Skip to content

Kanser Tekak: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah kanser tekak? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini

Pengenalan

Kanser tekak ialah istilah umum yang merujuk kepada beberapa jenis kanser yang boleh dihidapi pada bahagian tekak. Jenis-jenis kanser ini boleh dikategorikan mengikut lokasinya seperti yang dijelaskan dibawah:

Farinks ialah saluran tekak dan sebahagian daripada sistem penghadaman yang terletak selepas bahagian mulut. Ia dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu:

  • Nasofarinks: Bahagian farinks paling atas, yang terletak di belakang rongga hidung
  • Orofarinks: Bahagian tengah, yang berada di belakang mulut dan terdiri daripada bahagian tonsil, lelangit belakang dan pangkal lidah
  • Laringofarinks: Bahagian farinks paling bawah, yang terdapat pembahagian antara farinks dan larinks (kotak suara)

Selain daripada farinks, struktur lain yang boleh terdedah kepada kanser ini ialah larinks ataupun dikenali sebagai kotak suara. Bukan sahaja ia mengandungi pita suara, ia juga merupakan struktur yang penting untuk melindungi saluran pernafasan kita kerana ia mempunyai injap yang boleh terbuka dan tertutup semasa bernafas bagi mengelakkan bendasing daripada memasuki ke dalam kerongkong. Larinks terbahagi kepada tiga bahagian utama iaitu:

  • Glotis: Bahagian tengah yang mengandungi pita suara
  • Supraglottis: Kawasan di atas pita suara
  • Subglottis: Kawasan di bawah pita suara dan di atas trakea (tenggorokan)

Kesemua bahagian larinks dan farinks ini boleh dihidapi kanser tekak. Namun begitu, kawasan yang paling kerap dihidapi kanser tekak ialah bahagian orofarinks.

Punca Kanser Tekak

Punca utama kanser ini ialah merokok dan minum arak. Sekiranya seseorang individu menggunakan kedua-dua bahan ini, maka risiko akan meningkat dengan berganda. 

Kanser ini juga boleh dihidapi oleh orang yang tidak merokok. Berdasarkan statistik, virus papilloma manusia (HPV) adalah punca utama kanser tekak pada bahagian orofarinks bagi pesakit yang tidak merokok. HPV disebarkan melalui seks oral. Namun begitu, kanser ini berpunca daripada jangkitan HPV kebiasaannya mengambil masa selama bertahun-tahun sebelum didiagnosis. Harus diingati bahawa tidak semua pesakit yang dijangkiti HPV akan mendapat kanser tekak.

Risiko

Risiko-risiko untuk menghidapi kanser tekak sangat berkait rapat dengan puncanya. Antara risiko-risiko menghidapi kanser tekak termasuklah:

  • Menghisap rokok
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan
  • Jangkitan papillomavirus manusia (hpv) dan virus epstein-barr (ebv)
  • Pemakanan yang tidak baik
  • Sejarah keluarga yang positif kanser ini
  • Jantina. Jantina lelaki mempunyai lima kali lebih tinggi risiko untuk menghidapi kanser ini.
  • Umur. Kebanyakan pesakit kanser ini berumur 65 tahun ke atas.
  • Terdedah kepada bahan kimia seperti asap asbestos, nikel dan asid sulfurik.
  • Kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran

Simptom Kanser Tekak

Antara simptom-simptom kanser ini adalah seperti berikut:

  • Sakit tekak
  • Sesak nafas
  • Batuk yang berterusan
  • Batuk darah
  • Perubahan pada suara seperti serak
  • Kesukaran menelan
  • Rasa ada sesuatu yang tersekat di kerongkong
  • Ketulan di leher atau tekak
  • Penurunan berat badan secara tiba-tiba tanpa sebab

Namun begitu, terdapat pelbagai jenis penyakit yang menunjukkan simptom-simptom yang sama seperti kanser tekak, oleh itu, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor untuk mendapat diagnosis yang tepat.

Pemeriksaan dan Ujian

Antara pemeriksaan dan ujian yang akan dilakukan untuk mengesahkan diagnosis kanser tekak termasuklah:

  • Pemeriksaan fizikal pada bahagian tekak. Doktor akan memeriksa mulut, tekak dan leher untuk melihat lebih dekat sekiranya terdapat ciri-ciri ketumbuhan kanser.
  • Ujian darah. Ujian darah kebiasaannya diambil untuk memeriksa kesihatan pesakit secara umum dan untuk memastikan sekiranya pesakit tidak mempunyai penyakit lain (komorbiditi).
  • Biopsi. Biopsi kebiasaannya dilakukan untuk mengesahkan tahap kanser dengan mengambil sebahagian tisu tekak yang disyaki terdapat kanser dan diperiksa di bawah mikroskop. 
  • Endoskopi. Endoskopi dilakukan dengan memasukkan tiub nipis dengan lampu di hujungnya melalui hidung untuk melihat tekak dan peti suara dengan lebih jelas.
  • Ultrasound. Alat ini digunakan untuk mengesan sekiranya terdapat perbezaan daripada rupa tekak yang normal dan mempunyai ketumbuhan sekiranya terdapat kanser ini. 
  • X-ray. X-ray kebiasaannya digunakan untuk melihat sama ada kanser telah merebak ke paru-paru.
  • Imbasan CT (tomografi berkomputer) menggunakan pancaran x-ray untuk mencipta imej tekak yang tidak mampu dilihat oleh x-ray secara terperinci untuk melihat jika terdapat ketumbuhan pada bahagian tekak. 
  • Imbasan MRI (pengimejan resonans magnetik). Boleh menghasilkan imej yang sangat berkualiti menggunakan gelombang magnet dan radio. MRI bertindak lebih kurang sama dengan imbasan CT.
  • Imbasan PET (positron emission tomography). Ujian ini mampu mengesan aktiviti sel kanser yang kebiasaannya melebihi sel normal dengan menggunakan bahan radioaktif disuntik ke dalam badan untuk membantu mengesan sel-sel tersebut.

Rawatan Kanser Tekak

Rawatan kanser tekak adalah bergantung kepada saiz kanser, sama ada kanser telah merebak dan kemampuan tubuh dan kesihatan pesakit secara keseluruhan. Doktor akan mengesahkan tahap kanser untuk menentukan pilihan rawatan yang terbaik. Antara rawatan yang digunakan untuk merawat kanser ini termasuklah:

  • Pembedahan. Bergantung pada lokasi dan saiz tumor, pesakit akan menjalani pembedahan untuk membuang sel kanser tersebut. 
  • Radioterapi. Selepas pembedahan, anda juga mungkin menerima radioterapi untuk membunuh sel-sel kanser. Dalam sesetengah pesakit, radioterapi mungkin akan menjadi rawatan yang utama.
  • Kemoterapi. Mengikut keadaan, kemoterapi akan digunakan bersama dengan radioterapi, terutamanya ketika kanser sudah hampir ke tahap akhir iaitu jika tumor besar atau merebak ke limfa. Selain itu, kemoterapi juga digunakan untuk mengecutkan tumor sebelum pembedahan.

Komplikasi dan Prognosis

Berdasarkan statistik, kadar kelangsungan hidup bagi tempoh 5 tahun bagi penghidap kanser orofarinks ialah 66.9%. Sumber lain mendapati iika kanser tekak dikesan pada peringkat awal sebelum kanser merebak, kadar kelangsungan hidup pesakit adalah 62%. Ini bermakna, seorang pesakit akan mempunyai peluang sebanyak 62% untuk dalam tempoh 5 tahun lagi berbanding orang yang sihat.

Bagi kanser larinks pula, kajian menunjukkan bahawa kadar kelangsungan hidup bagi tempoh 5 tahun ialah 60.7%, namun peratusan ini berbeza mengikut lokasi kanser. Contohnya, sekiranya kanser didapati pada bahagian glotis iaitu kawasan pita suara dan belum merebak ke bahagian lain, pesakit akan mempunyai peluang sebanyak 85% untuk masih hidup dalam tempoh 5 tahun.

Angka-angka ini adalah berdasarkan statistik untuk penghidap kanser tekak antara tahun 2011-2017 dan tidak digunakan untuk meramal jangka hayat seseorang pesakit yang mempunyai kanser tekak.

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Throat cancer. MD Anderson Cancer Center. (n.d.).
  2. Higuera, V. (2021, October 19). Throat cancer: Causes, symptoms, and diagnosis. Healthline.
  3. WebMD. (n.d.). Throat cancer: Types, symptoms, causes, diagnosis, treatment, stages. WebMD.
  4. Throat cancer: Causes, symptoms & treatments. Cancer Council. (n.d.).
  5. Apakah Nasofarink. Pusat Sumber Dan Pendidikan Kanser (CCARE_HPUPM). (n.d.).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − 7 =