Skip to content

Jantung Berdebar: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah jantung berdebar? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pendahuluan

Apabila kita bersenam atau melakukan aktiviti berat, jantung kita akan mengepam darah dengan lebih cepat untuk dihantar ke seluruh badan. Tahukah anda bahawa jantung mempunyai aliran elektrik tersendiri dan degupan jantung ini dikawal olehnya?

Sekiranya aliran elektrik ini terlalu cepat, degupan jantung akan menjadi lebih cepat dan menjadikan jantung terasa berdebar. Namun begitu, gejala jantung berdebar ini juga boleh disebabkan oleh aliran elektrik jantung yang terganggu (aritmia).

Bergantung dengan jenis aritmia, simptom jantung berdebar ini boleh mengancam nyawa. Oleh itu, artikel ini akan membincangkan serba sedikit tentang kondisi jantung berdebar untuk meningkatkan kesedaran kita tentang gejala ini.

Punca

Jantung berdebar atau takikardia (bahasa Inggeris: tachycardia), bermaksud kadar denyutan jantung melebihi 100 degupan dalam satu minit. Aritmia pula ialah gangguan pada aliran elektrik jantung yang boleh mengakibatkan takikardia.

Takikardia boleh berpunca daripada aktiviti yang dilakukan seperti bersenam ataupun gangguan pada elektrik jantung tidak teratur. Selain bersenam dan aritmia, antara punca lain jantung berdebar termasuklah:

  • Sakit Jantung
  • Tekanan darah tinggi atau terlalu rendah
  • Ketidakseimbangan bahan mineral dalam darah seperti seperti kalium, natrium, kalsium dan magnesium yang boleh disebabkan oleh beberapa kondisi seperti ketika dehidrasi
  • Kesan sampingan sesetengah ubat
  • Tiroid yang terlalu aktif (hyperthyroidism)
  • Kekurangan jumlah sel darah merah (anemia) yang kebanyakannya disebabkan oleh kehilangan darah
  • Merokok
  • Penggunaan dadah yang merangsang sistem saraf seperti kokain atau methamphetamine
  • Punca yang tidak dapat ditentukan atau idiopathic.
  • Demam
  • Minuman alkohol
  • Kopi

Gejala jantung berdebar juga boleh disebabkan gangguan pada aliran jantung itu sendiri dan tidak semestinya berpunca daripada senarai di atas. Gejala jantung berdebar ini boleh dibahagikan mengikut beberapa pecahan yang dibahagi berdasarkan bahagian jantung yang menyebabkan kadar denyutan jantung ini tidak normal. Contoh-contoh aritmia adalah seperti berikut:

  • Atrial fibrillation (A-fib). A-fib adalah gangguan elektrik jantung yang paling banyak didapati dalam kalangan pesakit. Keadaan ini disebabkan oleh aliran elektrik yang tidak teratur di bahagian atria (bahagian atas jantung) jantung yang menyebabkan degupan jantung menjadi cepat. Kebanyakan A-fib akan terawat dengan sendirinya, namun pada sesetengah pesakit, keadaan ini boleh dan hanya boleh dirawat dengan mendapatkan rawatan segera daripada doktor.
  • Atrium berdebar (atrial flutter). Degupan jantung pada atrial flutter adalah lebih teratur berbanding A-fib. Kondisi ini boleh terawat dengan sendiri atau memerlukan rawatan doktor. Pesakit yang mempunyai kondisi ini sering mengalami A-fib juga.
  • Takikardia ventrikel (ventricular tachycardia). Kondisi ini disebabkan gangguan aliran elektrik jantung pada bahagian ventrikel yang terletak di bawah atria. Takikardia ventrikel yang mengambil masa beberapa saat kebiasaannya tidak mendatangkan bahaya namun sekiranya berpanjangan dalam hanya beberapa saat, ia boleh mengancam nyawa.
  • Takikardia supraventricular (SVT). SVT adalah istilah yang merangkumi aritmia yang bermula di atas ventrikel. Takikardia supraventrikular menyebabkan jantung tiba-tiba berdebar dan juga berhenti secara tiba-tiba.
  • Fibrilasi ventrikel (ventricle fibrillation). Aliran elektrik jantung yang terlalu cepat dan tidak teratur akan menyebabkan ventrikel bergetar dan tidak mengepam seperti kebiasaannya. Kondisi ini boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat dalam masa beberapa minit. Kebanyakan pesakit yang kebiasaannya mempunyai penyakit jantung yang lain atau pernah mengalami kecederaan yang serius, seperti disambar petir yang boleh mengganggu aliran elektrik jantung.

Risiko

Orang yang lebih berusia dan mempunyai sejarah keluarga berpenyakit jantung akan mendapat risiko yang lebih tinggi berbanding orang lain. Namun begitu, risiko tersebut juga boleh dikurangkan dengan mengamalkan gaya hidup sihat seperti menjaga pemakanan, bersenam dan mendapatkan rawatan yang sewajarnya sekiranya terdapat penyakit-penyakit lain yang boleh memberi kesan kepada jantung.

Simptom

Jantung yang berdebar tidak mampu mengepam darah dengan baik dan mencukupi ke seluruh badan. Akibatnya, organ-organ lain dalam badan tidak akan mendapat oksigen yang diperlukan untuk berfungsi secara normal. Antara simptom-simptom lain yang boleh didapati adalah seperti berikut:

  • Sakit dada
  • Pengsan / pitam
  • Sakit kepala
  • Kadar nadi yang cepat
  • Sesak nafas

Sesetengah orang tidak mengalami ada gejala-gejala di atas. Aritmia yang dikesan pada pesakit-pesakit ini kebiasaannya ditemui secara tidak sengaja iaitu apabila mereka datang ke klinik untuk membuat pemeriksaan penyakit yang lain.

Pemeriksaan dan Ujian

Antara pemeriksaan yang akan dilakukan oleh doktor sekiranya anda mempunyai simptom-simptom jantung berdebar adalah:

  • Elektrokardiogram (ECG atau EKG). Doktor akan melekatkan beberapa pelekat elektrod atau suction cup pada dada anda untuk mengesan dan merekod aktiviti aliran elektrik jantung. 
  • MRI akan dilakukan pada sesetengah orang untuk mengesan aktiviti jantung yang tidak normal.

Rawatan

Kondisi jantung berdebar selalunya tidak memerlukan rawatan. Namun, ia bergantung dengan punca dan adakah ia boleh mengancam nyawa. Rawatan yang diberikan bergantung kepada jenis aritmia tersebut. Oleh itu, anda dinasihatkan untuk segera berjumpa doktor sekiranya mempunyai simptom-simptom di atas untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

Kebiasaannya, doktor akan memberikan anda ubat yang bersesuaian dengan punca di samping menyarankan langkah-langkah pencegahan sakit jantung kepada anda kerana sakit jantung sering mengakibatkan gangguan aliran elektrik jantung.

Anda akan dinasihatkan untuk menjalani gaya hidup sihat seperti bersenam untuk mengurangkan tekanan darah. Jika anda mempunyai takikardia supraventricular, anda akan disyorkan supaya mengurangkan minuman berkafein atau alkohol, mendapatkan tidur yang secukupnya dan berhenti merokok.

Rawatan untuk takikardia ventrikel pula antaranya termasuklah pemberian ubat tertentu untuk membetulkan aliran elektrik jantung ataupun ablasi, iaitu prosedur yang memusnahkan tisu jantung yang tidak normal.

Aliran elektrik jantung yang tidak teratur juga boleh dibetulkan menggunakan mesin defibrilator iaitu sejenis alat yang diletakkan pada dada untuk menghantar aliran elektrik dari luar badan untuk mengembalikan aliran elektrik jantung yang teratur. Mesin ini sangat berkesan untuk mengurangkan risiko kematian pada pesakit dan kebiasaannya terdapat di tempat awam seperti pusat membeli belah dan kawasan sekolah.

Adakah ubat-ubatan ini selamat digunakan ketika mengandung dan menyusukan bayi?

Oleh sebab takikardia dan aritmia juga boleh dihidapi bersama penyakit jantung yang lain, doktor anda mungkin akan memberikan ubat untuk merawat penyakit jantung tersebut. Tidak semua ubat adalah selamat untuk ibu mengandung dan menyusukan bagi.

Bagi ibu yang mengandung dan menyusukan anak, anda haruslah memaklumkannya kepada doktor anda agar diberikan ubat alternatif yang selamat sekiranya doktor memutuskan bahawa anda harus mengambil ubat.

Antara ubat-ubatan yang dilarang diberikan untuk ibu mengandung termasuklah: ACE inhibitor (mengurangkan tekanan darah), ARB (mengurangkan tekanan darah) dan warfarin (ubat cair darah). Bagi ibu yang menyusukan bayi pula, ACE inhibitor dan ARB tidak selamat digunakan untuk beberapa minggu pertama setelah kelahiran anak manakala ubat warfarin selamat digunakan kerana tidak bercampur ke dalam susu ibu. Untuk mengetahui dengan lebih lanjut, anda dinasihatkan untuk bertanyakan doktor anda untuk mendapat nasihat yang lebih tepat dan bersesuaian untuk kondisi anda.

Komplikasi dan Prognosis

Komplikasi takikardia bergantung kepada:

  • Jenis takikardia/aritmia
  • Berapa laju jantung berdegup
  • Berapa lama waktu simptom itu berlaku
  • Kewujudan penyakit jantung yang lain

Antara komplikasi-komplikasi jantung berdebar termasuklah:

  • Kerap pengsan atau tidak sedarkan diri
  • Kegagalan jantung yang berpunya daripada kelemahan jantung dan seterusnya tidak berupaya untuk mengepam darah yang mencukupi ke seluruh badan
  • Kematian mengejut yang kebiasannya dikaitkan dengan takikardia ventrikel atau fibrilasi ventrikel

Sesetengah orang yang mempunyai takikardia mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk menghidapi strok atau serangan jantung. Contohnya, pesakit yang mempunyai A-fib mempunyai risiko yang paling tinggi untuk menghidapi strok dan serangan jantung kerana degupan jantung yang tidak teratur ketika A-fib boleh mengkibatkan darah menjadi beku dan membentuk gumpalan yang boleh menyekat pembuluh darah di otak dan jantung. Oleh itu, doktor akan memberikan ubat cair darah sekiranya pesakit mempunyai A-fib untuk mengurangkan risiko pembentukan gumpalan darah beku ini.

Artikel Berkaitan:

Radang JantungJantung Berlubang
Sakit JantungJantung Berdebar
Jantung BengkakLemah Jantung
Kolesterol TinggiTekanan Darah Tinggi

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, May 20). Tachycardia. Mayo Clinic.
  2. WebMD. (n.d.). Tachycardia: Symptoms, causes, diagnosis, treatment. WebMD.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

two × five =