Skip to content

Kanser Hati: Punca, Simptom dan Rawatan

Kanser hati ialah kanser yang terdapat pada bahagian hati. Hati ialah organ yang besar, bersaiz hampir seperti boleh ragbi yang terletak di bahagian atas sebelah kanan perut anda. Ia membantu anda mencerna makanan anda dan membuang toksin.

Masalah hati ini kadangkala boleh bermula dari hati (primer) atau merebak dari organ lain (sekunder). Tahap keganasan kanser hati bergantung pada di mana ia berada di dalam hati, saiznya, jika ia telah merebak, jika ia primer atau sekunder dan kesihatan pesakit secara umum. Adalah penting untuk anda mendapatkan pemeriksaan secepat mungkin sekiranya anda mengalami sebarang gejala kanser ini.

Punca

Kanser hati terjadi apabila DNA sel hati termutasi. Setiap sel mempunyai DNA dan ia bertindak seperti pusat kawalan yang boleh mengawal fungsi sel, seperti membiak atau mati sekiranya sel tersebut rosak. Sekiranya DNA ini termutasi, fungsi sel juga akan berubah.

Contohnya, DNA tidak lagi mampu mengawal pertumbuhan sel seperti biasa dan sel boleh membiak tanpa kawalan dan tidak mati sekiranya terdapat kerosakan. Sekiranya sel ini membiak tanpa kawalan, ia boleh menghasilkan tumor.

Kajian menunjukkan bahawa pesakit kerosakan hati tahap akhir yang berpunca daripada jangkitan virus hepatitis B (HBV) dan virus hepatitis C (HCV) boleh mengakibatkan kanser hati. Apabila virus-virus ini menjangkiti sel hati, ia boleh membuatkan DNA sel termutasi.

Risiko

Faktor-faktor yang meningkatkan risiko kanser hati termasuklah:

  • Jangkitan kronik virus hepatitis B (HBV) atau virus hepatitis C (HCV).
  • Sirosis. Sirosis ialah kerosakan hati tahap akhir yang tidak dapat dipulihkan. Keadaan ini terjadi apabila parut telah terbentuk pada hati dan ia boleh meningkatkan risiko kanser hati.
  • Penyakit genetik seperti hemochromatosis dan Wilson’s disease.
  • Pesakit kencing manis. 
  • Hati berlemak. Pengumpulan lemak dalam hati meningkatkan risiko kanser dan kebiasaannya didapati pada pesakit obesiti.
  • Pengambilan alkohol yang berlebihan.

Simptom

Kebanyakan pesakit yang mengalami kanser ini tahap awal tidak menunjukkan apa-apa simptom. Antara simptom-simptom yang boleh didapati termasuklah:

  • Penurunan berat badan secara mendadak tanpa sebab
  • Hilang selera makan
  • Sakit perut bahagian atas
  • Pening dan muntah
  • Keletihan
  • Bengkak perut
  • Kulit dan mata menjadi kuning (jaundice)
  • Najis kelihatan pucat

Pemeriksaan dan Ujian

Antara ujian yang dilakukan untuk mendiagnosis kanser hati termasuklah:

  • Ujian darah: Ujian darah digunakan untuk memeriksa fungsi hati yang boleh ditentukan dengan enzim hati dan protein-protein yang dihasilkan oleh hati.
  • Ultrasound (sonografi): Ujian ini memberikan visual struktur tisu hati anda. Ia juga digunakan untuk mengesan di mana terletaknya kanser hati.
  • Imbasan tomografi berkomputer (CT): Jenis X-ray khas ini mengambil imej yang lebih terperinci dengan memberikan maklumat tentang saiz dan lokasi tumor hati.
  • Pengimejan resonans magnetik (MRI): Seperti CT scan, MRI menghasilkan imej organ dalaman badan yang sangat jelas tetapi dengan menggunakan tenaga magnet, gelombang radio dan komputer.
  • Angiogram: Angiogram digunakan untuk memeriksa saluran darah hati. Semasa prosedur ini dijalankan, cecair pewarna akan disuntik ke dalam arteri supaya visual saluran darah akan semakin jelas dan senang untuk mengesan mana-mana salur darah yang tersumbat.
  • Biopsi: Biopsi adalah teknik untuk mengambil sebahagian isi hati untuk menganalisis dan menentukan tahap kanser hati di makmal. Biopsi ialah cara yang paling dipercayai untuk mengesahkan diagnosis kanser ini.

Rawatan

Kanser hati selalunya boleh dirawat, tetapi ia juga boleh menjadi sukar untuk dirawat, bergantung kepada individu.

Jenis rawatan yang diberikan bergantung kepada perkara-perkara berikut:

  • Jika kanser hati adalah kanser yang bermula di hati (primer) atau kanser yang telah merebak dari tempat lain dan hinggap di hati (sekunder), tetapi rawatan untuk kedua-dua jenis kanser hati ini adalah sama
  • Saiz dan jenis kanser hati
  • Lokasinya pada hati
  • Jika kanser telah merebak
  • Kesihatan umum

Rawatan yang kebiasaannya diberikan adalah seperti pembedahan, kemoterapi, menggunakan haba untuk memusnahkan kanser (ablasi terma), mengambil ubat yang menyasarkan kanser dan radioterapi.

  • Pembedahan: Jika kanser ini didiagnosis awal, bersaiz kecil dan tidak merebak, pembedahan akan disyorkan kepada pesakit. Pembedahan boleh dilakukan untuk mengeluarkan sebahagian atau keseluruhan hati. Jika semuanya dikeluarkan, pemindahan hati harus dilakukan untuk menggantikan hati yang telah dibuang. Proses pemulihan daripada pembedahan kanser ini boleh mengambil masa yang lama.
  • Kemoterapi: Kemoterapi ialah rawatan yang menggunakan ubat untuk membunuh sel kanser. Untuk kanser hati, ubat kemoterapi biasanya diberikan melalui saluran darah. Ia bertujuan untuk menghentikan pertumbuhan kanser. Ini dipanggil chemoembolisation. Anda biasanya akan menjalani kemombolisasi untuk membantu mengecilkan kanser, atau untuk mengawal dan meringankan simptom. Kemoterapi dilakukan jika pesakit tidak dapat menjalani pembedahan sekiranya pesakit terlalu lemah, tidak sihat, atau kanser tidak dapat dibuang melalui pembedahan.
  • Menggunakan haba untuk memusnahkan kanser (ablasi terma): Ablasi terma menggunakan arus elektrik atau gelombang mikro untuk memusnahkan kanser. Ia juga digunakan untuk merawat pesakit kanser hati jika anda tidak dapat menjalani pembedahan kerana sangat lemah, tidak sihat, atau kanser tidak boleh dibuang melalui pembedahan.
  • Mengambil ubat yang menyasarkan kanser hati: Ubat kanser ini agak berlainan berbanding kemoterapi kerana ia hanya menyasarkan kanser dengan menghentikan kanser daripada berkembang. Rawatan ini diberikan untuk pesakit yang tidak mampu menjalani pembedahan kerana pesakit sangat lemah dan tidak sihat atau kanser tidak boleh dibuang melalui pembedahan kerana terlalu rumit atau kanser telah merebak ke bahagian lain badan.
  • Radioterapi: Radioterapi adalah rawatan yang diberikan dengan menggunakan radiasi untuk membunuh sel-sel kanser.

Komplikasi dan Prognosis

Kanser hati sering mengancam nyawa. Kajian menunjukkan orang yang menjalani pembedahan untuk membuang sebahagian daripada hati mereka cenderung untuk hidup lebih lama daripada orang yang tidak melakukan pembedahan sama ada atas pilihan atau keadaan penyakitnya. Pemindahan hati juga boleh dilakukan, namun prosedur ini memerlukan kesihatan keseluruhan pesakit yang baik untuk pembedahan atau sekiranya pesakit dapat mencari penderma.

Data menunjukkan bahawa 35% orang yang dirawat untuk kanser ini pada peringkat awal masih hidup lima tahun selepas diagnosis. Namun, kadar ini menurun ke 12% untuk pesakit yang kansernya telah merebak ke organ berdekatan atau kalenjar limfa. Ia boleh berkurang sehingga kira-kira 3% sahaja jika kanser tersebut telah merebak ke bahagian organ yang lain.

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Liver cancer: Symptoms, signs, causes & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).
  2. NHS. (n.d.). Liver Cancer. NHS choices.
  3. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2021, May 18). Liver cancer. Mayo Clinic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

4 × 3 =