Skip to content

Kanser Pankreas :Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kepada masalah kanser pankreas? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada kapada kanser ini.

Pengenalan

Pankreas adalah organ yang berfungsi sebagai kelenjar iaitu organ yang menghasilkan dan membebaskan bahan-bahan tertentu ke dalam badan. Pankreas menjalankan dua fungsi utama iaitu fungsi eksokrin dan endokrin.

Fungsi eksokrin ialah untuk menghasilkan bahan (enzim) yang membantu penghadaman manakala fungsi endokrin pula adalah untuk menghantar hormon yang mengawal jumlah gula dalam aliran darah. Tahukah anda bahawa kanser pankreas boleh menghidapi salah satu daripada fungsi-fungsi ini?

Punca

Punca sebenar kanser pankreas masih belum dikenalpasti. Namun begitu, beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser ini iaitu merokok dan mutasi genetik.

Risiko

Faktor-faktor yang boleh meningkatkan risiko kanser pankreas termasuklah:

  • Merokok
  • Kencing manis / diabetes
  • Keradangan kronik pankreas (pankreatitis)
  • Sejarah keluarga yang mempunyai sindrom genetik yang boleh meningkatkan risiko kanser pankreas, termasuk mutasi gen BRCA2, sindrom Lynch dan sindrom melanoma mole-malignant atipikal keluarga (FAMMM)
  • Mempunyai sejarah keluarga yang menghidapi masalah ini
  • Obesiti
  • Umur yang lebih tua, kerana kebanyakan pesakit yang didiagnosis berumur 65 tahun ke atas

Sebuah kajian mendapati bahawa individu yang merokok, menghidapi kencing manis yang tidak terkawal dan mengamalkan pemakanan yang tidak sihat secara serentak boleh meningkatkan risiko masalah ini dengan berganda.

Simptom

Kanser pankreas pada peringkat awal jarang menunjukkan simptom. Namun begitu, berikut merupakan simptom-simptom bagi kanser pankreas yang telah  lanjut:

  • Sakit perut yang menjalar ke belakang badan
  • Hilang selera makan atau penurunan berat badan secara mendadak tanpa sebab yang jelas
  • Kulit dan bahagian putih mata menguning (jaundis)
  • Najis berwarna pucat
  • Air kencing berwarna gelap
  • Kulit gatal
  • Mengalami kencing manis yang baru dikesan
  • Bagi yang telah menghadapi kencing manis, kencing manis semakin sukar dikawal
  • Keletihan

Pemeriksaan dan Ujian

Kanser pankreas sangat sukar untuk dikesan pada peringkat awal. Hal ini kerana, pada peringkat awal kanser ini tidak menyebabkan perubahan atau simptom yang ketara. Antara pemeriksaan dan ujian yang dilakukan untuk mengesan masalah ini termasuklah:

  • Ultrasound endoskopik (EUS). Endoskop ialah alat seperti tiub nipis yang mempunyai kamera di hujungnya yang dimasukkan ke dalam perut melalui mulut. Prob ultrasound yang juga terdapat pada hujung endoskop ini membolehkan pengimejan pankreas dilakukan melalui dinding perut yang terletak berhampiran dengan pakreas. Jika perlu, biopsi berpandukan ultrasound boleh dilakukan semasa prosedur ini dilakukan. Biopsi ialah pengambilan sampel tisu pankreas untuk kajian makmal. Ia digunakan untuk mengesahkan tahap kanser.
  • Ujian darah khas untuk mengesan penanda atau protein yang dihasilkan oleh tumor pankreas. Penanda kanser pankreas iaitu antigen karbohidrat (CA) 19-9 boleh dikesan di dalam darah. Ia adalah sejenis protein yang dikeluarkan oleh sel kanser dan sekiranya jumlahnya didapati tinggi, ia menandakan bahawa terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa individu tersebut mempunyai kanser pankreas.
  • Ujian pengimejan. Ujian pengimejan membantu doktor anda melihat dan menggambarkan pankreas. Teknik pengimejan yang boleh digunakan untuk melihat struktur pankreas termasuklah ultrasound, imbasan tomografi berkomputer (CT), pengimejan resonans magnetik (MRI).

Rawatan

Jenis rawatan yang diberikan untuk kanser pankreas adalah bergantung kepada bahagian pankreas yang ditumbuhi tumor, tahap kanser, tahap kesihatan pesakit secara keseluruhan dan sama ada kanser telah merebak ke luar pankreas. Pilihan rawatan bagi masalah ini adalah:

  • Pembedahan. Pembedahan ini melibatkan pembuangan bahagian pankreas yang terdapat kanser. Nodus limfa berhampiran pankreas juga boleh dibuang sekiranya kanser telah merebak. Jika kanser terletak di bahagian kepala pankreas (bahagian terbesar pankreas yang terletak paling berhampiran dengan usus kecil), pakar bedah akan membedah menggunakan kaedah Whipple. Kaedah pembedahan ini dilakukan dengan membuang kepala pankreas, duodenum (bahagian pertama usus kecil), pundi hempedu, sebahagian daripada saluran hempedu dan nodus limfa yang berdekatan.
  • Radioterapi. Radioterapi menggunakan tenaga berkelajuan tinggi untuk membunuh sel-sel kanser.
  • Kemoterapi. Kaedah ini menggunakan ubat yang dimasukkan ke dalam saluran darah untuk membunuh sel kanser.
  • Imunoterapi. Rawatan ini menggunakan ubat tertentu untuk membantu badan melawan kanser. Walaupun sebahagian besar rawatan ini adalah tidak berkesan untuk melawan kanser ini, namun, kira-kira 1% pesakit kanser pankreas yang mempunyai genetik tertentu boleh mendapat manfaat daripada rawatan ini.

Komplikasi dan Prognosis

Kanser pankreas kebiasaannya hanya dijumpai pada tahap akhir. Oleh itu, jangka hayat pesakit adalah pendek selepas didiagnosis. Kadar survival bagi pesakit kanser ini untuk hidup setahun adalah kira-kira 20% sahaja daripada semua pesakit. Selepas lima tahun, jumlah pesakit yang dijangka masih hidup akan menurun kepada kira-kira 6%. Namun begitu, statistik ini adalah berdasarkan statistik keseluruhan pesakit dan tidak menggambarkan jangka hidup seseorang individu.

Jika pesakit menerima pembedahan bagi masalah ini, purata jangka hayat pesakit untuk terus hidup adalah lebih lama iaitu 18 hingga 20 bulan. Kadar kelangsungan hidup lima tahun dalam kes sedemikian meningkat 10% hingga 25%.

Kanser pankreas boleh menyebabkan komplikasi seperti:

  • Pengurangan berat badan yang mendadak. Penurunan berat badan ini disebabkan oleh kanser yang menggunakan banyak tenaga badan. Mual dan muntah yang disebabkan oleh rawatan kanser atau tumor besar yang memberi tekanan pada perut pesakit juga boleh menyebabkan pesakit sukar untuk makan. Selain itu, kanser ini juga boleh menyebabkan makanan sukar untuk dicerna kerana fungsinya telah rosak dan nutrisi makanan tidak dapat diserap ke dalam badan.
  • Jaundis. Kanser pankreas yang besar boleh menutup saluran hempedu hati dan menyebabkan jaundis iaitu kulit dan mata menjadi kuning. Antara tanda-tanda lain termasuklah air kencing berwarna gelap, dan najis berwarna pucat. Bagi membuka kembali saluran hempedu yang tersekat, doktor bedah akan mengesyorkan pesakit untuk menjalani pembedahan untuk meletakkan tiub plastik atau logam (stent) di dalam saluran hempedu untuk membukanya.
  • Tekanan pada usus. Kanser pankreas yang besar boleh memberi tekanan pada bahagian pertama usus kecil (duodenum) dan menyekat aliran makanan yang dicerna dari perut anda ke dalam usus.
  • Sakit. Kanser ini pada peringkat awal tidak akan menghasilkan kesakitan, namun, kanser yang besar boleh menekan saraf di perut dan menyebabkan kesakitan yang meningkat. Oleh itu, doktor akan memberikan ubat tahan sakit. Rawatan seperti radioterapi dan kemoterapi yang boleh membantu melambatkan pertumbuhan tumor mampu melegakan sedikit kesakitan. 

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Pancreatic cancer: What is it, symptoms, causes & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).
  2. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2021, June 6). Pancreatic cancer. Mayo Clinic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

14 + eighteen =