Skip to content

Kanser Perut: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kepada kanser perut? Artikel ini akan membincangkan punca-punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini

Pengenalan

Perut adalah salah satu organ dalam sistem pencernaan dan terletak di hujung esofagus. Ia berbentuk J dan terbahagi kepada 4 bahagian : cardia yang bersambung dengan esofagus, fundus, body dan pylorus (rujuk rajah 1). Setiap bahagian perut terlibat menghasilkan enzim untuk pencernaan.

Rajah 1

Kanser perut terjadi apabila berlaku replikasi sel lapisan perut tanpa kawalan ataupun berlebihan. Ia bermula di lapisan yang paling dalam dan merebak ke lapisan luar.

Kanser ini menjadi penyebab kedua kematian di dunia dan merupakan kanser yang kesepuluh dalam Wanita dan keenam dalam lelaki di Malaysia. Kadar kebolehrawatan kanser perut adalah sangat tinggi jika dikesan awal dan susah dirawat jika ianya sudah merebak ke organ lain. 

Bagaimanapun, kadar kanser ini semakin menurun di Malaysia hasil pendidikan kesihatan yang lebih baik.

Punca dan Faktor Risiko

Terdapat beberapa punca dan faktor risiko terjadinya kanser perut iaitu:

1. Merokok dan mengambil minuman beralkohol

Merokok adalah faktor risiko kanser perut yang besar. Perokok biasa mempunyai risiko 40% lebih tinggi untuk mendapat kanser ini manakala perokok tegar mempunyai risiko setinggi 82%. Ini kerana selain daripada mempunyai bahan-bahan berbahaya seperti nicotin dan tar serta bahan-bahan pencetus mutasi sel,  merokok menyebabkan perut lebih mudah mendapat jangkitan bakteria H.pylori dan seterusnya mengubah sel lapisan perut. Pengambilan minuman beralkohol pula menambah risiko-risiko ini terutamanya kebolehjangkitan H.pylori.

2. Jangkitan bakteria H.pylori

Risiko masalah kanser ini adalah 8 kali lebih tinggi pada individu yang dijangkiti berbanding individu yang tidak dijangkiti bakteria H. pylori. Jangkitan bakteria ini menyebabkan radang lapisan perut yang kerap dan akhirnya sel lapisan perut bermutasi kepada sel kanser.

3. Polip perut

Polip adalah ketumbuhan berbiji dalam saluran pencernaan. Ia boleh menyebabkan kanser. Kadangkala, kanser ini tumbuh dan kelihatan seperti polip.  

4. Etnik

Sejak 13 tahun lepas, kenaikan kanser ini di kalangan etnik Melayu lebih ketara berbanding etnik Cina dan India. Kini, kadar kanser perut pada setiap etnik adalah lebih kurang sama.

5. Jantina

Kaum lelaki lebih berisiko mendapat kanser perut disebabkan tabiat merokok. Dengan meningkatnya penggunaan vape dan merokok dalam kalangan wanita, kanser ini dalam golongan wanita juga dijangka akan turut meningkat.

6. Diet dan makanan

Makanan yang disalai, makanan tinggi garam, daging merah serta daging yang diproses dan dijeruk turut meningkatkan risiko untuk kanser perut. Kajian menunjukkan makanan begini kaya dengan nitrat dan nitrit. Ia kemudiannya digunakan dan diolah oleh bakteria terutama H.pylori dan menjadi komponen yang menyebabkan masalah kanser ini.

7. Obesiti

Obesiti telah terbukti meningkatkan risiko masalah kanser ini. Ini kerana pesakit obesiti kerap mendapat Penyakit Refluk Gastroesophagus (GERD) yang menyebabkan perubahan kepada sel lapisan perut.

8. Faktor genetik

Faktor genetic juga memainkan peranan dalam meningkatkan risiko untuk kanser perut. Faktor genetic menyumbang sebanyak 10% faktor risiko dan 1 ke 3% daripada masalah genetik ini adalah terjadi hasil mutasi gen dan perlukan ujian lanjut.

Simptom

Simptom kanser perut seringkali disalah tafsir sebagai gastrik biasa seperti sakit perut, ketidakcernaan, rasa pedih selepas makan, serta kerap berangin. Cuma ia berlaku lebih kerap dan lebih teruk. Antara simptom-simptomnya adalah:

1. Peringkat awal 

  • Ketidakcernaan
  • Perut tidak selesa
  • rasa sebu
  • pedih perut, 
  • rasa loya
  • Kurang selera makan

2. Peringkat lanjutan

  • Kerap muntah dan penat
  • Hilang berat badan
  • Kerap sakit perut
  • Sukar menelan makanan 
  • Mudah sebu
  • Darah di dalam najis
  • Anemia-kurang darah merah

Ujian Pengesahan

Diagnosis kanser perut melibatkan beberapa proses:

1. Pengambilan sejarah kesihatan dan pemeriksaan kesihatan

Doktor anda perlu tahu tentang simptom-simptom yang anda alami serta sejarah kesihatan anda dan keluarga seperti. Pastikan anda memberi maklumat berkenaan tabiat pemakanan, tabiat merokok dan sejarah kanser dalam keluarga. Doktor juga boleh mengesan kemungkinan rebakan berdasarkan sejarah kesihatan anda

Tanda-tanda anemia mungkin boleh dikesan semasa pemeriksaan kesihatan selain berat badan. Setengah pesakit kanser turut mempunyai ketumbuhan dan bengkak di bahagian perut dan bahagian nodus limfa.

2. Pengambilan sampel

Pengambilan sampel darah serta najis mungkin diperlukan untuk mengesan anemia dan darah di dalam najis. Ia juga penting untuk mengesan rebakan.

3. Endoskopi

Prosedur endoskopi adalah apabila doctor memasukkan kamera ke dalam salur pencernaan anda. Ia penting untuk mengesan ulser atau kanser perut. Semasa prosedur ini, sedikit sampel tisu dari kawasan yang berkenaan boleh diambil untuk tujuan diagnosis.

4. CT Scan atau MRI

Prosedur ini mungkin diperlukan jika doctor mengesyaki rebakan kanser perut ke organ lain serta membantu dalam menentukan jenis rawatan yang paling berkesan.

Rawatan

Kadar kebolehrawatan kanser ini adalah sangat tinggi pada peringkat awal. Akan tetapi, kebanyakan pesakit tidak menyedarinya dan kebanyakan diagnosis hanya apabila kanser perut telah merebak. Justeru, rawatan kanser ini bergantung kepada tahap kanser dan mungkin memerlukan beberapa kaedah.

  1. Pembedahan : Pada peringkat awal, pembedahan pembuangan kanser perut adalah rawatan yang terbaik. Dengan kemajuan teknologi kini, pembedahan boleh dilakukan tanpa luka yang besar dan kadar sembuh juga lebih cepat.
  2. Kemoterapi : Kemoterapi dengan ubat-ubatan mungkin dilakukan terlebih dahulu untuk mengecilkan saiz kanser sedia ada sebelum pembedahan. Ia juga dilakukan untuk mengecutkan kanser jika pesakit tidak boleh atau belum sesuai menjalani pembedahan. Dalam kes seperti ini, kemoterapi membantu mengurangkan simptom dan memberi pesakit kualiti kehidupan yang lebih baik. Walaupun kanser perut didapati tidak begitu sensitive kepada agen kemoterapi, kajian membuktikan ia boleh membantu pesakit.
  3. Radioterapi : Rawatan menggunakan sinar x juga mungkin dipilih untuk mengecutkan kanser perut serta membantu pesakit. Kadang-kala, gabungan kemoterapi bersama radioterapi turut digunakan.
  4. Pesakit juga perlu mempunyai rawatan susulan selepas rawatan utama demi memastikan kanser tersebut tidak merebak.

Pencegahan

Antara pencegahan kanser perut adalah dengan mengubah cara hidup dan menjauhi atau merawat faktor-faktor risiko yang boleh diubah. Antara Langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah :

  • Berhenti merokok dan mengambil minuman beralkohol: Dapatkan bantuan untuk berhenti merokok atau mengambil minuman beralkohol.
  • Merawat jangkitan bakteria H.pylori : Jangkitan bakteria perlu dirawat dengan antibiotic dan perlu diambil dengan berdisiplin untuk memastikan ia berkesan. Pastikan anda mematuhi nasihat doctor.
  • Diet dan makanan : Makan lebih banyak buah-buahan segar dan bukan jeruk. Pengambilan cendawa, bawang putih dan bawang juga terbukti mengelak iritasi dan kanser ini. Vitamin dari diet yang sihat turut membantu
  • Obesiti : Obesiti telah terbukti meningkatkan risiko kanser perut. Ini kerana pesakit obesiti kerap mendapat Penyakit Refluk Gastroesophagus (GERD) yang menyebabkan perubahan kepada sel lapisan perut.

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan

  1. Lim KG, Palayan K. A Review of Gastric Cancer Research in Malaysia. Asian Pac J Cancer Prev. 2019 Jan 25;20(1):5-11.
  2. Gastric Cancer: Risk Factors, Diagnosis and Management. April 2017IOSR Journal of Dental and Medical Sciences
  3. Gastric (Stomach) Cancer – Sanford Health
  4. Gastric Cancer – Hopkins medicine

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eight − 2 =