Kanser Payudara: Punca, Simptom dan Rawatan

kanser payudara

Apakah punca dan tanda-tanda kepada masalah kanser payudara? Artikel ini akan membincangkan dengan lengkap berkenaan punca, simptom, ujian pemeriksaan, cara pencegahan dan juga rawatan kepada masalah ini.

Isi Kadungan
  1. Pengenalan
  2. Struktur Payudara
  3. Punca dan Faktor Risiko
  4. Simptom Kanser Payudara
  5. Penyakit Lain yang Berkaitan
  6. Ujian Pemeriksaan
  7. Rawatan
  8. Pencegahan

Pengenalan

Kanser payudara ialah tumor invasif yang paling kerap berlaku kepada wanita dan merupakan penyebab utama kematian dalam kes kanser. Ia terjadi apabila sel payudara mula tumbuh secara tidak normal. Sel-sel ini kemudian terus membesar dengan lebih cepat berbanding sel yang sihat sehingga membentuk ketulan atau tumor.

Sel kanser ini juga boleh merebak melalui payudara ke kelenjar limfa atau ke bahagian organ yang lain. Di Malaysia, dianggarkan bahawa 1 daripada 20 wanita menghidap kanser payudara. Kebanyakan pesakit mula mempunyai kanser ini sekitar 40-49 tahun dan 90% daripada mereka menyatakan bahawa terdapat benjolan di bahagian payudara sebagai gejala utama.

Struktur Payudara

Payudara terdiri daripada tiga bahagian utama: lobula (lobules),saluran (ducts), dan tisu penghubung(connective tissue).

  • Lobula ialah kelenjar yang menghasilkan susu.
  • Saluran adalah tiub yang mengalirkan susu ke puting payudara.
  • Tisu penghubung (yang terdiri daripada tisu berserat dan berlemak) mengelilingi dan menyatukan semua struktur.

Kanser payudara boleh berlaku di bahagian payudara yang berlainan dan kebanyakannya bermula di saluran atau lobula.

Punca dan Faktor Risiko

Secara amnya, kanser payudara berlaku disebabkan oleh faktor keturunan, hormon dan persekitaran. Mutasi genetik, hormon estrogen dan progesteron serta amalan gaya hidup sihat sangat berkait rapat dengan kanser payudara.

FAKTOR RISIKO

Faktor risiko boleh dibahagi kepada dua iaitu faktor risiko tetap dan faktor risiko yang boleh diubah.

Faktor Risiko yang Tidak Boleh Diubah

  • Wanita
  • Umur yang melebihi 50 tahun
  • Mutasi genetik
  • Mencapai kitaran haid awal iaitu kurang daripada 12 tahun
  • Mencapai usia menopaus pada umur yang lewat sekitar 55 tahun ke atas
  • Sejarah kanser payudara dalam keluarga terutamanya saudara yang terdekat seperti ibu, adik-beradik, ibu saudara dan nenek
  • Mempunyai tisu payudara yang padat
  • Tidak pernah melalui kehamilan
  • Mula hamil selepas umur 30 tahun

Faktor risiko boleh diubah

  • Berat badan berlebihan
  • Merokok
  • Minum alkohol secara berlebihan
  • Mengambil hormon terapi
  • Tidak menyusukan anak (breastfeeding)

Simptom Kanser Payudara

Tanda-tanda awal kanser payudara ialah:

  • Benjolan di payudara atau ketiak
  • Payudara bengkak
  • Perubahan bentuk atau saiz payudara (sebelah payudara menjadi lebih besar berbanding normal)
  • Kulit di payudara menjadi merah atau seperti kulit buah oren
  • Puting tertarik ke dalam
  • Keluar cecair atau darah daripada puting
  • Sakit di bahagian payudara

Perlu di ingat bahawa simptom-simptom ini juga boleh berlaku dalam keadaan lain yang tidak disebabkan oleh kanser. Contohnya benjolan atau sakit payudara semasa  kitaran haid. Sekiranya ia membimbangkan, pastikan anda ke klinik atau hospital dengan segera bagi mendapatkan pandangan doktor.

Penyakit Lain yang Berkaitan

Penyakit payudara berikut juga boleh menunjukkan simptom yang sama seperti kanser payudara:

  • Fibroadenoma
  • Penyakit payudara fibrokistik
  • Breast cyst
  • Fat necrosis
  • Mastitits

Ujian Pemeriksaan

Ujian yang dilakukan bagi mengesan kanser payudara dikenali sebagai ‘Triple Assessment’, iaitu penilaian yang terdiri daripada 3 perkara:

  1. Pemeriksaan payudara secara fizikal, termasuk di bahagian ketiak.
  2. Pengimejan payudara melalui mammogram dan ultrasound
  3. Biopsi tisu payudara bagi tujuan pemeriksaan makmal untuk mengesahkan sel kanser

Terdapat dua kaedah dalam pengambilan biopsi tisu payudara iaitu melalui sitologi aspirasi jarum halus (FNAC) atau biopsi jarum teras (CNB/ Core Needle Biopsy). FNAC ialah prosedur kurang invasif yang dilakukan untuk mengambil sel payudara di kawasan yang disyaki. CNB pula memerlukan penggunaan  jarum yang lebih besar untuk mengeluarkan inti tisu, bukannya kumpulan sel. Ia sering dilakukan bersama ultrasound atau MRI sebagai panduan. Daripada keputusan biopsi payudara, ahli makmal dapat mengetahui gred serta peringkat kanser payudara pesakit.

Pengimejan lain seperti MRI dan CT Scan juga dilakukan untuk melihat sama ada sel kanser telah merebak ke bahagian organ yang lain.

Rawatan

Terdapat beberapa pilihan rawatan bagi kanser payudara, bergantung kepada penilaian doktor dari sudut kesihatan dan risiko pesakit.

Sebilangan besar pesakit yang menjalani pembedahan akan mendapat rawatan tambahan seperti kemoterapi, terapi hormon dan terapi radiasi. Kadang-kala, doktor mengesyorkan pesakit untuk menjalani kemoterapi terlebih dahulu bagi mengecilkan saiz tumor.

Pembedahan

Terdapat beberapa jenis pembedahan kanser payudara, bergantung kepada tahap serta saiz kanser

  • Lumpectomy iaitu pembuangan benjolan di kawasan kanser sahaja. Ia dilakukan kepada pesakit yang mempunyai saiz benjolan kecil atau pesakit yang masih muda bagi tujuan pemeliharaan struktur payudara. Namun begitu, sekiranya saiz tumor yang besar telah mengecil selepas rawatan kemoterapi, doktor mungkin juga mengesyorkan lumpectomy kepada pesakit.
  • Total mastectomy iaitu pembuangan seluruh payudara yang terlibat. Ini selalunya dilakukan kepada pesakit yang lebih berumur atau saiz kanser yang besar.
  • Radical mastectomy iaitu prosedur pembedahan yang melibatkan pembuangan payudara, otot dada dan limfa di bahagian ketiak. Ini dilakukan sekiranya doktor risau jika sel kanser payudara telah merebak ke bahagian limfa ketiak. Jika ia tidak dibuang, sel kanser boleh merebak ke bahagian organ lain seperti hati, ovari dan tulang.

Kemoterapi

Seperti kanser lain, kimoterapi dilakukan bagi tujuan memusnahkan dan membunuh sel kanser melalui penggunaan ubat. Ia juga membantu untuk mengawal pertumbuhan tumor. Tempoh kimoterapi biasanya diberikan sekitar 4-6 bulan. Oleh itu, pesakit akan mengalami kesan sampingan seperti loya, muntah dan keletihan. Doktor akan memberikan ubat yang berkenaan bagi mengurangkan kesan sampingan ini. Sebilangan besar kesan sampingan akan hilang atau reda beberapa minggu setelah menyelesaikan rawatan.

Terapi radiasi

Terapi radiasi ialah rawatan yang menggunakan sinaran tenaga seperti X-Ray untuk mensasarkan dan memusnahkan sel kanser. Terapi ini biasanya dilakukan bersama kemoterapi.

Terapi hormon

Terapi hormon digunakan untuk merawat kanser payudara yang sensitif terhadap hormon. Doktor merujuk kanser ini sebagai kanser reseptor estrogen positif (ER positif) dan reseptor progesteron positif (positif PR).

Terapi hormon boleh digunakan sebelum pembedahan (terapi neoadjuvant) atau selepas pembedahan. Ia membantu mengurangkan risiko kanser daripada kembali.

Rawatan palliatif

Rawatan palliatif selalunya diberikan kepada pesakit yang mempunyai kanser payudara yang telah merebak ke organ lain seperti hati, paru-paru, ovari atau tulang. Ia bertujuan untuk meningkatkan kualiti hidup pesakit dengan mengurangkan simptom seperti sakit dan sukar bernafas.

Pencegahan

Faktor risiko tertentu untuk kanser payudara seperti sejarah keluarga dan usia tidak dapat dicegah.

Walau bagaimanapun, faktor gaya hidup yang menyumbang kepada kanser payudara dapat dicegah, seterusnya membantu mengurangkan risiko keseluruhan. Langkah pencegahan yang boleh amalkan ialah:

  • Turunkan berat badan yang berlebihan
  • Amalkan gaya hidup sihat
  • Hadkan pengambilan alkohol kurang dari satu minuman sehari
  • Berhenti merokok
  • Menyusukan bayi anda sekiranya mampu
  • Elakkan pengambilan pil hormon terutamanya jika berusia 35 tahun ke atas
  • Sekiranya perlu, anda dinasihatkan untuk mendapatkan pandangan doktor
  • Lakukan ujian saringan dengan lebih awal sekiranya mempunyai sejarah keluarga yang kuat atau simptom-simptom kanser payudara

Rujukan:

  1. Breast Cancer. (2020, September 14). Retrieved January 15, 2021, from CDC
  2. Breast cancer. (2020, December 23). Retrieved January 15, 2021, from Mayoclinic
  3. Symptoms – Breast cancer in women. (n.d.). Retrieved January 17, 2021, from NHS
  4. Herndon, J. (2019, November 15). Everything You Need to Know About Breast Cancer. Retrieved January 17, 2021, from Healthline

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + 12 =

Open

Close