Skip to content

10 Makanan Untuk Masalah Gastrik

Apakah makanan yang sesuai untuk mereka yang mengalami masalah gastrik? Artikel ini akan membincangkan 10 jenis makanan yang sesuai bagi mereka yang mengalami masalah ini.

Pengenalan

Gastrik merupakan satu masalah yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di negara kita. Gastrik atau juga dikenali dengan nama gastritis merupakan keradangan dan inflamasi yang berlaku pada dinding perut. Terdapat pelbagai kategori bagi masalah gastrik antaranya adalah gastrik hemorhagik, gastrik atropik, gastroenteritis dan viral gastroenteritis.

Gastrik juga boleh dibahagikan kepada gastrik akut dan gastrik kronik. Seseorang yang mempunyai gejala-gejala gastrik perlu mendapatkan rawatan di klinik dan hospital yang berdekatan di mana ujian endoskopi akan dijalankan untuk memeriksa kawasan perut jika terdapat sebarang kesan keradangan dan luka sebelum didiagnos menghidap gastrik. Tahukah anda tentang makanan-makanan yang sesuai untuk penghidap gastrik? Artikel ini akan membincangkan dengan lebih terperinci akan hal ini.

Punca Gastrik

Terdapat perlbagai punca yang menyebabkan masalah gastrik baik dari segi pemakanan dan gaya hidup seharian. Berikut merupakan senarai punca-punca kepada masalah gastrik.

  1. Jangkitan bakteria H. pylori
  2. Pengambilan alkohol yang berlebihan
  3. Merokok
  4. Pengambilan ubat Non-steroidal anti-inflammatory drugs (NSAIDs)
  5. Penyakit Crohn’s
  6. Toksin kimia dalam makanan
  7. Penyakit autoimun
  8. Tekanan dan faktor usia

Simptom Gastrik

Pesakit gastrik akan mengalami beberapa simptom dan gejala semasa serangan gastrik. Berikut merupakan antara simptom yang akan dialami oleh pesakit-pesakit gastrik.

  1. Sakit pada bahagian abdomen atau kawasan perut
  2. Pendarahan
  3. Ketidakhadaman
  4. Mual dan loya
  5. Muntah
  6. Rasa lemah dan tidak selesa

10 Makanan untuk Masalah Gastrik

Apakah makanan yang sesuai diambil oleh pesakit gastrik? Berikut merupakan senarai makanan yang boleh diambil oleh penghidap gastrik.

1. Brokoli

Brokoli merupakan sejenis sayur-sayuran yang kaya dengan kandungan sulforaphane. Satu kajian percubaan klinikal telah dijalankan ke atas haiwan di mana haiwan-haiwan tersebut diberi makan brokoli selama 2 bulan. Didapati bahawa pengambilan sayur brokoli dapat mengurangkan kolonisasi H. pylori. H. pylori merupakan sejenis bakteria yang dapat menyebabkan penyakit gastrik.

2. Yogurt

Yogurt yang mengandungi lactobacillus dan bifidobacterium dilihat mampu untuk mencegah gastrik. Di dalam satu kajian yang telah dijalankan, didapati bahawa pengambilan yogurt yang yang mengandungi lactobacillus dan Bifidobacterium selama 4 minggu dapat mengurangkan jumlah H. pylori yang dapat menyebabkan serangan gastrik dalam kalangan peserta kajian.

3. Kekacang

Kekacang adalah sumber protein dan serat yang baik. Kandungan serat yang tinggi di dalamnya dapat mencegah serangan gastrik. Serat adalah salah satu komponen yang sangat penting kepada badan manusia. Apabila dimakan, serat akan mengisi perut dengan lebih lama lalu menghalang kekosongan perut. Selain itu, kandungan serat di dalam kekacang juga dapat mengurangkan kepekatan asid hempedu.

4. Biji karom

Biji karom merupakan sejenis herba yang seakan-akan jintan dan sering digunakan dalam masakan. Biji karom mempunyai pelbagai manfaat terhadap sistem penghadaman di mana ianya boleh digunakan untuk membantu penghadaman dan kembung perut. perubatan tradisional mencadangkan biji ini direbus bersama air dan ditapis sebelum diminum.

5. Halia

Halia merupakan sejenis bahan masakan yang tidak asing lagi dalam masyarakat kita dan sering digunakan untuk tujuan perubatan tradisional. Halia mempunyai sifat anti radang dan anti bakteria di mana sifat ini dilihat berpotensi untuk mencegah jangkitan H. pylori. Halia boleh direbus dan diminum airnya untuk tujuan merawat gastrik. Boleh juga ditambah dengan sedikit madu ataupun gula untuk menambah rasa.

Artikel Berkaitan: Khasiat Halia Pada Kesihatan

6. Teh Chamomile

Bunga chamomile merupakan sejenis bunga yang berasal dari keluarga bunga daisy dan digunakan di dalam penghasilan teh. Teh bunga chamomile bersifat anti radang dan membantu di dalam melancarkan sistem penghadaman. Ianya juga mengandungi minyak pati yang boleh membantu merawat gastrik.

7. Minyak pati pudina

Daun pudina mempunyai pelbagai kegunaan di dalam bidang perubatan. Minyak pati yang diekstrak dari daun pudina dapat merawat gastrik kerana ianya mempunyai sifat anti inflamasi dan anti bakteria.

Artikel Berkaitan: Khasiat Daun Pudina

8. Kobis

Sayur kobis merupakan sejenis sayur yang mempunyai kandungan serat dan antioksida yang tinggi. Komponen serat akan mengisi perut dengan lebih lama lalu menghalang kekosongan perut manakala kandungan antioksida dapat mencegah jangkitan H. pylori. Selain itu, kobis juga mempunyai kandungan kaempferol dan glucosinolates yang dapat mencegah gastrik. Namun harus diingatkan bahawa sayur kobis juga berpotensi untuk meningkatkan penghasilan gas yang dapat menyebabkan ketidakselesaan perut.

9. Makanan tinggi omega 3

Omega tiga merupakan sejenis lemak yang baik yang dapat memberikan manfaatkan kepada badan. Antara contoh makanan yang kaya dengan omega 3 adalah minyak ikan, ikan kembung, ikan sardine dan ikan salmon. Omega mempunyai sifat anti inflamasi di mana di dalam rawatan gastrik ianya dapat mengurangkan inflamasi dan keradangan pada dinding perut.

10. Buah-buahan

Buah-buahan yang tidak bersifat asid and sitrus merupakan buah-buahan yang sesuai dimakan oleh pesakit gastrik. Antaranya adalah buah-buahan yang tinggi kandungan serat seperti epal dan beri yang bersifat alkali dan mampu menyeimbangkan asid di dalam perut.

Konklusinya terdapat pelbagai makanan yang dapat memberikan manfaat kepada pesakit gastrik. Namun, haruslah diingat bahawa setiap individu mempunyai pelbagai makanan yang berbeza yang boleh menyebabkan serangan gastrik oleh itu pengambilan makanan yang dapat menyebabkan serangan gastrik haruslah dielakkan. Pengambilan ubat-ubatan yang dipreskrib oleh ahli perubatan haruslah dipatuhi untuk mengelakkan kesan yang tidak diingini.

Tips Pemakanan yang lain

Makanan untuk Pesakit Angin AhmarMakanan untuk Mencegah Kanser
Makanan untuk Kecantikan KulitMakanan untuk Wanita Berpantang
Makanan untuk Lawaskan KencingMakanan untuk Luka Cepat Sembuh
Makanan untuk Masalah JerawatMakanan untuk Masalah Cirit Birit
Mekanan untuk Menaikkan Berat BadanMakanan untuk Turunkan Berat Badan
Makanan untuk Penyakit JantungMakanan untuk Awet Muda
Makanan untuk Masalah GastrikMakanan untuk Ibu yang baru bersalin
Makanan untuk Tambah Darah MerahMakanan untuk Masalah Sembelit
Makanan untuk Kesihatan MataMakanan untuk Redakan Stress
Makanan untuk Pesakit EkzemaMakanan untuk Masalah Buasir
Makanan untuk Pesakit GERDMakanan Ketika Wanita Berpantang
Makanan tidak boleh untuk Pesakit GoutMakanan untuk Bina Badan
Pemakanan Bagi Pesakit DialisisMakanan yang Menyebabkan Mengantuk
Makanan untuk Lemah JantungMakanan untuk Mual dan Muntah
Makanan untuk Pesakit Asma

Rujukan:

  1. Gastritis diet: Foods to eat and avoid, recipe ideas, and more. (2021). Retrieved from Medical News Today
  2. Home remedies for gastritis. (2021, February 25). Retrieved from Plushcare
  3. Norman, A. (2020, January 24). Gastritis diet. Retrieved from VeryWealthcare
  4. Sheu, B., Cheng, H., Kao, A., Wang, S., Yang, Y., Yang, H., & Wu, J. (2006). Pretreatment with Lactobacillus- And Bifidobacterium-containing yogurt can improve the efficacy of QUADRUPLE therapy in eradicating residual Helicobacter pylori infection after FAILED triple therapy. The American Journal of Clinical Nutrition, 83(4), 864-869.
  5. Yanaka, A., Fahey, J. W., Fukumoto, A., Nakayama, M., Inoue, S., Zhang, S., Tauchi, M., Suzuki, H., Hyodo, I., & Yamamoto, M. (2009). Dietary sulforaphane-rich broccoli sprouts reduce colonization and attenuate gastritis in Helicobacter pylori-infected mice and humans. Cancer prevention research (Philadelphia, Pa.)2(4), 353–360.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 + one =