Skip to content

Kanser Tonsil: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah itu Kanser Tonsil? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah kanser tonsil.

Pendahuluan

Tahukah anda apa itu tonsil? Tonsil adalah sepasang kelenjar berbentuk bujur di bahagian belakang mulut anda. Fungsinya adalah untuk melawan kuman pada bahagian mulut. Oleh itu, tonsil sangat penting untuk memastikan bahagian mulut anda bebas daripada jangkitan kuman dan mengekalkan kesihatan mulut anda. Namun, tahukan anda tonsil juga boleh terjejas dan boleh dihidapi kanser?

Berdasarkan kajian, sebanyak 23.1% kanser orofarinks terdiri daripada kanser tonsil, menjadikan kanser ini kanser yang paling tinggi di dunia untuk bahagian hidung, telinga dan tekak. Kanser ini dihidapi oleh 8.4 orang bagi setiap 100,000 orang, menjadikannya kanser yang agak jarang didapati pada pesakit.

Namun begitu, kes-kes kanser tonsil telah meningkat secara mendadak sejak 40 tahun yang lalu dan hal ini dikaitkan dengan jangkitan wabak virus HPV. Negara-negara barat adalah yang paling tinggi terjejas dan hal ini dibuktikan melalui peningkatan dalam insiden kanser tonsil daripada 42.5% sebelum tahun 2000 kepada 72.2% pada tahun 2005-2009. Jom kita kenali lebih dekat, apakah kanser tonsil ini, puncanya, simptomnya dan rawatannya.

Punca Kanser Tekak

Kanser ini terjadi apabila sel-sel yang sihat dalam tonsil mengalami perubahan pada bahagian DNA. DNA didapati pada semua sel dalam tubuh dan ia berfungsi sebagai ‘otak’ dan mampu memberi arahan kepada kepada sel seperti menghasilkan protein-protein tertentu dan membiak.

Sekiranya DNA ini termutasi, ia boleh merosakkan keupayaan sel untuk berfungsi secara normal dan sihat. Secara khususnya, ia boleh mengakibatkan sel tersebut untuk membiak di luar kawalan dan memanjangkan jangka hayat sel tersebut. Sekiranya hal ini berlaku, maka terjadilah kanser tonsil. Akhirnya, sel-sel termutasi yang terkumpul ini boleh merebak ke bahagian badan yang lain.

Punca sebenar kanser ini masih tidak dapat dikenalpasti namun, kajian mendapati bahawa human papillomavirus (HPV) memainkan peranan dalam pembentukan kanser ini dan memutasikan DNA. HPV boleh menjangkiti melalui aktiviti seksual melalui mulut.

Kanser yang disebabkan oleh HPV cenderung berlaku pada golongan yang lebih muda dan kebiasaannya boleh dirawati dengan baik. Namun begitu, kanser tonsil juga boleh dihidapi oleh pelbagai peringkat usia yang lain dan sebenarny paling kerap didapati pada golongan berusia 50 tahun ke atas. Tahukah anda bahawa orang lelaki mempunyai risiko sebanyak empat kali ganda lebih tinggi berbanding perempuan untuk menghidapi kanser ini.

Risiko

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser tonsil termasuklah:

  • Merokok atau menggunakan tembakau
  • Minum alkohol
  • Dijangkiti human papillomavirus (HPV) 

Simptom Kanser Tekak

Gejala-gejala kanser tonsil termasuklah:

  • Luka di bahagian belakang mulut yang tidak sembuh
  • Saiz sebelah tonsil lebih besar berbanding yang satu lagi
  • Darah dalam air liur
  • Sakit mulut
  • Kesukaran mengunyah, menelan atau bercakap
  • Sakit tekak yang berterusan
  • Sukar memakan makanan masam seperti buah oren dan lemon
  • Sakit telinga yang teruk
  • Ketulan atau sakit di leher
  • Sakit apabila menelan
  • Nafas berbau 

Pemeriksaan dan Ujian

Sebelum melakukan pemeriksaan lanjut, doktor akan melakukan pemeriksaan menyeluruh terlebih dahlu pada bahagian tonsil bagi melihat saiz dan bentuknya. Doktor juga akan memeriksa bahagian lain seperti tekak, leher, telinga dan hidung untuk mememastikan sekiranya terdapat kanser lain atau sekiranya kanser tonsil telah merebak. Untuk mengesahkan kanser ini, terdapat beberapa prosedur yang biasanya akan dilakukan seperti:

  • Radiografi, yang terdiri daripada imbasan CT (computed tomography), PET (positron emission tomography) dan MRI (pengimejan resonans magnetik). Radiografi membantu untuk memberi imej atau gambaran kanser dengan lebih terperinci pada bahagian mulut yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar dan ia digunakan untuk memastikan sama ada kanser telah merebak di bahagian lain seperti bahagian muka ataupun organ dalaman yang lain. Radiografi boleh digunakan untuk mengesahkan tahap kanser tonsil.
  • Biopsi (mengambil sebahagian isi tonsil). Untuk mengesahkan kanser tonsil, biopsi akan dilakukan untuk memeriksa lebih terperinci komposisi sel tonsil melalui mikroskop. Selain radiografi, biopsi juga boleh digunakan untuk mengesahkan tahap kanser tonsil. Prosedur ini dilakukan dengan menggunakan pisau kecil atau jarum nipis yang boleh menyedut sedikit isi tonsil tersebut. Pesakit akan diberikan ubat anestetik untuk menghilangkan rasa sakit semasa prosedur dijalankan.
  • Ujian darah. Walaupun ujian darah tidak digunakan secara khusus untuk mendiagnosis kanser tonsil, namun ia adalah penting menilai kesihatan pesakit secara menyeluruh sebelum menjalani rawatan selanjutnya sekiranya perlu.

Rawatan

Terdapat beberapa jenis prosedur atau rawatan yang boleh dilakukan untuk merawat kanser tonsil. Namun begitu, jenis prosedur adalah bergantung kepada saiz dan lokasi kanser tonsil dan sama ada kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain. Antara prosedur-prosedur yang dilakukan termasuklah:

  • Terapi radiasi. Kaedah ini menggunakan pancaran sinaran tenaga tinggi yang mensasarkan kepada kanser tumour dan membunuh sel-sel kanser tersebut. Terapi ini digunakan untuk kanser tonsil yang dikesan pada peringkat awal untuk mengecutkan tumor. Terapi sinaran juga boleh digunakan selepas pembedahan untuk membunuh mana-mana sel kanser yang mungkin tertinggal walaupun telah dibuang sepenuhnya melalui pembedahan.
  • Kemoterapi. Kemoterapi adalah ubat-ubatan yang diberikan untuk membunuh kanser dan boleh terdapat dalam bentuk pil atau cecair yang dimasukkan dalam pembuluh darah. Kemoterapi sering digunakan dalam kombinasi dengan terapi radiasi. Ia juga boleh digunakan untuk membantu melambatkan perkembangan kanser dan mengurangkan simptom-simptom kanser bagi keselesaan pesakit apabila rawatan lain tidak dapat dilakukan sekiranya kanser telah merebak.
  • Pembedahan. Jika terapi sinaran dan kemoterapi tidak berjaya memusnahkan kanser, pembedahan akan dilakukan. Pembedahan pada bahagian leher juga mungkin diperlukan sekiranya kanser telah merebak ke nodus limfa yang terdapat pada kawasan leher.

Tempoh masa untuk pulih adalah bergantung kepada beberapa faktor, termasuklah tahap kanser semasa rawatan dan kemampuan badan pesakit sendiri. Rawatan terapi radiasi dan kemoterapi kebiasaannya mengambil masa beberapa minggu atau bulan untuk selesai.

Komplikasi dan Prognosis

Berdasarkan statistik, risiko kematian pada penghidap kanser tonsil adalah sangat rendah. Namun begitu, seperti kebanyakan kanser, semakin awal pesakit mendapatkan rawatan, maka semakin panjang jangka hayat pesakit.

Berdasarkan kajian, 8.5 hingga 9 orang daripada 10 yang disahkan menghidap kanser tonsil berpunca daripada jangkitan HPV akan hidup dalam tempoh melebihi lima tahun. Namun begitu, kadar kelangsungan hidup hanyalah anggaran yang digunakan berdasarkan data-data yang terdapat pada pesakit sebelum ini.

Kadar kelangsungan hidup boleh menjadi lebih panjang atau pendek mengikut individu. Oleh itu, kadang-kadang agak sukar untuk doktor menerangkan sejauh mana rawatan pesakit akan berjaya atau berapa lama lagi pesakit akan hidup.

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, September 22). Tonsil cancer. Mayo Clinic.
  2. Tonsil cancer: Symptoms, signs and prognosis. Cleveland Clinic. (n.d.).
  3. Articles. Cedars. (n.d.).
  4. Williamson AJ, Mullangi S, Gajra A. Tonsil Cancer. [Updated 2022 Feb 7]. In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2022 Jan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

three + 19 =