Skip to content

Kanser Gusi: Punca, Simptom dan Rawatan

Apakah punca kepada masalah kanser gusi? Artikel ini akan membincangkan punca dan rawatan kepada masalah gusi ini

Pengenalan

Kanser gusi boleh menyebabkan luka dan gusi menjadi bengkak dan tebal. Kanser gusi adalah sebahagian daripada kanser mulut dan secara amnya, kanser mulut lebih kerap berlaku kepada lelaki berbanding wanita, dan kebanyakkannya berlaku kepada golongan yang berusia 40 tahun ke atas. Tahukah anda bahawa kanser ini boleh dirawat sekiranya dikesan dengan lebih awal?

Punca Kanser Gusi

Punca utama kanser gusi ialah merokok dan minuman beralkohol. Produk tembakau dan alkohol mengandungi bahan karsinogenik, iaitu bahan kimia yang boleh merosakkan DNA dalam sel dan membawa kepada pertumbuhan sel kanser.

Oleh itu, jika seseorang mengambil kedua-dua bahan ini sekaligus, ia boleh meningkatkan risiko kanser mulut yang berganda. Setakat ini, kajian tidak dapat mengenalpasti bagaimana mekanisme yang membawa kepada perubahan DNA yang seterusnya membentuk kanser mulut dan mengapa hanya sebahagian kecil sahaja orang yang merokok dan minum alkohol menghidapinya.

Risiko

Terdapat beberapa faktor yang boleh meningkatkan risiko menghidapi kanser ini. Walau bagaimanapun, haruslah diingatkan bahawa tidak semua orang yang mempunyai risiko-risiko ini pasti akan mendapat kanser gusi.

  • Berjantina lelaki
  • Berumur 40 tahun ke atas
  • Minum alkohol
  • Merokok atau menggunakan produk tembakau lain
  • Mengalami keradangan pada bahagian mulut yang kronik
  • Kurang mengambil buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Mempunyai jangkitan virus HPV
  • Tidak menjaga kebersihan mulut

Anda juga boleh mengurangkan risiko kanser gusi dengan melakukan perkara-perkara berikut:

  • Makan banyak buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Menjaga kebersihan mulut
  • Berhenti menggunakan produk tembakau seperti rokok dan tembakau tanpa asap
  • Mengurangkan pengambilan alkohol
  • Melawat doktor gigi dengan kerap

Simptom

Antara tanda awal kanser ini ialah apabila terdapat benjolan atau kudis yang tidak sembuh. Ia boleh berwarana merah atau putih, dan boleh menyebabkan gusi membengkak dan berdarah. Jika kanser gusi berlanjutan, gigi berhampiran gusi tersebut akan menjadi longgar, dan anda akan dapat merasai perubahan pada bentuk gusi anda seperti gigi palsu anda tidak lagi muat sekiranya anda menggunakan gigi palsu.

Gejala lain kanser gusi termasuklah:

  • Ketulan pada gusi yang tidak hilang
  • Kudis yang tidak sembuh dalam masa 14 hari yang boleh berwarna putih, pucat, merah, gelap, ataupun berubah warna
  • Gusi berdarah
  • Gusi merekah
  • Kesukaran untuk mengunyah dan makan
  • Gigi longgar atau gigi palsu tidak muat
  • Sakit gusi
  • Benjolan atau bengkak di leher
  • Gusi yang menebal
  • Penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor gigi akan membuat pemeriksaan yang teliti untuk melihat perubahan pada bahagian gusi yang tidak normal. Selain itu, doktor gigi juga akan melakukan biopsi dan pengimejan mulut untuk memeriksa dengan lebih lanjut kanser gusi tersebut. Biopsi ialah prosedur yang dilakukan untuk mengeluarkan sejumlah kecil tisu kecil pada bahagian gusi yang disyaki mempunyai kanser dan kemudiannya dihantar di makmal untuk diuji. Sel-sel ini akan diperiksa di bawah mikroskop dan boleh menetukan tahap kanser tersebut.

Jika terdapat kemungkinan kanser gusi merebak, doktor anda juga mungkin mengesyorkan prosedur lain seperti:

  • Endoskopi iaitu prosedur yang dilakukan untuk memeriksa sekiranya kanser telah merebak di kerongkong. Ia dilakukan dengan meletakkan tiub yang mempunyai kamera kecil di dalam kerongkong anda untuk memeriksa kawasan tekak.
  • MRI (magnetic resonance imaging), salah satu cara pengimejan yang menggunakan tenaga magnetik yang digunakan untuk melihat sama ada kanser telah merebak ke luar mulut atau tidak.

Rawatan Kanser Gusi

Matlamat rawatan kanser gusi adalah untuk menghapuskan kanser secara kekal agar kanser tersebut tidak kembali lagi. Walau bagaimanapun, seperti kanser-kanser lain, kanser gusi amat sukar untuk dihapuskan sepenuhnya dan kanser mungkin akan berulang kembali di masa hadapan.

Antara jenis-jenis rawatan yang biasa digunakan untuk kanser gusi termasuklah:

  • Kemoterapi untuk menyerang sel kanser
  • Terapi sinaran atau radioterapi untuk menyerang sel kanser
  • Pembedahan untuk membuang kanser dan menilai sejauh mana ia telah merebak
  • Targeted therapy atau terapi yang disasarkan untuk secara langsung memusnahkan atau menghalang pertumbuhan sel-sel kanser
  • Imunoterapi untuk mengajar sistem imun tubuh anda untuk mengesan dan menghapuskan sel-sel kanser

Rawatan tambahan dan sampingan termasuklah: 

  • Ubat muntah
  • Protein tertentu untuk meningkatkan bilangan sel darah putih sekiranya terlalu rendah
  • Pemindahan darah untuk menggantikan sementara komponen darah (seperti sel darah merah) yang telah menurun ke tahap yang rendah semasa rawatan
  • Kaunseling pemakanan untuk menggalakkan pemakanan yang baik
  • Terapi fizikal untuk membantu masalah semasa makan, menelan atau bercakap
  • Ubat untuk mengurangkan sakit
  • Pembedahan rekonstruktif pada bahagian wajah atau gusi untuk memulihkan struktur yang telah dikeluarkan atau diubah oleh pakar bedah semasa membuang kanser gusi

Jika kanser gusi telah sampai ke tahap akhir dan tidak lagi mampu dirawat, doktor akan memberi rawatan khas untuk memaksimumkan kualiti hidup pesakit seperi rawatan paliatif. Antara perkhidmatan yang boleh didapati dalam rawatan paliatif termasuklah pemberian ubat tahan sakit dan ubat untuk gejala lain di samping memberi sokongan psikologi dan rohani. Ahli keluarga pesakit juga akan mendapat manfaat daripada perkhidmatan paliatif ini kerana ia juga menyediakan perkhidmatan untuk membantu dan menyokong mereka.

Komplikasi dan Prognosis

Kanser gusi yang tidak dirawat boleh menjadi serius, malah boleh mengancam nyawa. Anda boleh membantu mengurangkan risiko komplikasi dengan mengikuti rawatan yang telah ditetapkan oleh doktor gigi.

Antara komplikasi kanser ini termasuklah:

  • Kesan sampingan rawatan kanser gusi sendiri
  • Kurang kemampuan untuk makan, minum, atau bercakap
  • Kehilangan gigi
  • Kanser kembali selepas rawatan
  • Penyebaran kanser ke bahagian badan yang berdekatan atau organ lain
  • Stres

Berdasarkan statistik yang diperolehi daripada Cancer Research UK, jangka hayat mengikut tahun bagi orang yang menghidapi kanser ini ialah seperti berikut:

  • 80% pesakit hidup selepas setahun diagnosis
  • 55% pesakit hidup selepas 5 tahun diagnosis
  • 45% pesakit hidup selepas 10 tahun diagnosis

Namun begitu, angka-angka ini hanyalah anggaran sahaja dan tidak tepat bagi seseorang individu.

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Staff, H. E. (2022, March 11). Everything to know about gum cancer. Healthgrades.
  2. NHS. (n.d.). Mouth cancer. NHS choices.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

1 × 5 =