Skip to content

Kanser Tulang: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kepada masalah kanser tulang? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Kanser tulang boleh bermula pada mana-mana tulang dalam badan, tetapi ia paling kerap menjejaskan tulang pinggul atau tulang yang panjang seperti di lengan dan kaki. Kanser ini jarang berlaku dan ia terdiri daripada hanya 1 peratus daripada semua kanser.

Istilah “kanser tulang” tidak termasuk kanser yang bermula di bahagian lain dalam badan dan merebak (bermetastasis) ke tulang. Sebaliknya, kanser tersebut dinamakan berdasarkan tempat ia bermula, seperti kanser payudara yang telah bermetastasis ke tulang. 

Sesetengah jenis kanser ini berlaku terutamanya pada kanak-kanak, manakala yang lain kebanyakannya menyerang orang dewasa. Pembedahan adalah rawatan yang paling biasa untuk masalah ini, namun, kemoterapi dan radioterapi juga boleh digunakan. Keputusan untuk menggunakan pembedahan, kemoterapi atau radioterapi adalah berdasarkan jenis kanser tulang yang dirawat.

Punca

Punca kebanyakan kanser tulang masih belum diketahui. Namun begitu, terdapat beberapa jenis kanser ini iaitu:

  • Osteosarcoma. Osteosarcoma adalah bentuk kanser tulang yang paling biasa dijumpai dalam kalangan pesakit. Dalam tumor ini, sel-sel kanser menghasilkan tulang. Ia paling kerap berlaku dalam kalangan kanak-kanak dan golongan muda, dan tumbuh pada bahagian tulang kaki atau lengan. Jarang sekali, ia berlaku tumbuh di luar tulang (osteosarkoma extraskeletal).
  • Chondrosarcoma. Chondrosarcoma adalah kanser tulang kedua tertinggi yang didapati dalam kalangan pesakit. Kanser ini akan menghasilkan sel-sel kanser dari rawan. Chondrosarcoma biasanya berlaku pada tulang pinggul, kaki atau lengan dan banyak dihidapi oleh orang dewasa pertengahan umur dan lebih tua.
  • Sarkoma Ewing. Tumor sarkoma Ewing paling kerap timbul di tulang pinggul, kaki atau lengan kanak-kanak dan golongan muda.

Risiko

Punca untuk menghidapi kanser ini tidak dapat dikenal pasti namun, berikut merupakan risiko-risiko kanser tulang:

  • Sindrom genetik yang diwarisi. Sindrom genetik tertentu boleh meningkatkan risiko kanser ini, seperti sindrom Li-Fraumeni dan retinoblastoma walaupun agak jarang berlaku.
  • Penyakit tulang Paget. Selalunya berlaku pada orang dewasa yang lebih tua, penyakit tulang Paget boleh meningkatkan risiko kanser tulang berkembang pada usia tua.
  • Terapi sinaran untuk kanser. Pendedahan kepada dos sinaran yang tinggi dan kerap , seperti yang diberikan semasa radioterapi untuk kanser boleh meningkatkan risiko kanser tulang pada masa hadapan.

Simptom

Antar simptom-simptom kanser tulang termasuklah:

  • Sakit tulang
  • Bengkak dan kelembutan berhampiran kawasan yang terjejas
  • Tulang yang rapuh yang boleh menyebabkan tulang patah
  • Keletihan
  • Penurunan berat badan tanpa sebab

Pemeriksaan dan Ujian

Ujian pengimejan boleh menentukan lokasi dan saiz tumor tulang dan sama ada tumor telah merebak ke bahagian lain badan. Jenis ujian pengimejan yang disyorkan bergantung pada tanda dan gejala individu. Antara ujian pengimejan yang boleh dilakukan adalah seperti berikut:

  • Imbasan tulang (bone scan)
  • Tomografi berkomputer (CT)
  • Pengimejan resonans magnetik (MRI)
  • Tomografi pelepasan positron (PET)
  • X-ray

Selain pengimejan, doktor juga akan melakukan biopsi untuk mengeluarkan sampel tisu daripada tumor untuk ujian makmal. Biopsi digunakan untuk mengesahkan pembentukan sel kanser. Ia juga boleh mengesahkan sama ada sel tumor tersebut mampu berkembang dan merebak dengan cepat atau perlahan. Terdapat pelbagai jenis cara biopsi yang dilakukan dan antaranya adalah seperti berikut: 

  • Memasukkan jarum nipis melalui kulit anda dan ke tumor tulang untuk mengambil sedikit bahagian tulang yang disyaki terdapat kanser. 
  • Pembedahan untuk mengeluarkan sampel tisu kanser untuk ujian makmal. Semasa biopsi ini dijalankan, doktor juga akan membuang sama ada keseluruhan tumor atau sebahagian daripadanya, bergantung kepada kondisi pesakit.

Setelah menjalani biopsi dan ujian pengimejan, doktor akan mengesahkan tahap kanser tersebut. Peringkat kanser tulang diklasifikasikan antara tahap 0 hingga tahap 4. Peringkat terendah bermaksud tumor masih bersaiz kecil dan kurang agresif manakala pada peringkat 4 atau tahap akhir, kanser telah merebak ke bahagian lain badan. Antara kriteria-kriteria yang digunakan untuk menentukan tahap kanser adalah seperti berikut:

  • Saiz tumor
  • Seberapa cepat kanser mampu berkembang berdasarkan jenis kanser
  • Bilangan tulang yang terjejas
  • Sama ada kanser telah merebak ke bahagian lain badan

Rawatan

Pilihan rawatan untuk kanser ini adalah bergantung kepada jenis kanser, peringkat kanser, kesihatan keseluruhan dan pilihan pesakit. Lain kanser tulang mempunyai lain tindak balas terhadap rawatan, dan doktor akan membantu pesakit untuk menasihati cara merawat kanser mengikut individu. Sebagai contoh, sesetengah kanser ini dirawat hanya dengan pembedahan, sesetengah yang lain pula harus menjalani pembedahan dan kemoterapi dan sesetengah pesakit lain akan menjalani pembedahan, kemoterapi dan radioterapi. Berikut merupakan ringkasan kepada rawatan-rawatan yang ada.

  • Pembedahan. Pembedahan dijalankan untuk membuang keseluruhan tumor kanser sekiranya mampu dibuang sekali gus. Kebanyakan masanya, kanser in akan dibuang bersama-sama dengan sebahagian kecil tisu sihat yang mengelilinginya. Kemudian, tulang yang telah dibuang akan digantikan dengan tulang lain yang diambil daripada bahagian lain badan anda, atau dengan bahan lain seperti logam dan plastik keras. Sebahagian kanser tulang yang sangat besar atau terletak di bahagian yang sukar untuk dibuang mungkin memerlukan pembedahan untuk membuang semua atau sebahagian anggota badan (amputasi). 
  • Kemoterapi. Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat anti-kanser yang biasanya dihantar melalui vena (intravena), untuk membunuh sel-sel kanser. Walau bagaimanapun, jenis rawatan ini hanya berkesan dengan lebih baik dalam beberapa jenis kanser tulang. Sebagai contoh, kemoterapi secara amnya tidak begitu berkesan untuk chondrosarcoma, tetapi ia penting untuk merawat osteosarcoma dan Ewing sarcoma.
  • Radioterapi. Radioterapi menggunakan pancaran tenaga berkuasa tinggi, seperti sinar-X, untuk membunuh sel-sel kanser. Semasa radioterapi, pesakit akan baring di atas meja sementara mesin bulat khas akan bergerak di sekeliling badan pesakit dan menghalakan pancaran tenaga pada bahagian kanser tersebut. Radioterapi sering digunakan sebelum pembedahan kerana ia boleh mengecutkan tumor dan memudahkan untuk membuangnya. Ini, seterusnya, boleh membantu mengurangkan kemungkinan amputasi diperlukan. Radioterapi juga digunakan pada kanser yang tidak boleh dikeluarkan dengan pembedahan. Selepas pembedahan, terapi sinaran boleh digunakan untuk membunuh mana-mana sel kanser yang mungkin tertinggal. Bagi orang yang menghidap kanser tulang tahap akhir, terapi sinaran boleh membantu mengurangkan sakit.

Komplikasi dan Prognosis

Kebanyakan kanser tulang boleh dirawat sepenuhnya. Namun begitu, sesetengah pesakit akan memerlukan pembedahan selama beberapa kali sebelum berjaya ke tahap tersebut. Sebilangan pesakit yang lain akan memerlukan rawatan susulan seperti kemoterapi dan radioterapi selama bertahun-tahun untuk mengawal pertumbuhan kanser. 

Kadar survival relatif lima tahun untuk kanser ini ialah 66.8%. Ini bermakna, 66.8% penghidap kanser tulang masih hidup lima tahun selepas didiagnosis. Perlu diingat bahawa kadar kelangsungan hidup hanyalah anggaran. Ia tidak dapat meramalkan berapa lama seseorang individu akan hidup. Pesakit yang didiagnosis pada peringkat awak kanser dan mendapat rawatan awal mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk pulih sepenuhnya.

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, March 22). Bone cancer. Mayo Clinic.
  2. Bone cancer: Symptoms, signs, treatment, causes & stages. Cleveland Clinic. (n.d.).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

16 + 20 =