Seperti yang kita ketahui, bunga telang adalah bahan pewarna semula jadi yang sering digunakan dalam penyediaan makanan seperti nasi kerabu.
Ia menghasilkan warna biru yang menarik dan memberikan sentuhan estetik pada makanan. Selain itu, bunga ini turut dikenali dengan pelbagai nama seperti bunga teleng, bunga talang, dan bunga bisi.
Nama saintifiknya adalah Clitoria ternatea, dan ia amat terkenal di Indonesia serta Malaysia.
Bunga telang bukan sahaja digunakan dalam masakan, tetapi juga untuk tujuan kecantikan, kesihatan, dan landskap. Ia boleh digunakan sebagai herba tradisional untuk melancarkan pencernaan, melawas kencing, merawat masalah kulit, dan membantu kesihatan mata.
Di samping itu, bunga telang juga popular sebagai teh herba yang mempunyai sifat antioksidan. Tanaman ini amat sesuai untuk iklim tropika seperti Malaysia dan mempunyai potensi untuk dikomersialkan, menjadikannya peluang perniagaan yang menarik. Oleh itu, artikel ini akan menerangkan cara menanam bunga telang dengan mudah dan efektif.
PENYEDIAAN TANAH
Sebelum memulakan penanaman, penyediaan tanah adalah langkah penting. Gunakan pasu atau bekas yang sesuai dan sediakan tanah campuran yang mengandungi tanah organik, kompos, dan pasir dengan nisbah 2:1.
Tanah yang kaya dengan bahan organik dapat membantu pertumbuhan akar dan memastikan pokok mendapat nutrien yang mencukupi.
Jika ingin menanam di tanah terbuka, pastikan kawasan tersebut mendapat sinaran matahari yang mencukupi dan mempunyai saliran yang baik untuk mengelakkan air bertakung.
PENYEDIAAN BENIH
Bunga telang boleh ditanam menggunakan keratan batang atau biji benih. Namun, biji benih lebih popular kerana mudah didapati dan mempunyai kadar percambahan yang tinggi.
Untuk meningkatkan kadar percambahan, rendam biji benih dalam air suam selama 6-8 jam. Biji benih yang tenggelam menandakan ia berkualiti untuk ditanam. Selepas itu, benih boleh terus disemai pada media tanah yang telah disediakan.
PENANAMAN
Setelah media semaian siap, buat lubang sedalam 1 cm dan tanam 1-2 biji benih di setiap lubang. Pastikan jarak antara lubang sekitar 12 cm untuk memberi ruang kepada akar berkembang.
Selepas itu, tutup lubang dengan tanah dan siram dengan air secukupnya untuk memastikan tanah kekal lembap. Letakkan bekas semaian di kawasan yang mendapat sinaran matahari secukupnya.
Benih akan bercambah dalam tempoh 5-14 hari. Apabila anak pokok mencapai ketinggian sekitar 10-15 cm, ia boleh dipindahkan ke pasu atau tanah terbuka dengan komposisi tanah yang sama.
Gunakan bekas yang lebih besar untuk mengelakkan persaingan nutrien dan memberi ruang kepada akar untuk berkembang dengan baik.
PENYELENGGARAAN
1. Penyiraman: Siram tanaman setiap hari, terutama pada waktu pagi atau petang. Pastikan tanah tidak terlalu basah untuk mengelakkan akar reput.
2. Pemangkasan: Pemangkasan diperlukan untuk menggalakkan pertumbuhan tunas sisi dan mengekalkan bentuk pokok. Lakukan pemangkasan tunas muda apabila pokok mencapai ketinggian 20 cm.
3. Pemasangan Pancang: Apabila pokok mula menjalar, pasang pancang daripada kayu atau buluh setinggi 60 cm. Lilitkan dawai atau tali pada pancang untuk membantu pokok tumbuh melilit dengan baik.
PEMBAJAAN
Gunakan baja organik seperti tahi ayam atau kompos sebanyak dua kali seminggu. Baja organik lebih selamat dan mesra alam berbanding baja kimia.
Jika perlu menggunakan baja kimia, pastikan ia diberikan dalam kadar yang kecil dan dicairkan terlebih dahulu untuk mengelakkan kerosakan pada tanaman.
PENUAIAN
Bunga telang biasanya boleh dituai selepas 8 minggu selepas dipindahkan ke bekas yang lebih besar. Bunga yang matang akan mempunyai warna yang cerah dan saiz yang sempurna.
Petik bunga dengan berhati-hati untuk mengelakkan kerosakan pada tunas lain.
KELEBIHAN TANAMAN BUNGA TELANG
Selain digunakan dalam masakan dan perubatan tradisional, bunga telang juga sesuai dijadikan pewarna semula jadi untuk produk kecantikan seperti sabun dan syampu. Daunnya pula boleh digunakan sebagai baja hijau untuk meningkatkan kesuburan tanah.
POTENSI EKONOMI
Permintaan terhadap bunga telang semakin meningkat, terutamanya dalam industri makanan, kosmetik, dan perubatan. Dengan pengurusan tanaman yang sistematik, bunga telang boleh menjadi sumber pendapatan tambahan, terutama bagi mereka yang mempunyai ruang tanah terbiar.
RUJUKAN
- Wahyuni A., Tjok, dan Wayan S. (2018). The Unity Colour of Kembang Telang. Diakses pada: https://download.isi-dps.ac.id
- Gomez, S. M. & Kalamani, A. (2003). “Butterfly Pea (Clitoria ternatea): A Nutritive Multipurpose Forage Legume for the Tropics – An Overview.” Pakistan Journal of Nutrition, 2: 374-379.
- Tanam Sendiri (2013). Bunga Telang Dalam Pasu. Tanamsendiri.com. Diakses pada Februari 21, 2021.