4 Jenis Minyak Zaitun dan 5 Khasiat Kepada Kesihatan

jenis minyak zaitun dah khasiat

Apakah jenis-jenis minyak zaitun dan khasiat nya. Artikel ini akan membincangkan khasiat minyak zaitun kepada kesihatan dan jenis jenis minyak zaitun.

Pemilihan makanan yang baik dapat memberikan manfaat kesihatan yang besar dan dapat mengurangkan risiko penyakit kronik. Salah satu makanan yang sangat popular dan dikenali sebagai makanan ’superfood’ ialah minyak zaitun. Minyak zaitun sering dikaitkan dengan pelbagai kebaikan dan kelebihannya yang tersendiri. Namun, tidak ramai yang mengetahui dengan jelas tentang kelebihan menggunakan minyak zaitun sebagai makanan pelengkap.

Pengenalan dan Sejarah

Pokok zaitun atau nama saintifiknya (Olea europanea L.) ditanam dengan meluas di rantau Mediterranea.[3] Pokok ini sebenarnya dipercayai dibawa oleh burung daripada Asia Selatan ke Mediterranea melalui Timur Tengah. Hal ini dibuktikan dengan penemuan daun fosil yang terdapat di Pulau Santorini di Yunani sekitar 50, 000 hingga 60, 000 tahun yang lalu. Pokok zaitun yang menjadi simbolik kepada ekonomi, kesihatan dan digunakan dalam masakan diet Mediterranea ini disebarkan penggunaannya ke Mexico, Argentina, dan Uruguay di Amerika Latin oleh pendatang Sepanyol. Orang Itali kemudiannya membawa pokok zaitun dan menyebarkannya ke Australia.[13] Sejak daripada itu, kewujudan zaitun sudah tidak asing lagi di seluruh dunia.

Jenis-jenis minyak zaitun

Terdapat pelbagai jenis minyak zaitun yang dijual dipasaran yang menentukan kualiti setiap minyak zaitun yang ada. Antara jenis minyak zaitun yang biasa dijumpai di pasaran dan kegunaannya adalah seperti berikut:

1. Minyak Zaitun Organik Asli (Extra Virgin Olive Oil)

Minyak zaitun organik asli merupakan minyak zaitun yang berkualiti tinggi dan mengandungi kadar keasidan kurang dari satu peratus. Minyak zaitun jenis ini dihasilkan dengan menggunakan tekanan mekanikal tanpa haba dan bahan kimia untuk mengasingkan bahagian cecair dan pepejal.

Oleh itu, kualiti dan nutrien minyak zaitun organik asli dikategorikan sebagai minyak yang sangat baik berbanding minyak zaitun yang lain. Makanan yang memerlukan aroma dan rasa minyak zaitun yang asli tanpa dimasak sangat sesuai menggunakan minyak jenis ini seperti kuah salad, sos roti, pasta, sup dan bubur.

2. Minyak Zaitun Asli (Virgin Olive Oil)

Minyak zaitun  asli merupakan minyak zaitun kedua yang baik kualitinya selepas minyak zaitun organik asli dan mempunyai keasidan satu hingga empat peratus. Minyak zaitun jenis ini jugak dihasilkan tanpa menggunakan haba dan bahan kimia.

Disebabkan minyak zaitun asli lebih tahan suhu berbanding minyak zaitun organic asli, minyak ini boleh digunakan untuk menumis makanan menggunakan api yang kecil dan boleh digunakan juga untuk memanggang. Namun begitu, minyak zaitun asli masih tidak boleh digunakan untuk menggoreng disebabkan takat leburnya yang rendah.  

3. Minyak Zaitun Biasa/ Murni (Regular Olive Oil)

Minyak zaitun biasa atau dikenali dengan minyak zaitun murni merupakan minyak zaitun komersial dengan rasa zaitun yang kurang dan warna yang lebih cair berbanding minyak zaitun lain. Minyak zaitun ini dihasilkan dengan menggunakan bahan kimia dan haba. Oleh itu, minyak zaitun jenis ini mempuyai kandungan nutrien yang terendah dibandingkan dengan dua jenis minyak zaitun yang telah diterangkan tadi. Minyak ini dijual dipasaran dengan harga yang lebih murah.

4. Minyak zaitun ringan/ halus (Light Olive Oil)

Minyak zaitun jenis ringan atau halus mempunyai jumlah lemak dan kalori yang sama dengan minyak zaitun organik asli. Namun begitu, minyak zaitun ini dihasilkan dengan menggunakan minyak berkualiti rendah yang lebih tulin dan lebih halus yang kemudiaannya ditambah dengan sedikit minyak zaitun asli pada akhirnya.

Minyak ini menggunakan haba dan banyak proses kimia ketika dihasilkan. Disebabkan minyak ini kurang rasanya, minyak ini boleh digunakan untuk membakar, menumis dan memasak menggunakan api yang sedikit besar berbanding dengan minyak zaitun murni.

Khasiat Minyak Zaitun

Pernahkah anda mendengar tentang amalan meminum minyak zaitun setiap hari? Namun berapa ramai di antara kita masih belum mempunyai minyak zaitun di rumah? Minyak zaitun mempunyai pelbagai kebaikan dan kelebihan tersendiri kerana mempunyai jumlah asid lemak mono tidak tepu iaitu sejenis lemak yang dikenali sebagai asid oleik. Jika anda salah seorang yang tidak menggunakan minyak zaitun dirumah, berikut merupakan khasiat minyak zaitun yang anda mungkin tidak tahu.

1. Baik untuk Jantung

Minyak zaitun mempunyai kadar antioksidan tinggi yang dikenali sebagai polifenol yang bertindak untuk mengurangkan radang.[4] Keradangan diperlukan oleh fungsi tubuh sebagai salah satu tindak balas normal untuk membaiki tubuh badan. Namun, keradangan yang berlebihan boleh membahayakan saluran arteri dan membawa kepada penyakit jantung. Pengambilan polifenol kira-kira 1mg hingga 50mg dapat mengurangkan radang.[10] Selain itu, pengambilan lemak yang tinggi mono tidak tepu terbukti dapat menurunkan kolesterol LDL serta trigliserida dan menaikkan kolesterol HDL.[8]

Selain peyakit jantung, tekanan darah tinggi atau Hipertensi juga dikira sebagai penyakit merbahaya kerana penyakit ini membunuh di dalam senyap. Diet Mediterranea yang menggunakan minyak zaitun sebagai makanan pelengkap mempunyai kelebihan tersendiri. Menurut kajian, pengambilan minyak zaitun sebanyak 30-40 gram iaitu kira-kira dua sudu besar dapat mengurangkan dan mengawal tekanan darah tinggi.[6]

2. Membantu Menurunkan Berat Badan dan Mencegah Obesiti

Selain daripada pengawalan jumlah pengambilan kalori dalam sehari dan senaman, minyak zaitun juga dapat membantu mengawal berat badan dan mencegah obesiti. Minyak zaitun dapat membantu mengurangkan rasa lapar dan mengawal rasa kerap mencari makanan.[8]

Ini merupakan sebab utama dalam pengawalan berat badan. Terdapat satu kajian yang membuktikan bahawa diet yang mengandungi lemak baik dan rendah karbohidrat lebih memberikan kesan kepada pengurangan berat badan berbanding diet rendah lemak sahaja. [12] Diet seperti ini memberikan rasa kenyang lebih lama kepada orang yang cuba menurunkan berat badan.

3. Mencegah dan Mengawal Diabetes

Asid lemak mono tidak tepu terbukti mempengaruhi metabolisma glukosa dengan mengubah fungsi sel membran, tindak balas enzim dan seterusnya memberi kesan kepada tindak balas insulin.[8] Insulin di dalam badan akan dapat dikesan dengan baik dan lebih sensitif dengan pengambilan lemak baik dalam minyak zaitun.

Oleh sebab itu, pengambilan lemak baik dapat mengurangkan risiko kencing manis dan berupaya mengawal diabetes.[5] Memandangkan pesakit diabetes sangat digalakkan untuk mengambil makanan rendah gula dan karbohidrat, menambah minyak zaitun dalam hidangan dapat membantu memperlahankan penyerapan gula di dalam darah.[11]

Selain membantu memberikan rasa kenyang yang berpanjangan, minyak zaitun juga berpotensi untuk mengurangkan rasa ketagihan terhadap gula dan seterusnya membantu mengawal diabetes.[5]

4. Membantu Mencegah Kanser

Disebabkan buah zaitun mempunyai jumlah antioksida yang tinggi, minyak zaitun sangat berpotensi untuk menjadi makanan yang berupaya untuk mencegah kanser. Minyak zaitun mempunyai bahan anti-kanser seperti akteoside, hidroksitirosol, tirosol dan asid fenil propionic (acteosides, hydroxytyrosol, tyrosol and phynyl propionic acids).[7]

Selain daripada itu, minyak zaitun mengandungi bahan lain yang juga bersifat anti-kanser seperti sualena, adis oleik dan terpenoid (squalene, oleic acid and    terpenoids).[11] Bahan-bahan ini memainkan peranan yang penting dalam mencegah kanser dan membantu penyembuhan bagi pesakit kanser.[2]

5. Meningkatkan Kesihatan Kulit dan Mental

Diet yang menggunakan minyak zaitun bukan sahaja membawa kebaikan kepada penghidap penyakit tidak berjangkit, malah membawa kebaikan dalam meningkatkan kesihatan kulit dan juga mental. Disebabkan mintak zaitun mempunyai vitamin E yang tinggi, minyak zaitun dapat menghidratkan kulit dan mempercepatkan kesembuhan kulit.[14] Ketidakseimbangan hormone yang membawa kepada jerawat, eczema dan masalah kulit yang lain juga boleh dikawal dengan menggunakan minyak zaitun secara semulajadi.[9]

Mengikut kajian, apabila otak tidak mendapatkan hormon gembira seperti serotonin dan dopamine, proses regulasi emosi dan tidur akan mudah terganggu. Pengambilan makanan tinggi asid lemak mono tidak tepu dapat menangani masalah emosi yang susah dikawal dan boleh merawat tekanan mental yang dihadapi.[1]

Kesimpulan

Minyak zaitun boleh dijadikan alternatif sebagai pengganti lemak tidak sihat seperti lemak tepu dan lemak trans. Minyak zaitun yang dijadikan makanan pelengkap pastinya menjanjikan kebaikan seperti yang telah diterangkan di atas. Oleh itu, untuk mendapatkan khasiat penuh daripada minyak zaitun, simpan minyak zaitun dengan baik dan gunakannya untuk pelbagai jenis menu dan masakan. Semoga dengan penggunaan minyak zaitun dapat memberi kebaikan kepada kita semua untuk kekal sihat emosi dan jasmani!

Rujukan

[1] Cheema, M. A. R., Mahmood, K., Haleem, D. J., & Khan, R. A. (2018). Nootropic and Anti-anxiety Effects of Olive Oil: Relationship with Dopamine and Serotonin Metabolism. J Nutraceuticals Food Sci, 3(1), 4.

[2] Colomer, R., & Menéndez, J. A. (2006). Mediterranean diet, olive oil and cancer. Clinical and Translational Oncology, 8(1), 15-21.

[3] Ghanbari, R., Anwar, F., Alkharfy, K. M., Gilani, A. H., & Saari, N. (2012). Valuable nutrients and functional bioactives in different parts of olive (Olea europaea L.)—a review. International journal of molecular sciences, 13(3), 3291-3340.

[4] Gorzynik-Debicka, M., Przychodzen, P., Cappello, F., Kuban-Jankowska, A., Marino Gammazza, A., Knap, N., … & Gorska-Ponikowska, M. (2018). Potential health benefits of olive oil and plant polyphenols. International journal of molecular sciences, 19(3), 686.

[5] Guasch-Ferré, M., Hruby, A., Salas-Salvadó, J., Martínez-González, M. A., Sun, Q., Willett, W. C., & Hu, F. B. (2015). Olive oil consumption and risk of type 2 diabetes in US women. The American journal of clinical nutrition, 102(2), 479-486.

[6] Irianti, E., Ilyas, S., & Hutahaen, S. (2018). The Role of EVOO (Extra Virgin Olive Oil) in Serum MDA Concentration and Blood Pressure of Pregnant Mice (Rattus norvegicus) with Pre-eclampsia. Research Journal of Pharmacy and Technology, 11(3), 1053-1057.

[7] Owen, R. W., Haubner, R., Würtele, G., Hull, W. E., Spiegelhalder, B., & Bartsch, H. (2004). Olives and olive oil in cancer prevention. European Journal of Cancer Prevention, 13(4), 319-326.

[8] Pérez-Martínez, P., Garcia-Rios, A., Delgado-Lista, J., Pérez-Jiménez, F., & López-Miranda, J. (2011). Mediterranean diet rich in olive oil and obesity, metabolic syndrome and diabetes mellitus. Current pharmaceutical design, 17(8), 769-777.

[9] Perricone, N. V. (2002). U.S. Patent No. 6,437,004. Washington, DC: U.S. Patent and Trademark Office.

[10] Schwingshackl, L., Christoph, M., & Hoffmann, G. (2015). Effects of olive oil on markers of inflammation and endothelial function—a systematic review and meta-analysis. Nutrients, 7(9), 7651-7675.

[11] Soriguer, F., Rojo-Martínez, G., Goday, A., Bosch-Comas, A., Bordiú, E., Caballero-Díaz, F., … & Castell, C. (2013). Olive oil has a beneficial effect on impaired glucose regulation and other cardiometabolic risk factors. Di@ bet. es study. European journal of clinical nutrition, 67(9), 911-916.

[12] Soriguer, F., Almaraz, M. C., Ruiz-de-Adana, M. S., Esteva, I., Linares, F., García-Almeida, J. M., … & Rojo-Martinez, G. (2009). Incidence of obesity is lower in persons who consume olive oil. European journal of clinical nutrition, 63(11), 1371-1374.

[13] Valavanis P., “Olive Oil and the Ancient Greeks.” In, Ode to the Olive Tree, (Greek – English), Hellenis Folklore Research Centre of the Academy of Athens (ed.), General Secretariat for Olympic Games, Hellenis Ministry of Culture, Athens, 62-73, (2004)

[14] Viola, P., & Viola, M. (2009). Virgin olive oil as a fundamental nutritional component and skin protector. Clinics in dermatology, 27(2), 159-165.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

one × 5 =

Open

Close