Skip to content

Polip hidung: Punca, Simptom & Rawatan

Polip hidung adalah ketumbuhan dalam hidung atau sinus yang tidak menyakitkan. Ia berbentuk seakan-akan tergantung seperti titisan air atau anggur namun ia bukanlah kanser. Ia berpunca daripada keradangan kronik yang dikaitkan dengan asma, jangkitan berulang, alahan, sensitiviti terhadap ubat atau gangguan imun tertentu.

Polip yang kecil kebanyakan masanya tidak menyebabkan gejala. Namun begitu, ketumbuhan beberapa polip yang lebih besar boleh menyekat saluran hidung dan membawa kepada masalah pernafasan, kehilangan deria bau dan jangkitan yang berulang.

Polip hidung boleh dihidapi oleh sesiapa sahaja, tetapi ia lebih biasa terdapat pada orang dewasa. Ubat-ubatan selalunya boleh mengecut atau menghapuskan polip, tetapi pembedahan kadang-kadang diperlukan untuk membuangnya. Walaupun selepas rawatan yang berjaya, polip hidung sering kembali. 

Punca

Para saintis masih belum memahami sepenuhnya mengapa polip hidung boleh terbentuk. Namun begitu, terdapat bukti bahawa orang yang menghidap polip mempunyai tindak balas sistem imun yang berbeza dalam membran mukus mereka berbanding mereka yang tidak membina polip. Polip boleh terbentuk di mana-mana bahagian dalam sinus atau lubang hidung, tetapi ia paling kerap muncul di kawasan sinus yang berhampiran dengan mata, hidung dan tulang pipi.

Risiko

Sebarang keadaan yang mencetuskan keradangan jangka panjang dan bengkak dalam saluran hidung atau sinus, seperti jangkitan atau alahan, boleh meningkatkan risiko anda untuk mendapat polip hidung.

Keadaan yang sering dikaitkan dengan polip termasuk:

  • Asma, iaitu penyakit yang menyebabkan saluran pernafasan membengkak (meradang) dan sempit
  • Sensitiviti kepada ubat aspirin
  • Alahan kepada kulat bawaan udara
  • Cystic fibrosis, gangguan genetik yang mengakibatkan cecair pekat dan melekit yang luar biasa dalam badan, termasuk pembentukan lendir tebal pada lapisan hidung dan sinus
  • Sindrom Churg-Strauss (granulomatosis eosinofilik dengan polangiitis), iaitu penyakit yang menyebabkan keradangan saluran darah
  • Kekurangan vitamin D
  • Sejarah keluarga yang mempunyai polip berulang. Terdapat beberapa bukti bahawa variasi genetik tertentu yang dikaitkan dengan fungsi sistem imun menjadikan anda lebih cenderung untuk mempunyai polip hidung

Simptom

Polip hidung dikaitkan dengan keradangan dan bengkak pada lapisan dalaman hidung dan sinus yang berlanjutan lebih daripada 12 minggu (sinusitis kronik). Walau bagaimanapun, terdapat juga pesakit yang menghidapi resdung kronik tanpa polip.

Polip adalah lembut dan tidak dapat dirasai, oleh itu, sekiranya ia kecil, ia tidak dapat dirasai. Ketumbuhan polip yang banyak atau bersaiz besar pula boleh menghalang saluran hidung dan sinus anda.

Antara tanda dan gejala biasa sinusitis kronik dengan polip hidung termasuk:

  • Hidung berair
  • Hidung tersumbat
  • Hingus mengalir ke dalam kerongkong melalui hidung
  • Kurang atau tiada deria bau
  • Hilang deria rasa
  • Sakit muka atau sakit kepala
  • Sakit pada bahagian gigi atas 
  • Rasa tekanan pada dahi dan muka 
  • Berdengkur
  • Hidung kerap berdarah

Pemeriksaan dan Ujian

Doktor akan membuat diagnosis berdasarkan gejala anda, pemeriksaan fizikal dan pemeriksaan hidung. Antara ujian yang boleh dilakukan untuk diagnosis polip termasuklah:

  • Endoskopi hidung. Endoskopi hidung dilakukan dengan memasukkan tiub halus dengan kanta pembesar atau kamera kecil yang berlampu untuk membolehkan doktor anda memeriksa dengan lebih terperinci bahagian yang terdapat polip iaitu dalam hidung dan sinus anda.
  • Ujian pengimejan. Imej yang diperoleh dengan tomografi berkomputer (CT scan) boleh membantu doktor anda menentukan saiz dan lokasi polip di kawasan yang lebih dalam sinus anda dan menilai tahap bengkak dan keradangan. CT scan juga boleh membantu doktor anda untuk menilai ketumbuhan yang mungkin bukan polip seperti ketumbuhan kanser atau bukan kanser lain.
  • Ujian alahan. Doktor boleh mencadangkan ujian kulit untuk menentukan sama ada pesakit mempunyai alahan yang boleh menyumbang kepada keradangan kronik. Ujian alergi kebiasaannya dilakukan dengan mencucuk beberapa jenis alergen ke dalam kulit untuk mengukur tindak balas badan terhadap alergen tersebut. Ujian ini mungkin akan mendatangkan ketidakselesaan kepada pesakit namun prosedurnya sangat singkat dan cepat. Beberapa sampel kecil alergen yang berbeza akan dimasukkan dalam kulit (biasanya pada bawah lengan atau belakang badan) menggunakan jarum kecil. Doktor juga boleh menggosokkan alergen tersebut pada kulit. Saiz bengkak yang dihasilkan oleh alahan sekiranya ada boleh menetukan tahap sensitiviti terhadap alergen tersebut.
  • Ujian darah. Ujian darah dilakukan untuk melihat jumlah vitamin D yang dikaitkan dengan polip hidung.

Rawatan

Matlamat rawatan untuk polip hidung adalah untuk mengurangkan saiznya atau menghapuskannya. Pesakit kebiasaannya akan diberikan ubat untuk rawatan awak.

Pembedahan akan diperlukan sekiranya tidak boleh dirawat melalui ubat tetapi ia tidak mampu memberikan penyelesaian kekal kerana polip akan cenderung untuk berulang. Antara contoh rawatan yang diberikan untuk polip hidung termasuklah:

  • Semburan hidung kortikosteroid: Semburan dan inhaler ini boleh mengurangkan keradangan dan melegakan simptom hidung gatal. Semburan hidung yang paling biasa digunakan termasuklah ialah Flonase®, Nasacort® dan Rhinocort®. Kesan sampingan ubat ini termasuklah sakit kepala, keradangan hidung, hidung berdarah dan batuk.
  • Kortikosteroid oral dan suntikan. Jika kortikosteroid semburan hidung tidak berkesan, doktor akan mengesyorkan kortikosteroid oral, seperti prednison yang boleh digunakan bersama semburan hidung. Namun ubat ini hanya diberikan jangka pendek kerana ia mempunyai kesan sampingan. Kortikosteroid yang diberi secara suntikan pula digunakan sekiranya polip hidung lebih teruk.
  • Ubat untuk merawat polip hidung dan sinusitis kronik. Jika anda mempunyai polip hidung dan sinusitis kronik, doktor akan mengesyorkan ubat suntikan yang dipanggil dupilumab (Dupixent). Ubat ini boleh mengurangkan saiz polip hidung dan mengurangkan kesesakan hidung.
  • Pembedahan. Jika rawatan ubat tidak mampu mengecutkan atau menghapuskan polip, anda mungkin memerlukan pembedahan endoskopik untuk membuang polip dan membetulkan masalah rongga sinus yang tersumbat kerana ia boleh menyebabkan polip tumbuh kembali. Semasa pembedahan endoskopik, pakar bedah akan memasukkan tiub kecil dengan kanta pembesar bercahaya atau kamera kecil (endoskop) ke dalam lubang hidung sehingga ke dalam rongga sinus. Sebuah instrumen kecil kemudian akan digunakan untuk membuang polip dan bahagian lain yang menyumbatkan rongga sinus. dengan membesarkan bukaan rongga sinus. Pembedahan endoskopik biasanya dilakukan sebagai prosedur pesakit luar dan tidak memerlukan pesakit dimasukkan ke dalam wad. Selepas pembedahan, anda mungkin akan menggunakan semburan hidung kortikosteroid untuk membantu mencegah berulangnya polip hidung.

Komplikasi dan Prognosis

Polip hidung boleh menyebabkan komplikasi kerana ia boleh menyekat pernafasan dan rongga sinus yang berfungsi untuk mengeluarkan cecair dari dalam hidung. Sekiranya tidak dirawat, ia boleh mengakibatkan keradangan jangka panjang dan bengkak.

Antara komplikasi yang boleh berlaku termasuklah:

  • Dengkur. Ini adalah keadaan yang berpotensi serius di mana anda mula berhenti bernafas dengan kerap semasa tidur.
  • Serangan asma. Sinusitis kronik boleh memburukkan asma.
  • Jangkitan sinus berulang. Polip hidung boleh membuat anda lebih terdedah kepada jangkitan sinus yang kerap berulang.

Penyakit Berkaitan Hidung

Hingus HijauBengkak Dalam Hidung
Jerawat HidungHidung Pedih
Patah HidungHidung Merah
Hilang Deria BauHidung Tersumbat
Hidung BerairHidung Bengkak
Hidung Berbau BusukHidung Berdarah
Polip HidungHidung Gatal

Rujukan:

1. Mayo Foundation for Medical Education and Research. (2021, February 11). Nasal polyps. Mayo Clinic.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

2 × 1 =