Skip to content

Apa itu Latok dan Khasiat-nya?

Negara kita bukan sahaja terdiri daripada pelbagai bangsa, malah berbagai-bagai suku kaum. Ini menjadikan Malaysia kaya dengan bermacam-macam makanan unik yang mempunyai keistimewaan dan nilainya yang tersendiri. Bagi masyarakat di semenanjung Malaysia, makanan bernama ‘latok’ mungkin agak asing dan tidak biasa dimakan. Namun, bagi mereka yang menetap di Sabah, latok adalah makanan tradisi, terutamanya bagi masyarakat Bajau dan Sulu.

Apa itu latok?

Dalam istilah saintifik, latok dikenali sebagai Caulerpa lentillifera, iaitu sejenis rumpai laut. Rumpai laut ialah tumbuhan laut yang dikenali sebagai alga, dan berbeza mengikut pigmen warna aslinya seperti merah, hijau, atau perang. Latok ialah sejenis rumpai laut berwarna hijau. Oleh kerana biji-biji latok menyerupai buah anggur, ia turut digelar sebagai umibudo (anggur laut) dalam bahasa Jepun.

Rumpai laut ini ialah tumbuhan berstolon (jenis batang kecil yang tumbuh menjalar dan mengeluarkan pucuk dan akar pada bahagian hujung) dan boleh tumbuh sehingga mencapai ketinggian 10 cm.

Selain itu, rupa latok yang seakan-akan sama seperti telur ikan menjadikannya turut dipanggil sebagai kaviar hijau. Tekstur latok yang rangup dan ‘meletup’ apabila digigit akan memberi pengalaman yang sama seperti memakan kaviar telur ikan.

Tumbuhan ini mempunyai rasa yang agak masin dengan kesegaran air laut. Di Jepun, secara tradisional, latok atau umibudo dituai daripada dasar lautan. Namun, berikutan permintaan yang tinggi di pasaran, kini, kebanyakan umibudo diternak dan dituai daripada ladang tempatan.

Bagaimana rumpai laut ini dimakan?

Di negara luar seperti Jepun, tumbuhan ini diternak dan dituai lalu dinikmati secara segar dan mentah. Bagi masyarakat Sabah pula, latok biasanya dimakan sebagai ulam bersama-sama nasi, lauk-pauk dan sayur-sayuran lain. Ia juga boleh dimakan begitu saja bersama perahan limau kasturi dan cili padi.

Di negara jiran seperti Filipina, tumbuhan ini dibersihkan dan dimakan mentah begitu sahaja atau ditambah dengan hirisan tomato, bawang, mangga, dan sos ikan.

Khasiat Latok

Organisma marin seperti rumpai laut sememangnya tinggi dengan kandungan komponen bioaktif semula jadi. Selain itu, kandungan makro- dan mikronutrien di dalam latok juga memberikan pelbagai khasiat. Antaranya ialah:

1. Antioksida dan anti-bakteria

Satu kajian baharu yang dijalankan secara spesifik ke atas spesis rumpai laut Malaysia atau latok membuktikan bahawa ianya mempunyai kesan antioksida dan anti-bakteria yang tinggi terhadap bakteria Staphylococcus aureus.  

2. Mengawal paras gula dalam darah

Ekstrak tumbuhan rumpai laut ini didapati dapat meningkatkan penghasilan insulin dan pengambilan gula dari dalam darah oleh sel lemak. Oleh itu, hasil kajian mencadangkan bahawa latok berpotensi dalam membantu mengawal gula dalam darah dan mencegah diabetes

3. Menyumbang kepada kesihatan jantung

Kandungan asik lemak tidak tepu dalam latok berupaya mengurangkan kadar kolesterol, meningkatkan keanjalan salur darah, memelihara struktur kolagen arteri, lantas mencegah penyakit kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

4. Membantu mencegah kanser

Melalui satu kajian, oligosakarida yang terhasil daripada tumbuhan latok melalui rawatan asid mampu mengurangkan jumlah sel kanser payudara. Kesan ini dipercayai berikutan fungsi rumpai laut untuk menyebabkan apoptosis (kematian) sel kanser tersebut berlaku.

5. Menguatkan tulang dan sendi

Rumpai laut atau latok kaya dengan kandungan protein, kalsium, dan asid lemak tidak tepu seperti omega-3, yang berkesan melegakan keradangan dan mengurangkan gejala artritis.

6. Membantu mencegah Goiter

Dalam 100 gram latok, terdapat kira-kira 1.8 miligram iodin. Individu kekurangan iodin berisiko mempunyai tubuh yang tidak mampu menghasilkan hormon tiroid mencukupi lalu mengakibatkan goiter. Selain keju, telur, ikan air masin, dan kerang, rumpai laut juga merupakan salah satu sumber makanan yang membekalkan iodin.

7. Menghasilkan kulit dan rambut yang lebih sihat

Kandungan lemak di dalam tumbuhan ini membantu memelihara membran sel, memperbaiki keanjalan, dan mengurangkan kebolehtelapan (permeability) dinding salur darah bagi mengurangkan gejala kulit kering.

Selain itu, kandungan vitamin A dan C di dalam latok juga mampu menghasilkan kolagen dan antioksida. Oleh itu, ia dianggap sebagai ‘bahan kosmetik semula jadi’ yang menambah baik kesihatan kulit dan rambut, serta melambatkan proses penuaan. 

Khasiat Tumbuh-tumbuhan yang lain

Khasiat AvocadoKhasiat Bayam
Khasiat BrokoliKhasiat Timun Jepun
Khasiat PeriaKhasiat Kangkung
Khasiat SawiKhasiat Saderi
Khasiat CendawanKhasiat Ulam Raja
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Pegaga
Khasiat Ubi KeledekKhasiat Salad
Khasiat LobakKhasiat Daun Kari
Khasiat Bawang PutihKhasiat Tomato
Khasiat Bayam BrazilKhasiat Serai
Khasiat TimunKhasiat Ubi Kayu
Khasiat HaliaKhasiat Kacang Bendi
Khasiat LatokKhasiat Terung
Khasiat JeringKhasiat Sengkuang
Khasiat Kacang BotolKhasiat Petai
Khasiat MengkuduKhasiat Bunga Telang
Khasiat Ubi JagaKhasiat Kacang Panjang
Khasiat Tongkat AliKhasiat Ketumbar
Khasiat Kacip FatimahKhasiat Temulawak
Khasiat Lidah Buaya

Rujukan

  1. Bahagian Pembangunan Akuakultur. (2018). Rumpai laut.
  2. Caulerpa lentillifera (PROSEA). (2016).
  3. Caulerpa lentillifera J. Agardh. – Globinmed
  4. En, T. (2020). All About Umibudo (Sea Grapes) – Where to Buy, Recipe, and More!
  5. NHK Foods. Enjoy the Health Benefits of Delicious Sea Grapes – Green Caviar.
  6. Nur Afifah. (2020). Kenali Latok, Makanan Sabah yang Jadi Trend ‘Mukbang di Malaysia’. – I love Borneo
  7. Yap, W. F., Tay, V., Tan, S. H., Yow, Y. Y., & Chew, J. (2019). Decoding Antioxidant and Antibacterial Potentials of Malaysian Green Seaweeds: Caulerpa racemosa and Caulerpa lentillifera. Antibiotics (Basel, Switzerland), 8(3), 152.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 − one =