Skip to content

Kanser Esofagus: Punca, Simptom & Rawatan

Kanser esofagus adalah kanser ke-10 tertinggi di dunia. Ia tumbuh dari dalam esofagus iaitu otot panjang yang menghubungkan bahagian mulut ke perut. Kanser esofagus jarang menunjukkan simptom pada tahap awal namun, ia boleh membiak dengan sangat cepat.

Simptom hanya akan mula dirasai apabila kanser ini semakin membesar, menjadikan ototnya mengembang dan menyebabkan simptom seperti kesukaran menelan makanan. Oleh sebab itu, kebanyakan pesakit kanser esofagus kebiasaannya lambat didiagnosis dan hanya dikesan pada peringkat lanjut.

Punca

Punca sebenar kanser esofagus masih kurang jelas. Terdapat dua jenis kanser iaitu:

  • Adenokarsinoma: Adenokarsinoma ialah kanser yang bermula dalam sel kelenjar di bahagian bawah esofagus. Ia adalah jenis yang paling banyak didapati pada kanser esofagus. Ia terbentuk pada bahagian yang berhampiran dengan perut. Antara keadaan yang boleh meningkatkan risiko kanser esofagus jenis adenokarsinoma ialah refluks asid perut (GERD), esofagus Barrett atau pedih ulu hati kronik.
  • Karsinoma Sel Skuamosa: Kanser esofagus jenis ini berasal daripada sel skuamosa yang terbentuk di bahagian atas esofagus. Tumor sel skuamosa adalah dikaitkan dengan kerap mengambil minuman beralkohol dan merokok.

Risiko

Kanser esofagus sering disebabkan oleh iritasi kronik pada esofagus. Antara perkara yang boleh menyebabkan iritasi pada esofagus termasuklah:

  • Menghidapi penyakit refluks asid perut (GERD)
  • Merokok
  • Mempunyai perubahan prakanser pada sel esofagus (Barrett’s esophagus). Kebiasaannya disebabkan oleh GERD
  • Obesiti
  • Kerap minum alkohol
  • Mengalami refluks hempedu
  • Otot esofagus yang ketat pada bahagian hujungnya yang menghalang makanan dan minuman daripada masuk ke dalam perut (achalasia)
  • Mempunyai tabiat suka minum minuman yang sangat panas
  • Kurang makan buah-buahan dan sayur-sayuran
  • Kesan sampingan radioterapi ke bahagian dada

Simptom

Simptom-simptom kanser esofagus termasuklah:

  • Kesukaran menelan makanan atau minuman atau kedua-duanya
  • Makanan terasa tersekat di kerongkong
  • Berat badan turun mendadak tanpa sebab
  • Sakit dada seperti ditekan atau kepedihan
  • Senak atau pedih ulu hati
  • Batuk
  • Perubahan suara

Pemeriksaan dan Ujian

Antara prosedur yang sering digunakan untuk mendiagnosis kanser esofagus termasuklah:

  • Barium swallow test: Ujian ini dilakukan dengan menelan cecair yang mengandungi barium dan diikuti dengan x-ray pada bahagian dada. Barium boleh melapisi esofagus dan ia akan membuatkan imej esofagus menjadi lebih jelas pada x-ray. 
  • Endoskopi: Endoskopi ialah pemeriksaan esofagus menggunakan skop yang mempunyai kamera. Semasa endoskopi, doktor akan memasukkan tiub panjang yang fleksibel ke dalam esofagus untuk melihat kawasan yang disyaki terdapat iritasi atau kanser.
  • Biopsi: Biopsi ialah pengambilan sampel esofagus menggunakan sebuah wayar halus dan ia sering dilakukan semasa endoskopi. Setelah tisu yang disyaki berkanser diiambil, ia akan diperiksa di makmal untuk mengesahkan status kanser. 

Sekiranya didapati bahawa pesakit mempunyai kanser esofagus, doktor akan melakukan ujian tambahan untuk menentukan sama ada kanser telah merebak ke nodus limfa anda atau ke bahagian lain badan anda. Ujian ini termasuklah:

  • Bronkoskopi. Untuk mengesan sekiranya kanser merebak ke bahagian saluran pernafasan.
  • Ultrasound endoskopik (EUS). Digunakan untuk mengesan saiz kanser dan seberapa dalam ia telah merebak.
  • Tomografi berkomputer (CT) dan tomografi pelepasan positron (PET) untuk mengesan sekiranya kanser telah merebak ke bahagian badan lain.

Terdapat empat peringkat kanser iaitu daripada 0 hingga 4 dan semakin tinggi tahap kanser tersebut, semakin teruk simptomnya dan semakin sukar untuk dirawat sepenuhnya. Kanser tahap 4 bermaksud kanser esofagus telah merebak dan hinggap di bahagian organ yang lain.

Rawatan

Rawatan yang diberikan adalah bergantung kepada tahap kanser. Antara rawatan yang sering diberikan ialah:

  • Pembedahan: Pembedahan kanser esofagus boleh dilakukan dengan pelbagai cara seperti menggunakan endoskop, pembedahan terbuka, dan laparoskopi (alat bedah dimasukkan melalui hirisan kecil pada kulit badan). Jika kanser tersebut kecil dan tidak merebak, pakar bedah hanya akan membuang bahagian kanser dan sekelilingnya sahaja. Sekiranya saiz kanser lebih besar atau telah merebak, pakar bedah akan membuang bahagian esofagus yang mengandungi kanser, bersama dengan bahagian lain seperti sebahagian perut dan nodus limfa yang berdekatan. Baki esofagus akan disambungkan semula ke perut dengan menarik perut ke atas. Jika perlu, sebahagian daripada kolon juga akan digunakan untuk membantu menyambung kedua-duanya, bergantung kepada tahap kanser pesakit. Pembedahan esofagus membawa risiko kepada komplikasi seperti jangkitan, pendarahan dan kebocoran dari kawasan jahitan esofagus yang bersambung dengan perut.
  • Kemoterapi: Kemoterapi adalah rawatan ubat yang menggunakan bahan kimia untuk membunuh sel kanser dan diberikan secara oral atau melalui saluran darah. Ubat kemoterapi biasanya digunakan sebelum (neoadjuvant) atau selepas pembedahan (adjuvant) pada penghidap kanser esofagus. Kemoterapi juga boleh digabungkan dengan radioterapi.
  • Radioterapi: Radioterapi menggunakan pancaran tenaga tinggi, seperti sinar-X dan proton, untuk membunuh sel-sel kanser. Radiasi biasanya diberikan daripada mesin yang menyasarkan pancaran tersebut ke arah kanser.
  • Imunoterapi: Imunoterapi ialah rawatan ubat yang membantu sistem imun untuk melawan kanser. Bagi kanser ini, imunoterapi kebiasaannya digunakan pada kanser peringkat lanjut atau jika kanser datang kembali atau merebak ke bahagian lain.

Komplikasi dan Prognosis

Kanser esofagus boleh menyebabkan komplikasi, seperti:

  • Sukar untuk makan dan minum seperti biasa kerana kanser boleh menutup laluan esofagus dan menyukarkan makanan dan cecair untuk melalui esofagus.
  • Sakit. Kanser ini pada peringkat awal selalunya tidak menyebabkan kesakitan. Tetapi dengan masa ia akan mengganggu ketika pesakit ingin menelan makan.
  • Pendarahan dalam esofagus. Kanser esofagus boleh menyebabkan pendarahan. Walaupun pendarahan tersebut kebiasaannya sedikit, kadangkala ia juga boleh menyebabkan pendarahan yang banyak.

Prognosis pesakit adalah bergantung kepada kesihatan keseluruhan dan tahap kanser. Kebanyakan pesakit kanser yang didiagnosis pada peringkat awal kebiasaannya boleh dirawat sepenuhnya dan kira-kira 46% daripada mereka mempunyai kadar survival (hidup) lima tahun selepas diagnosis.

Kanser yang telah merebak dan hampir ke peringkat akhir lebih sukar untuk dirawat sepenuhnya dan kebiasaannya jangka hayat pesakit adalah lebih pendek. Pesakit kanser tahap akhir akan diberikan rawatan paliatif, iaitu rawatan yang memfokuskan untuk mengurangkan simptom kanser bagi mengekalkan kualiti hidup yang baik, di samping memberikan sokongan kepada ahli keluarga. 

Jenis Kanser yang lain

Kanser Paru-paruKanser Prostat
Kanser PayudaraKanser Usus
Kanser TekakKanser Jantung
Kanser LidahKanser Tonsil
Kanser PankreasKanser Pundi Kencing
Kanser EsofagusKanser Hati
Kanser TulangKanser Rahim
Kanser OtakKanser Pangkal Rahim
Kanser PerutKanser Gusi

Rujukan:

  1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2022, April 19). Esophageal cancer. Mayo Clinic.
  2. Esophageal cancer: Symptoms, causes & treatment. Cleveland Clinic. (n.d.).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

eleven − three =