Skip to content

Siri Asas Kapal Terbang 3: Kapal Terbang Ni Tak Kena Kilat Ke?

Pada tahun 1963, Penerbangan 214 milik syarikat penerbangan Pan Am telah terhempas di Elkton, Maryland, di Amerika Syarikat. Penerbangan pesawat jenis Boeing 707 ini telah mengorbankan kesemua 81 penumpang dan anak kapal.

Pesawat Pan Am Penerbangan 214, 1963.

Hasil siasatan mendapati nahas adalah berpunca daripada sambaran kilat yang terkena pada tangki minyak sebelah kiri pesawat, menyebabkan kebakaran yang dahsyat. Ia juga menghilangkan fungsi kawalan penerbangan oleh juruterbang
Itu di tahun 1963. Sekarang bagaimana? Apakah pesawat masakini masih lagi disambar kilat?

Keratan akhbar – penerbangan 214

FARADAY CAGE

Dalam rekabentuk pesawat moden, telah diterapkan konsep Faraday Cage pada luar badan pesawat.
Konsep itu ‘menghubungkan’ panel-panel kulit pesawat dengan aliran elektrik yang baik. Setiap panel kulit yang aluminium akan dihubungkan antara satu sama lain.

Jika kulit tersebut dibuat daripada gentian fiber atau komposit, akan ada lapisan pengalir elektrik di dalamnya.
Selain itu terdapat juga ‘bonding jumper’ iaitu wayar-wayar tembaga yang menghubungkan panel ke panel secara elektrik. Bonding jumper ini terdapat dalam jumlah yang amat banyak di seluruh badan pesawat.

RADOME LIGHTNING STRIP DAN STATIC WICK

Kilat yang menyambar pesawat pada kebiasaannya akan masuk melalui ‘entry point’ iaitu biasanya pada muncung atau radome pesawat, atau di sekelilingnya.

Di radome ini terdapat jalur-jalur kilat (lightning strips).

Muncung/hidung kapal terbang dipanggil radome. Garisan-garisan yang terdapat pada radome inilah namanya lightning strip

Cas elektrik yang dibawa sambaran kilat ini akan keluar pula pada ‘exit points’ nya, selalunya secara tipikal di bahagian belakang sayap (wing trailing edge) dan juga belakang ekor (tail trailing edge).

Di bahagian ‘exit points’ inilah akan terdapat ‘static discharger’ (penyahcas elektrik statik), ataupun dipanggil juga sebagai ‘static wicks’.

Walaupun pada asasnya static wicks adalah untuk menyahcaskan elektrik statik, namun dalam keadaan sambaran kilat, ianya juga melepaskan cas-cas elektrik yang mengalir akibat sambaran kilat itu ke udara.
Keadaan ini boleh dilihat dengan static wick itu menjadi cair ataupun terbakar.

Batang-batang hitam di belakang sayap pesawat inilah contoh static wicks.

KESAN SAMBARAN KILAT PADA PESAWAT

Hasil daripada rekabentuk konduktif elektrik yang baik, sambaran kilat hampir tidak membawa apa-apa kesan terhadap pesawat.

Penumpang selalunya tidak merasakan apa-apa perubahan melainkan yang terlalu ketara seperti kesan pencahayaan daripada kilat.

Kesan yang paling ketara dapat dilihat ialah pada ‘entry point’ dan ‘exit points’ yang terdapat pada badan pesawat. Ianya berupa kesan cairnya beberapa rivet, atau kesan terbakar yang sangat kecil.

Juruteknik pesawat akan menukarkan rivet tersebut kepada yang baru, atau jika ianya berlaku pada kulit, juruteknik akan menggosoknya (blending) dengan perkakas yang sesuai untuk menghilangkan tanda sambaran kilat.

KOMPONEN-KOMPONEN ELEKTRIK DAN TANGKI MINYAK

Komponen elektrik selalunya akan mengalami standard yang tinggi sebelum diluluskan untuk digunakan pada pesawat moden.

Sesetengahnya tidak dibenarkan disentuh sebelum menyahcaskan elektrik statik. Jika ingin menyentuh, kita tidak dibenarkan menggunakan tangan kosong. Juruteknik atau jurutera perlu memakai radas yang sesuai dahulu.
Dan boleh dikatakan semua komponen elektrik selamat untuk digunakan ketika sambaran kilat sedang berlaku.

Komponen-komponen elektrik juga selalunya akan dibumikan (grounded).
Tangki minyak juga amat bahaya jika tidak direkabentuk dengan baik.

Untuk mengelakkan kesan sambaran kilat, selalunya tangki-tangki minyak akan dibentuk supaya dindingnya tebal. Ia juga dikedap (sealed) dengan amat terperinci.

KESIMPULAN

Kesan sambaran kilat adalah amat biasa sebenarnya bagi pesawat komersil. Namun kerana rekabentuk yang baik, insyaAllah anda akan melalui penerbangan yang selamat.

Penulis: Shazlee

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

four × four =