Skip to content

Stevia: Pemanis Semula jadi atau Racun?

Adakah anda biasa mendengar istilah ‘pemanis semulajadi/tiruan’? Atau adakah anda sendiri menggunakan pemanis seperti stevia bagi mengekalkan rasa manis dalam minuman tanpa perlu khuatir akan kenaikan gula dalam darah? Namun, sejauh manakah tahap keselamatan bagi penggunaan pengganti gula ini? Artikel ini akan membincangkannya.

Apa itu Stevia?

Stevia ialah sejenis herba yang mempunyai rasa manis dan telah digunakan dalam penyediaan minuman sejak abad ke-16. Ia berasal dari Paraguay dan Brazil. Pokoknya renek, merimbun, dan merupakan sebahagian daripada spesis bunga matahari, serta turut dikenali sebagai Stevia rebaudiana Bertoni. Stevia boleh didapati dalam bentuk serbuk, cecair, atau dikeringkan.

Secara asasnya, stevia digunakan sebagai pemanis dan suplemen herba. Stevia lebih dikenali sebagai pemanis semulajadi kerana ia berasal daripada tumbuhan berbanding pemanis tiruan yang dihasilkan di dalam makmal seperti aspartame atau sucralose. Ia dikategorikan sebagai salah satu jenis pemanis tidak bernutrisi (non-nutritive sweeteners), di mana secara asasnya ia selamat untuk digunakan dalam jumlah sederhana.

Pemanis tidak bernutrisi ialah pemanis yang memberi tenaga dalam jumlah yang terlalu rendah/langsung tidak membekalkan tenaga kerana hanya dalam jumlah yang sedikit, ia sudah mampu untuk memberi rasa manis.

Tahap kemanisan stevia ialah 250 kali ganda lebih manis berbanding gula. Kandungan yang memberi rasa manis ini diekstrak daripada beberapa proses seperti menuai daun stevia yang seterusnya dikeringkan, dikeluarkan airnya, dan ditulenkan. Stevia mentah yang belum melalui proses penulenan kebiasaannya mempunyai rasa pahit dan bau busuk.

Kegunaan Stevia

Stevia sering digunakan sebagai pemanis dalam minuman, pencuci mulut, sos, serta ‘salad dressing’.

Bagi pesakit diabetes, mereka sering dinasihat untuk mengehadkan pengambilan gula melalui beberapa langkah seperti mengurangkan minuman manis atau menggunakan pemanis semulajadi seperti stevia/pemanis tiruan yang lain di dalam minuman sebagai pengganti gula.

Kini, pemanis seperti stevia bukan sahaja menjadi pilihan buat pesakit kencing manis yang masih ingin menikmati manisan tanpa perlu khuatir akan kenaikan gula dalam darah, malah turut menjadi salah satu ikhtiar bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan berikutan jumlah kalorinya yang rendah.

Selain itu, kajian mendapati stevia mengandungi pelbagai komponen sterol dan antioksida yang mungkin mampu mengurangkan risiko kanser pankreas. Antara potensi lain daun stevia ialah:

  • Menurunkan tekanan darah dan mengatur degupan jantung. Namun, kajian terbaharu mendapati stevia tidak memberi kesan terhadap tekanan darah. Kajian lebih mendalam diperlukan bagi mengesahkan kebaikan ini.

Tahap dan Isu Keselamatan Stevia

Kajian tentang tahap keselamatan pemanis semulajadi/tiruan masih terhad, namun pihak Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (Food and Drug Administration, FDA) menyatakan bahawa pemanis seperti saccharin, sucralose, aspartame, neotame, serta steviol glycosides daripada daun stevia (telah melalui proses penulenan) adalah selamat untuk digunakan secara bersederhana, termasuk bagi ibu mengandung dan menyusu badan.

Namun, FDA tidak meluluskan penggunaan daun atau ekstrak stevia secara mentah ekoran kekurangan data tentang tahap keselamatannya. Tambahan pula, penggunaan daun stevia mentah dikhuatiri akan membahayakan buah pinggang, sistem reproduktif, dan sistem kardiovaskular.

Di pasaran Malaysia, pengguna dapat memilih pelbagai jenis pemanis semulajadi/tiruan yang terdiri daripada bermacam-macam jenama. Berikut ialah ringkasan laporan daripada Center for Science in the Public Interest mengenai tahap keselamatan stevia.

  • Jumlah kalori: 0 kcal per gram
  • Status keselamatan: Belum diuji secara secukupnya.
  • Food and Drug Administration mengklasifikasikan stevia sebagai selamat pada tahun 2008. Namun begitu, stevia tidak diluluskan di negara Kanada.
  • Isu tentang pemanis stevia ini ialah ekoran ketidakcukupan data kajian bagi menyimpulkan sama ada pengambilannya dalam jumlah yang tinggi adalah selamat atau tidak. Hal ini berkait rapat dengan beberapa isu seperti:

1. Masalah reproduktif

Sainstis Eropah mendapati bahawa Stevioside (komponen yang diekstrak daripada daun stevia) mungkin memberi kesan terhadap organ sistem pembiakan lelaki. Melalui ujian ke atas tikus makmal jantan, penghasilan sperma berkurangan selepas tikus-tikus itu diberi stevioside dalam dos yang tinggi selama 22 bulan.

Selain itu, berat vesikel mani berkurangan dan percambahan sel testikel turut meningkat. Ketiga-tiga situasi ini meningkatkan kebarangkalian untuk mandul.

Hamster betina yang diberi makan steviol (hasil stevioside) dalam jumlah yang banyak juga didapati mempunyai kurang anak serta saiz anak yang lebih kecil.

Persoalan sama ada stevia dalam dos yang rendah akan memberi kesan yang sama atau tidak terhadap sistem reproduktif masih belum dapat ditentukan.

2. Kanser

Melalui ujikaji makmal, steviol boleh bertukar menjadi mutagen (bahan yang boleh menyebabkan perubahan genetik pada sesuatu organisma) yang berisiko menyebabkan kanser. Walau bagaimanapun, pertukaran menjadi mutagen ini masih belum dipastikan sama ada turut berlaku dalam tubuh badan manusia ataupun tidak.

3. Metabolisme tenaga

Stevioside dalam jumlah yang terlalu tinggi boleh mengganggu penyerapan karbohidrat di dalam haiwan dan membantutkan proses pertukaran makanan menjadi sumber tenaga.

Kesan Sampingan Stevia

Selain daripada isu-isu di atas, terdapat beberapa data daripada kajian yang menunjukkan risiko kesan sampingan penggunaan stevia ke atas segelintir individu.

1. Mengganggu bakteria baik di dalam usus

Bakteria baik yang menghuni sistem penghadaman kita adalah penting untuk mengekalkan ketahanan badan, mencegah masalah kesihatan, serta melancarkan penghadaman. Terdapat satu ulasan yang menyatakan bahawa pemanis sifar kalori seperti stevia berisiko mengganggu persekitaran bakteria baik ini.  

2. Kerosakan buah pinggang

Stevia ialah bahan diuretik (meningkatkan pengeluaran air kencing). Para penyelidik pada awalnya menganggap pengambilan stevia dalam jangka masa panjang berisiko merosakkan buah pinggang yang berfungsi untuk menapis darah dan menghasilkan air kencing.

Walau bagaimanapun, kajian pada tahun 2013 mendapati stevia malah berpotensi mencegah kerosakan buah pinggang.

3. Gejala gastrointestinal (GI symptoms)

Sesetengah produk stevia mengandungi alkohol gula (sugar alcohol) yang berisiko mendatangkan gejala seperti loya, muntah, cirit-birit, dan kembung perut dalam segelintir individu yang sensitif terhadapnya.

4. Hipoglisemia

Dalam individu dengan kandungan gula sedia ada yang rendah dalam darah, penggunaan stevia dalam dos yang tinggi atau tempoh masa yang panjang dikhuatiri akan menjadikan keadaan ini semakin teruk.

5. Tekanan darah rendah

Seperti hipoglisemia, individu dengan tekanan darah sedia ada yang rendah juga berisiko untuk menghadapi keadaan lebih teruk dengan penggunaan stevia secara berlebihan dan dalam jangka masa yang panjang.

6. Tindak balas dengan ubat

Selain kesan sampingan di atas, stevia juga berisiko untuk mempunyai interaksi dengan sesetengah ubat. Oleh itu, adalah sangat penting bagi individu yang mengambil ubat untuk masalah kesihatan berikut bagi mendapatkan nasihat pakar terlebih dahulu:

  • Pesakit tekanan darah tinggi
  • Pesakit dengan masalah organ hati
  • Pesakit buah pinggang
  • Pesakit jantung
  • Pesakit yang mengambil ubat untuk kanser

Kesimpulan

Sehingga hari ini, isu keselamatan stevia masih belum menemui kata putus ekoran percanggahan penemuan saintifik dan kekurangan data kajian, terutamanya bagi stevia yang belum diproses/mentah. Namun begitu, pemanis tidak bernutrisi seperti stevia masih boleh diambil dalam jumlah sederhana (Contoh: 1 hingga 2 kali sehari dalam secawan air).

Seperti juga makanan yang lain, amalkan konsep kesederhanaan dann keseimbangan dalam pemakanan harian kita. Minum air kosong secukupnya dan hadkan pengambilan minuman manis.

Sekiranya anda mengambil pemanis semulajadi/tiruan, sentiasa peka dengan dos yang anda ambil melalui label makanan supaya tidak melebihi pengambilan harian yang boleh diterima (Acceptable Daily Intake, ADI). ADI bagi stevia ialah 4 miligram per kilogram berat badan dalam sehari (4 mg untuk setiap kg berat badan).

*ADI ialah anggaran jumlah bahan tambahan makanan berdasarkan berat badan yang boleh diambil dalam sehari tanpa memberi risiko berbahaya kepada tubuh badan.

Di samping itu, sebelum kajian dapat membuktikan keselamatan daun stevia mentah, dapatkan khidmat nasihat doktor/pegawai dietetik sebelum anda menggunakannya, terutama bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan kronik.

Rujukan

  1. Huizen, J. (2017). Does stevia have any side effects? – Medical News Today
  2. Link, R. (2019). Is Stevia safe? Diabetes, pregnancy, kids, and more. – Healthline
  3. Nichols, H. (2018). What is stevia? – Medical News Today
  4. Mahan, L. K., Raymond, J. L., & Krause, M. V. (2017). Krause’s Food & the Nutrition Care Process.
  5. McDermott, A. (2020). Everything You Need to Know about Stevia. – Healthline
  6. Ministry of Health Malaysia. (2013). Medical Nutrition Therapy Guidelines for Type 2 Diabetes Mellitus.
  7. Panoff, L. (2019). Stevia Vs Splenda: What’s the Difference? healthline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × 5 =