Skip to content

Radang Jantung: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah itu penyakit radang jantung? Artikel ini akan menerangkan kepada anda serba sedikit tentang penyakit yang jarang dibincangkan ini.

Pendahuluan

Radang jantung atau ‘myocarditis’ merupakan penyakit keradangan pada otot jantung. Pada tahun 2013, terdapat 1.5 juta kes radang jantung yang dilaporkan di seluruh dunia. Mengikut statistik, penyakit ini dihidapi dalam 10-22  dalam setiap 100,000 orang, menjadikan penyakit ini penyakit yang agak jarang dihidapi. Kebanyakan pesakit terdiri daripada golongan remaja dan pertengahan usia dengan kemuncak usia 42 tahun. Namun begitu, penyakit ini boleh dihidapi oleh semua golongan tidak mengira umur dan jantina.

Punca

Kebanyakan punca penyakit radang jantung ialah daripada jangkitan virus seperti COVID-19, adenovirus, hepatitis B dan C, parvovirus B19, coxsackie dan lain-lain. Selain itu, bakteria, parasit, kulat, sesetengah ubat dan penyakit autoimun juga boleh mengakibatkan radang jantung seperti:

  • Ubat-ubatan yang digunakan untuk merawat kanser, antibiotik seperti penisilin dan sulfonamida, sesetengah ubat sawan dan kokain.
  • Bahan kimia seperti karbon monoksida.
  • Penyakit radang atau autoimun lain seperti lupus dan lain-lain.

Risiko

Risiko adalah lebih tinggi kepada individu yang tidak mengambil vaksin untuk virus yang boleh dicegah seperti COVID-19, hepatitis B, hepatitis C dan lain-lain. Selain itu, individu yang mempunyai alergi dan terdedah kepada bahan-bahan berikut juga akan mendapat risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi radang jantung:

  • Alkohol
  • Dadah
  • Plumbum
  • Gigitan labah-labah
  • Sengatan tebuan
  • Bisa ular
  • Kemoterapi dan radiotherapy

Simptom

Penyakit radang jantung tidak mempunyai simptom-simptom yang spesifik. Namun, pesakit boleh menunjukkan simptom-simptom berikut:

  • Kesukaran bernafas
  • Sakit dada
  • Pengsan
  • Demam
  • Pernafasan cepat
  • Irama jantung yang cepat atau tidak teratur (aritmia)
  • Sakit sendi
  • Bengkak kaki
  • Pengurangan jumlah air kencing

Pemeriksaan dan Ujian

Sekiranya terdapat simptom-simptom tersebut, sila dapatkan rawatan secepatnya dengan menghadirkan diri ke klinik atau hospital berdekatan. Antara pemeriksaan yang boleh dilakukan termasuklah:

  • Mengambil darah untuk memeriksa sel darah, komponen indikasi keradangan dan antibodi
  • X-ray untuk melihat jantung, paru-paru dan struktur dada yang lain
  • Elektrokardiogram (EKG) untuk memantau aktiviti jantung
  • Ultrasound jantung (ekokardiogram) untuk melihat imej jantung

Sekiranya perlu, doktor juga akan melakukan MRI jantung atau biopsi otot jantung.

Rawatan

Rawatan radang jantung adalah bergantung kepada punca, tahap penyakit dan komplikasi. 

Pesakit kebiasaannya akan diberi ubat untuk meningkatkan fungsi jantung seperti: 

  • ACE-inhibitor
  • Beta-blocker
  • Diuretik

Doktor juga akan menasihati pesakit untuk mengurangkan pengambilan garam dan berehat. Pesakit akan dimasukkan ke dalam wad sekiranya terdapat komplikasi untuk rawatan selanjutnya.

Komplikasi dan Prognosis

Kebanyakan pesakit akan sembuh tanpa komplikasi. Walau bagaimanapun, komplikasi-komplikasi tersebut boleh berlaku:

  • Kegagalan jantung. Tanpa rawatan, radang jantung boleh merosakkan otot jantung sehingga jantung tidak dapat mengepam darah dengan baik. 
  • Serangan jantung atau strok. Jantung yang tidak dapat mengepam darah dengan lancar akan mengakibatkan darah terkumpul di dalam jantung dan ini boleh membentuk gumpalan darah beku yang boleh menyekat salah saluran jantung dan mengakibatkan serangan jantung. Gumpalan darah beku ini juga boleh mengakibatkan strok sekiranya tersekat di saluran darah yang menuju ke otak.
  • Degupan jantung yang cepat atau tidak teratur (aritmia). Kerosakan pada otot jantung boleh mengubah irama jantung lalu membentuk gumpalan darah beku dan meningkatkan risiko strok.
  • Kematian mengejut. Aritmia boleh menyebabkan jantung berhenti berdenyut dan membawa maut jika tidak dirawat dengan segera.

Artikel Berkaitan:

Radang JantungJantung Berlubang
Sakit JantungJantung Berdebar
Jantung BengkakLemah Jantung
Kolesterol TinggiTekanan Darah Tinggi

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, May 20). Myocarditis. Mayo Clinic.
  2. Dunkin, M. A. (n.d.). Myocarditis: Causes, symptoms, and treatments. WebMD.
  3. Olejniczak, M., Schwartz, M., Webber, E., Shaffer, A., & Perry, T. E. (2020). Viral Myocarditis-Incidence, Diagnosis and Management. Journal of cardiothoracic and vascular anesthesia34(6), 1591–1601.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty + 12 =