Skip to content

Prinsip Pascal. Penjelasan Penuh

Pengasas Prinsip Pascal ialah Blaise Pascal lahir pada tahun 1623 dan meninggal dunia pada tahun 1662. Beliau berasal daripada Perancis. Beliau mahir dalam ilmu sains semulajadi dan membuat kajian tentang cecair, menjelaskan tentang konsep tekanan dan menjelaskan konsep tekanan dalam vakum.

Beliau juga seorang ahli matematik yang mencipta dua bidang utama iaitu dalam geometri projektif dan teori kebarangkalian. Dalam bidang Fizik, beliau telah memperkenalkan Prinsip Pascal yang melibatkan cecair, tekanan dan daya.

Apakah itu Prinsip Pascal?

Prinsip Pascal menyatakan tekanan yang dikenakan ke atas suatu cecair dalam bekas yang tertutup akan dipindahkan secara seragam ke semua arah. Prinsip Pascal hanya akan berlaku jika sesuatu cecair berada dalam bekas yang bertutup. Tekanan ialah suatu daya yang bertindak ke atas setiap unit luas. Tekanan yang bertindak ke atas cecair dalam bekas tertutup adalah sama pada semua arah. Prinsip Pascal dalam Sistem Hidraulik boleh diterjemahkan berdasarkan gambar di bawah.

Aplikasi Prinsip Pascal Dalam Kehidupan Seharian

1. Sistem Brek Hidraulik Dalam Kereta

Pernahkah anda berfikir bagaimana kereta yang bergerak dapat berhenti dengan tiba-tiba? Keadaan ini melibatkan Prinsip Pascal.  Kebanyakan sistem brek kereta menggunakan brek hidraulik. Bagaimanakah brek hidraulik dalam kereta berfungsi?

  • Dalam brek hidraulik, tekanan dipindah melalui cecair dari pedal brek ke roda-roda kereta apabila pedal brek ditekan. Terdapat dua jenis brek dalam kereta iaitu brek piring pada roda hadapan dan brek dram pada roda belakang.
  • Apabila pedal brek ditekan, omboh kecil pada roda hadapan ditolak supaya bersentuhan dengan dua belah piring keluli. Tindakan ini seterusnya menghasilkan daya geseran antara kasut brek dengan piring keluli dan pergerakan kereta boleh diperlahankan.
  • Tambahan itu, omboh kecil pada roda belakang juga tertolak apabila brek ditekan. Omboh itu seterusnya menolak sepasang kasut brek supaya bersentuhan dengan brek dram pada roda belakang. Tindakan ini seterusnya dapat menghasilkan daya geseran antara kasut brek dengan brek dram dan boleh memperlahankan kereta. Begitulah gerak kerja brek kereta yang menggunakan sistem brek hidraulik.

Sistem Brek Hidraulik dalam Kereta, Sumber: Google

  • Sangat penting bagi pengguna kereta memilih cecair hidraulik yang paling sesuai dengan jenis kereta masing-masing. Bagi memastikan kemampuan brek kereta dapat berfungsi dengan sebaiknya, cecair brek perlu ditukar setiap 2 tahun ataupun bergantung pada sejauh mana kenderaan bergerak (65 000 km).

2. Pam Hidraulik

Kereta anda pernah dihantar ke bengkel? Semestinya pernah, bukan. Tahukah anda pam hidraulik yang digunakan di bengkel adalah menggunakan Prinsip Pascal. Pam hidraulik terdiri daripada satu silinder kecil yang disambung pada satu silinder besar. Kedua-dua silinder ini diisi dengan minyak.

  • Apabila piston F1 ditekan ke bawah, piston F2 akan naik ke atas secara serentak kerana tekanan dipindahkan secara serentak ke semua arah.
  • Tekanan dipindah oleh minyak ke silinder besar. Satu daya besar dihasilkan untuk menolak piston ke atas dan kereta dapat dinaikkan.

Pam Hidraulik digunakan di Bengkel Kereta

  • Omboh utama yang kecil dapat menghasilkan tekanan tinggi dan daya kecil diperlukan manakala omboh kedua lebih besar supaya menghasilkan daya output yang lebih besar.
  • Minyak digunakan kerana minyak tidak menghasilkan gelembung udara dan minyak mudah untuk bergerak daripada silinder kecil ke silinder besar berpadanan dengan Prinsip Pascal yang menyatakan tekanan yang dikenakan ke atas suatu cecair dalam bekas yang tertutup akan dipindahkan secara seragam ke semua arah.

3. Jek Hidraulik

Jek hidraulik juga menggunakan konsep Prinsip Pascal. 2 jenis piston yang berlainan saiz dihubungkan melalui satu paip. Apabila satu daya dikenakan ke atas piston kecil, ia akan mengepam cecair hidraulik yang terkandung dalam silinder. Seterusnya akan menggerakkan piston yang besar untuk mengangkat beban yang berada di atasnya.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, Prinsip Pascal ini banyak kegunaannya dalam kehidupan seharian seperti dalam brek hidraulik, pam hidraulik, jek hidraulik dan kren hidraulik. Penggunaan ubat gigi juga mengguna pakai Prinsip Pascal. Tambahan itu, kerusi rawatan gigi dan lif garaj juga mengaplikasikan Prinsip Pascal. Semua sistem ini memudahkan urusan kita dalam kehidupan seharian dan menggunakan konsep Fizik yang menarik untuk terus diterokai dan dipelajari.  

Rujukan:

  1. Amiauto. “AMIAUTO: PRINSIP ASAS SISTEM BREK HIDRAULIK.” AMIAUTO, 13 July 2011,
  2. Mamamikailmirza. “Fluidmechy: Hydraulic Jack (Jek Hidraulik).” Fluidmechy, 22 Jan. 2012, Accessed 30 Oct. 2020.
  3. Mata Pelajaran Tingkatan 4. “EduwebTV: FIZIK Tingkatan 4 – Prinsip Pascal.” YouTube, 12 Nov. 2015. Accessed 30 Oct. 2020.
  4. Sahidah, Cikgu. “Koleksi Latihan Fizik SPM: 3B20m – Ketumpatan, Tekanan vs   Kedalaman, Pascal Dalam Hidraulik Ringkas, Ubahsuai Brek,.” Koleksi Latihan Fizik SPM, 5 Aug. 2019, . Accessed 30 Oct. 2020.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × 2 =