Kanser Usus: Punca, Simptom dan Rawatan

kanser usus

Kanser usus, kanser kolorektal atau barah usus merujuk kepada ketumbuhan di bahagian kolon (usus besar) atau rektum (bahagian antara kolon dan dubur). Kanser ini terjadi disebabkan oleh mutasi sel-sel di bahagian lapisan usus besar atau rektum.

Ia merupakan salah satu penyebab utama kematian di seluruh dunia. Di Malaysia, Daftar Kanser Kebangsaan (NCR) telah melaporkan bahawa kanser usus ialah kanser yang paling kerap terjadi pada lelaki (16.3%) dan kedua paling kerap berlaku pada wanita (10.7%) selepas kanser payudara. Sebanyak 65% kes kanser ini dikesan apabila pesakit sudah berada dalam tahap 3 dan 4.

Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan bagi kanser usus dengan lebih mendalam.

Punca Kanser Usus

Seperti kebanyakan kanser, kanser usus boleh terjadi disebabkan oleh faktor genetik dan persekitaran. Walau bagaimanapun, faktor genetik seperti mutasi sel tidak semestinya menjamin seseorang untuk mendapat kanser usus. Mutasi ini boleh menyebabkan sel yang tidak normal terkumpul di lapisan usus besar, yang seterusnya membentuk polip. Polip ialah ketumbuhan kecil yang tidak menyebabkan kanser sekiranya dirawat pada peringkat awal.

Faktor Risiko

Faktor risiko bagi kanser usus dibahagi kepada dua iaitu faktor risiko tetap dan faktor risiko yang boleh diubah.

Faktor risiko tetap

Faktor risiko tetap bermaksud risiko yang tidak dapat dielakkan. Contohnya seperti:

  • Umur – risiko untuk mendapat kanser usus adalah lebih tinggi bagi individu yang berusia 50 tahun ke atas.
  • Jantina- kadar lelaki dan wanita untuk mendapat kanser kolorektal adalah sama. Namun, kaum lelaki mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk mendapat kanser rektum.
  • Sejarah keluarga – jika terdapat ahli keluarga yang mempunyai kanser usus terutamanya saudara yang rapat seperti ibu bapa dan adik beradik, maka risiko seseorang untuk mendapat barah usus ialah 2-3 kali ganda.
  • Sejarah kesihatan – seseorang yang mempunyai polip boleh mendapat kanser usus sekiranya polip tersebut tidak di rawat
  • Genetik – faktor genetik yang meningkatkan risiko mendapat kanser usus ialah seperti Irritable Bowel Disease (IBD) dan Familial Adenomatous Polyposis (FAP).

Faktor risiko yang boleh di ubah

Faktor risiko ini bermaksud perkara yang seseorang boleh elakkan untuk mengurangkan risiko barah usus. Antaranya termasuklah:

  • Berat badan yang berlebihan
  • Merokok
  • Mengambil minuman beralkohol
  • Mempunyai diabetes
  • Mengamalkan gaya hidup yang tidak sihat
  • Selalu makan daging merah yang diproses

Simptom dan Tanda Kanser Usus

Lazimnya, kanser usus tidak mempunyai simptom pada peringkat awal. Simptom-simptom ini akan menjadi lebih ketara apabila kanser mula menjadi agresif iaitu di tahap 3 atau 4:

  • Cirit-birit atau sembelit
  • Darah pada najis (najis berwarna merah atau hitam)
  • Berasa perut seolah tidak dikosongkan sepenuhnya selepas membuang air besar (tenesmus)
  • Sakit, kejang dan kembung perut
  • Keletihan
  • Kurang selera makan
  • Penurunan berat badan tanpa sengaja
  • Irritable Bowel Syndrome (IBS)
  • Anemia

Penyakit lain yang berkaitan

Terdapat beberapa penyakit lain yang mungkin mempunyai simptom yang sama seperti kanser usus. Contohnya ialah:

  • Polip
  • Diverticulosis
  • Buasir
  • Irritable Bowel Disease (IBD)
  • Familial Adenomatous Polyposis (FAP)
  • Keradangan usus
  • Limfoma usus
  • Lynch Syndrome

Ujian Pemeriksaan

Terdapat dua jenis ujian yang dilakukan bagi mengenal pasti sama ada pesakit menghidap kanser usus atau masalah kesihatan lain.

Ujian saringan

Ujian ini selalunya dilakukan kepada pesakit berumur 50 tahun ke atas serta berdasarkan faktor risiko dan simptom yang dihidapi. Antaranya ialah:

1. Fecal Occult Blood Test (FOBT)

FOBT ialah ujian yang dijalankan untuk mengesan darah dalam najis. Pesakit akan diberikan set alatan ujian untuk mengambil sedikit sampel najis dan masukkan ke dalam botol yang disediakan sebelum memberinya semula kepada doktor bagi tujuan pemeriksaan darah. Sekiranya najis mempunyai darah, doktor akan meneruskan ujian menggunakan sigmoidoskopi atau kolonoskopi.

fecal occult blood test

2. Kolonoskopi dan Sigmoidoskopi

Kolonoskopi dan sigmoidoskopi ialah prosedur yang menggunakan tiub fleksibel berserta kamera di hujungnya untuk melihat usus. Perbezaan nama prosedur ini adalah berdasarkan lokasi yang diteropong. Kolonoskopi memeriksa keseluruhan usus besar, manakala sigmoidoskopi hanya meliputi bahagian bawah kolon, juga dikenali sebagai kolon rektum dan sigmoid. Jika terdapat sebarang keadaan yang tidak normal, doktor akan mengambil sampel tisu (biopsi) di kawasan yang terlibat dan menghantar ke makmal untuk di analisa.

kolonoskopi dan sigmoidoscopi

Ujian Diagnostik

Ujian ini dilakukan setelah doktor mengesahkan seseorang menghidapi kanser usus. Ia bertujuan untuk mengesan punca, lokasi serta penyebaran kanser dengan lebih terperinci. Ujian yang mungkin dilakukan ialah:

  • X-Ray Barium enema
  • CT Scan
  • MRI
  • PET Scan (Postiron Emission Tomography Scan)

Ujian-ujian lain

Selain daripada ujian saringan dan diagnostik, ujian berikut juga dilakukan bagi mengetahui status kesihatan pesakit secara keseluruhan:

  • Ujian darah – untuk melihat tahap sel darah merah. Kekurangan sel darah merah (anemia) boleh berlaku kepada pesakit kanser usus kronik.
  • Ujian fungsi hati – kanser yang merebak ke hati akan menyebabkan fungsi hati menjadi tidak normal.

Rawatan Kanser Usus

Rawatan bergantung pada beberapa faktor seperti tahap kanser, usia, status kesihatan serta ciri-ciri lain.Tujuan rawatan adalah untuk membuang ketumbuhan, mencegah penyebaran ke organ lain dan mengurangkan simptom pesakit. Rawatan yang sering dilakukan ialah melalui pembedahan, kemoterapi serta terapi radiasi. 

1. Pembedahan

Pada peringkat awal kanser usus, doktor akan membuang polip atau ketumbuhan melalui pembedahan. Tetapi jika saiz kanser menjadi besar dan mula merebak ke dinding usus, doktor mungkin membuang sebahagian usus besar atau rektum, disertai dengan kelenjar limfa berdekatan. Usus yang sihat akan disambung semula ke bahagian rektum. Selain itu, doktor juga akan memasang kolostomi iaitu membuat bukaan di dinding perut untuk membuang najis. Ini bergantung kepada pandangan doktor sama ada kolostomi akan dilakukan secara sementara atau kekal.

2. Kemoterapi

Kemoterapi melibatkan penggunaan ubat untuk mematikan sel kanser. Di Malaysia, kemoterapi biasanya dilakukan 6 minggu selepas pembedahan. Ia juga membantu untuk mengawal pertumbuhan tumor. Disebabkan tempoh kemoterapi yang agak lama iaitu sekitar 4- 6 bulan, pesakit akan mengalami kesan sampingan seperti loya, muntah dan keletihan. Doktor akan memberikan ubat yang berkenaan bagi mengurangkan kesan sampingan ini. Sebilangan besar kesan sampingan juga akan hilang atau reda beberapa minggu setelah menyelesaikan rawatan.

3. Terapi radiasi

Radioterapi ialah rawatan yang menggunakan sinaran tenaga seperti dalam X-Ray untuk mensasarkan dan memusnahkan sel kanser. Terapi ini biasanya dilakukan bersama kemoterapi.

Pencegahan

Faktor risiko tertentu untuk kanser usus seperti sejarah keluarga dan usia tidak dapat dicegah.

Walau bagaimanapun, faktor gaya hidup yang menyumbang kepada kanser usus dapat dicegah, seterusnya membantu mengurangkan risiko keseluruhan. Langkah pencegahan yang boleh amalkan ialah:

  • Kekalkan berat badan yang sihat
  • Amalkan gaya hidup sihat
  • Makan banyak buah, sayur-sayuran, dan fiber
  • Kurangkan pengambilan lemak tepu dan daging merah yang diproses
  • Berhenti merokok
  • Hentikan pengambilan alkohol
  • Lakukan ujian saringan setelah usia 50 tahun atau lebih awal sekiranya mempunyai faktor risiko. Semakin awal kanser dikesan, semakin mudah rawatannya.

Rujukan:

  1. Tze, C. (2017). Understanding colorectal cancer in Malaysia: A mini-review and pioneering colorectal cancer awareness, screening and treatment project. Journal of Cancer Treatment and Diagnosis, 1(1), 14-17. doi:10.29245/2578-2967/2018/1.1109
  2. Chandran, A., Mustapha, F. I., Ibrahim Tamin, N. S., & Abu Hassan, M. R. (2020). Overview of Colorectal Cancer Screening Programme in Malaysia.
  3. Veettil, S. K., Lim, K. G., Chaiyakunapruk, N., Ching, S. M., & Hassan, M. R. (2017). Colorectal cancer in Malaysia: Its burden and implications for a multiethnic country. Asian Journal of Surgery, 40(6), 481-489. doi:10.1016/j.asjsur.2016.07.005
  4. Colon cancer: Symptoms, treatment, and causes. (n.d.). Retrieved January 04, 2021, from Medical News Today
  5. Wint, C. (2020, August 21). Everything You Need to Know About Colorectal Cancer. Retrieved January 04, 2021, from Healthline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 − 1 =

Open

Close