Skip to content

7 Tips Pemakanan untuk Mengatasi Mual dan Muntah

Apakah cara atau tips pemakanan untuk menghadapi masalah rasa mual atau muntah-muntah? Artikel ini akan membincangkan perkara ini.

Pengenalan

Mual adalah rasa tidak selesa pada perut yang kebiasaannya terjadi sebelum seseorang muntah. Muntah pula adalah pengosongan kandungan perut secara sukarela atau terpaksa melalui mulut. Mual dan muntah lebih dikenali sebagai gejala kepada banyak keadaan. Ada yang muntah di awal tempoh kehamilan.

Ada juga yang biasanya muntah kerana mabuk dek kerana pergerakan kenderaan atau mabuk laut. Kesan daripada ubatan dan rawatan tertentu juga boleh menyebabkan muntah yang teruk. Begitu juga dengan keracunan makanan dan lain lain. Rasa mual dan muntah yang berterusan jika tidak dirawat sebaiknya akan membawa kepada dehidrasi, ketidakseimbangan elekrolit, kurang berat badan dan berisiko tinggi terhadap nyawa seseorang. Jika keadaan semakin memburuk, dinasihatkan untuk mendapatkan pengawasan dan rawatan lanjut di hospital.

Berikut adalah 7 tips pemakanan untuk mengatasi rasa mual dan muntah.

1. Elakkan makanan tinggi lemak dan pedas

Makanan yang tinggi lemak adalah seperti makanan bersantan dan bergoreng. Jenis makanan sebegini akan melambatkan proses pengosongan gastrik (gastric emptying). Apabila ini berlaku makanan yang lambat dihadam ini akan menghalang saluran usus.

Kesannya anda mungkin akan mengalami ketidakselesaan perut, gejala angin, mual dan seterusnya membawa kepada muntah. Jadi, anda sangat digalakkan untuk mengambil makanan rendah lemak untuk memudahkan proses penghadaman. Antara pilihan makanan yang sesuai adalah seperti sup ayam dan roti bakar.

2. Kuantiti makanan yang sedikit tetapi kerap

Untuk mengelakkan muntah berlaku berulang kali, dinasihatkan untuk makan dengan porsi yang sedikit tetapi kerap. Makan dengan porsi yang sedikit dapat mempercepatkan proses penghadaman dan membantu mengurangkan gejala. Kenapa pula perlu makan secara kerap? Makanlah secara kerap agar keperluan nutrisi dan kalori seharian dapat dicapai.

Perlu diingat, kebiasaannya bila seseorang individu mengalami rasa mual dan muntah, mereka cenderung untuk hilang selera makan. Jadi, untuk memastikan anda bertenaga dan keadaan kesihatan tidak merosot maka pilihlah untuk makan walaupun sedikit tetapi kerap. Sebagai contoh, bahagikan waktu makan kepada 4 ke 6 kali sehari. Pastikan anda makan pada waktu yang teratur kerana rasa mual akan menjadi lebih teruk bila perut kosong.

3. Makanan berkalori dan bernutrisi tinggi.

Hilang selera makan adakalanya menyukarkan seseorang individu untuk memenuhi keperluan tenaga seharian. Salah satu cara untuk mengatasi keadaan ini adalah dengan menyediakan minuman atau makanan ringkas namun bernutrisi dan berkalori tinggi. Ianya dapat membekalkan tenaga yang mencukupi.

Sebagai contoh, penjaga boleh cuba untuk menyediakan smoothie pisang. Caranya mudah iaitu dengan mengisar sebiji pisang yang dicampurkan dengan susu penuh krim. Selain itu, puding, ais krim dan yogurt juga mudah disediakan dan dinikmati. Susu formula enteral dalam kategori nutrisi lengkap dan seimbang juga biasanya akan dicadangkan oleh pegawai dietetik di hospital jika perlu. Sebaiknya berbincang dengan pegawai dietetik yang merawat untuk menentukan kesesuaian pengambilan susu formula enteral tersebut.

4. Minum air sedikit demi sedikit sepanjang hari

Apabila muntah dengan kerap, kebiasaannya cecair dalam badan juga turut berkurang dan membawa kepada risiko dehidrasi. Untuk mengatasi keadaan ini, sediakan air berdekatan anda dan sentiasa minum sedikit demi sedikit dengan menggunakan straw.

Anda boleh juga menghisap ketulan ais setiap 15 minit selama 3 ke 4 jam untuk memberi kelegaan daripada rasa mual dan ingin muntah. Namun diingatkan agar tidak minum terlalu banyak air bersama hidangan makanan utama kerana ini akan menyebabkan perut penuh dengan air dengan terlalu cepat. Tunggu 30 minit setelah makan dan barulah minum kembali.

5. Minum teh halia

Beberapa kajian mendapati halia mempunyai ciri-ciri anti mual. Penghadaman dan pengosongan gastrik juga dapat dipercepatkan dan ini akan mengurangkan rasa mual dan kekerapan muntah. Halia juga mempunyai ciri anti radang yang menggalakkan pengeluaran hormon yang mengawal tekanan darah.

Kesannya badan akan lebih tenang dan mengurangkan mual. Boleh gunakan uncang teh halia atau gunakan beberapa potong kecil halia dan masukkan ke dalam secawan air teh suam, sedia untuk dinikmati perlahan-lahan.

6. Makan makanan pada suhu bilik.

Untuk mengatasi rasa mual dan muntah, elakkan makanan yang mempunyai bau yang kuat seperti masakan yang ditumis dengan rempah ratus. Makan makanan pada suhu bilik kerana kebiasaannya makanan pada suhu ini berkurang bau dan rasa. Pastikan pengudaraan berada dalam keadaan yang baik supaya bau makanan yang kuat tidak terperangkap di dalam billik. Bila kurang bau maka ini akan sedikit sebanyak membantu mengurangkan rasa loya dan ingin muntah.

7. Elakkan baring sekurang-kurangnya 1 jam selepas makan

Penat. Sememangnya badan rasa penat bila selalu muntah dan memerlukan waktu lebih untuk rehat.  Namun selepas makan sebaiknya tidak terus baring di katil. Sebaliknya rehat dengan bersandar secara tegak di kerusi dahulu sekurang kurangnya sejam sebelum baring dan tidur. Langkah ini penting untuk memastikan apa yang dimakan dapat dihadam dengan sempurna.

Diharapakan artikel tips pemakanan untuk menghadapi rasa mual dan muntah ini dapat memberikan sedikit sebanyak ilmu dan idea bagaimana cara pemakanan ketika anda menghadapi masalah loya atau muntah.

Tips Pemakanan yang lain

Makanan untuk Pesakit Angin AhmarMakanan untuk Mencegah Kanser
Makanan untuk Kecantikan KulitMakanan untuk Wanita Berpantang
Makanan untuk Lawaskan KencingMakanan untuk Luka Cepat Sembuh
Makanan untuk Masalah JerawatMakanan untuk Masalah Cirit Birit
Mekanan untuk Menaikkan Berat BadanMakanan untuk Turunkan Berat Badan
Makanan untuk Penyakit JantungMakanan untuk Awet Muda
Makanan untuk Masalah GastrikMakanan untuk Ibu yang baru bersalin
Makanan untuk Tambah Darah MerahMakanan untuk Masalah Sembelit
Makanan untuk Kesihatan MataMakanan untuk Redakan Stress
Makanan untuk Pesakit EkzemaMakanan untuk Masalah Buasir
Makanan untuk Pesakit GERDMakanan Ketika Wanita Berpantang
Makanan tidak boleh untuk Pesakit GoutMakanan untuk Bina Badan
Pemakanan Bagi Pesakit DialisisMakanan yang Menyebabkan Mengantuk
Makanan untuk Lemah JantungMakanan untuk Mual dan Muntah
Makanan untuk Pesakit Asma

Rujukan

  1. UCSF Health. (2022, June 24). Diet modifications for nausea and vomiting. ucsfhealth.org. Retrieved June 25, 2022
  2. Nausea & vomiting: Treatment & care. Cleveland Clinic. (n.d.). Retrieved June 25, 2022
  3. Nutritional management of nausea/vomiting during cancer treatment. Nutritional Management of Nausea/Vomiting During Cancer Treatment – Health Encyclopedia – University of Rochester Medical Center. (n.d.). Retrieved June 25, 2022
  4. Managing nausea and vomiting at home. American Cancer Society. (n.d.). Retrieved June 25, 2022
  5. WebMD. (n.d.). Nausea and vomiting – common causes and how to treat it. WebMD. Retrieved June 25, 2022,

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty + 15 =