Skip to content

10 Khasiat Oat Yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat oat kepada kesihatan badan? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat oat, kandungan nutirisi dan kompaun sihat di dalam

Pengenalan

Pengambilan bijirin gandum dalam pemakanan seharian menjadi pilihan kebanyakan penduduk di seluruh dunia. Gandum, beras dan jagung merupakan bijirin utama yang dilabel sebagai makanan asasi. Walaupun begitu, penanaman oat menjadi penanaman utama berbanding dengan bijirin gandum yang lain.

Oat telah dikenali sebagai sumber makanan yang bernilai kerana tinggi dengan kandungan nutrisi yang tinggi. Oat membekalkan nutrisi utama seperti karbohidrat dalam bentuk kanji, serat larut, lipid, protein, vitamin dan mineral.

Kebelakangan ini, oat menjadi tumpuan utama kerana dikatakan dapat memberikan manfaat kepada kesihatan. Pengambilan produk berasaskan oat dikatakan berupaya untuk mengurangkan paras kolesterol dan mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular.

Oat juga berpotensi dalam menghalang berlakunya penyakit-penyakit lain seperti kanser, kencing manis dan gangguan sistem penghadaman. Berdasarkan kajian klinikal, Pertubuhan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat serta Agensi Makanan dan Keselamatan Eropah telah meluluskan dakwaan kesihatan makanan yang berasaskan oat berkaitan dengan kebolehan oat beta-glukan dalam mengurangkan paras kolesterol dan risiko penyakit kardiovaskular. Namun demikian, terdapat sebatian bioaktif yang lain turut menyumbang kepada khasiat oat.

Kini, industri pemakanan sedang menjalankan segala usaha dalam meningkatkan produk berasaskan oat. Ini kerana penghasilan produk berasaskan oat yang baru akan meningkatkan jumlah makanan yang memberikan kebaikan terhadap kesihatan (functional food) dan menghalang berlakunya penyakit kronik.

Artikel yang ringkas kali ini akan menghuraikan kesan positif pengambilan oat terhadap kesihatan serta memberikan penekanan terhadap sebatian bioaktif yang bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap kesihatan.

Kandungan Nutrisi

Oat terdiri daripada komposisi nutrisi yang seimbang. Oat merupakan sumber karbohidrat yang sihat dan mengandungi protein yang berkualiti serta asid amino yang seimbang. Oat mempunyai peratus lipid yang tinggi terutamanya asid lemak tidak tepu, mineral, vitamin dan fitokimia. Dibawah menunjukkan komponen nutrisi dalam oat.

  • Karbohidrat: 60%
  • Protien: 11-15%
  • Lemak: 5-9%
  • Serat: 2.3-8.5%
  • Kalsium: 0.54%
  • Zat Besi: 0.047%
  • Vitamin B1: 0.002%
  • Vitamin B2: 0.001%
  • Vitamin B3: 0.032%

Kandungan Berkhasiat Dalam Oat

Beta-glukan

Beta-glukan merupakan komponen utama serat larut dalam oat. Beta-glukan terdiri daripada rantain bercabang yang lurus dan merupakan polisakkarida yang terdapat dalam dinding sel endosperma. beta-glukan mempunyai rintangan terhadap proses penghadaman dan penyerapan nutrient ke dalam usus kecil. beta-glukan juga mengurangkan paras kolesterol dan gula dalam darah.

Satu kajian menyatakan bahawa serat berupaya dalam mengawal kadar proses pencernaan dan penyerapan nutrient, menjadi larutan kepada mikroflora dalam usus serta menggalakkan kesan julap. Kajian menunjukkan bahawa kandungan beta-glukan untuk setiap 100g oat kira-kira 2.3g hingga 8.5g.

Pertubuhan Makanan dan Ubat-Ubatan menyatakan bahawa pengambilan 3g beta-glukan mampu mengurangkan risiko penyakit jantung dan mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Beta-glukan juga mempunyai kesan anti kanser dan membantu dalam mengawal tekanan darah tinggi.

Sebatian Fenolik

Selain daripada beta-glukan, oat mengandungi sebatian fenolik dan sebatian antioksidan yang meningkatkan tahap kesihatan. Oat mengandungi sebatian fenolik iaitu hydroxybenzoic dan hydroxycinnamic acid. Kedua-dua sebatian fenolik ini mempunyai kesan antioksidan iaitu kesan anti keradangan, meningkatkan fungsi endotel dan isyarat sellular. Di samping itu, oat mengandungi vitamin E iaitu tokoferol dan tokotrienol.

Kedua-dua komponen ini melindungi badan daripada kerosakan radikal bebas dan menghalang daripada berlakunya penyakit seperti kanser, artritis, sakit jantung dan katarak mata. Oat turut mengandungi antioksidan iaitu avenanthramide (AVA)  yang merupakan 10 hingga 30 kali lebih tinggi kandungan antioksidan.

AVA menghasilkan kesan anti keradangan dan kesan anti atherogenik. AVA juga mengawal tekanan darah dengan menghasilkan nitrik oksida yang mengembangkan saluran darah.

10 Khasiat Oat Pada Kesihatan

1. Kesan Anti Keradangan

Keradangan adalah proses dimana badan akan menghasilkan sel darah putih untuk melindungi badan daripada jangkitan seperti bakteria dan virus. Namun demikian, keradangan boleh menjadi kronik apabila sistem imunisasi badan yang merangsang keradangan dan menyerang tisu-tisu yang normal.

Keradangan sering dikaitkan dengan makanan yang mengandungi Omega-3 seperti ikan, kekacang dan minyak dari sumber tumbuh-tumbuhan kerana Omega-3 akan mengurangkan penghasilan protein yang menyebabkan keradangan dalam sel yang membentuk saluran darah kita.

Namun demikian, pemilihan karbohidrat yang mengambil masa yang lama untuk dicernakan dan tidak menyebabkan peningkatan paras gula dalam darah seperti oat berupaya untuk mengurangkan keradangan. Oat mengandungi avenanthramides (AVA), mengurangkan rangsangan keradangan yang dicetuskan oleh sel yang membentuk saluran darah.

Seterusnya, oat juga mampu mengurangkan plak kolesterol daripada terbentuk di dinding saluran darah, mengawal tekanan darah dan pengaliran darah. Ini dapat mengelakkan berlakunya penyakit arterosklerosis yang terjadi disebabkan oleh keradangan.

2. Mencegah Penyakit Obesiti

Salah satu khasiat oat adalah ia boleh membantu mencegah obesiti. Obesiti merupakan salah satu faktor yang menyebabkan penyakit jantung seperti paras lipid yang tinggi, tekanan darah tinggi dan paras gula yang tinggi. Kajian menunjukkan penurunan berat badan adalah salah satu solusi untuk menurunkan risiko penyakit jantung.

Menariknya, kajian secara klinikal menunjukkan bahawa pengambilan serat dapat membantu mengekalkan berat badan dan mengelakkan kenaikan berat badan. Serat mempunyai tekstur yang melambatkan proses mengunyah, melambatkan proses pencernaan dan penyerapan nutrisi serta menghasilkan rasa kenyang yang lebih lama.

Ini akan mengubah tindak balas glisemia, menghasilkan rasa kenyang dan mengawal pengambilan makanan. Makanan yang tinggi beta-glukan akan meningkatkan paras hormon peptida kolesistokinin (CCK), hormon yang menghasilkan rasa kenyang. Serat juga meningkatkan jumlah najis semasa proses penyahtinjaan. Kandungan protein dalam oat juga paling tinggi berbanding bijirin yang lain.

3. Mengurangkan Paras Kolesterol

Oat mengandungi sifat hipokolesterolemia yang memberikan kesan terhadap lipid dalam darah. Oat berupaya dalam mengurangkan paras jumlah kolesterol dan LDL-kolesterol kira-kira 2% hingga 23%. Dalam kajian ini, para sukarelawan yang terdiri daripada pesakit hiperkolesterolemia dan juga golongan yang mempunyai paras kolesterol yang normal.

Para sukarelawan diberikan 35-120 g oat setiap hari dalam bentuk bran oat, mil oat dan gula-gula oat. Kajian ini menunjukkan oat mengurangkan paras kolesterol yang tinggi dengan banyak. Oat mengurangkan paras LDL-kolesterol (kolesterol jahat) tanpa mengurangkan paras HDL-kolesterol (kolesterol baik).

Kajian lain menunjukkan bahawa oat berupaya memperbaiki bacaan lipid dengan meningkatkan kepekatan HDL-kolesterol (kolesterol jahat) dan apolipoprotein A-I, komponen utama HDL-kolesterol.

Artikel Berkaitan: Punca Kolesterol Tinggi dan Rawatan

4. Mengawal Tekanan Darah

Diet DASH iaitu perkataan pendek untuk Pendekatan Diet untuk Menghentikan Hipertensi, merupakan diet yang tinggi dengan bijirin penuh, buha-buahan, sayur-sayuran dan susu rendah lemak serta mengehadkan pengambilan lemak untuk menurunkan tekanan darah.

Oat yang merupakan serat larut berpotensi untuk menurunkan tekanan darah kerana struktur oat yang likat memperbaiki paras gula dan mengawal penghasilan enzim insulin.

Berdasarkan kajian epidemiologi di barat daya China, individu yang mengambila lebih daripada 25g oat setiap hari mempunyai tekanan darah sistolik (5.3 mm Hg) dan diastolik (1.8 mm Hg) yang lebih rendah.

Artikel Berkaitan: Punca darah tinggi dan Rawatan

5. Mempunyai Kesan Anti Kanser

Oat mengandungi asid lemak rantaian pendak yang menghasilkan kesan anti kanser. Asid lemak rantaian pendek seperti asid butirik digunakan oleh mukus dalam usus sebagai sumber tenaga. Asid butirik akan merangsang percambahan sel epitelium di bahagian perut.

Asid butirik ini akan merencatkan pertumbuhan sel karsinoma (sel kanser) dan menggalakkan proses apoptosis (proses sel mati) dalam sel karsinoma. Selain daripada asid butirik, peptida lunasin iaitu peptida kacang soya mengandungi kesan anti keradangan dan anti kanser.

Peptida lunasin juga berperanan dalam melawan penyakit leukimia penyakit kronik seperti penyakit kencing manis, sakit jantung dan strok. 

6. Menghalang Tindak Balas Alergi Terhadap Gluten

Oat dilabelkan sebagai makanan yang bebas gluten oleh Peraturan Suruhanjaya Eropah dan sesuai untuk pesakit penyakit seliak (Celiac Disease). Penyakit seliak adalah gangguan autoimun jangka panjang yang memberikan kesan kepada usus kecil.

Antara gejala-gejalanya ialah cirit-birit kronik, kembung perut, hilang selera makan, kurang penyerapan nutrisi dan terdapat kank-kanak yang tidak dapat membesar secara normal.

Pelbagai laporan dan kajian mencadangkan pengambilan oat untuk pesakit penyakit seliak selain daripada produk yang bebas gluten seperti pasta, biskut dan snek.

7. Membantu Untuk Mendapatkan Tidur Yang Lena

Tahukah anda bahawa pengambilan oat sebelum tidur membantu untuk mendapatkan tidur yang lebih lena. Oat mengandungi melatonin, hormon yang dihasilkan oleh otak hanya ketika dalam keadaan gelap.

Melatonin membantu dalam mengekalkan kitaran masa fisiologi, merawat kesukaran untuk tidur dan memberikan tidur yang lebih lena.

Kandungan melatonin dalam oat sangat tinggi sama seperti gandum dan barli. Selain daripada melatonin, oat mengandungi selenium yang turut membantu pesakit yang sukar untuk tidur. Pengambilan oat yang tinggi akan lebih memudahkan seseorang untuk tidur.

8. Mengekalkan Kesihatan Mental

Kesihatan mental amat penting kerana otak merupakan organ yang bertanggungjawab dalam mengawal segala pergerakan dan tindak balas badan. Pengambilan oat tidak memberikan kesan secara menjurus terhadap otak. Namun demikian, pengambilan makanan ibarat cerminan kepada fungsi otak.

Sebagai contoh, kajian menunjukkan, penyakit Alzheimer terjadi disebabkan oleh pengambilan makanan yang membuatkan mikroorganisma baik dalam perut tidak mencukupi. Kini, pengambilan mikrobiota merupakan salah satu langkah dalam menghalang penyakit Alzheimer.

Kajian lain menunjukkan bahawa pengambilan oat dalam kalangan kanak-kanak, meningkatkan tahap kefahaman dan daya ingatan. Oat membantu agar kanak-kanak menjadi fokus semasa pembelajaran dan daya ingatan yang kuat.

9. Memberikan Rasa Ketenangan

Triptofan adalah asid amino yang dihasilkan oleh badan dan terkandung dalam makanan seperti daging, produk tenusu, buah-buahan dan bijian.

Triptofan yang terkandung dalam oat memberikan rasa ketenangan dan menceriakan perasaan. Ini kerana triptofan akan ditukarkan kepada serotonin yang berperanan dalam merawat insomnia, stress, tekanan, kebimbangan dan kegelisahan.

Serotonin adalah hormon yang menstabilkan perasaan dan memberikan impak kepada badan. Serotonin akan membolehkan sel otak dan sel sistem saraf berkomunikasi antara satu sama lain.

10. Mengurangkan Risiko Serangan Asma

Serangan asma adalah penyakit yang biasa terjadi semasa di peringkat umur kanak-kanak. Serangan asma boleh dirangsang oleh beberapa makanan namun demikian, terdapat juga makanan yang mengurangkan risiko penyakit ini.

Satu kajian yang melibatkan 3,781 kanak-kanak menunjukkan bahawa kanak-kanak yang mengambil oat dalam pemakanan seharian semasa umur lima tahun ke bawah, kurang risiko mendapat serangan penyakit asma.

Makanan lain seperti bijirin barli, gandum, ikan dan telur turut mengurangkan risiko penyakit ini.

Kesimpulan

Oat menawarkan peluang yang meluas dalam pembangunan penghasilan makanan yang bermanfaat kepada kesihatan (functional food). Pelbagai kajian telah dijalankan membuktikan bahawa pengambilan oat dapat mengurangkan risiko penyakit kardiovaskular, penyakit kencing manis disebabkan oleh kesan pengurangan glukos dan LDL-kolesterol (kolesterol jahat).

Kesan positif ini terhasil disebabkan oleh kandungan beta-glukan dan juga sebatian bioaktif yang lain. Namun demikian, kajian yang lebih mendalam perlu dijalankan untuk mengkaji mekanisme sebatian bioaktif yang lain dalam menyumbang kepada kesihatan tubuh badan.

Diharapkan artikel khasiat oat ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat berkenaan dengan khasiat oat serta merangsang para pembaca untuk mengamalkan oat dalam pengambilan makanan seharian sebagai salah satu langkah dalam meningkatkan kesihatan tubuh badan. Akhir kalam, disarankan untuk para pembaca mengambil sembilan sudu besar oat untuk memenuhi keperluan 3g beta-glukan seharian.

Khasiat Makanan yang lain

Khasiat TempeKhasiat Air Lemon
Khasiat YogurtKhasiat Bijan
Khasiat Daun PandanKhasiat Bunga Kantan
Khasiat KopiKhasiat Yogurt
Khasiat Jintan ManisKhasiat Kopi
Khasiat KetumbarKhasiat Kacip Fatimah
Khasiat MaduKhasiat Brokoli
Khasiat Lidah BuayaKhasiat Ikan Haruan

Rujukan

  1. Health Science, Nutritional Science, Disease Prevention. (2018). Foods for sleep, mental health and relaxation part 1: oats. Refombalance
  2. Jenkins, T.A., Nguyen, J.C.D., Polglaze, K.E., & Bertrand, P.P. (2016). Influence of tryptophan and serotonin on mood and cognition with a possible role of the gut-brain axis. Nutrients, 8(1), 56-66.
  3. Katz, D.L. (2001). A scientific review of the health benefits of oats. The Quaker Oats Company, 1-11.
  4. Martinez-Villaluenga, C., & Penas, E. (2017). Health benefits of oat: current evidence and molecular mechanisms. Institute of Food Science, Technology and Nutrition (ICTAN-CSIC), 48-53.
  5. Fletcher, J. What are the benefits of oatmeal? Medical News Today.
  6. Rasane, P., Jha, A., Sabikhi, L., Kumar, A., & Unnikrishnan, V.S. (2015). Nutritional advantages of oats and opportunities for its processing as value added foods-a review. Journal Food Science Technology, 52(2), 662-675
  7. Zhang, X.G., McGeoh, S.C., Megson, I.L. MacRury, S.M., Johnstone, A.M., Abraham, P., Pearson, D.W.M., Holtrop, B.d.G, o’Kennedy, N., & Lobley,   G.E. (2014). Oat-enrinched diet reduces inflammatory status assessed by circulating cell-derived microparticle concentrations in type 2 diabetes. Molecules Nutrition Food Research, 58, 1322-1332.

1 thought on “10 Khasiat Oat Yang Anda Perlu Tahu”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

20 − 9 =