Skip to content

10 Khasiat Jintan Putih yang Anda Perlu Tahu

Apakah khasiat jintan putih pada kesihatan? Artikel ini akan membincangkan kandungan nutrisi, komponen berkhasiat dan juga khasiat jintan putih.

Pengenalan

Pernahkah anda mendengar akan istilah jintan putih? Jintan putih atau nama saintifiknya Cuminum cyminum merupakan sejenis rempah yang digunakan di dalam masakan. Rempah ini mempunyai bau dan rasanya yang tersendiri yang menjadikannya antara rempah yang unik digunakan di dalam masakan.

Selain digunakan di dalam masakan, jintan putih turut digunakan di dalam perubatan tradisional untuk kesihatan tubuh badan. Oleh itu artikel ini akan membincangkan dengan lebih lanjut akan kebaikkan jintan putih terhadap kesihatan. 

Kandungan Nutrisi dan Komponen Penting

Berikut merupakan kandungan nutrisi yang terdapat di dalam satu sudu teh jintan putih.

Komponen Kandungan 
Tenaga, kcal6 kcal
Karbohidrat, g0.54 g
Serat, g0.8 g
Protein, g0.28
Lemak, g0.32

Berdasarkan jadual di atas, kandungan makronutrisi yang terdapat di dalam jintan putih sangatlah rendah di mana satu sudu teh rempah ini hanya membekalkan sebanyak 6 kcal. Selain itu kandungan karbohidrat, protein dan lemaknya juga sangat rendah. Antara komponen penting yang boleh didapati di dalam jintan putih adalah apigenin dan luteolin yang merupakan sejenis antioksida. 

10 Khasiat Jintan Putih untuk Kesihatan

1. Bersifat antioksida

Jintan putih merupakan sejenis rempah yang mengandungi kadar antioksida yang tinggi. Kajian telah mendapati bahawa ekstrak methanol jintan putih mengandungi kandungan fenolik sebanyak 9 mg/g berat kering. Sifat antioksida yang tinggi berfungsi untuk mencegah dan melawan kerosakkan sel yang disebabkan oleh radikal bebas.

2. Membantu penghadaman

Masalah cirit-birit merupakan antara masalah penghadaman yang sering dihadapi oleh segelintir rakyat Malaysia. Ianya disebabkan oleh masalah sistem penghadaman yang boleh disebabkan oleh pelbagai punca seperti pengambilan makanan yang terlalu pedas ataupun pengambilan makanan yang tercemar.

Jintan putih digunakan secara tradisional untuk menyembuhkan masalah cirit birit. Kajian terhadap haiwan turut mendapati bahawa rempah ini berupaya untuk mengatasi masalah ini. 

3. Bersifat anti-diabetik

Diabetes merupakan penyakit kegagalan pengawalan gula di dalam darah. Ianya disebabkan oleh penghasilan insulin yang tidak mencukupi ataupun masalah insulin yang tidak sensitif. Di dalam satu kajian, jintan putih didapati dapat mengurangkan paras gula puasa dan selepas makan peserta kajian.

4. Bersifat anti radang

Keradangan merupakan tindak balas yang dijalankan oleh tubuh badan apabila tubuh badan diserang oleh patogen ataupun benda asing dari luar. Sekiranya terjadi di dalam tempoh masa yang lama akan dapat menyebabkan masalah kesihatan.

Biji jintan putih didapati mengandungi komponen aktif yang mempunyai sifat anti radang. Kajian terhadap haiwan mendapati ianya berupaya untuk mengurangkan keradangan dan kesakitan pada haiwan tersebut.

5. Melindungi kesihatan jantung

Kajian telah mendapati bahawa pemberian ekstrak jintan putih dapat membantu untuk mengurangkan paras tekanan darah. Selain itu, jintan putih juga mengandungi anti oksida yang dapat membantu untuk mengurangkan paras kolesterol di dalam darah. Kedua-dua komponen ini dapat melindungi kesihatan jantung dan sistem kardiovaskular.

6. Melindungi perut

Tahukah anda bahawa terdapat kajian yang mendapati bahawa ekstrak jintan putih dapat melindungi perut? Kajian ini mendapati bahawa ekstrak ini dapat mengelakkan pembentukkan ulser pada perut. 

7. Meningkatkan kesihatan paru-paru

Paru-paru merupakan organ yang menjalankan pelbagai fungsi penting antaranya adalah pertukaran gas oksigen dan karbon dioksida yang berfungsi untuk pernafasan. Satu kajian terhadap haiwan yang mempunyai kecederaan pada paru-parunya. Kajian ini telah mendapati bahawa ianya dapat mencegah proses keradangan dan meningkatkan penghasilan tisu protein surfaktan pada kawasan paru-paru. 

8. Mencegah kanser

Kanser merupakan satu penyakit di mana sel-sel di dalam tubuh badan tidak berhenti untuk membahagi. Sel-sel ini lalu membentuk sekumpulan sel kanser yang mengganggu sel-sel sihat di sekitarnya. Jintan putih mengandungi kadar antioksida dan anti radang yang tinggi yang dapat membantu untuk mencegah kanser dan kerosakkan pada sel. 

9. Melawan bakteria dan parasit

Di dalam perubatan tradisional, ekstrak minyak jintan putih dikatakan bertindak sebagai antiseptik yang dapat membunuh dan melawan bakteria dan parasit. Hal ini dapat membantu untuk meningkatkan kesihatan sistem imuniti tubuh badan.

10. Meningkatkan memori

Semakin bertambah usia, daya ingatan dan memori akan menjadi semakin lemah dan kurang. Dementia merupakan masalah kesihatan yang sering dikaitkan dengan memori. Jintan putih dapat meningkatkan ingatan dengan meningkatkan kesihatan sistem saraf. Hal ini dapat membantu di dalam ingatan dan pergerakkan anggota badan.

Rujukan

  1. Fatima, T., Beenish, N. B., Gani, G., Qadri, T., & Bhat, T. A. (2018). Antioxidant potential and health benefits of cumin. J Med Plants Stud6, 232-236.
  2. Watson, K. (2018, March 1). Cumin Benefits. Healthline.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

3 + 17 =