Apakah Penyakit Asma?
Asma adalah penyakit kronik yang menjejaskan saluran pernafasan, menyebabkan kesukaran bernafas. Saluran udara menjadi radang, sempit, dan menghasilkan lendir berlebihan.
Keadaan ini boleh menyebabkan batuk, sesak nafas, dan berdehit. Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), dianggarkan lebih 300 juta orang di seluruh dunia menghidap asma, menjadikannya salah satu penyakit kronik yang paling biasa.
Bagaimana Ia Berlaku?
Asma berlaku apabila saluran pernafasan menjadi radang dan hipersensitif. Apabila terdedah kepada pencetus seperti habuk, asap, atau alergen, otot di sekitar saluran pernafasan mengecut, menyebabkan saluran tersebut sempit.
Bayangkan saluran udara seperti tiub yang disaluti lapisan otot. Apabila berlaku serangan asma, otot ini menegang dan dindingnya membengkak, menjadikan laluan udara semakin sempit. Lendir berlebihan yang dihasilkan turut menyumbat laluan ini, menyebabkan pesakit sukar bernafas.
Apakah Punca-Punca Penyakit Asma?
Terdapat beberapa punca kepada penyakit ini iaitu:
- Faktor Genetik: Jika seseorang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap asma atau alahan, risiko untuk mendapat asma adalah lebih tinggi. Ini menunjukkan peranan genetik dalam perkembangan penyakit ini.
- Pendedahan kepada Alergen: Pendedahan awal kepada alergen seperti debunga, habuk, bulu haiwan, dan kulat boleh mencetuskan asma, terutama pada kanak-kanak. Pendedahan ini menyebabkan sistem imun menjadi terlalu sensitif dan mudah bertindak balas secara berlebihan.
- Jangkitan Saluran Pernafasan: Jangkitan virus pada saluran pernafasan, terutamanya pada zaman kanak-kanak, boleh merosakkan saluran udara dan meningkatkan risiko asma. Virus seperti Respiratory Syncytial Virus (RSV) sering dikaitkan dengan perkembangan asma.
- Pencemaran Udara: Pendedahan kepada bahan pencemar seperti asap kenderaan, asap rokok, dan bahan kimia di udara boleh merosakkan saluran pernafasan dan mencetuskan asma.
- Aktiviti Fizikal Berlebihan: Senaman berat dalam cuaca sejuk atau kering boleh mencetuskan asma bagi sesetengah individu.
Faktor Risiko
Faktor risiko asma berbeza mengikut individu. Namun, terdapat beberapa faktor utama yang meningkatkan risiko penyakit ini:
- Sejarah keluarga: Ahli keluarga yang menghidap asma atau penyakit alahan lain.
- Persekitaran berhabuk atau tercemar: Pendedahan kepada asap rokok, bahan kimia, atau pencemaran udara.
- Obesiti: Berat badan berlebihan meningkatkan tekanan pada paru-paru dan boleh mencetuskan asma.
Simptom Penyakit Asma
Asma biasanya menunjukkan beberapa gejala utama yang boleh menjadi ringan hingga teruk. Antaranya:
- Batuk berpanjangan: Terutamanya pada waktu malam atau awal pagi. Batuk ini berlaku kerana keradangan saluran pernafasan yang menyebabkan sensitiviti berlebihan.
- Bernafas berbunyi (wheezing): Bunyi berdesis semasa menarik nafas. Ini berlaku apabila udara melalui saluran pernafasan yang sempit.
- Sesak nafas: Kesukaran bernafas terutama selepas bersenam atau terdedah kepada pencetus. Pesakit mungkin berasa seperti tidak mendapat cukup udara.
- Dada terasa ketat: Rasa seperti dada diikat atau ditekan, menyebabkan rasa tidak selesa dan cemas.
Jika asma menjadi lebih teruk, pesakit mungkin mengalami kesukaran bernafas yang serius, wajah menjadi pucat, dan bibir atau kuku kebiruan, tanda-tanda kecemasan yang memerlukan rawatan segera. Dalam kes yang teruk, pesakit mungkin tidak dapat bercakap atau bergerak dengan baik.
Penyakit yang Mempunyai Simptom yang Sama
Beberapa penyakit lain mempunyai gejala yang menyerupai asma, seperti:
- Bronkitis Kronik: Keradangan saluran pernafasan dengan batuk berpanjangan dan penghasilan lendir. Penyakit ini biasanya berkaitan dengan tabiat merokok yang lama.
- Penyakit Paru-paru Obstruktif Kronik (COPD): Penyakit paru-paru progresif yang menyebabkan kesukaran bernafas. COPD lebih biasa dalam kalangan perokok dan mereka yang terdedah kepada bahan kimia.
- Alergi Rhinitis: Alahan yang menyebabkan bersin, hidung tersumbat, dan batuk. Walaupun serupa, alahan ini lebih banyak melibatkan hidung dan mata.
- Refluks Asid (GERD): Asid perut yang naik ke esofagus boleh menyebabkan batuk dan sesak nafas. Pesakit mungkin mengalami pedih ulu hati.
- Jangkitan Paru-paru (Pneumonia): Jangkitan bakteria atau virus pada paru-paru yang boleh menyebabkan batuk dan sesak nafas.
Ujian untuk Pengesahan Penyakit
Ujian untuk mendiagnosis asma termasuk:
- Spirometri: Ujian ini mengukur jumlah dan kelajuan udara yang dihembus keluar dari paru-paru. Ia membantu mengenal pasti tahap sekatan aliran udara.
- Ujian Provokasi Bronkus: Pesakit disedut dengan bahan tertentu untuk melihat tindak balas saluran pernafasan.
- Peak Flow Meter: Alat mudah alih untuk mengukur kelajuan hembusan udara keluar dari paru-paru.
Rawatan untuk Penyakit Asma
Terdapat beberapa jenis rawatan asma dan ia bertujuan samada mengawal simptom dan mencegah serangan. Rawatan utama termasuk:
- Inhaler Penyedut Kortikosteroid: Ubat ini mengurangkan keradangan saluran pernafasan. Contohnya, budesonide dan fluticasone.
- Bronkodilator Bertindak Cepat: Seperti salbutamol, digunakan semasa serangan asma untuk melegakan saluran pernafasan.
- Pengubah Leukotriena: Ubat oral yang membantu mengawal keradangan dan alahan.
Jika rawatan standard tidak berkesan, rawatan tambahan seperti terapi biologik (omalizumab) mungkin digunakan untuk pesakit asma yang teruk.
Rujukan
- “Asthma.” World Health Organization (WHO), 2023. https://www.who.int
- National Heart, Lung, and Blood Institute (NHLBI), “Asthma Care Quick Reference Guide,” 2022.
- Global Initiative for Asthma (GINA), “Global Strategy for Asthma Management and Prevention,” 2023.