Skip to content

10 Khasiat Buah Betik Yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat dan kebaikan buah betik pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan khasiat buah betik, kandungan nutrisi dan kompaun sihat di dalamnya

Pengenalan

Buah betik atau nama saintifiknya Carica papaya merupakan sejenis buah yang tergolong di dalam keluarga Caricaceae. Buah betik mempunyai bentuk oval dan berkulit hijau kekuningan.

Isinya pula mempunyai pelbagai warna seperti hijau dan jingga dan ianya berbeza mengikut kematangan buah betik tersebut. Buah ini tidak asing lagi di negara kita di mana setiap komponen pokok buah ini mempunyai kebaikkannya yang tersendiri.

Contohnya daun betik sering digunakan untuk merawat penyakit denggi manakala buah betik pula sering diamalkan bagi mereka yang mengalami masalah sembelit kerana kandungan serat dan airnya yang tinggi. Artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan kebaikan buah betik ini.

Kandungan Nutrisi

Berikut merupakan kandungan nutrisi yang terdapat di dalam setiap 100 g buah betik.

  • Karbohidrat: 7.1g
  • Protein: 1.5g
  • Lemak: 0.1g
  • Fosforus: 7mg
  • Kalium: 39mg
  • Natrium: 3mg
  • Vitamin C: 71mg
  • Karotin: 1160mcg
  • Retinol: 193mcg

Buah betik mempunyai kandungan tenaga yang agak rendah di mana setiap 100 g hanya mengandungi 35 kcal sahaja. Bagi kandungan makronutrisi pula, setiap 100 g betik mampu menyumbang sebanyak 7.1 g karbohidrat iaitu bersamaan dengan lebih kurang setengah pertukaran karbohidrat (1 pertukaran karbohidrat = 15 g karbohidrat). Ianya juga mengandungi 1.5 g protein dan 0.1 g lemak.

Selalunya kandungan protein dan lemak di dalam buah-buahan akan diabaikan dan hanya kandungan karbohidrat dan tenaga yang akan diambil kira. Bagi kandungan mikronutrisi pula, 100 g buah betik mengandungi sebanyak 7 mg fosforus, 39 mg kalium, 3 mg natrium, 71 mg vitamin C, 1160 ug karotin dan 193 ug retinol.

Komponen Berkhasiat

Terdapat pelbagai komponen berkhasiat yang boleh didapati pada buah betik. Antaranya adalah kandungan enzim papain di dalamnya yang dapat menjaga kesihatan kulit. Di dalam aspek masakan pula, enzim ini dapat membantu untuk melembutkan daging sebelum memasak.

Selain itu, buah betik juga kaya dengan sumber serat yang dapat menjaga sistem pencernaan. Ianya juga kaya dengan kandungan antioksida yang dapat melawan radikal bebas. Di samping itu, buah betik juga mengandungi kandungan karotin yang tinggi di mana karotin ini turut mempunyai kebaikannya yang tersendiri.

10 Khasiat Buah Betik Kepada Kesihatan

Berikut merupakan kebaikan yang boleh diperolehi daripada buah betik

1. Mencegah dan merawat masalah sembelit

Buah betik seringkali dijadikan makanan pilihan bagi mereka yang mempunyai masalah sembelit dan penghadaman. Hal ini kerana buah ini mengandungi kandungan serat yang mampu untuk meransang proses peristalsis lalu menyebabkan pergerakkan bahan di kawasan usus. Hal ini dapat mencegah masalah sembelit dan penghadaman.

2. Mencegah tekanan oksida

Antara salah satu komponen yang boleh mencegah tekanan oksida pada tubuh badan ialah antioksida. Tekanan oksida dapat menyebabkan kerosakkan pada sel-sel badan. Kajian mendapati bahawa pemberian ekstrak betik yang ditapai dapat membantu menngurangkan tekanan oksida di kalangan pesakit yang mempunyai masalah Alzheimer.

3. Bersifat anti bakteria

Di dalam satu kajian, ditemui bahawa biji buah betik mempunyai sifat anti bakteria di mana ianya mampu untuk mencegah perkembangan bakteria jenis gram negatif dan gram positif.

Hal ini menjadikan buah betik sebagai salah satu makanan yang berpotensi digunakan untuk merawat masalah ulser dan luka pada kulit.

4. Bersifat anti kanser

Kanser adalah sejenis penyakit di mana sel badan yang normal akan membahagi dengan tidak terkawal dan menjadi sel kanser. Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji kesan ekstrak 14 jenis tumbuhan ke atas aktiviti pembahagian sel kanser.

Kajian ini mendapati hanyak buah betik sahaja yang menunjukkan sifat anti kanser di dalam kajian tersebut. Namun begitu, kajian yang lebih lanjut diperlukan untuk menyokong kajian ini.

5. Memperbaiki paras kolesterol

Terdapat dua jenis kolesterol di dalam tubuh badan kita iaitu kolesterol tidak baik seperti LDL dan TG dan kolesterol baik seperti HDL. Paras kolesterol tidak baik yang tinggi dapat menyebabkan pelbagai masalah kesihatan yang lain seperti masalah kardiovaskular.

Satu kajian yang dijalankan terhadap individu yang menghidap penyakit diabetes mendapati bahawa pemberian buah betik yang melalui proses fermentasi mempunyai bacaan nisbah LDL/HDL yang lebih baik.

Artikel Berkaitan: Punca Kolesterol Tinggi

6. Meningkatkan sistem imunisasi tubuh

Buah betik merupakan sejenis buah yang kaya dengan kandungan vitamin C. Seperti yang kita sedia maklum, vitamin C mempunyai pelbagai kelebihan antaranya bersifat antioksida dan dapat mencegah skurvi.

Untuk sistem imunisasi pula, vitamin C membantu di dalam penghasilan sel darah putih di mana sel darah putih ini bertanggungjawab untuk pertahanan badan.

7. Menjaga kesihatan kulit

Tahukah anda bahawa betik juga dapat mengatasi beberapa masalah kulit? Kandungan likopena di dalamnya dapat mengatasi masalah kedutan pada wajah dan mencegah penuaan.

Selain itu, buah betik turut mengandungi enzim papain yang diguna pakai di dalam pelbagai produk penjagaan kulit di mana ianya berfungsi untuk menanggalkan sel-sel kulit mati dan mencegah jerawat.

8. Kaya dengan sumber karotin

Karotin adalah sejenis pigmen yang memberi warna merah, kuning atau jingga kepada buah-buahan dan sayur-sayuran. Buah betik adalah sejenis buah yang kaya dengan sumber karotin di mana karotin mempunyai pelbagai kebaikan terhadap kesihatan. Antara kelebihan karotin yang diketahui ramai adalah dapat menjaga kesihatan mata.

9. Menjaga kesihatan rambut

Buah betik juga dikatakan dapat menjaga kesihatan rambut. Kandungan vitamin A di dalamnya dapat merapikan rambut manakala kandungan likopena pula dapat meransang pertumbuhan rambut. Selain itu, buah betik juga dapat mengatasi masalah kelemumur dan kulit kepala. Hal ini kerana buah betik mengandungi komponen yang bersifat anti kulat.

10. Merawat masalah parasit di dalam usus.

Satu kajian telah dijalankan untuk mengkaji keberkesanan biji betik yang dikeringkan terhadap parasit di dalam sistem pencernaan manusia. Kajian ini mendapati bahawa pemberian biji betik yang dikeringkan dapat merawat masalah parasit ataupun bahawa mudahnya kecacingan di dalam saluran usus.

Konklusinya terdapat pelbagai khasiat dan kebaikan yang boleh diperolehi daripada buah betik. Namun begitu, pengambilannya haruslah secara bersederhana terutamanya bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes kerana kandungan fruktosa di dalamnya mampu menaikkan paras gula di dalam darah.

Khasiat Buah yang lain

Khasiat Buah ManggaKhasiat Buah Tembikai
Khasiat Buah StrawberriKhasiat Buah Betik
Khasiat Buah NanasKhasiat Buah Jambu Air
Khasiat Buah EpalKhasiat Buah Markisa
Khasiat Buah DelimaKhasiat Buah Belimbing
Khasiat Buah DurianKhasiat Buah Pisang
Khasiat Buah NagaKhasiat Buah Kiwi

Rujukan:

  1. Barbagallo, M., Marotta, F., & Dominguez, L. J. (2015). Oxidative stress in patients with Alzheimer’s disease: effect of extracts of fermented papaya powder. Mediators of inflammation, 2015, 624801.
  2. Dawkins, G., Hewitt, H., Wint, Y., Obiefuna, P. C., & Wint, B. (2003). Antibacterial effects of Carica papaya fruit on common wound organisms. The West Indian Medical Journal, 52(4), 290-292.
  3. Frothingham, S. (2019, November 24). Benefits of Papaya for Your Skin and Hair. Healthline. https://www.healthline.com/health/papaya-benefits-for-skin
  4. García-Solís, P., Yahia, E. M., Morales-Tlalpan, V., & Díaz-Muñoz, M. (2009). Screening of antiproliferative effect of aqueous extracts of plant foods consumed in México on the breast cancer cell line MCF-7. International journal of food sciences and nutrition, 60 Suppl 6, 32–46.
  5. Somanah, J., Aruoma, O. I., Gunness, T. K., Kowelssur, S., Dambala, V., Murad, F., Googoolye, K., Daus, D., Indelicato, J., Bourdon, E., & Bahorun, T. (2012). Effects of a short term supplementation of a fermented papaya preparation on biomarkers of diabetes mellitus in a randomized Mauritian population. Preventive medicine, 54 Suppl, S90–S97.
  6. Okeniyi, J. A., Ogunlesi, T. A., Oyelami, O. A., & Adeyemi, L. A. (2007). Effectiveness of dried Carica papaya seeds against human intestinal parasitosis: a pilot study. Journal of medicinal food, 10(1), 194–196.
  7. Olsen, R. N. D. (2020, August 13). Benefits of Beta Carotene and How to Get It. Healthline.
  8. Yogiraj, V., Goyal, P. K., Chauhan, C. S., Goyal, A., & Vyas, B. (2014). Carica papaya Linn: an overview. International Journal of Herbal Medicine, 2(5), 01-08.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

18 − 3 =