Skip to content

Kanser Pangkal Rahim : Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kepada masalah kanser pangkal rahim (serviks)? Artikel ini akan membincangkan punca, simptom dan rawatan kepada masalah ini.

Pengenalan

Kanser serviks ialah sejenis kanser yang berlaku pada bahagian pangkal rahim serviks. Pangkal rahim atau serviks ialah pembukaan pada rahim yang bersambung dengan faraj wanita. Punca utama kanser serviks ialah jangkitan human papilloma virus (HPV) dan kanser ini boleh dicegah sekiranya wanita melakukan pemeriksaan pangkal rahim yang dikenali sebagai Pap smear. Vaksin HPV juga boleh didapati untuk mengurangkan risiko menghidapi kanser serviks ini. Wanita yang tidak pernah melakukan hubungan seks sangat jarang untuk menghidapi kanser pangkal rahim, oleh itu, wanita yang telah berkahwin sangat digalakkan untuk melakukan ujian Pap smear ini. Tahukah anda bahawa ujian Pap smear ini boleh dilakukan di klinik-klinik kesihatan di seluruh Malaysia?

Punca

Punca utama kanser serviks ialah human papilloma virus (HPV). Kanser serviks terbentuk apabila terdapat mutasi DNA pada sel serviks yang sihat yang boleh disebabkan oleh jangkitan virus ini. Namun begitu, masih belum ada penjelasan yang jelas bagaimana DNA boleh termutasi dengan jangkitan virus ini.

Setiap sel dalam tubuh manusia mempunyai DNA yang berfungsi untuk memberi arahan kepada sel. Sekiranya berlaku mutasi pada DNA, sel boleh membiak tanpa henti dan terus hidup seperti sel-sel yang normal. Sel-sel yang tumbuh tanpa henti ini akan menghasilkan tumor yang membesar. Sel-sel tumor ini juga boleh merebak ke tempat lain dalam tubuh dan menghasilkan simptom-simptom lain yang berkaitan dengan bahagian tubuh yang telah dihidapi kanser.

Terdapat tiga jenis kanser serviks iaitu adenocarcinoma, squamous cell carcinoma dan mixed-cell carcinoma. 90% kes kanser serviks adalah jenis squamous cell carcinoma. Walaupun jumlah adenocarcinoma adalah lebih rendah, namun jenis kanser ini adalah lebih merbahaya.

Risiko

Antara perkara-perkara yang boleh meningkatkan risiko kanser serviks termasuklah:

  • Seks bebas. Lebih banyak hubungan seks dilakukan bersama orang yang berbeza, lebih tinggi risiko untuk menghidapi jangkitan HPV.
  • Mula melakukan aktiviti seksual ketika usia muda. Semakin awal wanita melakukan hubungan seks, semakin tinggi risiko menghidapi jangkitan HPV.
  • Jangkitan daripada aktiviti seksual (sexually transmitted infection). Jangkitan penyakit kelamin seperti klamidia, gonorea, sifilis dan HIV/AIDS boleh meningkatkan risiko dijangkiti HPV.
  • Sistem imun yang lemah. Seseorang wanita lebih berkemungkinan menghidap kanser serviks jika sistem imunnya lemah.
  • Merokok. Merokok dikaitkan dengan risiko kanser serviks.
  • Pengambilan ubat pencegahan keguguran. Jika seseorang wanita mengambil ubat diethylstilbestrol (DES) yang kebanyakkan diberikan kepada wanita hamil pada tahun 1950-an, ia akan meningkatkan risiko jenis kanser serviks jenis adenokarsinoma sel semasa tua.

Simptom

Kanser serviks peringkat awal biasanya tidak mempunyai simptom. Namun begitu, ia boleh dikesan menggunakan ujian Pap smear. Antara simptom-simptom yang boleh didapati pada pesakit kanser yang telah ke peringkat yang lebih lanjut termasuklah:

  • Pendarahan melalui faraj selepas hubungan seks
  • Pendarahan melalui faraj semasa tidak kedatangan haid atau selepas menopaus
  • Keputihan berair dan berdarah yang banyak dan berbau busuk
  • Sakit bahagian pinggang atau sakit semasa persetubuhan

Pemeriksaan dan Ujian

Ujian saringan kanser serviks atau lebih dikenali sebagai Pap smear, boleh membantu mengesan sel prakanser serviks dan sel kanser serviks. Pap smear dilakukan dengan mengambil sel pangkal rahim menggunakan berus lembut untuk melihat sel tersebut di bawah mikroskop dan mengesahkan sekiranya sel tersebut normal. Wanita yang sudah berkahwin sangat digalakkan untuk menjalani ujian saringan ini di klinik kesihatan.

Jika disyaki menghidapi kanser serviks, ujian kolposkop akan dilakukan untuk memeriksa sel serviks yang tidak normal dengan lebih terperinci dan untuk membuat diagnosis dengan lebih jelas. Ia dilakukan dengan meletakkan cecair kimia yang selamat di pangkal rahim untuk melihat sekiranya terdapat perubahan warna pada sel di pangkal rahim yang boleh disebabkan oleh kanser. Selain itu, kolposkopi juga dilakukan untuk mengambil sedikit tisu pangkal rahim menggunakan teknik biopsi untuk dikaji di bawah mikroskop. Terdapat beberapa cara untuk biopsi, bergantung kepada perkhidmatan yang disediakan di klinik-klinik seperti:

  • Biopsi tebuk iaitu prosedur yang menggunakan alat tajam yang halus untuk mencubit sedikit tisu pangkal rahim.
  • Kuretaj endoserviks, yang menggunakan alat kecil berbentuk sudu (kuret) atau berus nipis untuk mengikis sampel tisu dari pangkal rahim.
  • Mengambil isi pangkal rahim menggunakan gelung wayar elektrik nipis yang bervoltan rendah. Prosedur ini dilakukan dengan bius untuk menahan sakit.
  • Biopsi kon (conization) untuk mendapatkan isi pangkal rahim yang banyak untuk ujian makmal. Prosedur ini dilakukan dengan bius untuk menahan sakit.

Selain itu, doktor juga akan melakukan pemeriksaan tambahan seperti berikut untuk mengesan tahap kanser sekiranya pesakit telah disahkan menghidapi kanser pangkal rahim:

  • Ujian pengimejan. Ujian seperti X-ray, CT scan, MRI dan PET scan membantu doktor anda menentukan sama ada kanser anda telah merebak di bahagian organ lain.
  • Pemeriksaan pundi kencing dan rektum anda. Skop khas akan digunakan untuk melihat bahagian dalam pundi kencing dan rektum pesakit.

Rawatan

Terdapat beberapa jenis rawatan kanser yang boleh dilakukan dan rawatan yang diberikan ini bergantung kepada tahap kanser dan kesihatan pesakit secara menyeluruh. Rawatan-rawatan tersebut ialah:

1. Pembedahan.

Kanser serviks yang berjaya didiagnosis pada peringkat awal biasanya dirawat dengan pembedahan. Pembedahan ini boleh dilakukan dengan beberapa cara seperti memotong bahagian yang terdapat kanser sahaja, membuang pangkal rahim dan membuang seluruh rahim.

Bahagian yang dipotong adalah bergantung kepada tahap kanser dan pilihan pesakit. Kebiasaannya, pesakit yang ingin hamil dan mempunyai kanser yang kecil hanya akan membuang bahagian yang terdapat kanser sahaja manakala pesakit yang menopaus atau menghidapi tahap kanser yang lebih tinggi akan membuang rahim.

2. Kemoterapi.

Kemoterapi kebiasaannya dilakukan selepas pembedahan. Ianya dilakukan dengan memberi ubat kepada pesakit sama ada melalui oral ataupun memasukkan ubat ke dalam darah.

3. Terapi sinaran (radiotherapy).

Terapi sinaran menggunakan pancaran tenaga berkuasa tinggi, seperti sinar-X atau proton, untuk membunuh sel-sel kanser. Terapi sinaran kebiasaannya digabungkan dengan kemoterapi sebagai rawatan utama untuk kanser serviks tahap awal.

Ia juga boleh digunakan selepas pembedahan jika terdapat risiko bahawa kanser akan kembali. Terapi radiasi boleh diberikan melalui beberapa cara seperti sinaran dilakukan daripada luar tubuh atau dalam tubuh.

Terapi sinaran daripada luar badan dilakukan dengan mengarahkan pancaran sinaran ke bahagian pangkal rahim manakala terapi sinaran dalaman pula dilakukan dengan meletakkan peranti yang diisi dengan bahan radioaktif ke dalam faraj pesakit selama beberapa minit (brachytherapy).

Pesakit yang belum menopaus haruslah berhati-hati kerana terapi radiasi ini boleh menyebabkan menopaus.

Komplikasi dan Prognosis

Prognosis kanser pangkal rahim adalah bergantung kepada seberapa awal kanser didiagnosis dan dirawat. Semakin awal kanser dikesan dan dirawat, semakin panjang jangka hayat pesakit. Berdasarkan statistik daripada United Kingdom, berikut merupakan jangka hayat pesakit mengikut tahap kanser rahim:

  • Tahap 1: Kira-kira 95 daripada 100 orang (sekitar 95%) akan hidup selama 5 tahun atau lebih selepas diagnosis.
  • Tahap 2: Kira-kira 70 daripada 100 orang (sekitar 70%) akan hidup selama 5 tahun atau lebih selepas diagnosis.
  • Tahap 3: Kira-kira 40 daripada 100 orang (sekitar 40%) akan hidup selama 5 tahun atau lebih selepas diagnosis.
  • Tahap 4: Kira-kira 15 daripada 100 orang (sekitar 15%) akan hidup selama 5 tahun atau lebih selepas diagnosis.

Namun begitu, haruslah diingatkan bahawa jangka hayat pesakit adalah bergantung kepada kesihatan pesakit sendiri dan statistik di atas hanyalah untuk memberikan gambaran prognosis kanser rahim.

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Survival. Survival for cervical cancer | Cancer Research UK. (2020, June 18).
  2. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2021, June 17). Cervical cancer. Mayo Clinic.
  3. WebMD. (n.d.). Cervical cancer: Causes, symptoms, diagnosis, treatment, & outlook. WebMD.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × three =