Pengenalan
Pegaga atau nama saintifiknya Centella asiatica ialah sejenis ulam yang sangat popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Ia dikenali sebagai “pennywort” dalam bahasa Inggeris dan tergolong dalam keluarga Umbelliferae. Tanaman ini bukan sahaja enak dimakan mentah sebagai ulam, tetapi juga digunakan secara tradisional untuk merawat pelbagai penyakit serta dalam industri kosmetik.
Pegaga merupakan tanaman yang tumbuh dengan subur di kawasan lembap seperti tepi sungai, kawasan berair dan tanah berkelembapan tinggi. Ia sesuai ditanam di Malaysia kerana iklim tropika yang lembap sepanjang tahun. Tambahan pula, tanaman ini tidak memerlukan penjagaan rapi, menjadikannya pilihan ideal untuk penanaman secara kecil-kecilan atau komersial.
Jenis Pegaga
Walaupun terdapat pelbagai jenis pegaga, dua jenis yang biasa dikenalpasti ialah:
- Centella asiatica: Jenis yang paling biasa dijumpai dan digunakan.
- Merremia emarginata: Kurang dikenali tetapi turut boleh dijadikan ulam.
Keperluan Asas Tanaman
Pegaga paling sesuai ditanam di tanah loam berpasir yang mempunyai saliran baik serta pH sekitar 4.5 hingga 6.0. Walaupun tanaman ini boleh tumbuh dalam pH neutral, ia akan menjadi kurang produktif. Taburan hujan tahunan ideal untuk tanaman ini ialah antara 2000 hingga 3000 mm. Kawasan teduh yang tidak terdedah terus kepada cahaya matahari amat digalakkan kerana pegaga mudah kering jika terkena cahaya matahari secara berlebihan.
Penyediaan Benih
Anak benih pegaga biasanya diperoleh daripada keratan batang. Pilih batang yang matang dan mempunyai akar. Setiap perdu pegaga boleh dipecahkan kepada 8 hingga 10 anak pokok bersaiz 6-10 cm. Keratan ini kemudiannya digunakan untuk penanaman.
Penyediaan Tanah
Pegaga boleh ditanam terus di tanah atau di dalam pasu. Jika ditanam di ladang, tanah perlu dipulihkan terlebih dahulu melalui pembajakan dan pembersihan menggunakan bajak putar. Tanah hendaklah disediakan dalam bentuk batas dengan lebar 1-1.2 meter. Untuk penanaman dalam pasu, sebaiknya gunakan pasu yang panjang dan besar memandangkan pegaga ialah tanaman menjalar. Gunakan campuran tanah seperti berikut untuk media tanaman:
- 3 bahagian tanah
- 2 bahagian kompos atau tahi ayam
- 1 bahagian pasir
Kaedah Penanaman
Tanam anak benih pada jarak 20 x 20 cm. Tidak perlu menanam terlalu dalam, cukup sekadar meletakkan keratan di atas tanah dan menutup sedikit dengan tanah. Pastikan penyiraman dilakukan sehingga tanah agak basah atau sedikit bertakung selepas menanam.
Pembajaan
Gunakan baja organik seperti tahi ayam untuk pertumbuhan awal. Sebaiknya tambahkan baja NPK (15:15:15) sebanyak 10-15g sepokok, 3 hingga 4 minggu selepas penanaman. Baja ini membantu mempercepat pertumbuhan dan meningkatkan hasil daun pegaga.
Pengairan
Penyiraman adalah aspek penting dalam penanaman pegaga. Dua minggu pertama selepas penanaman merupakan tempoh kritikal, di mana tanaman perlu disiram setiap hari untuk memastikan pertumbuhan akar yang baik. Selepas itu, penyiraman boleh dikurangkan kepada 2 atau 3 hari sekali.
Kawalan Rumpai, Penyakit dan Perosak
Rumpai boleh dikawal secara manual dengan mencabut menggunakan tangan, terutamanya semasa peringkat awal pertumbuhan. Racun rumpai boleh digunakan sebelum penanaman (pra-cambah) tetapi tidak digalakkan selepas tanaman mula tumbuh.
Tanaman pegaga jarang diserang penyakit serius, tetapi jika berlaku musim kemarau panjang, ia boleh mengalami masalah layu bakteria dan reput akar. Dalam kes ini, pokok yang dijangkiti hendaklah dibuang segera.
Perosak seperti lelompat daun dan lalat putih boleh dikawal menggunakan racun serangga yang sesuai dan disembur secara berkala.
Penuaian
Pegaga boleh mula dituai selepas 3 bulan penanaman. Ia ialah tanaman rantun, iaitu boleh terus dituai beberapa kali sepanjang tahun. Penuaian seterusnya boleh dilakukan setiap 50 hingga 60 hari. Dalam setahun, hasil boleh dituai sehingga 5 kali bergantung pada penjagaan dan cuaca.
Hasil pegaga boleh dijual secara segar di pasar atau diproses menjadi produk hiliran seperti jus, kapsul herba, atau ramuan kosmetik.
Penutup
Menanam pegaga merupakan aktiviti pertanian yang mudah, murah dan menguntungkan. Ia sesuai dijadikan tanaman dapur mahupun sumber pendapatan tambahan. Dengan penjagaan yang minimum tetapi konsisten, tanaman ini boleh hidup subur dan memberi hasil sepanjang tahun.
Rujukan
- Zainal, A.H. (2005). Manual teknologi penanaman pegaga. Serdang: MARDI.
- Asyraf Azman (2016). Hijau Melangit. Blogspot.com. Diakses pada Januari 31, 2021. http://hijaumelangit.blogspot.com/2016/01/pegaga-part-2-cara-cara-menanam-pegaga.html