Skip to content

Kanser Otak: Punca, Simptom & Rawatan

Apakah punca kanser otak? Artikel ini akan membincangkan berkenaan punca, simptom dan rawatan kepada masalah kanser ini.

Pengenalan

Tumor otak adalah pertumbuhan sel yang tidak normal pada bahagian otak. Ia boleh bertumbuh dengan kadar yang sangat cepat dan tidak dapat dihentikan seperti sel-sel yang normal.

Anatomi otak sangat kompleks, tidak seperti organ lain. Ia mempunyai banyak bahagian yang berbeza yang bertanggungjawab untuk fungsi sistem saraf yang tertentu. Tumor otak boleh terbentuk di mana-mana sahaja bahagian otak, termasuklah bahagian lapisan-lapisan otak, pangkal tengkorak, batang otak, sinus dan rongga hidung, dan banyak kawasan lain. Oleh itulah, terdapat lebih daripada 120 jenis tumor yang boleh berkembang di dalam otak dan ia bergantung kepada tisu mana ia timbul. Simptom-simptom yang dibawanya juga berbeza-beza mengikut jenis tumor otak.

Punca

Tumor boleh terbahagi kepada dua jenis iaitu kanser (boleh merebak), dan bukan kanser (tidak merebak). Tumor yang telah merebak ke bahagian tubuh lain dipanggil tumor sekunder atau metastatik manakala kanser yang tumbuh pada bahagian otak sendiri dipanggil tumor primer. Tahukah anda bahawa kebanyakan tumor otak yang didapati pada pesakit dewasa ialah tumor sekunder?

Terdapat pelbagai jenis tumor otak primer. Masing-masing mendapat namanya daripada jenis sel yang dihidapi kanser. Antaranya termasuklah:

  • Glioma. Tumor ini bermula di otak atau saraf tunjang dan boleh dibahagi lagi kepada beberapa jenis mengikut jenis sel otak yang telah termutasi seperti astrocytoma, ependymoma, glioblastoma, oligoastrocytoma dan oligodendroglioma
  • Meningioma. Meningioma adalah tumor yang timbul daripada lapisan luar yang melindungi otak dan saraf tunjang. Kebanyakan meningioma bukanlah kanser
  • Neuroma akustik (schwannoma). Ini adalah tumor jinak (bukan kanser) yang tumbuh pada saraf yang mengawal keseimbangan dan pendengaran
  • Adenoma pituitari. Ini adalah tumor yang berkembang di kelenjar pituitari di pangkal otak. Kelenjar pituitari merembeskan hormon-hormon tertentu dalam tubuh. Oleh sebab itu, tumor ini boleh menjejaskan hormon
  • Medulloblastoma. Tumor ini paling kerap berlaku pada kanak-kanak. Medulloblastoma ialah tumor yang tumbuh di bahagian bawah belakang otak dan ia boleh merebak ke tulang belakang.
  • Craniopharyngioma. Berbeza dengan adenoma pituitari, tumor yang jarang berlaku ini tumbuh berdekatan dengan kelenjar pituitari otak. Oleh itu, apabila craniopharyngioma tumbuh, ia turut menjejaskan fungsi kelenjar pituitari dan struktur lain berhampiran otak.

Tumor otak sekunder paling kerap berlaku pada orang yang mempunyai sejarah kanser lain seperti kanser-kanser berikut:

  • Kanser payudara
  • Kanser kolon
  • Kanser buah pinggang
  • Kanser paru-paru
  • Melanoma

Risiko

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko untuk menghidapi tumor otak termasuklah:

  • Terdedah kepada sinaran yang merbahaya. Individu yang terdedah kepada sinaran yang merbahaya seperti sinaran mengion mempunyai risiko yang lebih tinggi untuk tumor otak. Contoh sinaran mengion termasuk terapi sinaran yang digunakan untuk merawat kanser dan sinaran yang dikeluarkan oleh bahan nuklear seperti bom atom.
  • Mempunyai sejarah ahli keluarga yang mempunyai tumor otak. Sebahagian kecil tumor otak berlaku pada orang yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidapi tumor otak atau genetik.

Simptom

Tumor otak pada peringkat awal kebiasaannya tidak menunjukkan simptom. Malah, tumor otak yang paling banyak dihidapi orang dewasa iaitu meningioma, sering tumbuh dengan perlahan. Tumor hanya menunjukkan simptom apabila ia sudah menjadi cukup besar untuk memberi tekanan kepada bahagian otak berhampiran atau mengganggu tisu sihat di dalam otak.

Simptom-simptom tumor otak adalah berbeza mengikut saiz, lokasi dan kadar pertumbuhan. Antara simptom-simptom yang boleh didapati termasuklah:

  • Sakit kepala yang rasanya berbeza daripada sebelumnya mengikut individu sama ada dari segi rasa sakitnya, lokasinya atau berapa lama sakit tersebut berlanjutan
  • Sakit kepala yang semakin kerap dan semakin teruk
  • Rasa loya atau muntah tanpa sebab
  • Masalah penglihatan, seperti kabur, objek terlihat berganda atau kehilangan pandangan pada bahagian sisi mata
  • Kehilangan deria sentuhan ketika menyentuh sesuatu atau lumpuh pergerakan yang beransur-ansur pada lengan atau kaki
  • Sukar menyeimbangkan badan ketika berjalan
  • Kesukaran bercakap
  • Kepenatan tanpa sebab
  • Sukar untuk melakukan urusan seharian
  • Sukar untuk berfikir dan membuat keputusan seperti biasa
  • Ketidakupayaan untuk mengikuti arahan mudah
  • Perubahan personaliti atau tingkah laku
  • Sawan, terutamanya pada seseorang yang tidak mempunyai sawan sebelum ini
  • Masalah pendengaran

Pemeriksaan dan Ujian

Antara pemeriksaan dan ujian lanjut yang boleh dilakukan oleh doktor sekiranya terdapat simptom-simptom tumor otak adalah seperti berikut:

  • Pemeriksaan neurologi. Pemeriksaan ini melibatkan deria penglihatan, pendengaran, keseimbangan, koordinasi, kekuatan dan refleks saraf. Kesukaran dalam satu atau lebih daripada komponen ini boleh memberikan petunjuk tentang bahagian otak yang terjejas oleh tumor.
  • Ujian pengimejan. Antara ujian pengimejan yang boleh dilakukan termasuklah pengimejan resonans magnetik (MRI), tomografi berkomputer (CT) dan tomografi pelepasan positron (PET). Sesetengah pesakit akan diberikan pewarna yang disuntik melalui salur darah semasa menjalani MRI atau CT scan untuk melihat bahagian otak dengan lebih jelas.
  • Biopsi. Biopsi boleh dilakukan semasa pembedahan membuang tumor otak atau biopsi kecilan. Sebagai contoh, biopsi jarum stereotaktik boleh dilakukan untuk tumor otak yang tumbuh di kawasan yang sukar untuk dicapai atau kawasan yang sangat sensitif sekiranya melakukan pembedahan. Biopsi ini dilakukan dengan menggerudi lubang kecil ke dalam tengkorak dan meletakkan jarum nipis yang disalurkan melalui lubang tersebut. Tisu kanser akan dikeluarkan menggunakan jarum, yang selalunya dipantau menggunakan CT scan atau MRI. Sampel biopsi kemudiannya dilihat di bawah mikroskop untuk menentukan sama ada ia mampu merebak atau tidak. Ujian makmal boleh memberi petunjuk kepada tentang prognosis dan pilihan rawatan anda.

Rawatan

Rawatan yang diberikan kepada pesakit tumor otak adalah berbeza-beza, bergantung kepada jenisnya, saiznya, lokasinya, dan kesihatan pesakit secara menyeluruh. Berikut merupakan contoh rawatan yang dilakukan sekiranya pesakit mempunyai tumor otak.

  • Pembedahan. Jika tumor terletak pada bahagian otak yang senang didapati, pakar bedah anda akan berusaha untuk membuang sebanyak mungkin bahagian tumor yang boleh dikeluarkan dengan selamat. Sesetengah tumor otak yang bersaiz kecil mudah dipisahkan daripada tisu otak dan dikeluarkan sepenuhnya. Sekiranya tumor otak tidak boleh dipisahkan sepenuhnya atau terletak berhampiran kawasan sensitif, prosedur pembedahan akan menjadi lebih berisiko. Walaupun tidak dapat dibuang sepenuhnya, ia boleh mengurangkan simptom tumor otak.
  • Terapi radiasi. Terapi ini menggunakan pancaran tenaga tinggi untuk membunuh sel tumor. Radiasi dari luar dilakukan dengan memfokuskan radiasi pada bahagian tumor otak atau seluruh otak. Radiasi ke seluruh otak kerap dilakukan untuk merawat kanser sekunder kerana kebiasaannya, kanser ini tumbuh di beberapa bahagian otak. Kesan sampingan rawatan ini termasuklah keletihan, sakit kepala, kehilangan ingatan, sakit kulit kepala dan keguguran rambut.
  • Kemoterapi. Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat-ubatan untuk membunuh sel tumor. Ubat kemoterapi boleh diambil secara oral atau disuntik ke dalam salur darah (intravena). Kesan sampingan kemoterapi bergantung pada jenis dan dos ubat. Kemoterapi boleh menyebabkan loya, muntah dan keguguran rambut.

Komplikasi dan Prognosis

Rawatan bagi tumor otak yang jinak (tidak merebak) kebiasaannya lebih berjaya daripada kanser otak yang lain. Walau bagaimanapun, prognosis tumor otak juga bergantung kepada beberapa faktor seperti:

  • Jenis tumor
  • Saiz tumor
  • Lokasi tumor
  • Kesihatan umum pesakit

Rawatan awal boleh mengelakkan komplikasi yang boleh berlaku apabila tumor membesar dan memberi tekanan pada tengkorak dan tisu otak. Ia juga boleh membantu mencegah tumor daripada merebak ke tisu lain di dalam otak.

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Brain tumors and brain cancer. Johns Hopkins Medicine. (n.d.).
  2. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2021, August 6). Brain Tumor. Mayo Clinic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × five =