Skip to content

Kanser Pundi Kencing :Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kepada masalah kanser pundi kencing? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah kanser ini.

Pengenalan

Kanser pundi kencing adalah kanser yang agak jarang. Pundi kencing adalah sebuah organ yang berfungsi untuk menahan air kencing anda sebelum dikeluarkan. Terdapat pelbagai cara untuk merawat masalah ini. Namun begitu, kanser ini boleh berlaku semula selepas rawatan. Tahukah anda bahawa kanser pundi kencing yang dikesan pada peringkat awal boleh dirawat sebelum ia merebak, tetapi kira-kira 75% daripada kanser ini di tahap awal boleh berlaku semula?

Punca

Kanser pundi kencing terbentuk apabila sel-sel tertentu dalam tisu yang melapisi pundi kencing termutasi. Ia boleh mengakibatkan sel tersebut membiak dengan cepat dan menghasilkan tumor. Jika tidak dirawat, saiz kanser ini boleh membesar dan masuk ke dalam nodus limfa yang berdekatan dan kemudian merebak ke bahagian lain seperti termasuk tulang, paru-paru dan hati.

Pundi kencing terdiri daripada sel-sel yang berbeza-beza fungsi dan sel-sel ini boleh menghidapi kanser. Rawatan yang diberikan juga bergantung kepada sel yang menghidapi kanser.

Jenis kanser pundi kencing termasuklah:

  • Karsinoma urothelial. Karsinoma urothelial terbentuk pada sel-sel yang melapisi bahagian dalam kantung pundi kencing. Sel urothelial ini berfungsi untuk membesarkan pundi kencing apabila penuh dan mengecil untuk mengosongkan pundi kencing. Sel urothelial juga boleh didapati pada bahagian lain seperti ureter (bahagian yang menghubungkan buah pinggang dan pundi kencing dan uretra (bahagian yang menghubungkan pundi kuncing kepada kemaluan), dan kanser jenis ini juga boleh terbentuk pada bahagian tersebut. Karsinoma urothelial adalah jenis kanser pundi kencing yang banyak dihidapi pesakit.
  • Karsinoma sel skuamosa. Karsinoma sel skuamosa dikaitkan dengan kerengsaan kronik pundi kencing – contohnya, daripada jangkitan atau daripada penggunaan kateter kencing pada jangka masa yang lama. Kanser ini agak jarang berlaku.
  • Adenokarsinoma. Adenokarsinoma bermula dalam sel yang berfungsi sebagai kelenjar yang merembes lendir dalam pundi kencing. Adenokarsinoma pundi kencing sangat jarang berlaku.

Risiko

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser pundi kencing termasuklah:

  • Merokok. Menghisap rokok, cerut atau paip boleh meningkatkan risiko kanser pundi kencing dengan menyebabkan bahan kimia berbahaya terkumpul dalam air kencing. Apabila anda merokok, badan anda memproses bahan kimia dalam asap dan mengeluarkan sebahagian daripada bahan kimia tersebut daripada air kencing anda. Bahan kimia berbahaya ini boleh merosakkan lapisan pundi kencing yang boleh meningkatkan mutasi sel pundi kencing dan meningkatkan risiko kanser.
  • Individu berusia. Risiko penyakit ini meningkat apabila usia juga meningkat. Walaupun ia boleh berlaku pada mana-mana pesakit pada semua peringkat usia, kebanyakan orang yang didiagnosis dengan kanser ini adalah orang yang berusia 55 tahun ke atas.
  • Lelaki. Individu berjantina lelaki lebih berisiko menghidap masalah ini berbanding wanita.
  • Terdedah kepada bahan kimia tertentu. Buah pinggang memainkan peranan penting dalam menapis bahan kimia berbahaya daripada aliran darah dan membuangnya melalui saluran kencing anda. Oleh itu, sekiranya anda terdedah dengan mana-mana bahan kimia yang berbahaya, ia juga boleh meningkatkan risiko kanser ini. Antara bahan kimia yang dikaitkan dengan risiko kanser pundi kencing termasuklah arsenik dan bahan-bahan kimia yang digunakan dalam pembuatan pewarna, getah, kulit, tekstil dan produk cat.
  • Individu yang pernah menjalani rawatan kanser. Rawatan ubat anti-kanser cyclophosphamide meningkatkan risiko kepada kanser ini. Selain itu, orang yang pernah menerima rawatan radioterapi yang ditujukan kepada bahagian pelvis juga mempunyai risiko untuk mendapat kanser ini.
  • Keradangan pundi kencing kronik. Jangkitan atau keradangan pundi yang kronik atau berulang (cystitis) boleh meningkatkan risiko kanser jenis sel skuamosa. Ia kebiasaannya berlaku pada pengguna jangka panjang kateter kencing.
  • Sejarah keluarga atau genetik yang mempunyai kanser ini.

Simptom

Simptom-simptom kanser pundi kencing termasuklah:

  • Darah dalam air kencing (hematuria), yang boleh menyebabkan air kencing kelihatan merah terang atau berwarna seperti air minuman cola, walaupun kadangkala air kencing boleh kelihatan normal namun darah boleh dikesan pada ujian makmal
  • Kerap membuang air kecil
  • Rasa sakit ketika kencing
  • Sakit belakang

Pemeriksaan dan Ujian

Antara ujian dan prosedur yang digunakan untuk mendiagnosis kanser pundi kencing termasuklah:

  • Menggunakan skop untuk memeriksa bahagian dalam pundi kencing (cystoscopy). Prosedur ini dilakukan dengan memasukkan tiub kecil (cystoscope) melalui saluran kencing (uretra). Cystoskop mempunyai kanta yang membolehkan doktor melihat bahagian dalam uretra dan pundi kencing. Cystoscopy boleh dilakukan di klinik atau di hospital.
  • Mengeluarkan sampel tisu untuk ujian (biopsi). Semasa cystoscopy, doktor boleh melakukan biopsi melalui alat khas yang boleh disalurkan melalui skop untuk mengumpul sampel sel pundi kencing (biopsi) untuk ujian makmal. Prosedur ini kadangkala dipanggil reseksi transurethral tumor pundi kencing (TURBT). Prosedur TURBT ini juga boleh digunakan untuk merawat kanser pundi kencing sekaligus.
  • Memeriksa sampel air kencing (sitologi air kencing). Sampel air kencing akan dianalisis di dalam makmal untuk memeriksa sel-sel kanser.
  • Ujian pengimejan. Ujian pengimejan, seperti urogram tomografi berkomputer (CT) atau pielogram retrograde, membolehkan doktor anda memeriksa struktur saluran kencing anda. Semasa CT urogram, pewarna kontras akan disuntik ke dalam urat tangan untuk mengalirkan pewarna ke dalam buah pinggang, ureter dan pundi kencing. Pewarna ini akan menghasilkan imej yang jelas semasa CT urogram dilakukan. Retrograde pyelogram pula ialah pemeriksaan X-ray yang digunakan untuk mendapatkan imej terperinci punci kencing. Semasa ujian ini dilakukan, doktor akan memasukkan tiub nipis (kateter) melalui uretra dan disalurkan sehingga ke dalam pundi kencing untuk menyuntik pewarna kontras. Pewarna kemudian mengalir ke dalam buah pinggang semasa imej X-ray diambil.

Rawatan

Pilihan rawatan untuk kanser pundi kencing adalah bergantung kepada beberapa faktor seperti jenis kanser, tahap kanser, tahap kesihatan menyeluruh pesakit dan pilihan pesakit.

Antara rawatan kanser ini termasuklah:

  • Pembedahan untuk membuang sel-sel kanser.
  • Kemoterapi dalam pundi kencing (kemoterapi intravesikal), untuk merawat kanser pundi kencing yang mempunyai risiko tinggi untuk berulang atau berkembang ke peringkat yang lebih tinggi.
  • Kemoterapi seluruh badan (kemoterapi sistemik), untuk meningkatkan kadar kesembuhan pesakit yang telah menjalani pembedahan untuk membuang pundi kencing, atau sebagai rawatan utama apabila pembedahan tidak boleh dilakukan terhadap pesakit.
  • Radioterapi. Radioterapi dilakukan bagi memusnahkan sel kanser. Radioterapi selalunya dilakukan sebagai rawatan utama apabila pembedahan tidak dapat dilakukan atau pesakit tidak mahu melakukan pembedahan.
  • Imunoterapi. Imunoterapi adalah rawatan yang digunakan untuk meningkatkan sistem imun badan pesakit untuk melawan sel-sel kanser dan diberikan dalam bentuk ubat. Ubat tersebut boleh dimasukkan melalui saluran darah atau diberikan secara terus ke dalam pundi kencing.

Komplikasi dan Prognosis

Jika tidak dirawat, kanser pundi kencing boleh merebak ke bahagian badan lain. Kanser yang bermetastasis, atau merebak, boleh mengurangkan jangka hayat pesakit. Seperti kebanyakan jenis kanser, diagnosis dan rawatan awal boleh meningkatkan peluang untuk hidup lebih lama.

Menurut statistik daripada National Cancer Institute di Amerika Syarikat, kira-kira 96% pesakit yang menerima rawatan untuk kanser ini pada peringkat awal masih hidup selama lima tahun selepas diagnosis. Secara keseluruhannya, 77% penghidap kanser pundi kencing masih hidup selama lima tahun selepas diagnosis.

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, April 19). Bladder cancer. Mayo Clinic.
  2. Bladder cancer: Symptoms, causes & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × three =