10 Khasiat Kulit Kayu Manis Kepada Kesihatan Badan

khasiat kulit kayu manis

Kulit kayu manis adalah sejenis bahan yang sentiasa digunakan dalam masakan. Artikel ini akan membincangkan mengenai khasiat kulit kayu manis, kandungan nutrisi dan komponen sihat di dalamnya

Pengenalan

Kulit kayu manis adalah sejenis herba atau rempah yang boleh didapati daripada kulit pokok kayu manis. Pokok kayu manis atau nama saintifiknya Cinnamomum zeylanicum adalah sejenis pokok malar hijau yang mempunyai daun berbentuk bujur, berkulit tebal dan mempunyai buah beri. Ia berasal dari Sri Lanka dan telah banyak ditanam di kawasan Selatan India dan di negara-negara Asia seperti China dan Indonesia.

Kulit kayu manis boleh didapati dalam pelbagai bentuk termasuk dalam bentuk kayu kering, serbuk dan juga ekstrak kayu manis sebagai minyak pati (essential oil). Kulit kayu manis telah digunakan secara meluas di dalam masakan seperti di dalam sup dan gulai. Ia juga biasa ditambah di atas roti atau di dalam kopi dan teh sebagai penambah rasa.  

Kandungan nutrisi

Tidak dinafikan, kulit kayu manis juga mempunyai nutrisi yang baik. Jadual di bawah menunjukkan kandungan nutrisi yang ada di dalam kulit kayu manis.

NutrienJumlah (setiap 1 sudu makan (8g) serbuk kulit kayu manis)
Kalori (kcal)19.1
Karbohidrat (g)6.2
*Jumlah serat (g)4.1
*Gula (g)0.2
Protein (g)0.3
Jumlah lemak (g)0.1
Vitamin A (IU)22.9
Vitamin C (mg)0.3
Vitamin e (mg)0.2
Vitamin K(mcg)2.4
Vitamin B1 (mg)0.0
Vitamin B2 (mg)0.0
Vitamin B3 (mg)0.1
Vitamin B12 (mcg)0.0
Asid folik (mcg)0.5
Kalsium (mg)77.7
Zat besi (mg)0.6
Magnesium (mg)4.7
Fosforus (mg)5.0
Kalium (mg)33.4
Natrium (mg)0.8
Mangan (mg)1.4

Berdasarkan jadual di atas, dapat dilihat kulit kayu manis rendah dengan lemak.

Ia juga kaya dengan vitamin dan mineral yang bagus untuk fungsi badan.

Kandungan berkhasiat dalam kulit kayu manis

Kulit kayu manis juga mempunyai pelbagai komponen penting yang baik untuk kesihatan kita. Kulit kayu manis mengandungi pelbagai jenis antioksidan seperti catechin, glutathione, flavonoid, polifenol, cinnamaldehyde, cineol, eugenol dan cinnamic acid.

Antioksidan ini boleh membantu badan melawan radikal bebas seterusnya mencegah penyakit seperti kanser. Selain itu, kulit kayu manis juga kaya dengan kandungan minyak pati semulajadi. Hampir 65 hingga 80% minyak pati di dalam kulit kayu manis terdiri daripada cinnamaldehyde yang bersifat sebagai antimikrobial dan antihiperglicaemia.

Selain itu, kulit kayu manis juga mengandungi komponen cinnamic aldehyde yang boleh memberi bau wangi dan aroma kayu manis yang boleh memberi rangsangan kognitif sekaligus meningkatkan memori, kapasiti motor visual dan memori virtual. Komponen ini juga boleh membantu menangani masalah kemurungan dan stres.

10 Khasiat kulit kayu manis kepada kesihatan

Memandangkan kulit kayu manis mempunyai beberapa komponen yang penting untuk kesihatan, ia sekaligus memberi khasiat kepada kesihatan kita. Berikut adalah beberapa khasiat kulit kayu manis kepada kesihatan:

1. Mengawal paras gula dalam darah

Antara khasiat kulit kayu manis adalah ia boleh membantu mengawal paras gula dalam darah. Kajian ke atas pesakit diabetes jenis 2 telah mendapati bahawa pengambilan kulit kayu manis (3g serbuk kulit kayu manis, 3 kali sehari, selama 4 bulan) boleh menurunkan bacaan paras gula dalam darah semasa berpuasa.

Hal ini kerana kandungan polifenol yang ada di dalam kulit kayu manis yang boleh berfungsi seperti insulin yang boleh mengawal paras gula di dalam darah.  Kulit kayu manis juga mempunyai komponen cinnamaldehyde  yang mempunyai aktiviti antihiperglicemik sekaligus menghalang peningkatan paras gula dalam darah.

Artikel Berkaitan: Simptom Kencing Manis dan Rawatan

2. Mengawal bacaan profil lipid

Selain itu, kulit kayu juga berpotensi untuk mengawal bacaan profil lipid atau kandungan lemak dalam badan. Pelbagai kajian telah menunjukkan bahawa ekstrak kulit kayu manis boleh menurunkan paras jumlah kolesterol, trigliserida dan LDL-kolesterol (kolesterol jahat) di dalam darah.

Selain itu, kulit kayu itu juga boleh meningkatkan paras HDL-kolesterol (kolesterol baik) dalam darah. Oleh itu, ini menunjukkan bahawa kulit kayu manis boleh membantu mencegah masalah tinggi kolesterol sekaligus boleh menurunkan risiko penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung, strok dan darah tinggi.

3. Aktiviti antioksidan

Di samping itu, pelbagai kajian telah mendapati bahawa kulit kayu manis mempunyai aktiviti antioksidan yang boleh berpotensi membantu melawan radikal bebas di dalam badan.

Terdapat juga kajian klinikal yang mendapati bahawa pengambilan ekstrak kulit kayu manis boleh menambahbaik paras penanda tekanan oksidatif yang menunjukkan tahap tekanan oksidatif sekaligus boleh menunjukkan risiko kepada pelbagai jenis penyakit.

Hal ini kerana kulit kayu manis kaya dengan antioksidan seperti cinnamaldehyde, cineol, eugenol dan cinnamic acid yang berperanan melawan radikal bebas sekaligus mencegah penyakit.

4. Aktiviti antimikrobial

Kulit kayu manis juga mempunyai aktivti antimikrobial yang boleh membantu melawan jangkitan. Komponen cinnamaldehyde mempunyai aktiviti antimikrobial yang boleh menghalang pertumbuhan pelbagai jenis mikroorganisma seperti Pseudomonas,yis, Clostridium, Helicobacter dan Candida.

Komponen cinnamaldehyde dan eugenol yang ada di dalam kulit kayu manis boleh menghalang penghasilan enzim yang dihasilkan bakteria dan merosakkan dinding sel tersebut sekaligus menghalang pembiakan mikroorganisma tersebut.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan bahawa kulit kayu manis boleh menghalang pembentukan mikrobiota di dalam mulut sekaligus boleh menghalang pembentukan plak gigi dan mencegah mulut berbau.

5. Sebagai antiradang

Selain itu, kulit kayu manis juga mempunyai aktiviti antiradang yang boleh membantu menghalang keradangan yang boleh membawa kepada pelbagai jenis penyakit.

Kajian ke atas tikus yang mempunyai masalah rheumatoid artritis dan keradangan mendapati bahawa kandungan polifenol di dalam kulit kayu manis mempunyai aktiviti antiradang dan antiartritis yang boleh membantu mengurangkan kesakitan dan membantu mengawal keradangan.

6. Bagus untuk penyakit neurodegeneratif

Penyakit neurodegeneratif adalah sejenis penyakit yang berlaku disebebkan kemerosotan progresif struktur dan fungsi sel otak yang boleh menyebabkan masalah kepada sistem saraf. Oleh itu, ia boleh menyebabkan masalah pada pergerakan dan fungsi kognitif seterusnya boleh mempengaruhi  aktiviti harian seperti bergerak, bercakap dan mengingat. 

Antara penyakit neurodegeneratif yang biasa terjadi adalah penyakit Alzheimer dan Parkinson.  Kajian telah mendapati bahawa ekstrak kulit kayu manis boleh mengawal faktor yang menyebabkan penyakit neurodegeneratif ini. Komponen yang ada di dalam herba ini boleh menghalang pembentukan protein bernama tau di dalam otak yang boleh membawa kepada masalah neurodegeneratif seperti penyakit Alzheimer.

Oleh itu, ini menunjukkan bahawa kulit kayu manis berpotensi untuk mencegah atau mengurangkan kesan penyakit neurodegeneratif.

7. Bagus untuk penyembuhan luka

Di samping itu, kulit kayu manis juga bagus untuk proses penyembuhan luka. Terdapat kajian yang menunjukkan bahawa ubat sapuan daripada kulit kayu manis boleh menambah baik proses penyembuhan luka pada tikus.

8. Mengawal sindrom ovari polisistik

Sindrom ovari polisistik (PCOS) adalah sejenis penyakit hormon wanita yang boleh mempengaruhi kitaran haid, kesuburan dan rupa wanita yang mengalaminya. Kebanyak wanita yang mengalami PCOS mempunyai berat badan yang berlebihan, menghadapi masalah kencing manis, tekanan darah tinggi dan penyakit jantung.

Pelbagai kajian telah mendapati bahawa pengambilan kulit kayu manis  efektif dalam menurunkan berat badan  dan mengawal bacaan paras gula di dalam pesakit PCOS.

Hal ini kerana kulit kayu manis mempunyai aktiviti antioksidan yang boleh menambahbaik oksidatif stres dalam individu yang mengalami masalah PCOS sekaligus mengawal PCOS.

9. Bagus untuk masalah cirit birit

Selain itu, kulit kayu manis juga bagus untuk menangani masalah cirit birit. Kajian ke atas tikus yang mengalami masalah cirit birit telah mendapati bahawa ekstrak kulit kayu manis boleh mengurangkan kekerapan cirit birit. Hal ini kerana kandungan tannin yang ada di dalam kulit kayu manis yang boleh merawat masalah cirit-birit.

10. Berpotensi mencegah kanser

Akhir sekali, kulit kayu manis juga mempunyai aktiviti antikanser sekaligus berpotensi mencegah penyakit kanser. Pelbagai kajian tabung uji dan kajian ke atas haiwan telah menunjukkan potensi kulit kayu manis dalam menghalang pembentukan sel kanser dalam kanser usus, limfoma dan serviks.

Hal ini kerana kulit kayu manis mempunyai aktiviti antioksidan dan antiradang yang boleh menghalang pertumbuhan sel kanser tersebut. Oleh itu, ini jelas menunjukkan potensi kulit kayu manis dalam mencegah kanser.

Kesimpulan

Kesimpulannya, dapat dilihat bahawa kulit kayu manis mempunyai pelbagai komponen penting kepada kesihatan. Penggunaannya dalam masakan bukan saja boleh menambah perasa kepada masakan, bahkan juga boleh memberi khasiat kepada kesihatan.

Akhir sekali, diharapkan artikel ini dapat memberi manfaat kepada pembaca mengenai khasiat kulit kayu manis.

Rujukan

  1. Allen, R. W., Schwartzman, E., Baker, W. L., Coleman, C. I., & Phung, O. J. (2013). Cinnamon use in type 2 diabetes: An updated systematic review and meta-analysis. In Annals of Family Medicine (Vol. 11, Issue 5, pp. 452–459). Annals of Family Medicine, Inc.
  2. Kirkham, S., Akilen, R., Sharma, S., & Tsiami, A. (2009). The potential of cinnamon to reduce blood glucose levels in patients with type 2 diabetes and insulin resistance. In Diabetes, Obesity and Metabolism (Vol. 11, Issue 12, pp. 1100–1113). Blackwell Publishing Ltd.
  3. Ranasinghe, P., Pigera, S., Premakumara, G. S., Galappaththy, P., Constantine, G. R., & Katulanda, P. (2013). Medicinal properties of “true” cinnamon (Cinnamomum zeylanicum): A systematic review. BMC Complementary and Alternative Medicine, 13.
  4. SelfNutritionData. (2018). Spices, cinnamon, ground [Cassia] Nutrition Facts & Calories.
  5. Sharifi-Rad, J., Dey, A., Koirala, N., Shaheen, S., El Omari, N., Salehi, B., Goloshvili, T., Cirone Silva, N. C., Bouyahya, A., Vitalini, S., Varoni, E. M., Martorell, M., Abdolshahi, A., Docea, A. O., Iriti, M., Calina, D., Les, F., López, V., & Caruntu, C. (2021). Cinnamomum Species: Bridging Phytochemistry Knowledge, Pharmacological Properties and Toxicological Safety for Health Benefits. Frontiers in Pharmacology, 12(May), 1–27.
  6. Zulfia Hussain, Junaid Ali Khan, H. R. (2019). Cinnamomum zeylanicum (Darchini): A Boon to Medical Science and a Possible Therapy for Stress-Induced Ailments. Critical Review in Eukaryotic Gene Expression, 29(3), 263–276.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

6 + eleven =

Open

Close