Sakit Lutut: Punca, Simptom dan Rawatan

sakit lutut

Apakah punca-punca yang menyebabkan sakit lutut? Artikel ini akan menerangkan dengan lebih terperinci tentang punca, simptom serta rawatan bagi sakit lutut.

Isi Kandungan
  1. Pengenalan
  2. Simptom
  3. Punca Sakit Lutut
  4. Faktor Risiko
  5. Komplikasi
  6. Ujian Pemeriksaan
  7. Rawatan

Pengenalan

Sakit lutut merupakan keadaan yang sering berlaku kepada individu tanpa mengira peringkat usia. Terdapat pelbagai punca yang boleh menyebabkan sakit lutut seperti sukan, kecederaan pada ligamen dan tulang rawan (cartilage), jatuh ataupun masalah kesihatan lain seperti radang sendi (arthritis), gout dan jangkitan kuman pada sendi lutut.

Kebanyakan sakit lutut jenis ringan memberi respon yang baik terhadap rawatan kendiri. Terapi fizikal dan penggunaan pendakap lutut juga membantu untuk melegakan sakit lutut. Namun begitu, bagi sesetengah kes, anda mungkin memerlukan pembedahan untuk membaiki keadaan lutut.

Simptom

Simptom-simptom yang mungkin anda alami semasa sakit lutut ialah:

  • Bengkak dan rasa kaku pada lutut
  • Lutut merah dan berasa hangat
  • Lutut rasa lemah dan tidak stabil
  • Mempunyai bunyi “pop” di bahagian lutut
  • Tidak boleh meluruskan lutut sepenuhnya

Punca Sakit Lutut

Sakit lutut boleh berpunca daripada kecederaan, masalah mekanikal, jenis radang sendi (arthritis) dan masalah-masalah lain.

1. Kecederaan pada lutut

Kecederaan ini boleh terjadi semasa anda melakukan aktiviti sukan ataupun jika anda terlibat dalam kemalangan. Lutut anda mungkin mengalami kecederaan pada bahagian ligamen atau struktur bursae yang terletak di bahagian sendi lutut. Antara keadaan yang boleh terjadi kepada lutut akibat kecederaan ialah:

Kecederaan Anterior Cruciate Ligament

ACL ialah ligamen yang berfungsi untuk menyambungkan tulang peha dan tulang betis. Kecederaan bahagian ACL ini sering terjadi kepada individu yang bermain sukan seperti bola keranjang dan bola sepak, di mana sukan tersebut memerlukan penukaran arah secara tiba-tiba.

Patah tulang

Tulang lutut termasuk tempurung lutut boleh menjadi retak atau patah jika terlibat dalam keadaan seperti kemalangan jalan raya dan jatuh dari tempat tinggi. Kadang kala,individu yang mempunyai tulang lemah akibat osteoporosis juga boleh mengalami patah tulang lutut apabila salah mengambil langkah.

Tisu meniskus koyak

Tisu meniskus yang terletak dalam sendi lutut berfungsi sebagai “shock absorber”. Ia membantu untuk menyerap hentakan yang berlaku ketika berjalan dan berlari. Tisu meniskus ini boleh terkoyak semasa bersukan, terjatuh dan lutut terhantuk dengan objek keras.

Radang lutut (Knee Bursitis)

Sebilangan kecederaan lutut boleh menyebabkan keradangan kepada bursae. Fungsi normal bursae adalah untuk mengurangkan gesekan pada tulang dan tendon semasa bergerak. Radang lutut juga boleh terjadi disebabkan oleh jangkitan kuman dan masalah mekanikal.

Radang tendon (Tendonitis)

Tendon ialah struktur yang menghubungkan tulang dan otot. Aktiviti seperti berbasikal, larian dan melompat biasanya memberi tekanan yang lebih kepada tendon dan boleh menyebabkan kecederaan atau keradangan pada tendon. Kesannya, individu yang menghadapi radang tendon akan merasa sakit di bahagian lutut.

2. Masalah Mekanikal

Beberapa keadaan masalah mekanikal yang boleh menyebabkan sakit lutut ialah:

Patella dislocation

Patella dislocation atau tempurung lutut yang terkeluar daripada lokasinya. Ini boleh terjadi jika anda mengalami sebarang kecederaan, tekanan berlebihan ketika bergerak, otot kaki lemah serta patella tidak selaras (misaligned patella).

Iliotibial Band Syndrome (ITBS)

ITBS ialah cedera yang berlaku akibat penggunaan jaringan ikat iliotibial secara berlebihan. Jaringan ini merupakan jaringan ikat panjang yang terbentang daripada bahagian pinggul hingga ke lutut dan tulang kering. Ianya berfungsi sebagai penjaga kestabilan bahagian luar lutut semasa bergerak dan juga membantu pergerakan sendi pinggul. Contoh aktiviti yang boleh menyebabkan ITBS ialah berlari, mendaki dan berjalan dengan jarak jauh.

Sakit pinggul atau kaki

Sekiranya anda mengalami sakit pinggul atau kaki, anda mungkin perlu mengubah cara berjalan untuk mengelakkan sakit sendi ini. Namun, kadang kala, perubahan pada gaya berjalan ini dapat memberi tekanan kepada sendi lutut. Dalam beberapa kes, masalah di pinggul atau kaki boleh menyebabkan sakit lutut.

3. Radang Sendi (Arthritis)

Terdapat pelbagai jenis arthritis yang boleh menyebabkan sakit lutut. Radang sendi yang kerap berlaku ialah:

  • Osteoartritis (OA)

Osteoartritis adalah sejenis arthritis yang paling kerap terjadi. Ia disebabkan oleh proses kemerosotan semula jadi tulang rawan sendi dari masa ke masa yang boleh mengakibatkan bengkak, sakit, dan kekejangan sendi.

  • Rheumatoid artritis (RA)

Rheumatoid artritis merupakan penyakit autoimun (sejenis keadaan di mana badan anda menyerang tisu sihatnya sendiri) dan bersifat progresif yang menyebabkan keradangan pada sendi. Sekiranya rawatan ditangguhkan atau tidak mencukupi, RA mampu menyebabkan hakisan tulang, kemusnahan tulang rawan dan kehilangan keseluruhan integriti sendi.

  • Gout

Gout lazimnya berlaku apabila terdapat peningkatan asid urik dalam darah sehingga berlakunya deposit kristal asid urik di sendi anda, yang menyebabkan pembengkakan dan sakit sendi. Golongan lelaki lebih cenderung kepada penyakit ini daripada wanita, tetapi wanita menjadi lebih mudah terkena gout selepas menopaus.

  • Psoriatic arthritis

Psoriatic arthritis adalah sejenis arthritis yang terjadi bersama penyakit kulit iaitu psoriasis. Ia juga bersifat autoimun yang mengakibatkan keradangan, bengkak, sakit, dan kekejangan sendi.

  • Arthritis septik

Sakit lutut juga boleh berlaku akibat jangkitan bakteria, virus, atau kulat pada sendi. yang disebut sebagai arthritis septik. Penyebab arthritis septik yang paling biasa adalah jangkitan oleh bakteria Staphylococcus aureus.

Selain jenis-jenis artritis yang dinyatakan, keadaan kesihatan yang lain boleh juga menyebabkan sakit lutut. Contohnya seperti:

  • Ankylosing Spondylitis iaitu penyakit kronik yang menyebabkan radang sendi
  • Systemic Lupus Erythematosus iaitu gangguan autoimun yang menyebabkan keradangan
  • Sarcoidosis iaitu penyakit di mana kumpulan sel-sel keradangan terkumpul di dalam badan anda
  • Rheumatic Fever iaitu penyakit radang yang disebabkan oleh radang tekak yang tidak dirawat

Faktor Risiko

Berat badan berlebihan

Mempunyai berat badan berlebihan atau obes akan meningkatkan tekanan kepada sendi lutut, termasuklah ketika berjalan dan naik turun tangga. Ia juga membuatkan anda mempunyai risiko untuk dapat osteoarthritis.

Jarang melakukan senaman

Jika anda kurang bersenam, otot anda akan mengalami pengurangan fleksibiliti dan kekuatan yang menyebabkan risiko untuk dapat sakit lutut menjadi tinggi. Otot yang kuat membantu untuk kestabilan sendi dan pergerakan menyeluruh anggota badan.

Melakukan aktiviti sukan berisiko

Beberapa jenis sukan seperti mendaki, melompat dan berlari memberi tekanan berlebihan kepada sendi lutut sehingga boleh menyebabkan sakit lutut.

Mempunyai sejarah kecederaan lutut

Anda mempunyai potensi yang tinggi untuk mendapat sakit lutut jika anda pernah mengalaminya sebelum ini.

Komplikasi

Tidak semua sakit lutut adalah serius. Tetapi beberapa kecederaan lutut dan masalah kesihatan seperti osteoartritis boleh menyebabkan kesakitan, kerosakan sendi dan kecacatan jika tidak dirawat. Jika anda mengalami kecederaan lutut – walaupun cedera yang ringan – anda berkemungkinan akan mengalami kecederaan di bahagian sama sama pada masa akan datang.

Ujian Pemeriksaan Sakit Lutut

Terdapat beberapa ujian yang akan dilakukan untuk mengetahui punca kepada masalah sakit lutut. Setiap daripada ujian dilakukan berdasarkan sejarah dan pemeriksaan fizikal yang telah dilakukan oleh doktor kepada pesakit. Tidak semua ujian seperti dibawah ini akan dilakukan kepada pesakit.

Ujian darah

Doktor akan mengambil sampel darah anda terlebih dahulu untuk melihat kandungan urik asid (tinggi jika anda mempunyai masalah sendi seperti gout). Selain itu, ujian darah juga membantu untuk melihat sama ada anda mengalami jangkitan kuman atau tidak.

Ujian sampel cecair lutut

Prosedur ini dikenali sebagai Arthrocentesis yang dilakukan jika doktor mengesyaki  anda mengalami jangkitan kuman di sendi lutut. Ia penting untuk menentukan jenis ubat antibiotik yang akan diberikan berdasarkan jenis kuman yang menyebabkan jangkitan.

X-Ray

Doktor anda mungkin akan terlebih dahulu melakukan ujian X-Ray untuk mengesan keretakan tulang atau penyakit sendi degeneratif.

CT Scan (Computerized Tomography Scan)

Imbasan CT dapat membantu mendiagnosis masalah tulang termasuk patah tulang secara halus. Ia juga dapat mengenal pasti gout dengan tepat walaupun sendi tidak meradang.

MRI (Magnetic Resonance Imaging)

MRI menggunakan gelombang radio dan magnet yang kuat untuk memberi gambaran 3D bahagian dalam lutut anda. Ujian ini sangat berguna untuk menunjukkan kecederaan pada tisu lembut seperti ligamen, tendon, tulang rawan dan otot.

Rawatan Sakit Lutut

Rawatan yang diberikan akan berbeza-beza, bergantung kepada punca yang menyebabkan sakit lutut anda.

1. Ubat-ubatan

Ubat untuk membantu menghilangkan rasa sakit dan merawat masalah kesihatan lain seperti rheumatoid arthritis atau gout.

2. Terapi fizikal atau fisioterapi

Fisioterapi dapat membantu menguatkan otot di lutut anda, seterusnya menjadikannya lebih stabil. Doktor mungkin juga akan mengesyorkan pelbagai jenis latihan fizikal lain berdasarkan keadaan tertentu yang menyebabkan sakit lutut anda.

3. Suntikan

Dalam beberapa kes, anda akan diberi suntikan ubat atau bahan lain terus ke sendi anda. Contohnya ialah:

Asid hyaluronik: Suntikan asid hyaluronik mempunyai fungsi sebagai pelincir lutut.

Steroid: Membantu menghilangkan keradangan dalam lutut serta mengurangkan rasa sakit lutut.

4. Pembedahan

Sekiranya sakit lutut anda tidak hilang berikutan rawatan yang diberikan, doktor mungkin akan mengesyorkan pembedahan. Jenis pembedahan adalah bergantung kepada kecederaan atau keadaan lutut anda.

5. Arthroscopy

Arthroscopy adalah prosedur yang menggunakan kamera kecil untuk mendiagnosis dan merawat sakit lutut. Ia biasanya digunakan untuk masalah mekanikal, seperti meniskus atau ligamen yang koyak. Prosedur ini juga lazimnya dilakukan sebagai prosedur pesakit luar dan mengambil masa kurang dari satu jam. Selepas pulang ke rumah, kebanyakan orang dapat berjalan tanpa bantuan, tetapi memerlukan masa sehingga lapan minggu untuk lutut kembali normal.

6. Gantian Sendi (Knee Replacement)

Untuk sakit lutut akibat arthritis, pembedahan penggantian sendi merupakan pilihan utama di mana doktor akan menggantikan permukaan sendi dengan sendi logam dan plastik yang baru untuk memulihkan penyelarasan dan fungsi lutut anda.

RUJUKAN

  1. Knee pain. (2019, March 07). Retrieved August 28, 2020
  2. Saad, Dr et al. (2020, August 21). Sakit Lutut: Punca, Simptom dan Cara Rawatan. Retrieved August 28, 2020,
  3. Jonathan Cluett, M. (2020, June 23). How Your Doctor Will Test Your Knee Pain. Retrieved August 28, 2020
  4. Indah Sari, D. (n.d.). ITBS (Iliotibial Band Syndrome). Retrieved August 28, 2020, from https://www.sehatq.com/penyakit/itbs-iliotibial-band-syndrome

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.