut untuk mengelakkan daripada pengumpulan bakteria. Ini turut mengurangkan karies pada gigi. kandungan polifenol dalam buah zaitun turut membantu dalam profilaksis iaitu rawatan karies gigi dan periodontitis iaitu jangkitan pada bahagian mulut untuk meningkatkan kesihatan mulut.

Kesimpulan

Diharapkan bahawa penulisan kali ini memberikan input yang bermanfaat tentang khasiat buah zaitun kepada manusia. Buah zaitun yang kaya dengan lemak tidak tepu, antioksidan, antikuman serta telah membantu merawat pelbagai penyakit seperti kanser, tekanan darah tinggi dan juga mengurangkan paras kolesterol kepada normal untuk mengurangkan risiko penyakit jantung.

Oleh itu, pengambilan buah zaitun dalam diet seharian amat digalakkan. Pelbagai produk berasaskan buah zaitun seperti minyak zaitun boleh ditemui di pasaran dan diharapkan agar lebih banyak produk lagi boleh dihasilkan.

Khasiat Makanan yang lain

Khasiat Habbatus SaudaKhasiat Manjakani
Khasiat Buah ZaitunKhasiat Air Lemon
Khasiat MengkuduKhasiat Brokoli
Khasiat YogurtKhasiat Jintan Manis
Khasiat MaduKhasiat Kulit Kayu Manis
Khasiat KopiKhasiat Tempe
Khasiat Daun PandanKhasiat Bunga Cengkih
Khasiat Ikan HaruanKhasiat Ikan Bilis
Khasiat Ikan KeliKhasiat Belut

Rujukan

  1. Bjarnadottir, A. (2019). Olives 101: Nutrition Facts and Health Benefits. Healthline. Disunting daripada
  2. British Dental Association. (2020). Olive and Oral Health. British Dental Journal, 229(2).
  3. Knaub, K., Modinger, Y., Wilhelm, M., & Schon, C. (2020). LDL-Cholesterol Lowering Effect of Hydroxytyrosol (HTEssence®) Randomized Double-Blind,  Placebo-Controlled Parallel Study. Journal of Nutrition of Food Sciences,    10(4).
  4. Saibandith, B., Spencer, J.P.E., Rowland, I.R., & Commane, D.M. (2017). Olive Polyphenols and the Mteabolic Syndrome. Molecules, 22(7). 1082-1089.
  5. Sun, W., Frost, B., & Liu, Jiankang. (2017). Oleuropein, Unexpected Benefits! Oncotarget, 8(11), 1-12.
  6. Syed Najihuddin, S.H., & Mohd Yusuf, I. (2010). Buah Zaitun: Keberkatan dan Rahsia Perubatan. Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, USIM, 1-9.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven + ten =