Menguap Membantu Singa Untuk Selarikan Pergerakan Dalam Kumpulan

Melihat kelakuan sekumpulan singa yang suka menguap sambil terbaring nampak macam perkara biasa. Namun, kajian terkini mendapati kelakuan menguap mungkin menjadi salah satu bentuk komunikasi dalam kumpulan bagi haiwan pemangsa ini.

Kajian mendapati perbuatan menguap oleh manusia adalah berpunca daripada emosi ketika itu. Antara emosi yang sering berkait dengan menguap ialah stres, rasa cemas, bosan atau lesu. Kajian menguap juga telah dilakukan pada beberapa spesis lain seperti chimpanzi, serigala, anjing peliharaan dan kambing biri-biri.

Kelakuan ini agak kerap dilihat dalam kalangan haiwan vertebrata seperti burung dan mamalia ketika sedang berehat. Seperti yang kita sedia maklum, kemungkinan besar haiwan ini menguap ialah supaya aliran darah ke otak dapat ditingkatkan.  Di samping itu, menguap juga didapati membantu haiwan untuk lebih berwaspada selepas berehat.

Haiwan lain seperti ikan dan reptilia turut menguap tetapi tak sekerap haiwan yang hidup berkumpulan seperti singa. Kebanyakan spesis lain seperti monyet, burung parakeet, dan manusia juga menunjukkan perbuatan menguap yang ‘berjangkit’ antara satu sama lain. Mesti kita pun pernah alami situasi macam ni, kan?

Ia menjadi topik yang hangat dalam kalangan para saintis. Buat julung kalinya, kajian menguap terhadap singa dijalankan baru-baru ini.  Corak kelakuan ini ditemukan secara rambang oleh ahli penyelidik dari Universiti Pisa, Itali ketika mereka sedang melakukan kajian tabiat kelakuan dubuk di kawasan Afrika Selatan.  Penyelidik mendapati singa yang sudah mula menguap akan menguap berkali-kali dalam jangka masa yang pendek. 

Antara penemerhatian lain dalam kajian ini ialah apabila seekor singa dalam kumpulan melihat singa lain menguap, ia mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk ikut menguap dalam lingkungan 3 minit. Pemerhatian menguap yang berjangkit dalam kalangan singa dilihat semakin menarik. Singa yang ikut menguap daripada singa lain juga mempunyai kebarangkalian tinggi untuk menguap dengan gaya yang sama. Bukan sahaja perbuatan menguap yang berjangkit, malah pergerakan seterusnya juga akan diikuti oleh singa lain seperti bangun dan berjalan. 

Kredit Foto : psychologytoday.com

Para pengkaji berpendapat bahawa dalam kawanan singa, menguap yang berjangkit ini mungkin penting bagi mengawal aktiviti sosial secara berkumpulan. Menguap dapat membantu singa selarikan pergerakan dalam kelompok supaya mereka dapat bergerak bersama dalam satu masa. Kelakuan ini adalah penting bagi haiwan yang saling bergantung antara satu sama lain untuk memburu dan membiak.

Secara tidak langsung, menguap juga dilihat sebagai cara untuk memulakan komunikasi melalui pergerakan badan. Bagi meningkatkan keberkesanan komunikasi, singa perlu menambah pergerakan supaya mudah diikuti seperti bangun dan berjalan ke suatu tempat. Dengan cara ini, pergerakan haiwan lebih terjamin dan dapat terhindar daripada tercicir daripada kumpulan.

Para pengkaji lain juga bersepakat dengan teori bahawa menguap dapat membantu mencapai koordinasi kelakuan dalam kumpulan bagi sesetengah spesis. Walaupun kajian ini masih pada tahap awal, para pengkaji yakin bahawa sekiranya kelakuan menguap ini tersebar ke seluruh haiwan dalam kumpulan yang sama, ia boleh meningkatkan tahap waspada secara menyeluruh. Mereka juga berpendapat yang kelakuan menguap sehingga berjangkit ini juga lebih cenderung dilakukan oleh spesis haiwan lebih aktif dalam hubungan sosial seperti singa.  Menurut jurnal Animal Behavior, menguap juga dijadikan sebagai isyarat bagi kumpulan singa untuk berhenti berehat dan bersedia untuk memburu mangsa.

Bukan itu sahaja, menguap juga boleh menjadi tanda perubahan emosi atau fisiologi bagi haiwan. Ini bermakna menguap merupakan cara yang baik bagi individu dalam spesis untuk berkomunikasi secara dalam kumpulan sekiranya ada perubahan dalaman yang berlaku.

Memandangkan kajian kelakuan menguap ini masih dalam fasa awal, para pengkaji tidak dapat merumuskan bahawa menguap adalah untuk mengkoordinasikan pergerakan dalam kumpulan semata-mata. Kelakuan ini barangkali mempunyai tujuan dan maksud berbeza bagi spesis lain.

Contohnya bagi spesis babun gelada, terdapat tiga jenis cara menguap yang berbeza dan memberi maksud tersendiri seperti kelakuan ramah atau agresif. Dalam kajian yang dijalankan pada tahun 2013, anjing peliharaan dilihat akan bertindak balas untuk menguap apabila melihat tuannya menguap.

Rujukan :

  1. Sciencenews.org – Yawning helps lions synchronize their groups’ movements
  2. Nationalgeographic.com – Many mammals are contagious yawners—this might be why
  3. Telegraph.co.uk – Lions yawn in unison when it’s time to go hunting, study finds

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four + 18 =

Open

Close