Sakit Jantung: Punca, Simptom dan Rawatan

sakit jantung

Apakah punca dan tanda kepada sakit jantung? Artikel ini akan membincangkan secara lengkap berkenaan, punca, simptom, faktor risiko, rawatan dan pencegahan kepada masalah ini.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Simptom Sakit Jantung
  3. Faktor Risiko dan Punca Sakit Jantung
  4. Penyakit lain yang berkaitan
  5. Ujian Pemeriksaan
  6. Rawatan
  7. Komplikasi
  8. Cara Pencegahan

Apa itu Serangan Jantung?

Serangan jantung ataupun sakit jantung terjadi apabila saluran darah ke jantung yang memberi oksigen kepada otot jantung terputus dan menyebabkan sel otot jantung mula mati.

Saluran darah boleh tersumbat daripada kumpulan lemak, kolesterol dan bahan lain yang membentuk plak dalam saluran darah yang mengalir ke jantung iaitu coronary arteries.

Kadangkala, plak ini boleh pecah dan membentuk ketulan darah beku yang mengganggu saluran darah dan merosakkan otot jantung.

Serangan jantung merupakan antara pembunuh senyap dalam masyarakat dan sering dikaitkan dengan tabiat merokok. Dahulu, ia merupakan satu penyakit yang dialami oleh lelaki berusia 50an namun sekarang, trend menunjukkan lelaki berusia semuda 30an dan juga wanita juga diserang sakit jantung.

Simptom Sakit Jantung

Tanda tanda serangan jantung yang sering diadukan oleh pesakit adalah seperti berikut:

  • Rasa berat, sakit yang menekan atau menghimpit dada, yang boleh merebak ke bahagian leher, rahang dan tangan kiri
  • Loya, pedih ulu hati, sakit pada perut
  • Kesukaran bernafas
  • Berpeluh peluh
  • Kelesuan
  • Sakit kepala atau pening

Namun begitu, tidak semua pesakit yang mengalami serangan jantung mempunyai simptom yang sama. Terdapat mereka yang hanya mengalami sakit dada yang sederhana. Terdapat juga serangan jantung yang datang secara tiba tiba. Namun terdapat juga mereka yang mengalami tanda tanda di atas beberapa hari atau minggu sebelum serangan jantung terjadi.

Terdapat juga keadaan dimana tanda tanda sakit dada diatas terjadi apabila mereka melakukan aktiviti berat dan hilang apabila mereka berehat. Keadaan ini disebut sebagai angina iaitu apabila aliran darah ke jantung berkurangan secara sementara berpunca daripada saluran darah yang sempit.

Faktor risiko dan Punca Sakit Jantung

Faktor risiko ini menyumbang kepada terjadinya pengumpulan lemak yang membentuk plak (atherosclerosis) yang menyempitkan saluran darah dan menghalang darah dari mengalir dengan baik. Antara faktor risiko ialah:

1. Usia

Lelaki berusia 45 tahun keatas dan wanita berusia 55 tahun ke atas lebih berisiko mengalami serangan jantung.

2. Jantina

Lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi menghadapi sakit jantung berbanding kaum wanita

3. Tabiat Merokok

Mereka yang merokok mempunyai risiko yang lebih tinggi berbanding daripada mereka yang tidak merokok ini termasuk perokok pasif. Ini disebabkan asap rokok meningkatkan radikal bebas yang akan memudahkan pembentukan atherosclerosis pada saluran darah

4. Tekanan Darah Tinggi

Tekanan darah tinggi buat jangka masa yang lama boleh merosakkan saluran darah di jantung. Tekanan darah tinggi yang terjadi dengan keadaan lain seperti obesity, kolesterol tinggi dan kencing manis meningkatkan risiko anda dengan lebih tinggi.

5. Kolesterol Tinggi

Jumlah kolesterol jahat iaitu low density lipoprotein dan kandungan triglyceride yang tinggi menyebabkan saluran darah mudah menjadi tersumbat. Kedua dua jenis kolesterol jahat ini sering dikaitkan dengan gaya pemakanan tidak sihat. Namun begitu, terdapat juga kolesterol baik iaitu high density lipoprotein  yang dikaitkan dengan aktiviti senaman yang akan mengurangkan risiko anda.

6. Berat Badan Berlebihan

Obesiti dikaitkan dengan kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi dan juga kencing manis. Pengurangan berat badan sebanyak 10% boleh mengurangkan risiko serangan jantung.

7. Kencing Manis

Kencing manis adalah disebabkan kegagalan badan menghasilkan jumlah insulin yang cukup bagi mengawal kandungan gula dalam darah menyebabkan kandungan gula menjadi tinggi dan merosakkan saluran darah, seterusnya meningkatkan risiko serangan jantung.

8. Sejarah sakit jantung dalam keluarga.

Risiko mengalami masalah ini bertambah sekiranya terdapat ahli keluarga seperti adik beradik, ibubapa ataupun datuk dan nenek yang mengalami serangan jantung.

9. Kurang melakukan aktiviti fizikal.

Gaya hidup yang tidak aktif menyumbang kepada terjadinya kolesterol tinggi dan obesiti. Mereka yang kerap bersenam mempunyai jantung yang lebih sihat.

10. Penggunaan bahan terlarang

Penggunaan bahan terlarang seperti dadah (kokain) boleh menyebabkan saluran darah menjadi kecut dan ini menyebabkan aliran darah ke jantung berkurangan. Akhirnya, serangan jantung berlaku.

Penyakit lain yang berkaitan

Bukan sahaja serangan jantung yang boleh menyebabkan sakit dada. Malahan terdapat pelbagai lagi penyakit yang boleh menyebabkan sakit dada. Antaranya ialah:

  • Pneumothorax iaitu pengumpulan udara dalam ruangan thoraks
  • Pulmonary embolism iaitu ketulan darah beku yang tersumbat di saluran darah paru paru
  • Asid refluks atau pedih ulu hati dimana kandungan asid dalam perut naik ke bahagian esofagus
  • Radang pancreas
  • Tulang rusuk patah
  • Radang pada lapisan pericardium di sekeliling jantung

Ujian Pemeriksaan

Jika anda mengalami tanda tanda sakit jantung di atas, segera ke hospital berdekatan bagi mendapatkan rawatan kecemasan. Kebiasaannya doktor akan memeriksa keadaan anda dan menstabilkan keadaan anda terlebih dahulu sebelum bertanyakan mengenai sejarah kesihatan anda.

Doktor akan bertanya mengenai sakit dada yang dialami, masalah kesihatan lain, ubatan yang anda ambil, sejarah sakit jantung dalam keluarga dan lain lain. Setelah itu doktor akan memeriksa anda bagi memastikan tiada punca lain yang menyebabkan sakit dada anda. Terdapat beberapa ujian yang dijalankan bagi mengesahkan serangan jantung. Antaranya:

  • Ujian ECG atau elektrokardiogram bagi melihat aktiviti elektrikal pada jantung. Serangan jantung akan menyebabkan beberapa jenis perubahan pada ECG anda yang mengesahkan serangan jantung sedang berlaku.
  • Ujian echocardiogram bagi melihat struktur jantung dengan lebih jelas.
  • Ujian Xray pada bahagian dada bagi melihat sekiranya terdapat punca lain yang menyebabkan sakit dada
  • Ujian darah bagi melihat kandungan kolesterol, gula dan ujian pembekuan darah bagi melihat keadaan kesihatan anda
  • Ujian darah bagi melihat biomarkers ataupun penanda serangan jantung seperti Troponin dan Creatine Kinase

Rawatan Sakit Jantung

Rawatan kecemasan bagi serangan jantung akan diberikan sejurus anda tiba di jabatan kecemasan. Berikut merupakan antara rawatan dan ubatan awal yang akan diberikan:

  • Aspirin/Clopidogrel iaitu ubat pencair darah
  • Morphine iaitu ubat tahan sakit
  • Nitrates iaitu ubat bagi membuka saluran darah yang sempit
  • PCI atau percutaneous coronary intervention di mana belon atau stent dimasukkan bagi membuka saluran darah yang sempit
  • Ubat kolesterol (Statin) dan juga ubat tekanan darah tinggi (Captopril)

Komplikasi serangan jantung

Terdapat beberapa komplikasi kepada masalah ini. Ia adalah:

  • Arrythmias iaitu degupan jantung tidak sekata disebabkan oleh kerosakan otot jantung
  • Kegagalan jantung atau lemah jantung yang berpunca daripada kerosakan otot jantung
  • Jantung berhenti berdenyut. Jika serangan sakit jantung tersebut, jantung pesakit boleh berhenti berdenyut dan mengakibatkan kemataian

Cara Pencegahan

Terdapat beberapa cara pencegahan yang akan dilakukan untuk mengelakkan perkara ini. Ia adalah:

  • Gaya hidup yang lebih aktif dengan mengamalkan senaman dan aktiviti riadah secara berkala, sebaik baiknya 30 minit setiap hari.
  • Berhenti merokok ataupun vaping.
  • Pengambilan makanan yang sihat dan kurang lemak serta gula bagi mengawal kandungan kolesterol dan gula dalam darah.
  • Ubatan. Pengambilan ubatan bagi mencegah serangan jantung amat penting. Selain itu, patuhi arahan doktor dengan mengambil ubatan lain yang berkaitan seperti ubat kolesterol, ubat darah tinggi dan ubat kencing manis bagi mengurangkan risiko serangan jantung.

Rujukan

  1. Heart attack. National Heart, Lung, and Blood Institute.
  2. Reeder GS, et al. Diagnosis of acute myocardial infarction. Uptodate.
  3. About heart attacks. American Heart Association.
  4. AskMayoExpert. Cardiac rehabilitation: Indications (adult). Mayo Clinic; 2019.
  5. Physical Activity Guidelines for Americans. 2nd ed. U.S. Department of Health and Human Services.
  6. Percutaneous coronary intervention. National Heart, Lung, and Blood Institute.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

19 + fourteen =

Open

Close