Pengenalan
Avokado merupakan tanaman tropika yang berasal dari Amerika Tengah seperti Mexico, Venezuela dan Peru. Buah ini semakin mendapat tempat di kalangan masyarakat Malaysia kerana nilai gizinya yang tinggi dan kegunaannya dalam pelbagai sajian makanan serta kesihatan. Avokado kaya dengan karbohidrat, protein, lemak sayuran, kalsium, fosforus, serta vitamin A dan C. Selain itu, buah ini juga mudah dicerna dan baik untuk fungsi organ tubuh serta boleh melembutkan kulit (Morton, 1987).
Syarat Pertumbuhan
Tanaman avokado boleh tumbuh dari kawasan rendah sehingga tanah tinggi, iaitu antara 5 hingga 1500 meter dari paras laut. Suhu optimum untuk pertumbuhan adalah sekitar 12.8 hingga 28.3 °C. Avokado juga memerlukan tanah dengan pH antara 5.6 hingga 6.4. Jika tanah terlalu berasid (pH < 5.5), ia boleh menyebabkan keracunan akibat kehadiran unsur Al, Mg dan Fe dalam jumlah yang berlebihan (Sadwiyanti et al., 2009).
Penyediaan Anak Benih
Benih avokado boleh diperoleh daripada buah yang sihat dan tidak berpenyakit. Biji avokado perlu dibersihkan daripada lendir dan sisa pulpa untuk mengelakkan jangkitan kulat. Pilih biji yang padat, tidak berkedut, dan bersaiz besar (65-85g) untuk mempercepat pertumbuhan. Biji ini dikeringkan dan direndam seketika dalam larutan racun perosak 2% sebelum ditanam dalam polibeg bersaiz sederhana (diameter 15 cm).
Kaedah Cantuman (Grafting)
Cantuman atau grafting dilakukan dengan menyambungkan batang bawah dari anak benih dan batang atas dari pokok induk yang telah berbuah. Kelebihan kaedah ini ialah pokok akan berbuah lebih awal dan hasilnya sama seperti induk. Pokok yang dicantumkan boleh berbuah dalam tempoh sekitar 5 tahun berbanding 12 tahun tanpa cantuman.
Penyediaan Lubang Tanam
Gali lubang berukuran 75 x 75 x 75 cm. Campurkan tanah gali dengan 20 kg kompos dan biarkan terdedah selama 14 hari bagi mensterilkan tanah secara semulajadi. Untuk tanah berasid, campurkan 0.5-1 kg dolomit atau kapur ke dalam tanah. Tambahkan juga 100g baja NPK 15:15:15 seminggu sebelum penanaman.
Proses Penanaman
Penanaman sebaiknya dilakukan pada waktu pagi atau petang. Keluarkan anak benih dari polibeg dengan berhati-hati agar akar tidak rosak. Tanam anak pokok secara tegak dan susun akar agar tersebar rata.
Padatkan tanah di sekeliling dan siram dengan air secukupnya. Pokok perlu disokong dengan tiang dan dilindungi daripada sinaran matahari terus, hujan lebat dan angin kuat.
Penjagaan dan Penyelenggaraan
Penjagaan asas melibatkan:
- Penyiraman: Siram setiap hari selama tiga bulan pertama.
- Penyiangan: Buang rumpai untuk elakkan persaingan nutrien.
- Pembajaan: Pokok muda perlukan lebih Nitrogen. Bila memasuki fasa berbunga dan berbuah, keperluan Fosforus dan Kalium meningkat.
Penutup
Menanam avokado bukan sahaja memberi kepuasan kepada penggemar pertanian, tetapi juga boleh menjadi sumber makanan dan pendapatan tambahan. Dengan penjagaan yang betul serta teknik yang tepat, pokok avokado boleh tumbuh dengan subur dan memberikan hasil yang berkualiti tinggi dalam masa beberapa tahun sahaja.
Rujukan
- Morton, J. F. (1987). Fruits of Warm Climates. Creative Resource Systems, Inc.
- Sadwiyanti, L., Sudarso, D., Budiyanti, T. (2009). Petunjuk teknis budidaya alpukat. Balai Penelitian Tanaman Buah Tropika: Solok.