Mengajar Fonik Secara Santai Bersama Anak-anak di Rumah

mengajar fonik

Kerisauan ibu bapa terhadap kelemahan penguasaan membaca anak-anak bukan satu perkara baru bagi ibu bapa yang mempunyai anak di Tadika. Di tambah lagi dengan isu pendemik covid 19 yang menghalang pembelajaran berlaku dengan sempurna di Tadika.

Kenapa perlu risau? banyak cara yang boleh dilakukan untuk membantu anak-anak anda membaca. Bagi saya ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membantu anak sendiri belajar di rumah. Oleh itu, gunakan masa anda bersama anak di rumah dengan melakukan aktiviti berfaedah semasa Perintah Kawalan Pergerakan

Mengapa Memilih Fonik?

Kaedah fonik sesuai digunakan untuk pembaca awal seperti kanak-kanak yang baru belajar membaca. Melalui fonik mereka perlu membunyikan huruf seperti huruf b mempunyai bunyi “b” dan bunyi tersebut ada dalam perkataan contoh “bola”.

Ajar anak untuk mengabungkan setiap bunyi huruf dalam perkataan “bola” sehingga dia boleh menyebut perkataan tersebut dengan betul. Melalui kaedah fonik , anak anda dapat memahami apa yang mereka baca dengan cepat dan tanpa tersekat-sekat.

Proses awal dalam mengajar anak membaca dengan menggunakan kaedah fonik ialah memperkenalkan bunyi secara sistematik.

  • Ajar anak bunyi huruf – dapat sebut bunyi dan ingat bunyi huruf yang diajar
  • Ajar anak kenal huruf – bentuk, rupa dan cara tulis huruf tersebut.
  • Ajar anak kaitkan huruf yang dilihat dengan bunyi yang berkaitan.

Aktiviti Santai Belajar Fonik Di Rumah

Aktiviti mengajar membaca dengan menggunakan kaedah fonik boleh dijalankan bersama anak secara santai dan menyeronokkan. Berikut beberapa cadangan kepada ibu bapa yang boleh memberi idea untuk mengajar anak membaca semasa berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan ataupun pada bila-bila masa yang anda dan anak berada di rumah.

Meneka Bunyi

Anak-anak perlu mempunyai kemahiran mendengar dengan baik. Apabila anak anda boleh mendengar dan membezakan bunyi, adalah mudah untuk anda mengajar mereka menghubungkan bunyi pertuturan atau bunyi persekitaran dengan bunyi huruf.

Anda boleh menyuruh anak anda meneka bunyi yang di dengarnya sama ada di dalam atau di luar rumah seperti bunyi pintu di ketuk, bunyi air  mengalir, bunyi mesin pengisar, bunyi hon kereta dan lain-lain bunyi lagi. Lakukan aktiviti ini bersama anak ketika masa lapang atau ketika anda sedang melakukan kerja rumah

Anda juga boleh bermain “Simon Says” iaitu salah satu permainan  yang menyeronokkan untuk mengembangkan lagi kemahiran mendengar.

Mencari Huruf

Jangan biarkan surat khabar atau majalah berselerak di rumah. Gunakannya untuk aktiviti mencari huruf dan membunyikan huruf tersebut. Minta anak menunjukkan huruf yang di sukai atau yang dia nampak pada keratan akhbar dan majalah. Minta anak anda tunjukkan huruf yang sama pada  keratan akhbar dan cuba bunyikan huruf tersebut dengan bimbingan.

Anda boleh juga menggunting huruf tersebut dan tampalkan pada kad dan sama-sama membunyikan huruf yang telah ditampal. Pelbagai aktiviti menarik boleh dilakukan. Anak anda pasti seronok apabila dia dapat membunyikan huruf dengan baik.

Jika ada gambar-gambar objek yang boleh dipadankan dengan huruf tadi, minta anak anda memadankan huruf dan objek atau letakkan double sided dibelakang kad huruf dan minta anak menampal pada peralatan di dalam rumah yang mempunyai bunyi huruf awal yang sama.

Buku Fonik

Saya percaya ada sebahagian daripada anak anda dibenarkan menggunakan telefon bimbit. Tidak menjadi kesalahan jika anda meminta anak-anak mengambil gambar objek dan kemudian anda bersama anak melihat kembali gambar tersebut dan meminta anak menyebut perkataan dan menyesuaikan dengan huruf. Menarikkan?

Anda juga boleh mencetak gambar yang telah diambil dan dijadikan buku abjad dengan menampal gambar dan huruf. Jika anda tidak mempunyai pencetak, andaboleh  muatnaik aplikasi di Play Store untuk menghasilkan buku yang boleh disimpan di dalam komputer atau telefon bimbit.

Bowling Huruf

Anak-anak mesti seronok bermain bowling huruf. Di rumah anda pasti ada botol mineral yang tidak digunakan. Jadikan botol tersebut sebagai permainan bowling dengan meletakkan huruf dalam botol atau guna marker pen untuk menulis huruf. Ambil sebiji bola dan leretkan kepada bowling berhuruf tersebut. Minta anak anda mengumpul bola yang telah dijatuhkan dan membunyikan huruf pada botol tersebut. Selain belajar fonik anak anda juga melakukan aktiviti fizikal yang menyeronokkan.

Main Kad

Buat kad bergambar atau kad abjab seperti “ Happy Family & Donkey’. Sambal bersantai ajak anak-anak bermain bersama dan kenalkan mereka dengan fonik. “ Snap “ bila ada abjad atau gambar yang sama dan bunyikan atau namakan kad.

Kesimpulan

Jangan biarkan masa anak anda terbuang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan. Jadikan masa di rumah itu lebih bermakna dan mereka mempelajari sesuatu yang berfaedah. Anda perlu kreatif dalam mengajar anak-anak membaca dengan menggunakan  bahan-bahan tersedia di rumah. Semoga idea belajar membaca menggunakan kaedah fonik secara santai dapat membantu anak-anak membaca dengan cepat.

Rujukan:

  1. Konza, D. (2011). Phonological Awareness, Research into Practice, Retrieved on April 11, 2013, from www.decd.sa.gov.au/
  2. Naimah Yusoff, Nor Hashimah Hashim & Hashim Othman (2011). Kemahiran bacaanawal Bahasa Melayu prasekolah. Pulau Pinang: Penerbit Universiti Sains Malaysia
  3. Yahya Othman, Asiah Md Daud, Azmey Othman & dkk. (2011). Pelaksanaan pengajaran membaca menggunakan kaedah fonik peringkat prasekolah di Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu, 2 (1), 93 -109. Dimuat turun pada 28 Oktober 2020 dari http://journalarticle.ukm.my/4643/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

fourteen + twenty =

Open

Close