Skip to content

Kanser Lidah: Punca, Simptom dan Rawatan

Pernahkan anda mendengar tentang kanser lidah? Walaupun agak jarang didapati, namun ada baiknya sekiranya kita tahu serba sedikit tentang kanser ini. Sekiranya anda salah seorang pesakit kanser lidah atau mempunyai orang tersayang yang menghidapi kanser ini, kami berharap agar artikel ini bermanfaat untuk anda.

Punca Kanser Lidah

Punca sebenar kanser lidah adalah tidak dapat dikenalpasti. Namun begitu, perokok tegar dan peminum arak merupakan golongan tertinggi yang terdedah kepada risiko kanser lidah dan dua tabiat ini boleh dielakkan untuk mengurangkan risiko tersebut. Kajian menunjukkan bahawa perokok yang juga peminum arak adalah 15 kali ganda lebih berisiko mendapat kanser mulut berbanding orang lain.

Walau bagaimanapun, terdapat kajian bahawa golongan lebih muda dan wanita semakin ramai menghidap kanser ini. Berdasarkan kajian tersebut, mereka mendapati bahawa sebahagian daripada punca kes-kes kanser lidah pada golongan ini ialah berkaitan jangkitan HPV. 

(HPV) ialah sejenis virus yang kebiasaannya menjangkiti kulit dan sel-sel yang melapisi bahagian luar sesetengah organ. Bagi kebanyakan pesakit, mereka tidak akan menyedari bahawa mereka dijangkiti HPV dan jangkitan ini kerana jangkitan ini jarang kali mengakibatkan kemudaratan yang serius dan kebiasaannya akan pulih dengan sendiri. Namun begitu, pada sesetengah orang yang berisikp, virus ini boleh menyebabkan perubahan atau mutasi pada sel-sel mulut dan lidah yang boleh meningkatkan risiko kanser lidah di tempat yang dijangkiti. 

Risiko

Antara faktor lain yang meningkatkan risiko kanser lidah selain daripada merokok dan minum arak ialah:

  • Mengunyah tembakau
  • Kurang pengambilan buah-buahan, sayur-sayuran 
  • Pengambilan banyak daging merah dan makanan yang diproses
  • Jangkitan human papillomavirus (HPV) melalui aktiviti seksual melalui rongga mulut
  • Mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser lidah atau mulut
  • Pernah menghidap kanser terdahulu

Simptom Kanser Lidah

Antara gejala kanser lidah termasuklah:

  • Tompok merah atau putih pada lidah yang tidak boleh hilang
  • Sakit tekak 
  • Ulcer atau benjolan pada lidah yang tidak hilang
  • Sakit apabila menelan
  • Kebas di mulut 
  • Sakit atau rasa terbakar di atas lidah
  • Masalah menggerakkan lidah atau bercakap
  • Terasa ketulan di leher
  • Pendarahan dari lidah yang tidak dapat dijelaskan (bukan disebabkan oleh tergigit lidah atau kecederaan lain)
  • Sakit di telinga (jarang)

Namun begitu, haruslah diingat bahawa gejala-gejala ini mungkin disebabkan oleh penyakit yang kurang serius. Oleh itu, bagi memastikan anda mendapat diagnosis yang tepat, anda dinasihatkan untuk berjumpa dengan doktor.

Pemeriksaan dan Ujian

Terdapat beberapa jenis pemeriksaan yang boleh dilakukan untuk mengesan kanser lidah. Antaranya ialah: 

  • Nasoendoskopi. Semasa prosedur ini, doktor akan meletakkan skop atau tiub fleksibel yang mempunyai kamera pada kedalam hidung anda untuk melihat dengan lebih terperinci bahagian di dalam mulut anda, di belakang lidah, tekak dan kotak suara. Oleh kerana prosedur ini kebiasannya agak kurang selesa, doktor anda mungkin menggunakan semburan anestetik untuk mengurangkan rasa sakit atau tidak selesa pada tekak anda sebelum meletakkan nasoendoskopi. Jika pakar mendapati terdapat bahagian yang tidak normal, mereka akan mengambil biopsi dari kawasan tersebut. Ini biasanya diatur untuk masa lain. 
  • Biopsi ialah prosedur untuk mengambil sampel kecil tisu yang pada bahagian yang disyaki terdapat kanser lidah untuk memeriksa sel menggunakan mikroskop. Prosedur ini dilakukan dengan ubat anestetik untuk menghilangkan rasa sakit semasa prosedur dijalankan. Antara kaedah-kaedah biopsi adalah seperti berikut:
    • Biopsi menggunakan jarum halus. Jarum nipis akan dimasukkan ke dalam bahagian yang disyaki terdapat kanser lidah dan sampel lidah akan ditarik melalui sedutan ke dalam picagari seperti mengambil darah.
    • Biopsi incision. Sampel kanser dikeluarkan dengan pisau bedah.
    • Biopsi tebuk. Menebuk bahagian lidah yang disyaki terdapat kanser lidah dengan mengambil lebih banyak tisu dibahagian tersebut berbanding biopsi menggunakan jarum halus.
  • X-ray mulut dan tekak, termasuk imbasan CT scan (computed tomography) atau imbasan PET scan (positron emission tomography). X-ray dan CT dapat memberikan imej dalam mulut yang lebih terperinci untuk mengesan apa-apa struktur lidah yang tidak normal. PET scan pula menggunakan bahan radioaktif untuk mengenal pasti jika terdapat aktiviti pertumbuhan abnormal sel-sel pada bahagian mulut yang boleh disebabkan oleh kanser lidah yang sedang aktif membesar.

Rawatan

Rawatan adalah bergantung kepada lokasi kanser pada lidah, berapa besar saiznya dan sekiranya kanser telah merebak ke bahagian badan yang lain.

  • Pembedahan selalunya dilakukan untuk membuang kanser dari bahagian lidah anda yang boleh dilihat seperti di bahagian hadapan lidah. Doktor bedah anda juga akan mengeluarkan beberapa tisu yang sihat di sekeliling tisu kanser dan nodus limfa yang berdekatan, untuk memastikan semua kanser hilang dan mengurangkan risiko untuk kanser kembali selepas pembedahan.
  • Pesakit juga akan menjalani terapi sinaran atau radioterapi. Terapi sinaran akan menghentikan sel kanser daripada hidup dan terus bertumbuh. Radioterapi juga memusnahkan sel-sel kanser dan boleh mengecut atau menghapuskan tumor. Terapi sinaran melibatkan lima hingga enam minggu rawatan harian.
  • Kemoterapi pula digunakan selepas pembedahan untuk mengurangkan risiko kanser kembali atau untuk melambatkan pertumbuhan tumor dan mengawal gejala apabila kanser tidak dapat dirawat sekiranya kanser sudah tidak mampu dikawal (rawatan paliatif).

Setelah menjalani rawatan-rawatan tersebut, anda akan dibantu untuk memulihkan fungsi mulut anda yang terjejas akibat kanser seperti mengunyah, menggerakkan lidah, menelan dan bercakap dengan lebih baik.

Komplikasi dan Prognosis

Berdasarkan kajian, hampir semua pesakit yang didiagnosis pada peringkat awal mempunyai jangka hayat yang paling lama dan tidak memerlukan rawatan lanjut. Oleh itu, semakin lewat peringkat kanser ini dikesan, semakin sukar kanser dirawat sepenuhnya.

Kebanyakan kanser lidah pada bahagian pangkal lidah atau bawah lidah sering terlepas pandang dan oleh itu, ia lebih lambat dijumpai ketika diagnosis. Kebanyakkan masanya, kanser tersebut sudah pun merebak ke tempat lain dan pada tahap akhir. Oleh itu, diagnosis awal amat membantu meningkatkan keberkesanan rawatan. Namun begitu, haruslah diingat bahawa kadang-kadang, kanser boleh datang semula dengan sendirinya walaupun sudah dirawat sepenuhnya.

Pesakit kanser lidah secara umumnya mempunyai kadar hayat relatif 5 tahun yang tinggi. Statistik ini adalah berdasarkan bandingan yang dilakukan anatara pesakit kanser mulut dan orang sihat.

Kadar hayat 5 tahun untuk pesakit kanser lidah ialah:

  • 83% pesakit akan hidup lebih daripada 5 tahun sebelum kanser merebak
  • 69% pesakit akan hidup lebih daripada 5 tahun jika ia telah merebak ke mana-mana nodus limfa
  • 41% pesakit akan hidup lebih daripada 5  tahun jika ia telah merebak ke bahagian lain badan

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. MediLexicon International. (n.d.). Tongue cancer: Symptoms, pictures, and outlook. Medical News Today.
  2. Articles. Cedars. (n.d.). Retrieved September 25, 2022, from UK, C. R. (2022, January 21). What is tongue cancer? About tongue cancer | Cancer Research UK.
  3. WebMD. (n.d.). Tongue cancer: Causes, diagnosis, and treatment. WebMD.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

twenty − three =