10 Khasiat Buah Jambu Air Yang Anda Perlu Tahu

khasiat jambu air

Apakah khasiat buah jambu air pada kesihatan badan kita? Artikel ini akan membincangkan beberapa khasiat jambu air, kandungan nutrisi dan juga komponen sihat di dalam buah ini.

Pengenalan

Buah jambu air merupakan sejenis buah yang tidak asing lagi dalam kalangan masyarakat di negara kita. Jambu air atau nama saintifiknya Syzygium aqueum merupakan sejenis buah yang berbentuk seakan-akan loceng dan mempunyai warna kulit merah jambu ke merah. Isi buah jambu air pula berwarna putih dan kulitnya pula nipis dan bertekstur licin. Buah dan kulitnya dapat dimakan begitu sahaja ataupun dijadikan salad ataupun jeruk. Namun tahukah anda akan kebaikan yang ditawarkan oleh buah jambu air ini? Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut akan kebaikan yang dapat diperolehi daripada buah jambu air ini.

Kandungan Nutrisi

Makronutrisi

KomposisiKandungan per 100 g
Tenaga, kcal17
Karbohidrat, g3.1
Serat, g0.8
Protein, g0.8
Lemak, g0.1

Jadual di atas menunjukkan komposisi makronutrisi yang terdapat dalam buah jambu air. Setiap 100 g buah jambu air dapat membekalkan sebanyak 17 kcal sahaja. Ini menunjukkan bahawa buah jambu air mempunyai kandungan tenaga yang rendah. Selain itu, hanya terdapat 3.1 g karbohidrat di dalam setiap 100 g buah jambu air. Kandungan serat, protein and lemak pula adalah 0.8 g, 0.8 g dan 0.1 g.

Mikronutrisi

KomposisiKandungan per 100 g
Kalsium, mg2
Zat besi, mg0.2
Sodium, mg1
Kalium, mg48
Fosforus, mg5
Vitamin C, mg16.7

Jadual dia atas pula menunjukkan komposisi mikronutrisi yang terdapat dalam buah jambu air. Setiap 100 g buah jambu air mampu membekalkan sebanyak 2 mg kalsium, 0.2 mg zat besi, 1 mg sodium, 48 mg kalium, 5 mg fosforus dan 16.7 mg vitamin C.

Komponen Berkhasiat

Antara komponen yang berkhasiat terdapat di dalam buah jambu air ialah vitamin C. Umum mengetahui bahawa vitamin C mempunyai pelbagai kelebihan terhadap kesihatan seperti meningkatkan sistem imunisasi tubuh, membantu pembentukan kolagen dan mencegah penyakit skurvi. Selain itu, kalium juga merupakan antara komponen terpenting di dalam buah jambu air. Selain kaya dengan kandungan air, kandungan mineral dan elektrolit yang lain dapat membantu menyeimbangkan kandungan elektrolit di dalam sel badan kita. Di samping itu, niasin ataupun vitamin B3 merupakan antara komponen penting yang ada di dalam buah ini. Antara kelebihan niasin adalah mengekalkan kesihatan sistem saraf, sistem pencernaan dan penting untuk kesihatan kulit.

10 Khasiat Jambu Air pada Kesihatan

Terdapat kurang kajian yang dijalankan ke atas kebaikkan buah jambu air dan kebanyakkan kajian dijalankan ke atas pokok jambu air yang melibatkan pelbagai komponen pokok ini. Berikut merupakan kebaikan yang boleh diperolehi dari pokok buah jambu air.

1. Besifat antimikrob

Kajian menunjukkan bahawa kulit pokok jambu air mengamdungi tannin yang dilihat berkesan untuk melawan mikrob seperti staphylococcus aureus dan staphylococcus hominis. Selain itu, ekstrak dari daun jambu air juga didapati berkesan ke atas A. faecalis, A. hydrophilia, B. cereus, dan S. aureus. Daun jambu air juga didapati berkesan untuk melawan virus herpes simplex jenis I dan II di samping dapat melindungi dari mikrob yang menjadi punca kepada jerawat.

2. Anti radang

Di dalam satu kajian yang dijalankan ke atas haiwan, didapati pemberian ekstrak daun jambu air dapat mengurangkan keradangan di mana ianya dapat menghalang pembengkakkan pada peringkat akut dan kronik. Hal ini kerana di dalam daun jambu air terdapat kandungan flavonoid. Kajian juga mendapati bahawa kandungan ekstrak di dalam daun jambu air dapat mencegah inflammatory cytokine.

3. Melindungi hati

Kajian menunjukkan bahawa daun jambu air dapat melindungi hati dari kecederaan yang disebabkan oleh karbon tetraklorida di mana komponen ini dapat mengubah jumlah bilirubin, protein dan berat hati. Selain itu, ianya juga melindungi hati dari kesan toksik paracetamol.

4. Mencegah radikal bebas

Jika dirujuk kembali jadual komposisi mikronutrisi di dalam buah jambu air, buah ini merupakan sejenis buah yang kaya dengan kandungan vitamin C. Kandungan vitamin C yang tinggi mampu mencegah kerosakan sel yang disebabkan oleh radikal bebas lalu dapat mencegah penyakit berbahaya yang lain seperti kanser.

5. Mengurangkan risiko mendapat serangan angin ahmar

Umum mengetahui bahawa vitamin C mempunyai khasiat yang tersendiri seperti dapat menghalang kerosakan yang disebabkan oleh radikal bebas. Kandungan vitamin C di dalam buah jambu air dapat mencegah serangan angin ahmar melalui pencegahan keradangan, masalah jantung dan memperbaiki tekanan darah. Pengambilan 22 mg vitamin C dari buah jambu air dapat mencegah pembentukkan plak pada salur darah yang menjadi salah satu punca kepada serangan angin ahmar.

Artikel Berkaitan: Tanda Angin Ahmar dan Rawatan

6. Memperbaiki paras kolesterol di dalam darah

Jambu air merupakan sejenis buah yang mempunyai kandungan niasin ataupun lebih dikenali dengan nama vitamin B3. Antara kelebihan niasin adalah dapat meningkatkan paras kolesterol baik di dalam badan iaitu high-density lipoprotein ataupun lebih dikenali dengan nama HDL. Selain itu, ianya juga mampu untuk menurunkan paras kolesterol tidak baik di dalam badan seperti trigliserida dan low-density lipoprotein ataupun LDL.

Artikel Berkaitan: Punca Kolesterol Tinggi dan Rawatan

7. Mencegah kekejangan otot

Antara salah satu punca kepada terjadinya kekejagan otot adalah ketidak seimbangan elektrolit di dalam tubuh badan menyebabkan pengecutan otot menjadi tidak teratur. Buah jambu air mengandungi kandungan kalium di mana kalium berfungsi untuk mengatur pengecutan otot secara normal.

8. Menghidrat tubuh badan

Pasti ramai yang sedar bahawa buah jambu air ini mempunyai kandungan air yang banyak. Setiap gigitan pasti terasa kandungan air di dalam buah ini sepadan dengan namanya, jambu air. Buah ini sesuai dimakan semasa cuaca panas dengan tujuan menyejukkan badan. Di samping menghidrat tubuh, kandungan mineral di dalamnya juga berkhasiat untuk tubuh badan.

9. Mencegah keguguran rambut

Di dalam perubatan di negara india, air buah jambu air digunakan untuk tujuan mencegah keguguran rambut. Hal ini kerana, air buah jambu air dipercayai mampu untuk melancarkan pengaliran darah pada kulit kepala lalu meransang pembentukkan anak rambut. Ianya digunakan dengan cara menambahkannya ke dalam syampu dan perapi rambut.

10. Mencegah sembelit

Sembelit adalah salah satu masalah sistem penghadaman di mana seseorang merasa sukar untuk membuang air besar. Antara sebab terjadinya sembelit adalah kekurangan serat. Buah jambu air mengandungi kandungan serat yang dapat meransang peristalsis di kawasan usus besar lalu dapat mencegah sembelit.

Tuntasnya, terdapat pelbagai kebaikan yang ditawarkan oleh buah jambu air kepada kesihatan kita. Namun, haruslah diingat bahawa pengmbilannya haruslah secara bersederhana untuk mencegah masalah kesihatan yang lain.

Diharapkan artikel khasiat jambu air ini dapat memberikan sedikit sebanyak maklumat kepada para pembaca.

Rujukan:

  1. Baliga, M. S., Ranganath Pai, K. S., Saldanha, E., Ratnu, V. S., Priya, R., Adnan, M., &Naik, T. S. (2017). Rose Apple (Syzygium jambos (L.) Alston). Fruit and Vegetable Phytochemicals, 1235-1242.
  2. Sobeh, M., Esmat, A., Petruk, G., Abdelfattah, M. A. O., Dmirieh, M., Monti, D. M., … Wink, M. (2018). Phenolic compounds from Syzygium jambos (Myrtaceae) exhibit distinct antioxidant and hepatoprotective activities in vivo. Journal of Functional Foods, 41, 223–231.
  3. Water apple: Nutrition, health benefits, uses for skin and applications in ayurveda. (2020). Retrieved from NetMed
  4. Watery rose apple facts, health benefits and nutritional value. (2019). Retrieved from Health Benefit Times

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 2 =

Open

Close